Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 399 - Saya Serius, Encik Li

Chapter 399 - Saya Serius, Encik Li

"Ya." Su Qianci berjalan masuk dan menanggalkan jaketnya. Dia naik ke atas katil lalu memeluk leher Li Sicheng. "Kenapa kamu terjaga?"

Li Sicheng memusingkan badan lalu memeluk isterinya sambil bertanya, "Apa yang kamu cakap dengan dia?"

"Saya ucap terima kasih, minta maaf, beri nombor telefon kita dan balik ke sini."

"Okey." Li Sicheng meletakkan tangannya pada dahi Su Qianci sebelum melihat jam. "Kamu lapar? Nak makan apa-apa?"

"Tak sangat. Saya tak ada selera."

"Kalau macam tu, makan ubat."

Su Qianci memuncungkan bibirnya.

Li Sicheng mencium bibirnya sekilas lalu berbisik, "Jadi budak baik."

Su Qianci merasakan seolah-olah dirinya disambar petir. Li Sicheng menciumnya? Bagaimana dia boleh biarkan ia berlaku? Dia terus menutup mulutnya sambil merenung suaminya dengan mata yang terbeliak. Jantungnya berdegup kencang.

Li Sicheng menyedari reaksinya dan memicit hidung Su Qianci. "Kenapa dengan reaksi kamu? Bukannya kita tak pernah bercium sebelum ni." Dia bangun untuk mengambil air. Selepas memastikan air itu suam-suam sahaja, dia mengambil bekas ubat Su Qianci dan menghulurkannya kepadanya.

Tangan Su Qianci menggeletar. Dia melihat gelas berisi air yang dibawa Li Sicheng dengan mata yang kemerahan. Suaranya kedengaran bergetar, "Encik Li, saya…"

Saya telah dirogol oleh seorang penghidap HIV. Mungkin saya dah dijangkiti juga.

"Tak ada alasan. Makan." Li Sicheng menuangkan pil-pil itu ke atas tangannya. "Buka mulut."

Su Qianci tidak mampu meluahkan kata-kata itu lagi. Dia mengambil gelas air itu dan merenung pil-pil di tangan Li Sicheng.

"Kamu nak saya suapkan?" Li Sicheng mengangkat sebelah kening dan menghampirinya. "Dengan mulut saya?"

Jangan, jangan!

Su Qianci cepat-cepat mengambil semua pil itu lalu menelannya bersama-sama air.

"Sekarang tidur." Li Sicheng naik ke atas katil dan membantu isterinya berbaring. Katil itu agak sempit untuk dua orang.

Su Qianci tidak dapat tidur lantaran fikirannya dipenuhi dengan pelbagai perkara. Li Sicheng juga tidak mengantuk kerana sudah tidur sebentar tadi.

"Encik Li?"

"Ya?"

"Kalau satu hari nanti… saya terkena penyakit yang tak ada ubat, kamu akan tetap bersama saya?"

"Ya."

"Bagaimana kalau saya terkena penyakit itu dalam masa terdekat?"

"Ya."

"Bagaimana kalau saya dah hampir mati?"

Tanpa berkata apa-apa, Li Sicheng mengangkat kepalanya. Dia sudah menutup lampu bilik itu. Di bawah cahaya malap yang masuk melalui tingkap, matanya yang dingin dan dalam kelihatan seperti sebuah galaksi. "Kalau begitu saya akan mati bersama kamu."

Kata-katanya itu akan terus bergema dalam kepala Su Qianci selama beribu tahun.

Jantung Su Qianci tiba-tiba berdegup laju, lalu air matanya terus tumpah. Dia segera mengelap air matanya kerana takut ia akan terkena suaminya. Kemudian dia bertanya dalam esakannya, "Kenapa?"

"Budak ni, kita kan suami isteri." Li Sicheng merenungnya dalam. "Saya cuma ada seorang isteri. Tanpa kamu, apa gunanya saya hidup seorang diri?"

Su Qianci tunduk dan memeluk pinggang Li Sicheng lalu berkata dalam tangisan, "Encik Li, saya serius."

"Kamu ingat saya tak serius?" Li Sicheng memeluk Su Qianci dan meletakkan kepala isterinya itu ke dadanya. Su Qianci dapat merasakan getaran pada suara Li Sicheng pada kedudukannya itu. "Saya serius dengan segala yang saya katakan, Puan Li." Semalam, sewaktu dia menyangka isterinya itu telah dibunuh, hatinya terasa amat kosong. Perkara yang berada dalam fikirannya hanyalah untuk turut bersama dengan isterinya… Jika bukan kerana dihalang oleh saudara-saudaranya, dia pasti sudah terjun ke dalam sungai itu.