Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 275 - Nampaknya Kau Masih Keliru Siapa Aku Kepada Kau

Chapter 275 - Nampaknya Kau Masih Keliru Siapa Aku Kepada Kau

Su Qianci merasakan dagunya seperti hampir terkoyak. Ia sangat menyakitkan tetapi dia telah terlupa sepenuhnya bagaimana untuk memberi reaksi. Sikap Li Sicheng sekarang sama seperti sikapnya terhadap Su Qianci sewaktu penghujung kehidupannya yang lalu. Lelaki itu mungkin akan membunuh Su Qianci dengan renungannya jika dia mampu. Su Qianci sangat ketakutan. Melihat kemarahan yang jelas terpancar di mata lelaki itu, dia tidak dapat mengelak daripada teringatkan Li Sicheng pada kehidupan lalu. Sangat menakutkan…

Tubuh Li Sicheng bergetar menahan marah, dia merasakan hatinya seperti ditusuk seribu anak panah dan ia amat menyakitkan. Su Qianci masih takut kepadanya. Jadi, isterinya ini lebih rela menipunya dan duduk bersama Lu Yihan daripada tidur di rumah mereka?

"Kenapa?" Li Sicheng kedengaran lelah. "Apa yang menarik sangat tentang dia? Kenapa dia?"

Su Qianci mendengar kata-kata itu tetapi gagal memahami maksudnya. Melihat wajah keliru Su Qianci, Li Sicheng menggenggam penumbuk dan mengetap giginya sambil menahan keinginan untuk memukul kedua-dua orang di hadapannya. "Balik ke rumah dengan saya."

Jika Su Qianci balik, dia akan berpura-pura seperti tiada apa-apa yang berlaku. Walau bagaimanapun, sebaik mendengar ajakannya, Su Qianci tanpa sedar terus menoleh ke arah Lu Yihan. Kecederaan Lu Yihan belum sembuh dan dia juga demam. Tambahan pula, dia masih mabuk dan baru sahaja dipukul oleh Li Sicheng…

Hati Li Sicheng semakin sakit apabila melihatnya. Tidak bolehkah wanita ini berpura-pura tidak kisahkan Lu Yihan di hadapannya? Adakah segala perasaan yang ditunjukkan sebelum ini semuanya palsu? Atau Su Qianci sukakan kedua-dua mereka dan mahukan kedua-dua? Li Sicheng berasa berang dan segala kesedarannya seakan hilang. Dia menarik Su Qianci bangun dan berkata dengan marah, "Mari ikut aku…"

Su Qianci bergelut dan menangis, "Tunggu dulu… Lu Yihan cedera dan demam…"

Li Sicheng menguatkan genggamannya pada lengan Su Qianci. Apa yang patut dia lakukan? Dia teringin mencekik Lu Yihan sehingga mati supaya Su Qianci dapat menumpukan perhatian hanya kepadanya. Namun, dia tidak mampu. Lu Yihan layak menerimanya, tetapi… Su Qianci akan membencinya. Sambil menahan keinginannya untuk membunuh Lu Yihan, Li Sicheng mengangkat Su Qianci ke atas bahunya dan berjalan ke pintu tanpa berkata apa-apa.

"Tunggu dulu, Encik Li…" Su Qianci memanggilnya dengan panggilan lama. Li Sicheng berharap dia dapat mematahkan tulang Su Qianci yang sedang diangkatnya. Dia berjalan lebih laju dan turun ke bawah.

Su Qianci panik dan berkata, "Kalau kita pergi sekarang, dia akan mati! Demi selamatkan saya, dia…"

"Diam!" Li Sicheng meletakkan Su Qianci di tempat duduk belakang lalu mengunci pintu. Kemudian dia masuk ke tempat pemandu.

"Li Sicheng!" Su Qianci membentak.

"Apa kau panggil aku?" Li Sicheng sudah tidak dapat bersabar lagi. Dia menghampiri Su Qianci dan menolak wanita itu ke belakang.

Su Qianci sentiasa memanggil Lu Yihan dengan mesra: Lu Yihan. Sedangkan kepadanya, dia sentiasa hanya menjadi "Encik Li" yang terasa jauh. Perbezaan itu jelas menunjukkan pandangannya terhadap dua orang lelaki itu. Tetapi.. dia adalah suaminya.

Belum sempat Su Qianci berkata apa-apa, Li Sicheng berkata dengan nada yang kedengaran kejam, "Nampaknya kau masih keliru siapa aku kepada kau." Setelah mengucapkan kata-kata itu, Li Sicheng menarik kolar baju Su Qianci yang memandangnya dengan perasaan takut dan terus mengoyakkan bajunya…