Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 401 - Video Seks di Australia Tersebar

Chapter 401 - Video Seks di Australia Tersebar

Disebabkan mereka akan menghantar Rong Haiyue ke lapangan terbang, Su Qianci duduk di sebelah pemandu. Perjalanan bersama kereta baru itu amat pantas dan lancar, tetapi Su Qianci merasakan darahnya menggelegak. Kedua-dua lelaki di belakang hanya diam tanpa berkata apa-apa. Malah kedua-dua mereka juga memandang ke luar tingkap dan menjadikan suasana di dalam kereta itu agak janggal. Apabila mereka menaiki lebuh raya menghala ke lapangan terbang, Su Qianci memulakan perbualan dengan bertanya, "Encik Rong Haiyue, kamu dan isteri kamu ada anak?"

"Ya, kami ada anak perempuan yang sama umur dengan kamu. Nama dia Rong Anna."

"Rong Anna?" Su Qianci agak terkejut.

"Kamu kenal dia?"

"Bukankah dia tunang Bo Xiao?"

"Ya." Rong Haiyue terkejut mendengar soalan itu. "Kamu kenal mereka?"

"Ya, kami pernah bertemu di festival muzik. Anak kamu sangat cantik."

"Terima kasih. Kalau dia dengar, dia pasti akan sangat gembira."

Su Qianci senyum dan memandang ke luar tingkap.

Li Sicheng memandang Rong Haiyue sekilas dan berkata perlahan, "Kamu betul-betul sayangkan anak kamu."

"Ya, dia satu-satunya anak saya."

Li Sicheng tidak berkata apa-apa lagi dan memandang ke arah Su Qianci. Tiada sesiapa menyedari kelakuannya yang aneh. Rong Haiyue menghantar mesej WeChat ke telefon anaknya sambil tersenyum lebar.

Mereka tiba di lapangan terbang dalam masa yang singkat. Su Qianci mahu menghantar Rong Haiyue sehingga balai berlepas tetapi lelaki itu menolak. Kemudian Su Qianci kembali ke kereta.

"Mari duduk di belakang," panggil Li Sicheng. Su Qianci menurut dan melentokkan kepala di atas bahu suaminya. Li Sicheng menyedari isterinya tidak begitu gembira. Sejak beberapa hari ini, Su Qianci sentiasa kelihatan sedih. Dia meletakkan tangannya pada dahi Su Qianci dan bertanya perlahan, "Kamu rasa tak sihat?" Dia berasa lega kerana demam isterinya sudah sembuh.

Su Qianci menolak tangan Li Sicheng dan menggelengkan kepalanya. "Tak adalah." Dia hanya diam dan terus melentokkan kepalanya di atas bahu Li Sicheng. Hakikatnya dadanya terasa sesak sejak beberapa hari lalu.

"Pergi ke Hospital Pertama Kingstown," kata Li Sicheng kepada Yang sebelum menoleh ke arah Su Qianci. "Saya akan bawa kamu tengok bayi Tang Mengying. Kamu belum tengok lagi, kan?"

Su Qianci terkejut lalu mendongak dan berkata, "Oh ya! Bukankah dia bersalin tak cukup bulan? Bagaimana keadaan dia sekarang?"

Li Sicheng ketawa kecil lalu mengetuk dahi Su Qianci. "Saya ingat kamu muram disebabkan ini. Rupa-rupanya kamu dah lupa tentangnya." Li Sicheng mengeluarkan telefonnya, membuka laman web Weibo dan menghulurkan telefonnya kepada Su Qianci. "Tengoklah sendiri."

Su Qianci melihat telefon itu. "Kenapa kamu guna telefon baru lagi? Bukan kamu baru saja beli yang baru haritu?"

"Ia dah rosak."

"Oh, okey." Su Qianci tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu dan memandang tajuk-tajuk yang terpapar pada skrin. Topik paling hangat adalah kebankrapan Syarikat Tang. Puan Tang telah dipenjarakan kerana cubaan membunuh manakala Tang Zhenghao menggelapkan wang syarikat dan melarikan diri.

Topik kedua terhangat adalah tentang Tang Mengying:

"Berita Gempar! Video Seks Cik Tang di Australia Tersebar!"

"Tak Guna, Jadi Siapa Ayah Kepada Kandungannya?"

"Ujian DNA Menunjukkan Tiada Langsung Hubungan antara Bayi Cik Tang dan Keluarga Li!"

"Kebetulan? Bayi Dia Kacukan."

Su Qianci menekan salah satu tajuk.

Terpapar satu gambar seorang bayi di dalam kotak kaca. Kulitnya sangat putih dan dia mempunyai beberapa helai rambut perang muda yang nipis. Bayi itu sedang melihat ke atas dengan matanya yang biru…

Related Books

Popular novel hashtag