Ketika mahu membuka pintu kereta, lelaki di sebelahnya itu berkata lagi, "Aku beri kau masa 20 minit untuk tukar pakaian."
Su Qianci terkejut lalu tunduk melihat apa yang dipakainya. Dia sedang memakai pakaian kegemarannya. Walaupun ia bukan jenama terkenal dan tidak mempunyai kualiti yang terbaik, tetapi ia amat sesuai dengannya. Ketika berpindah, dia tidak mahu membuangnya dan membawa baju itu ke rumah keluarga Li. Dia tidak menyedari bahawa Li Sicheng menyedari perkara sekecil itu.
"Ini." Li Sicheng kelihatan tenang dan kedengaran dingin, tetapi dia sedang menghulurkan sekeping kad berwarna hitam.
Su Qianci tercengang melihat kad hitam di tangannya. Lelaki itu… memberi duit kepadanya? Hati Su Qianci sedikit bergetar, dia melihatnya seakan tidak percaya. Riak wajah lelaki itu tiada perubahan, seolah-olah kad hitam yang mengandungi 5 juta dolar di dalamnya itu seakan-akan tiada apa-apa.
Su Qianci berasa amat terkejut, dan ia bukan kerana kemurahan hati lelaki itu, tetapi kerana ini adalah kali pertama suaminya itu memberikan sesuatu kepadanya sepanjang dua kehidupannya.
Dahi Li Sicheng berkerut dan wajahnya kelihatan tidak senang melihatkan Su Qianci yang kebingungan. "Aku tidak mahu keluarga Su fikir yang keluarga Li tidak mampu membelikan kau pakaian."
Mendengar kata-kata itu, yang seakan-akan memberi penjelasan, Su Qianci melihat ke luar kereta. Dia merasa lega apabila mendapati mereka berada di hadapan sebuah pusat membeli-belah.
Sudah tentu, ia bukan kerana dirinya.
"Terima kasih." Su Qianci tidak teragak-agak untuk mengambil kad tersebut dan keluar dari kereta.
Pelbagai perkara bermain di fikiran Li Sicheng ketika melihat isterinya itu memasuki pusat membeli belah tersebut. Perempuan itu kelihatan berbeza sekali. Sikapnya tidak seperti dibuat-buat. Jadi.. mungkin sikap Su Qianci yang sebelum ini bukanlah sikapnya yang sebenar.
Yang mana satu adalah Su Qianci yang sebenar?
Sebaik sahaja dia berjalan memasuki kedai mewah kegemarannya, Su Qianci merasakan semua pembantu kedai itu merenungnya. Senyuman mereka terus hilang sebaik sahaja melihat pakaian Su Qianci. Mereka mencebikkan bibir dan memandangnya dengan hina. Ia seolah-olah seorang gelandangan telah memasuki sebuah hotel bertaraf lima bintang.
Su Qianci agak terpegun. Dia bernasib baik kerana Li Sicheng mengingatkannya untuk menukar pakaian. Jika tidak, dia akan memakai pakaiannya sekarang ke rumah keluarga Su, dan ibu saudara serta sepupunya akan mengetawakannya.
Dia tahu dia tidak perlu memberi perhatian kepada sikap pembantu-pembantu kedai tersebut. Dunia sentiasa begini: seorang pelacur akan kelihatan lebih bermaruah daripada orang miskin.
Dia melihat sekeliling dan tertarik dengan sehelai baju yang sangat cantik yang dipamerkan di tengah-tengah kedai tersebut. Sewaktu dia ingin memegang baju tersebut, dia mendengar jeritan yang nyaring daripada seorang perempuan, "Hei, jangan sentuh. Baju itu sangat mahal!"
Su Qianci menolehkan kepalanya dan melihat seorang pembantu kedai. Dia berjalan ke arah Su Qianci dengan wajah tidak puas hati. "Kamu tahu berapa harga sehelai baju ini? Bagaimana jika kamu rosakkannya dengan memegangnya?"
Perkataannya penuh dengan penghinaan. Su Qianci bertanya, "Jadi bilik persalinan tidak boleh digunakan di sini?"
"Sesiapa yang mampu membelinya boleh mencuba." Pembantu kedai tersebut merasa jijik dengan pakaian murah yang dipakai oleh Su Qianci dan berkata dengan dingin, "Saya minta maaf cik. Saya rasa kamu perlu keluar. Saya tidak akan mengiringi kamu keluar."
Su Qianci memandang pembantu kedai yang lain dan merasakan ia tidak munasabah. Dia kemudiannya bertanya, "Adakah begini cara pusat membeli belah melayan pelanggan?"
Mendengar kata-kata Su Qianci, pembantu kedai tersebut berasa geli hati seolah-olah dia mendengar lawak jenaka. "Sesiapa yang mampu membeli pakaian di sini, sudah tentu adalah pelanggan kami."