Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 236 - Hapuskan Fail Itu

Chapter 236 - Hapuskan Fail Itu

Bilik di dalam video itu dikelilingi cermin, kelihatan seperti bilik untuk menari atau bilik yoga.

'Apa ni? Begitu ramai lelaki pada masa yang sama? Nampaknya Su Qianci benar-benar suka berfoya-foya. Tapi, beginikah perangai Su Qianci?'

Walaupun Su Qianci kelihatan garang sewaktu di sekolah menengah, tetapi dia sebenarnya mudah ditindas. Kalau mengikut sikapnya, dia tak mungkin akan terlibat dalam perkara seperti ini. Lagipun, walaupun ada khabar angin yang mengatakan Li Sicheng agak panas baran, dia masih lagi lelaki yang tampan dan kaya. Mengapa pula Su Qianci mahu buat begini?

Yu Lili mengklik lidahnya dan menggelengkan kepala. Selepas menonton beberapa kali, dia menyedari yang video itu telah disunting dan digabungkan bersama. Kemudian, video itu bertukar kepada sesuatu yang lain pula. Gambar pertama, Su Qianci sedang berbual dengan Lu Yihan. Gambar kedua, Su Qianci tersenyum manis dan Lu Yihan memandangnya dengan lembut. Gambar ketiga, mereka duduk berhadapan dengan satu sama lain, seolah-olah sedang bercium. Ada sedozen gambar Su Qianci makan dan bergurau dengan Lu Yihan. Senyuman Yu Lili telah lenyap sepenuhnya dan hatinya remuk.

Sungguh sakit...

Dia memang sudah lama tahu yang Lu Yihan sukakan Su Qianci. Sebab itulah Yu Lili menjadikan Su Qianci sasarannya sewaktu di sekolah menengah. Namun begitu, Su Qianci dan Lu Yihan masih lagi rapat. Selama ini, Su Qianci menganggap hubungan mereka hanyalah persahabatan, tapi Yu Lili tahu lain halnya dengan Lu Yihan… Imej itu bertukar lagi. Waktu malam, di depan suatu lorong. Su Qianci sedang memapah Yu Lihan dan tiba-tiba lelaki itu jatuh di atasnya.

Di dalam video itu, Lu Yihan nampak tidak apa-apa, tetapi Su Qianci tiba-tiba menjerit dan membongkokkan badan, rambutnya jatuh ke muka Lu Yihan. Imej itu pegun dan kemudian menunjukkan sebuah bilik gelap. Su Qianci sedang menutup matanya dan Lu Yihan sedang menciumnya dengan lembut… Perasaan cemburu Yu Lili hampir membuatnya menjadi gila.

Kenapa Su Qianci dapat meluangkan begitu banyak masa dengan Lu Yihan sedangkan Yu Lili langsung tidak dapat bertemu dengannya? Untuk apa? Dia menahan dirinya daripada menjerit dan hanya memadamkan video itu. Video seperti ini hanya akan menghancurkan Su Qianci dan Lu Yihan. Walaupun dia cemburu dengan Su Qianci, dia tidak boleh menafikan yang dia suka berkawan dengan gadis itu. Anggaplah ini balasan atas apa yang dia buat di sekolah dulu. Selepas memadamkan video itu, Yu Lili memastikan tidak ada apa-apa yang tertinggal dan bergegas keluar.

Selepas merenung beberapa ketika, Tang Mengqing dan Tang Mengying masih tidak dapat melihat kesan ubat pengasih itu.

Tang Mengqing menghentakkan kakinya. "Mesti Li Weiya telah menggantikan gincu itu. Saya dah agak bekasnya nampak lain sikit."

Tang Mengying mengetap giginya dan berbisik, "Mari balik ke bilik itu dulu."

Apabila mereka kembali ke bilik kawalan itu, Tang Mengqing terus sedar yang komputer itu kelihatan agak lain. Dia terkejut mendapati yang video itu sudah hilang.

"Apa patut kita buat? Kakak, video tu dah tak ada." Tang Mengying mendengar kata-kata itu dan terus memeriksa komputer. Benar, fail itu tak ada.

"Macam mana sekarang? Kita lepaskan dia begini saja? Saya tak mahu buat begitu." Tang Mengqing kelihatan gelisah.

Tang Mengying memandangnya sekilas dan perlahan-lahan mengeluarkan telefonnya. "Apa yang kamu risaukan? Kakak masih ada salinan video itu."