Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 21 - Pihak Lawan Yang Tidak Layak

Chapter 21 - Pihak Lawan Yang Tidak Layak

Su Qianci menjeling dingin ke arah Liu Anan dan melihat wajahnya mengherot penuh cemburu. Sambil tersenyum, Su Qianci berkata, "Personaliti dan bahasa yang teruk. Malunya saya untuk mengaku bahawa kamu merupakan kawan sekelas saya."

Su Qianci menoleh ke tempat lain dengan angkuh. Su Qianci berketinggian 5'4", tubuhnya agak kecil berbanding Liu Anan. Tetapi, pada saat ini, dia sedang memberikan tekanan yang sangat dahsyat kepada Liu Anan. Ia bukannya soal tinggi atau rupa, tetapi psikologi. Tekanan tersebut mampu mengalahkan Liu Anan.

Fu Lengbing tidak mampu menahan keinginannya untuk memandang Su Qianci. Pada masa ini, Su Qianci kelihatan sangat bergaya dengan pergerakan dan caranya. Dia sangat berbeza jika dibandingkan dengan Su Quanci pada zaman persekolahan dulu. Di sebelah Su Quanci, Liu Anan kelihatan seperti seekor itik hodoh manakala Su Qianci kelihatan seperti angsa putih yang cantik.

Perbezaan yang besar itu menyebabkan Liu Anan lebih marah. Dia menggenggam tangannya dan matanya seakan membara. Dia menjerit, "Aku lebih lagi malu untuk mengaku bahawa orang yang sanggup tidur dengan lelaki yang lebih tua dari ayahnya ini adalah rakan sekolahku."

"Cukup!" Fu Lengbing menghentikannya. "Itu sudah melampau."

Datang daripada keluarga yang kaya, Fu Lengbing tahu kakaknya telah hampir setahun menginginkan beg tersebut tetapi masih gagal untuk mendapatkannya. Kenyataan bahawa Su Qianci mampu membeli beg tersebut memberitahunya lelaki di samping Su Quanci adalah orang yang sangat berpengaruh.

Tambahan pula, Su Qianci berkelakuan jauh berbeza daripada dirinya sebelum ini. Tidak kira dia adalah perempuan simpanan atau tidak, mereka tidak dapat menandingi Su Qianci sekarang.

Walau bagaimanapun, Liu Anan tidak tahu mengapa Fu Lengbing berkata begitu. Dia menepis tangan lelaki itu dan menjerit, "Melampau? Kamu simpati kepada dia? Kamu ingin kembali semula kepadanya selepas melihat dia sudah menjadi cantik dan hebat?"

Ia adalah saat yang paling memalukan pernah dirasakan Fu Lengbing sepanjang hidupnya. Dia melenting, "Dah habis? Mari pergi. Ini sangat memalukan!"

Su Qianci senyum mengejek dan mengambil keputusan untuk tidak menghiraukan Liu Anan. Tidak berbaloi menghabiskan masanya untuk seseorang seperti itu.

Selepas Su Qianci selesai membuat pembayaran, Liu Anan berkata lagi, "Kau perempuan jalang. Kau tidur dengan guru besar untuk dapatkan universiti dan tidur dengan orang tua untuk mendapat kad kreditnya. Anjing memang selalu makan najis!"

Semakin ramai orang berkumpul di situ dan semua mata tertumpu kepada Su Qianci. Walau bagaimanapun, Su Qianci langsung tidak kelihatan gementar. Dia hanya acuh tidak acuh dengan apa yang berlaku. "Liu Anan, kamu tahu berapa tahun kamu boleh meringkuk dalam penjara kerana memfitnah?"

Melihat semakin ramai orang berkumpul, Liu Anan meninggikan suaranya, "Kau ditempatkan di universiti terkenal, tetapi aku tidak berjaya dalam peperiksaan kemasukan kolej. Padahal semua orang tahu betapa bagusnya aku di sekolah. Kau mesti telah tidur dengan pengetua untuk tukar markah kau dengan aku!"

Su Qianci terkedu. Memang benar, dia tidak cemerlang sewaktu di sekolah dahulu. Walau bagaimanapun, setelah ditekan oleh keluarga Su, dia telah belajar bersungguh-sungguh dan berjaga setiap malam lebih dari sebulan sewaktu tahun akhirnya. Selesai peperiksaan kemasukan kolej, dia terus jatuh sakit. Tetapi dia masih tidak berjaya mendapatkan kursus pelajaran yang dimahukan keluarga Su. Itulah sebabnya dia terpaksa bertolak-ansur dan mengambil kursus pengurusan perniagaan di Universiti Kingstown.

Bagaimana setelah itu semua, Liu Anan boleh memfitnahnya sebegitu?

Semakin lama semakin ramai orang berkumpul. Sesetengah daripada mereka merakam kejadian tersebut dan memuat naik video itu ke Weibo. Su Qianci langsung tidak gementar. Sambil memandang ke arah Liu Anan, dia berkata jelas, "Apa buktinya? Disebabkan kamu begitu yakin, tunjukkan bukti tersebut. Saya juga ingin tahu bagaimana saya boleh tidur dengan pengetua tanpa diketahui oleh diri saya sendiri."

"Bukti? Bukti apa yang kau perlukan?" Liu Anan ketawa mengejek. "Kenyataan bahawa kau, seorang pelajar yang teruk tetapi berjaya masuk ke universiti yang terkenal, adalah bukti yang terbaik!"

"Oh, betul begitu?" Suara seorang lelaki kedengaran dalam suasana yang bising itu. Suaranya dalam dan lembut, diikuti bunyi langkahan kakinya.