Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 327 - Jatuh ke Dalam Perangkap Li Sicheng

Chapter 327 - Jatuh ke Dalam Perangkap Li Sicheng

Bunuh diri! Sebaik mendengar perkataan itu, hati Tang Mengying runtun.

Melihat pengawal itu mengangguk, Li Sicheng menoleh ke arah Tang Mengying dan melihat tangan wanita itu berada di mulutnya. Dia kelihatan terkejut dan takut, tetapi tiada langsung tanda-tanda sedih atau kesal pada wajahnya. Li Sicheng merasakan dia dapat melihat perasaan Tang Mengying terhadap Rong Rui dan tidak dapat mengelak daripada berasa simpati terhadap lelaki itu. Dia mengisyaratkan sesuatu dengan tangannya dan berkata tenang, "Bawa dia ke hospital."

Tiga hari. Rong Rui telah dikurung selama tiga hari. Dia digari pada katil dan hanya dibawa ke tandas oleh dua orang pengawal berbadan sasa apabila perlu. Selain masa itu, dia digari sepanjang masa di atas katil itu tanpa langsung diberi kebebasan. Rong Rui merenung siling dengan wajah yang tiada perasaan. Dia tidak dibawa ke hospital sebaliknya ke sebuah rumah kepunyaan Li Sicheng. Dua orang pengawal sentiasa berada di pintu manakala dua orang gaji sentiasa berada di sebelah katilnya. Rong Rui terpaksa mengakui Li Sicheng pandai berfikir dan juga licik. Dia tidak pernah menyangka seseorang boleh menjadi sekejam itu. Li Sicheng memerangkap dirinya dan Tang Mengying kemudian memperlakukannya seperti orang bodoh.

Setelah ditarik ke bilik itu oleh para pengawal, Rong Rui menyangka dia benar-benar akan dicabul. Walau bagaimanapun, mereka meletakkannya di hadapan satu skrin yang jelas menunjukkan riak wajah Tang Mengying. Ketakutan, kegembiraan, kejutan dan reaksi selepas wanita itu mendengar dia telah membunuh diri benar-benar membuatkannya berasa kecewa. Selama ini dia menyangka Tang Mengying tahu apa yang telah dilakukannya demi wanita itu. Dia menyangka Tang Mengying akan berfikir tentang jasa-jasanya tidak kira betapa tidak berhati perut sekalipun wanita itu. Namun realiti yang berada di hadapan matanya seolah-olah tamparan demi tamparan yang kuat kepada wajahnya.

"Ha… Ha ha ha…" Rong Rui ketawa sambil merenung ke arah siling. Dia kelihatan seperti pelawak yang terluka, menyedihkan dan menjadi bahan ketawa.

"Hei, hei, kenapa ini?" Satu suara mengusik membuatkan RongRui menoleh ke arah pintu. Suara itu adalah milik pembantu peribadi Li Sicheng, wanita yang dia telah bertemu sebanyak dua kali. Cheng You memandang Rong Rui dan berkata dengan senyuman, "Apa kata kita berbincang?"

Rong Rui kemudiannya dihantar ke hospital dan Li Sicheng meninggalkan rumah itu. Tang Mengying tidur lena di bilik yang telah diaturkan Li Sicheng untuknya. Dia terjaga sewaktu matahari telah tinggi. Tang Mengying menggeliat dan terus disapa oleh seorang orang gaji sebelum sempat dia berkata apa-apa. Orang gaji itu sangat menghormatinya dan patuh. Tang Mengying merasakan dirinya seolah-olah gundik diraja pada zaman dahulu! Dia sangat berpuas hati dan menikmati khidmat orang gaji itu. Sepanjang dilayan, dia langsung tidak bercakap dengan orang gaji tersebut.

Selepas mandi dan bersarapan, Tang Mengying bersiar-siar di halaman rumah itu dan mendapati halaman hadapan dan belakang rumah itu dikelilingi oleh mural yang cantik setinggi enam kaki. Dua orang gaji mengikutinya dari belakang ketika dia berjalan melihat dinding itu. Menjelang tengah hari, dia kembali ke biliknya dengan perasaan puas hati. Kemudian dia membuka tingkap untuk melihat pemandangan di luar. Malangnya dia mendapati yang dapat dilihatnya hanyalah satu tembok tebal dan halaman rumah. Lagenda Empayar Rom dilukis pada dinding tembok itu. Musim panas telah berlalu tetapi halaman rumah itu masih menghijau dan dipenuhi bunga. Angin lembut menyapa rumput dan bunga-bunga di situ.

Tang Mengying merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena. Tetapi apakah ia?

Related Books

Popular novel hashtag