Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 262 - Hukuman

Chapter 262 - Hukuman

Mendengar Luo Zhan menyumpah, Li Sicheng terus memahami apa yang berlaku. Dia menggenggam telefon Cheng You dengan lebih kuat dengan wajah yang sangat bengis hingga membuatkan Cheng You berundur sedikit menjauhinya. Habislah… bosnya betul-betul marah kali ini. Cheng You sendiri belum pernah melihat Li Sicheng semarah itu. Adakah Luo Zhan benar-benar telah melakukan kesilapan pada saat-saat genting seperti ini?

Puan Tang melihat wajah Cheng You dan mengejek dalam hatinya: 'Ini bukti kau? Aku sendiri nampak dia masuk ke dalam bilik anak aku.'

Video itu rosak pada saat itu, jadi apa yang berlaku sudah terbukti.

Li Xiao jelas teramat kecewa. Dia memukul meja dan marah, "Li Sicheng, melutut!"

Li Sicheng menyerahkan kembali telefon Cheng You. Walaupun wajahnya kelihatan tegang, nada suaranya amat tenang.

"Kamu balik dulu."

Cheng You mendengar kata-kata itu dan terus mengangguk sebelum berlalu pergi. Ayah bosnya lebih menggerunkan daripada bosnya sendiri. Adakah Li Sicheng benar-benar akan melutut? Jika dia melakukannya, bukankah ia seperti mengaku salah? Semakin Cheng You memikirkannya, semakin dia berasa tidak tenteram. Kemudian, dia mengambil telefonnya dan menghubungi Su Qianci…

Setelah Cheng You pergi, Li Sicheng menutup pintu dan berjalan ke arah Li Xiao. "Itu bukan anak saya." Renungan Li Sicheng kelihatan tegas dan berbaur sedikit sindiran. "Ayah ialah ayah saya, jadi saya tak mahu bantah cakap Ayah. Tapi…"

"Jadi melutut sekarang!" bentak Puan Tang. "Budak celaka!"

"Diam!" Tang Zhenghao memarahi isterinya. Walau bagaimanapun, diam-diam dia gembira melihat Li Sicheng dalam keadaan itu.

Bukankah budak hingusan ini hebat sangat? Ayahnya akan menghukum dia sekarang.

Tanpa disangka, Li Sicheng tidak melutut, sebaliknya membuka butang bajunya satu-persatu. Dia kelihatan elegan seperti seorang lelaki yang mahu menghadiri jamuan. Wajahnya kelihatan muram tetapi pergerakannya sangat anggun. Tang Mengying yang terpesona memegang perutnya dengan perasaan teramat gembira. Dia sungguh bertuah kerana mengandungkan anak lelaki ini…

Li Sicheng membuka bajunya dan melemparkannya ke lantai, sebelum berkata perlahan, "Saya dah sedia."

Li Xiao keliru seketika sebelum tiba-tiba teringat sesuatu. Sambil mengetap giginya, dia membentak, "Li Sicheng!"

"Saya tak akan pernah mengaku sesuatu yang saya tak lakukan," kata Li Sicheng dengan raut wajah yang sinis. "Ayah tahu itu, bukan?"

Dalam keluarga Li, generasi muda tidak boleh membantah arahan generasi tua. Jika sesiapa melanggar peraturan itu, dia akan dihukum. Li Sicheng sudah bersedia untuk menerima hukuman itu.

Qin Shuhua yang ketakutan berdiri di hadapan Li Sicheng dan berkata, "Sicheng, kamu boleh bincang dulu. Jangan buat ayah kamu marah… Melutut saja dan minta maaf…"

"Saya cakap bayi itu bukan bayi saya," Li Sicheng menyampuk kata-kata ibunya. "Nama keluarga saya Li, dan mereka Tang. Kenapa kamu pilih untuk percaya mereka berbanding saya? Ibu, Ayah, saya sangat kecewa."

Li Xiao berasa semakin marah lalu pergi mengambil rotan yang berada di belakang mejanya. Rotan itu telah berada bersama keluarga Li sejak generasi moyang Li Sicheng lagi. Ia amat jarang digunakan. Rotan yang selebar dua jari itu boleh mengakibatkan kecederaan yang sangat teruk…