Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 202 - Penderitaan yang Tidak Dijangka

Chapter 202 - Penderitaan yang Tidak Dijangka

Pelajar-pelajar yang berada di situ menoleh ke arah mereka dan kelihatan terkejut apabila mendapati mangsa itu adalah Su Qianci.

"Bukankah itu Su Qianci?"

"Suami dia Li Sicheng. Mustahil dia akan goda lelaki lain?"

Rambut Su Qianci terus ditarik dan dia berasa teramat sakit. Walau bagaimanapun, dia tidak belajar jujitsu hanya untuk mensia-siakannya. Dia memegang lengan wanita itu dan terus memulasnya.

"Aduh!" Wanita itu menjerit dan terpaksa melepaskan tangannya. Su Qianci segera menarik kembali rambutnya dan menyepak wanita itu di perutnya. Pelajar-pelajar di situ yang keliru sama ada mereka patut menolong Su Qianci atau tidak terus menjerit apabila melihat adegan itu. Tiada sesiapa tahu Su Qianci pandai berlawan.

Wanita itu rebah ke atas tanah dan merenung Su Qianci dengan mata terbeliak. Kemudian, dia terus menangis. "Perempuan jalang bodoh. Kau tidur dengan suami aku dan sekarang kau belasah aku! Aku akan bunuh kau!"

Su Qianci melihat wanita itu berlari ke arahnya. Dia hanya ketawa sinis dan mengelak. Dia menarik lengan wanita itu lalu memusingkannya dan membuatkan wanita itu jatuh sekali lagi.

"Hooray!"

Semua yang menonton kejadian itu bersorak dan membuatkan wanita itu berasa teramat malu. Ketika itu, tiba-tiba dua buah kereta lagi datang. Beberapa orang wanita keluar dari kereta itu dan berlari ke arah Su Qianci. Su Qianci merasakan ada sesuatu yang tidak kena lalu melepaskan wanita tadi dan segera melarikan diri.

Wanita tadi menjerit, "Kejar perempuan itu!"

Jantung Su Qianci seakan terhenti ketika dia dikepung oleh wanita-wanita itu. "Apa yang kamu semua lakukan? Saya tak kenal kamu!"

Wanita-wanita itu jelas kawan baik wanita pertama tadi. Salah seorang antara mereka berkata dengan bengis, "Tak penting sama ada kau kenal kami atau tak. Perempuan muda seperti kau sanggup jadi pelacur kepada lelaki yang usianya seperti ayah kau! Tak tahu malu!"

Wajah Su Qianci semakin ketat ketika dia menjerit, "Apa yang kamu cakap ini? Kamu tahu siapa saya?"

"Ya, pemusnah keluarga orang! Pukul dia!"

Kemudian, semua wanita itu menerkam Su Qianci.

Su Qianci tidak mampu melepaskan diri. Dia menjerit kepada orang-orang yang melihat, "Tolong dapatkan pengawal untuk saya. Saya Su Qianci!"

Ketika dia berkata begitu, salah seorang wanita itu menolaknya dan duduk di atasnya, lalu menamparnya dengan kuat. Su Qianci menjerit tetapi kemudiannya dia disepak oleh wanita lain. Tangannya ditarik dan kakinya ditahan.

Wanita pertama tadi bangun dan menampar Su Qianci dengan kuat. "Kau pukul aku ya bodoh. Aku akan tunjukkan apa yang aku mampu."

Pelajar-pelajar perempuan yang melihat situasi itu ketakutan. Mereka mahu membantu Su Qianci, tetapi tidak berani. Beberapa orang pelajar pergi memanggil pengawal.

Su Qianci merasakan wajahnya seakan terbakar setelah dipukul. Tiba-tiba, telefon di dalam poketnya berdering.

Wanita itu segera mengambil telefonnya dan melihat "Abang" pada skrin.

"Tak tahu malu!" Kemudian dia menjawab panggilan itu.

"Kamu ada di mana?" Kedengaran satu suara dalam yang matang.

Mendengar suara itu, wanita itu menjadi semakin berang dan dia menyumpah, "Celaka, berapa ramai lelaki yang kau ada hah, perempuan jalang!" Kemudian, dia menampar Su Qianci sekali lagi, dengan kuat dan jelas.