Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 301 - Tak Sangka Perangai Li Sicheng Seperti Ini

Chapter 301 - Tak Sangka Perangai Li Sicheng Seperti Ini

"Rong Haiyue…" Li Beixing mengulang nama itu dan kedengaran tertarik. "Pengaruh dia sama seperti Ayah. Kamu pasti kamu nak siasat ahli keluarga dia?" Pangkat Rong Haiyue dalam tentera adalah sama seperti Li Xiao. Kedua-dua mereka sentiasa menunjukkan hubungan yang damai di hadapan orang awam tetapi sebenarnya berseteru dalam diam. Jika Li Beixing tiba-tiba menyiasat tentang Rong Rui dan ia diketahui oleh Rong Haiyue, masalah besar akan timbul.

Disebabkan itulah Li Sicheng tidak menyiasat perbuatan Rong Rui selepas mengetahui identitinya. Dia takut dia akan membawa masalah kepada keluarga Li. Tetapi sekarang… Li Sicheng ketawa sinis. Kedinginan yang dapat didengari dalam suaranya membuatkan Li Beixing sedikit menggigil. "Saya memang nak dia tahu yang saya sedang siasat ahli keluarga dia." Melihat daripada perkara yang telah menjadi semakin besar ini, dia pasti Rong Rui mempunyai peranan dalam segalanya. Jika bukan disebabkan Rong Rui, kebenaran pasti telah terbongkar sewaktu tayangan video di bilik kerja ayahnya itu. Persepakatan Tang Mengying dan Rong Rui telah menggagalkannya.

Musuhnya itu gagal dikesan. Malah sehingga hari ini Li Sicheng tidak tahu di mana Rong Rui bersembunyi dan apa identiti yang digunakannya sewaktu dia membantu Tang Mengying membuat kerja kotornya. Sedikit kekecohan adalah cara terbaik untuk mengesan lelaki itu dan membawanya keluar. Walaupun Rong Haiyue adalah musuh Li Xiao, dia adalah lelaki yang terhormat. Jika dia menyedari Li Beixing sedang mencari maklumat tentang Rong Rui, dia akan turut menyiasat puncanya. Dengan itu, Li Sicheng akan berjaya menemui Rong Rui.

Walaupun wajahnya terselindung di sebalik telefon, Li Beixing dapat mendengar suara Li Sicheng yang membahayakan. Dia mengeluh dan berkata, "Rugi betul kamu tak sertai tentera." Li Sicheng mempunyai keberanian, keazaman dan sikap tidak berhati perut yang sesuai untuk menjadi seorang tentera yang hebat. Jika dia menyertai tentera, dia pasti sekurang-kurangnya berada pada pangkat yang sama seperti Li Beixing. Malangnya dia memilih dunia perniagaan. "Okey. Disebabkan adik kesayangan dah minta, jadi abang akan tolong. Tunggu berita baik tiba."

"Abang, Atuk ada di hospital. Abang tahu tak?"

Suara Li Beixing terus bertukar serius. "Sejak bila?"

Li Sicheng menceritakan serba ringkas tentang kejadian yang berlaku. Li Beixing berkata dengan marah, "Ibu tak pandai fikirkah? Perkara sebegitu… Lupakan. Tunggu Abang. Abang akan pergi ke hospital sekarang."

Li Xiao dan Li Beixing tiba di hospital pada masa yang sama. Sebaik bertembung, kedua-duanya kelihatan marah. Qin Shuhua dan Nenek Rong sedang menjaga Kapten Li di biliknya, tetapi Li Sicheng tiada di situ. Menyedari ketiadaannya, Li Xiao memperlahankan suaranya dan bertanya dengan marah, "Mana budak itu? Suruh dia datang sini sekarang!"

Nenek Rong cepat-cepat menjelaskan, "Qianci pengsan jadi dia sedang menjaganya di bilik sebelah."

"Pengsan?" kemarahan Li Xiao sedikit reda. "Apa yang berlaku?"

Nenek Rong menceritakan secara ringkas perkara yang berlaku sebelum menangis kerana berasa kasihan kepada Su Qianci. "Saya tak tahu perangai dia macam ini. Malang betul perempuan sebaik Su Qianci berkahwin dengan dia…" Walau bagaimanapun, Nenek Rong kemudiannya tersedar semua orang di sekelilingnya adalah ahli keluarga Li dan pasti menyebelahi Li Sicheng. Dia terus terdiam. Kemudian dia menyapu air matanya dan berkata, "Saya pergi tengok keadaan Su Qianci."

Li Xiao menarik nafas dalam dan tidak menghentikan Nenek Rong. Dia menoleh ke arah Kapten Li yang sedang terbaring di atas katil hospital itu.

Bulu mata Kapten Li kelihatan bergerak-gerak. Qin Shuhua bangun dan menerpa, "Ayah, Ayah dah sedar?"

Kapten Li tidak berdaya membuka matanya tetapi mengangkat tangannya dengan lemah dan menolak Qin Shuhu perlahan. Walaupun ia dilakukan tanpa kekuatan, ia tetap jelas menunjukkan penolakan Kapten Li.

Qin Shuhua kelihatan pucat dan janggal.

"Mana Sicheng? Bawa dia ke sini…"

Related Books

Popular novel hashtag