Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 267 - Guna Apa Sahaja Cara Untuk Dapatkan Dia

Chapter 267 - Guna Apa Sahaja Cara Untuk Dapatkan Dia

Lelaki itu kembali terdiam. Selepas beberapa ketika, dia berkata, "Tak kira apa kau mahu percaya, yang penting aku dah tolong kau semalam. Beri aku sedikit duit, beberapa ratus dah cukup. Aku perlu cari tempat selamat untuk bersembunyi sementara. Li Sicheng dah buat aku jadi gelandangan."

Tang Mengying mencemuh tetapi dia tahu lelaki itu tidak akan menipunya. "Kau ada di mana? Aku akan hantar seseorang untuk beri kau duit."

Dia segera memberitahu Tang Mengying alamatnya dan Tang Mengying mengarahkan pemandunya menghantar duit itu. Walau bagaimanapun, Tang Mengying langsung tidak tahu terdapat CCTV di kawasan luar rumahnya. Penggodam itu tidak sehebat Luo Zhan, jadi apabila dia menggodam fail video itu, dia tidak akan dapat mengelak daripada digodam kembali. Disebabkan dia diupah oleh Tang Mengying, dia pasti akan datang kepada wanita itu apabila terdesak.

Li Sicheng telah mengambil kira setiap maklumat dan menyuruh Cheng You mengarahkan seseorang memerhatikan rumah keluarga Tang. Segala perkara yang berlaku akan dilaporkan kepada Cheng You dan Li Sicheng.

"Kejar dia," kata Cheng You ringkas.

Kemudian dia terus menghubungi Li Sicheng dan menerangkan secara ringkas perkara yang berlaku. Suara Li Sicheng kedengaran sangat dingin. "Guna apa sahaja cara untuk dapatkan lelaki itu."

"Baik."

Selepas seharian menghadiri kelas, Su Qianci berjalan keluar dari kampus dan ternampak kereta Maybach hitam Li Sicheng. Rakan-rakan sekelas yang berjalan di sebelahnya mengenali kereta itu dan kelihatan cemburu. "Suami kamu datang jemput kamu lagi."

Su Qianci hanya senyum dan berjalan ke kereta itu lalu masuk ke sebelah pemandu. "Kenapa kamu datang?"

"Saya nak bawa kamu ke rumah lama," Li Sicheng berkata lembut sambil mengambil beg Su Qianci dan membantunya memakai tali pinggang. "Encik Song Yifan datang melawat atuk, ibu dan ayah. Atuk ajak kita makan bersama-sama."

Ketika di Maldives, Kapten Li tidak pernah terfikir untuk makan bersama Song Yifan. Walau bagaimanapun, selepas sidang media tempoh hari, sikapnya terhadap Song Yifan terus berubah. Lagipun, lelaki itu bukan lagi orang asing. Tidak kira sama ada dia ayah kandung Su Qianci atau tidak, tindakan Song Yifan melindungi Su Qianci membuatkan Kapten Li menghormatinya.

Apabila Song Yifan melihat Su Qianci tiba di rumah lama itu, dia kelihatan terkejut bercampur gembira. Dia terus bangun dari sofa dan kelihatan tidak tahu apa yang perlu dilakukannya. "Su Qianci, kamu pun ada?"

Hati Su Qianci terasa hangat ketika dia mengangguk. "Ya, saya di sini."

Melihat situasi yang indah itu, Kapten Li tersengih dan berkata, "Yifan, kamu mesti rindukan anak kamu. Kamu berdua luangkan masa bersama dulu, atuk nak berbaring sekejap. Orang tua ini tak boleh berdiri terlalu lama." Kemudian dia terus bangun.

"Biar saya bawa Kapten," cadang Song Yifan.

"Saya baik-baik saja. Kamu berbuallah dengan Qianci, saya boleh jaga diri," kata Kapten Li sebelum berlalu dengan tongkatnya.

Song Yifan jelas gementar apabila duduk bersama Su Qianci. Dia memandang wanita itu dan bertanya dengan rasa bersalah, "Kamu marahkah saya cakap seperti itu di hadapan wartawan? Ia kecemasan, jadi saya tak fikir banyak sebelum saya…"

"Tak apa," kata Su Qianci dengan nada yang sama seperti biasa.

Song Yifan melepaskan nafas lega. Walau bagaimanapun, dia masih berasa gementar untuk memandang Su Qianci. Dia melihat buah-buahan di atas meja dan tiba-tiba berkata, "Kamu dahaga? Boleh saya kupaskan epal untuk kamu?"

Kemudian, Song Yifan mengambil pisau dan sebiji epal dari dalam bakul buah-buahan yang dibawanya sebagai hadiah dan terus mengupasnya.

"Tak apa… Ayah."

Tangan Song Yifan tiba-tiba terketar dan pisau itu jatuh ke lantai.

Related Books

Popular novel hashtag