Li Sicheng mengecilkan mata dan menjadikan matanya yang dalam itu kelihatan semakin dingin. Perlahan-lahan dia bertanya, "Jadi, kamu tampar saya disebabkan itu?"
Su Qianci memalingkan mukanya tanpa bersuara. Walau bagaimanapun, nafasnya menjadi kencang dan matanya mula basah.
"Puan Li, kamu sedang mempersoalkan kredibiliti saya." Suara Li Sicheng dalam dan kedengaran marah.
Su Qianci mengetap bibir dengan dingin dan mengelak daripada bertentang mata dengannya.
"Saya ingat semuanya dah jelas sebelum ini. Saya tak ada apa-apa hubungan dengan dia, apatah lagi untuk tidur bersama. Tersentuh dia saja dah cukup untuk buat saya mual."
"Cukup," sampuk Su Qianci. "Saya tak mahu dengar lagi. Encik Li, boleh kamu lepaskan saya?"
Li Sicheng mengetap bibir dan kekal tidak bergerak. Dia berkata dengan nada tertekan, "Kenapa kamu tak percayakan saya?"
Su Qianci mendongak memandangnya. Melihat wajah Li Sicheng yang kelihatan terluka, dia merenung siling dan berkata perlahan, "Kamu dah hilang kepercayaan saya sebaik saja saya tahu yang kamu dah tipu saya."
Mata Li Sicheng terbuntang luas. Menipu? Dia terus teringatkan luka di lengan kanannya. Tanpa sedar dia menoleh ke tempat luka itu dan membuatkan Su Qianci turut memandang lukanya. Luka itu panjang dan dalam. Sebahagian besar telah menjadi parut dan membuatkan ia kelihatan berwarna merah dan kelabu pada kulit sawo matang Li Sicheng.
"Ini Rong Rui yang lakukan lebih setengah bulan lepas."
Setengah bulan, jadi bermakna sewaktu dia sedang di 'trip perniagaan' itu?
"Saya tak beritahu kamu kerana saya tak mahu kamu risau. Saya tipu dan cakap saya pergi trip perniagaan kerana saya nak beritahu kamu bila luka ini dah makin sembuh."
Begitukah? Su Qianci tiba-tiba berasa sedih. Adakah dia kelihatan seperti mudah ditipu di mata suaminya? Li Sicheng pasti langsung tidak tahu dia telah ternampaknya keluar dari rumah yang diberikannya kepada Tang Mengying. Malah dia melihatnya dengan matanya sendiri. Dia juga telah membuat siasatan dan mendapati rumah itu telah diletakkan atas nama Tang Mengying. Rumah yang bernilai puluhan juta dengan mudah dihadiahkan kepada perempuan lain. Adakah sesiapa yang akan percaya tiada perjanjian kotor terlibat? Lagipun, ujian DNA itu sudah cukup membuktikan semuanya. Dengan segala perkara itu, Li Sicheng masih menyangka dia akan mempercayainya?
Bulu mata Su Qianci bergetar ketika dia berkata perlahan, "Okey. Kamu boleh bangun sekarang. Kaki saya dah kebas."
Li Sicheng mengetap bibir. Mata Su Qianci yang dingin terasa seolah-olah peluru yang menembusi dadanya dan meninggalkan lubang yang berdarah. Pandangan Su Qianci memberitahunya bahawa isterinya itu tidak mempercayainya.
Luka itu jelas kelihatan pada lengannya, jadi Su Qianci patut dapat melihat betapa teruk kecederaan yang dialaminya. Tetapi kenapa dia masih tidak mahu percayakannya? Adakah Su Qianci benar-benar memaksudkan kata-katanya bahawa dia sudah hilang kepercayaannya?
"Saya tak berniat begitu."
"Tak apa. Sekejap lagi hilanglah kebas ini."
"Maksud saya tentang trip perniagaan itu."
Dia tidak berniat untuk berbohong. Jika dia tahu Su Qianci akan tahu sendiri perkara sebenar dan salah faham, dia lebih sanggup Su Qianci berada di sampingnya dan merisaukannya.
Su Qianci terdiam seketika. Matanya kelihatan sedih ketika dia berkata, "Tak apa. Kamu boleh nikmati kehidupan peribadi kamu. Dari awal lagi saya dah jelaskan dalam kontrak yang kita bebas untuk jalani kehidupan masing-masing. Kamu tak perlu beri penjelasan kepada saya."
Su Qianci tahu, dia yang sebenarnya telah tersilap faham. Dia tersilap menyangka Li Sicheng mencintainya…