Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 278 - Bermalam Bersamanya

Chapter 278 - Bermalam Bersamanya

Mata Yu Lili terbeliak sebaik mendengar nama itu. Dia memandang Lu Yihan dengan tidak percaya, "Mustahil. Li Sicheng? Suami Su Qianci? Kenapa dia pukul kamu?"

Lu Yihan tersenyum seakan mengejek dirinya sendiri dan bertanya, "Kamu tak percayakan saya?"

"Ya, saya percaya," kata Yu Lili pantas. "Saya cuma tertanya kenapa dia pukul kamu."

Lu Yihan sendiri tidak tahu sebabnya, jadi tidak mungkin dia mampu menjelaskannya kepada Yu Lili. Dia masih merasakan kepeningan yang teruk. Walaupun lukanya sudah beransur pulih dan suhu badannya sudah turun sedikit, dia masih berasa tidak selesa. Dia malas untuk bercerita dan berkata dalam separuh sedar, "Kamu patut balik. Nanti saya pindahkan wang itu. Dah terlalu lewat untuk kamu berdua-duaan dengan lelaki."

"Ia.." Ia tiada masalah. Belum sempat Yu Lili menghabiskan kata-katanya, telefonnya berdering. Itu adalah panggilan keempat daripada orang yang sama. Yu Lili mencebikkan bibirnya, dia tidak mahu menerima panggilan itu lalu mematikan telefonnya. Apabila dia menoleh ke belakang, dia melihat Lu Yihan telah menutup mata dan nafasnya turun naik. Yu Lili meletakkan tangannya pada dahi Lu Yihan dan mendapati lelaki itu masih demam. Yu Lili terus keluar dari wad itu dan meminta sedikit air dan tuala daripada jururawat untuk menurunkan suhu Lu Yihan.

Yu Lili memandang wajah Lu Yihan dan hatinya terasa kosong. Jika dia tidak terjebak dengan Ou Ming demi wang, mungkinkah ada peluang untuk dirinya dan Lu Yihan? Dia menunduk ke bawah sambil menyesali keputusan yang dibuatnya suatu ketika dahulu. Kini dia ibarat burung di dalam sangkar Ou Ming. Walaupun ia sangkar emas, namun dia langsung tiada kebebasan.

Dia amat mencemburui Su Qianci… Seorang gadis lurus dan baik hati, berlainan dengan dirinya yang merupakan pisau cukur… dan nasib Su Qianci sangat baik. Perkara yang paling dicemburui Yu Lili adalah Lu Yihan juga sukakan Su Qianci… Alangkah bahagianya menjadi dia.

Setelah menjaga Lu Yihan semalaman, Yu Lili tidak sedar bila dia tertidur. Apabila dia dikejutkan oleh jururawat, jam sudah menunjukkan pukul sembilan pagi. Lu Yihan masih belum terjaga. Yu Lili menggeliat sebelum berdiri dan menghidupkan telefonnya. Sebaik sahaja telefon itu dihidupkan, ia terus berbunyi tanpa henti. Terdapat lebih 50 panggilan tidak dijawab dan lebih 100 mesej. Yu Lili terkedu.

"Tak guna, si bodoh itu…"

Ketika dia menyumpah, telefonnya berdering lagi.

"Helo," Yu Lili menjawab dengan marah. "Apa yang kecoh sangat?"

Ou Ming diam seketika sebelum berkata sinis, "Yu Lili, kau mesti dah gila. Kau matikan telefon?"

"Jadi kenapa? Semua orang perlu tidur," kata Yu Lili selamba.

"Kau tidur di mana dan dengan siapa?"

"Encik Ou, aku bukan teman wanita kau. Jadi apa kaitannya dengan kau?"

"Kalau kau bukan teman wanita aku, jadi kau teman wanita siapa?"

"Tubuh aku untuk duit kau, itu sahaja hubungan kita. Kenapa kau emosi sangat? Aku tak mahukan kau semalam. Itu sahaja."

"Yu Lili!" Ou Ming menjerit marah. "Bawa tubuh kau ke Vila Gunung Barat sekarang juga."

"Baiklah. Lelaki miang." Yu Lili memutuskan talian. Dia memastikan suhu Lu Yihan sudah tidak tinggi dan meminta jururawat menjaga lelaki itu dengan baik sebelum berlalu pergi.

Sebaik sahaja Yu Lili beredar, Lu Yihan membuka mata dan melihat wanita itu berjalan pergi. Dia pernah mendengar Yu Lili adalah perempuan simpanan seorang usahawan muda. Nampaknya khabar angin itu benar. Encik Ou… Ou Ming?

Related Books

Popular novel hashtag