Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 180 - Song Yifan Ayahnya?

Chapter 180 - Song Yifan Ayahnya?

"Tak perlu risau. Kawan saya dua tahun lebih tua dari saya. Dan dia sudah tiada." Song Yifan kelihatan sedih.

"Rong Xuan?" Su Qianci meneka. Pada kehidupannya sebelum ini, Sheng Ximing telah beberapa kali menyebut nama itu di hadapannya. Walau bagaimanapun, dia memanggilnya Xuan. Jika tekaannya tepat, wanita itu dia bukan sahaja cinta pertama Sheng Ximing, tetapi juga bekas kekasih Song Yifan. Hubungan antara ketiga-tiga mereka begitu rumit. Walau bagaimanapun, Su Qianci tahu dua lelaki ini pernah bergaduh kerana Rong Xuan yang sudah meninggal dunia.

Song Yifan terkejut dan bertanya, "Bagaimana kamu tahu?" Kemudian dia menoleh ke arah Sheng Ximing.

Mendengar nama itu daripada Su Qianci, Sheng Ximing turut berasa terkejut. Su Qianci melihat riak wajah mereka dan sedar tekaannya betul. Dia berdehem dan berkata, "Pak Cik Sheng pernah menyebut nama ini sekali, dan saya masih ingat."

"Adakah?" Sheng Ximing berasa keliru.

Nama itu ibarat satu larangan bagi dirinya dan Song Yifan. Tiada sebab untuk dia menyebutnya kepada Su Qianci. Walau bagaimanapun, tidak mungkin Su Qianci mengetahuinya daripada orang lain.

"Ya, Pak Cik ada sebut." Su Qianci yang mula berasa serba-salah terus mengubah topik. "Saya teringin lihat sebanyak mana persamaan saya dengannya. Pak Cik Sheng Ximing kata saya mirip sepertinya ketika pertama kali kami berjumpa…"

Su Qianci ketawa kecil yang kelihatan seperti dibuat-buat. Li Sicheng tidak tahan lagi melihatnya lalu menarik dia ke tepi dan berbisik, "Saya belum pernah beritahu yang kamu tak pandai menipu?"

Su Qianci berasa malu lalu wajahnya bertukar kemerahan. "Saya… Saya tak menipu!" Dia memang tidak menipu. Dia benar-benar mendengarnya daripada Sheng Ximing, cuma bukan pada kehidupan ini.

Nasib Su Qianci baik kerana Sheng Ximing atau Song Yifan tidak begitu kisah mengenainya. Song Yifan tersenyum lalu mengeluarkan dompetnya dari poket, membukanya, dan menghulurkan sekeping gambar lama. Walaupun ia gambar lama, gambar itu kelihatan dijaga rapi dan masih jelas. Gambar itu menunjukkan seorang lelaki dan seorang wanita. Lelaki itu kelihatan lemah lembut, kacak dan tinggi. Wanita itu tersenyum gembira dan memakai baju kuning dan topi kuning, dan dia memegang lengan lelaki itu sambil memandang di kejauhan. Wajah di bawah topi itu sangat mirip dengan wajah Su Qianci.

Sekilas pandang, Su Qianci menyangka dia melihat dirinya sendiri. Setelah merenung gambar itu dengan mata yang terbeliak, dia mula menyedari sedikit perbezaan antara mereka. Hidung Rong Xuan lebih lurus, manakala hidungnya lebih mancung. Bibir Rong Xuan lebih tebal dan seksi, manakala bibirnya agak nipis. Su Qianci menyentuh bibirnya lalu mendongak ke arah Song Yifan. Song Yifan sedang merenungnya dengan pandangan mata yang lembut dan kasih sayang.

"Inilah Rong Xuan, gambar ini diambil pada dua puluh dua tahun yang lalu. Pada masa itu, saya hampir berkahwin dengannya. Selepas gambar ini diambil, dia hilang." Song Yifan memandang Su Qianci dan berkata dengan sedih, "Dua tahun kemudian, di Gunung Shiwan, mayatnya dijumpai."

Dua puluh dua tahun yang lalu... Jantung Su Qianci berdegup laju. Dia berusia dua puluh satu tahun. Wajah Rong Xuan sangat mirip dengannya... Mungkinkah Song Yifan adalah ayahnya?