Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 317 - Saya Percaya Kamu

Chapter 317 - Saya Percaya Kamu

Su Qianci sedikit kecewa, tetapi kemudian wajahnya tiba-tiba ceria. "Boleh saya…" Boleh saya ikut? Dia menelan kata-kata itu kembali.

"Apa?"

Su Qianci menggelengkan kepalanya dan berkata, "Pergilah."

Li Sicheng turut kecewa kerana tidak dapat membawa Su Qianci pulang. Walau bagaimanapun, dia berasa cemas memikirkan ibunya yang diambil sebagai tebusan oleh Rong Rui. Dia berkata lembut, "Pergilah tidur dulu. Sekarang dah lewat. Esok saya datang jemput kamu."

"Tak apa. Pergilah selesaikan urusan kamu."

Su Qianci berdiri dan menolak Li Sicheng perlahan ke arah pintu.

Li Sicheng tunduk dan melihat kaki Su Qianci. "Kenapa selalu tak pakai selipar? Zaman dahulu, ini dianggap simbol perangai tidak baik." Kemudian dia mengangkat Su Qianci dan berkata, "Cuaca semakin sejuk. Jangan lupa pakai selipar."

"Baiklah." Li Sicheng menghantar Su Qianci ke bilik dan meletakkannya di atas katil. Su Qianci hanya mampu melihat Li Sicheng pergi. Sebaik sahaja pintu itu ditutup, dia merasakan hatinya kosong. Dia tidak mahu lelaki itu pergi… Walaupun dia telah meminta cerai, tetapi dia terus menyesalinya sebaik sahaja melihat Li Sicheng mencarinya. Pada masa yang sama, dia gembira kerana suaminya itu menolak permintaan cerainya.

"Tunggu dan lihat sajalah…" Su Qianci membetulkan posisinya dan menutup mata, tetapi dia gagal tidur. Dia menarik nafas dan mengeluarkan telefon bimbitnya. Dia membuka Weibo dan melihat 80% perkara di bahagian suapan beritanya mengandungi pautan ke virus. Su Qianci ketawa lalu membuka laman peribadinya dan terkejut melihat pengikutnya telah bertambah ramai. Dahulu dia hanya ada beberapa orang pengikut yang tidak aktif, tetapi sekarang pengikutnya telah mencecah puluhan ribu.

Su Qianci membelek beberapa nama pengikutnya yang seramai 80 ribu orang itu kemudian menyemak komen-komen yang ditinggalkan mereka. Kebanyakan mereka meninggalkan komen pada gambar-gambarnya sewaktu di Maldives, gambar dia bermain piano putih di halaman rumah, gambar majlis perkahwinan dan kehidupan sehariannya.

[Gadis jujur pemalu]@Qianqian: Puan Li, jangan kalah! Kamu mesti percayakan suami kamu. Si Tang itu kawannya sejak kecil. Jika Encik Li sukakan dia walau sedikit, pasti dia dah lama terkam perempuan itu. Tak ada gunanya dia curang kepada kamu selepas kahwin.

[Q18terbaik]@Qianqian: Kamu sangat cantik. Saya dah jadi peminat kamu. Kamu langsung tak ada sudut yang menampakkan kamu tak cantikkah? Terlalu cantik!

[Lapankalisemalam]@Q18terbaik : Dah tentulah tuan puteri saya ini terbaik. Si Tang itu langsung tak setanding dengannya.

[Sebab_saya_comel] @Qianqian: Si perempuan jalang Tang itu tak tahu malu dan banyak berkhayal, macam Encik Li cakap.

Su Qianci membaca komen-komen itu satu persatu dan mula berasa gembira. Dia membelek gambar-gambar di dalam album telefonnya dan menjumpai gambarnya bersama Li Sicheng. Dia memuat naik gambar itu dan menaip di bawahnya: Saya percayakan kamu [emoji hati] Selamat malam. Kurang daripada 10 saat kemudian, satu komen muncul:

[SayasukawangdanQianqian] @Qianqian: Kamu menyeksa orang bujang pada tengah malam sebegini… Tapi gambar ini cantik!

Su Qianci ketawa dan membalas komen itu: Kamu kena biasakan diri.

[SayasukawangdanQianqian] @Qianqian: Kamu balas!!! Saya akan pergi beli loteri sekarang [3 x emoji gembira]

Selepas itu lebih banyak komen muncul meminta supaya Su Qianci membalas komen mereka. Setelah membalas banyak komen, Su Qianci berasa mengantuk lalu menyambung telefonnya pada pengecas dan meletakkannya di atas almari tepi katil. Kemudian dia merenung siling lalu tersenyum dan berkata perlahan, "Saya percaya kamu."