Selesai mandi, Li Sicheng terus ternampak nota itu sebaik dia keluar dari bilik air. Dia mengeringkan rambutnya dan menelefon Su Qianci. Ketika itu, Su Qianci telahpun berada di dalam teksi. Su Qianci berasa bersalah sebaik menerima panggilan Li Sicheng.
"Apa yang kecemasan sangat? Dah lewat malam," rungut Li Sicheng. Walau bagaimanapun, nadanya lebih kepada manja daripada menyalahkan.
Perasaan bersalah Su Qianci semakin menebal ketika dia berkata, "Kawan rapat saya baru putus dengan teman lelakinya. Saya nak pergi tenangkan dia. Dia selalu layan saya dengan baik…"
"Okey, balik awal." Li Sicheng tidak bertanya banyak dan memutuskan talian.
Dia memakai baju dan pergi ke bilik kerja. Ada beratus e-mel penting yang perlu disemaknya. Dia membuka komputer dan menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjanya. Apabila jam sudah menunjukkan pukul 10 malam, Su Qianci masih belum balik. Sudah dua jam berlalu sejak isterinya itu pergi. Li Sicheng mendail nombor Su Qianci tetapi panggilannya tidak berjawab.
Dia menelefon Su Qianci sekali lagi dan kali ini ia berjawab. Suara Su Qianci kedengaran seperti tercungap-cungap.
"Kamu di mana? Saya akan pergi jemput kamu."
Sekarang sudah terlalu lewat malam. Li Sicheng bangun dan pergi ke bilik tidur untuk menukar pakaian.
Su Qianci segera menjawab, "Tak perlu. Saya akan balik sekejap lagi. Ah…" Dia tiba-tiba menjerit dan kedengaran seperti dalam ketakutan.
Li Sicheng menyedari ada sesuatu yang tidak kena dan bertanya, "Kenapa?"
"Tak ada apa-apa. Kawan saya mabuk. Nanti saya balik selepas saya hantar dia ke rumah. Jangan tunggu saya. Kamu tidur dulu."
"Saya akan pergi jemput kamu. Apa alamat tempat itu?"
"Betul tak perlu. Saya akan balik segera."
"Baik." Li Sicheng tidak memaksa tetapi tetap menukar pakaiannya sebagai persediaan jika sesuatu berlaku.
Kemudian dia kembali ke bilik kerja dan menyambung kerja-kerjanya. Tiba-tiba, dia menerima satu e-mel baru. Tajuk e-mel itu segera menarik perhatiannya: "Puan Li bertemu dengan teman lelakinya pada waktu malam. Dicurangi lagi, Encik Li?"
Wajah Li Sicheng terus berubah. Dia membuka e-mel itu dan terus melihat satu gambar yang kelihatan diambil dari sebalik pokok renek. Di hadapan pokok itu kelihatan Su Qianci berjalan keluar dari teksi dengan pakaian yang dipakainya tadi. Gambar kedua menunjukkan dia berjalan ke satu taman dan itu… adalah taman tempat Lu Yihan tinggal. Api kemarahan mula menyala di dalam hati Li Sicheng. Dia menggenggam kuat tetikus yang dipegangnya dan urat-urat biru mula timbul di belakang tapak tangannya.
Gambar seterusnya menunjukkan Su Qianci sedang menaiki tangga. Kemudian, Lu Yihan membuka pintu untuknya. Tiba-tiba Lu Yihan rebah ke atas Su Qianci dan Su Qianci membawanya masuk ke dalam… Kawan? Putus? Mabuk? Dia menyangka Su Qianci ada bersama kawan perempuan, tetapi rupa-rupanya dia sedang bersama dengan Lu Yihan.