Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 269 - Suami Cheng You

Chapter 269 - Suami Cheng You

"Encik Li, dia berjaya larikan diri."

Nada Li Sicheng terus bertukar dingin sebaik mendengarnya. "Kamu ada minta tolong mereka?"

"Ya…" Cheng You kedengaran teragak-agak, "Tapi saya ditipu."

Li Sicheng diam seketika. Cheng You yang gementar segera menyambung, "Tapi saya sempat ambil gambar dia. Disebabkan Luo Zhan dah godam komputer dia, mungkin Luo Zhan akan dapat kenal pasti identiti lelaki itu."

"Okey, hantar kepada saya."

"Baik."

Li Sicheng memutuskan talian dan terus menerima satu gambar daripada Cheng You. Ia gambar seorang lelaki muda yang kelihatan tergesa-gesa. Wajahnya agak jelas pada gambar itu.

Su Qianci melihatnya dan secara tiba-tiba jantungnya berdegup laju. Tanpa sempat berfikir, dia menjerit, "Rong Rui!"

Li Sicheng menoleh ke arahnya dengan pandangan pelik. "Kamu kenal dia?"

"Dia… orang suruhan Tang Mengying?"

Li Sicheng mengangguk. Jantung Su Qianci berdegup semakin kencang. Itu dia, Rong Rui. Pada kehidupan Su Qianci yang lalu, dia ialah suami Cheng You! Tapi bagaimana sekarang dia boleh menjadi orang suruhan terkuat Tang Mengying?

Pada kehidupan lalu, Rong Rui mengejar cinta Cheng You dengan bersungguh-sungguh. Akhirnya mereka berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan yang comel. Tetapi kenapa sekarang lelaki itu berhubungan dengan Tang Mengying? Sewaktu kebakaran di gudang pada kehidupan lalu itu juga, Su Qianci ada ternampak Rong Rui. Selama ini dia menyangka itu hanya khayalannya dan tidak pernah meragui lelaki itu. Tetapi sekarang apabila difikirkan kembali…

Banyak perkara telah berubah pada kehidupan keduanya ini. Su Qianci merasakan dia semakin hampir dengan kebenaran tetapi masih tidak mampu merungkainya. Kenapa Rong Rui kini berada di pihak Tang Mengying? Kenapa Rong Rui mengejar cinta Cheng You? Pada kehidupan lalu, apa sebenarnya peranan yang dimainkan Cheng You antara Li Sicheng dan Su Qianci? Su Qianci tiba-tiba merasakan kepalanya pening. Segala perkara kini berkumpul di fikirannya dan membuatkan ia mustahil untuk dihadam.

"Kenapa?" tanya Li Sicheng.

Su Qianci menenangkan dirinya dan menggeleng kepala perlahan sebelum berkata, "Nama dia Rong Rui. Dia datang dari ibu kota."

"Macam mana kamu boleh kenal dia?"

"Saya…" Su Qianci tidak tahu bagaimana untuk menjelaskannya. Dia menjeling sekilas Li Sicheng dan berkata, "Saya mimpi tentang dia…"

"Mimpi tentang dia?"

Li Sicheng merasakan ia tidak masuk akal. Walau bagaimanapun, dia teringat tangisan Su Qianci pada malam sebelum ini dan memutuskan untuk tidak bertanya lanjut. Dia memaut bahu Su Qianci dan berkata, "Jom balik dulu."

Su Qianci bimbang Li Sicheng tidak percayakannya dan menambah, "Rong Rui itu berbahaya. Dia boleh sakiti kita. Kamu mesti berhati-hati. Dia bekerja dengan Tang Mengying, dan Cheng You…"

"Cheng You?" Apa pula kaitannya dengan Cheng You?

Su Qianci mengangguk dan memegang lengan baju Li Sicheng, seolah-olah takut suaminya itu tidak mempercayainya. Wajahnya kelihatan merah ketika dia merenung Li Sicheng. "Dia sangat rapat dengan Cheng You, jadi…" Sewaktu bercakap, wajahnya semakin mendekati wajah Li Sicheng. Su Qianci memakai baju berwarna merah jambu dan berleher bulat. Disebabkan dirinya jauh lebih tinggi berbanding Su Qianci, Li Sicheng dengan mudah dapat melihat lehernya yang cantik dan mempunyai kesan biru pudar. Bibir Su Qianci yang merah jambu dan montok terbuka ketika wanita itu bercakap dan ia kelihatan menggiurkan kepada Li Sicheng.