Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 175 - Kebetulan?

Chapter 175 - Kebetulan?

Selepas Li Sicheng selesai mandi, dia mendapati Su Qianci tiada di bilik. Komputer ribanya masih ada di atas meja dengan ruang sembang yang terbuka. Lu Yihan sedang menghantar satu dokumen kepadanya. Tetapi di mana dia?

Li Sicheng menjumpai telefonnya dan menelefon Su Qianci, tetapi bunyi deringan datang dari arah katil. Li Sicheng mengambil telefon itu dan menghentikan panggilan dengan perasaan sedikit bimbang. Selepas teragak-agak seketika, dia mengambil keputusan untuk pergi ke bilik datuk. Su Qianci membuka pintu tersebut selepas diketuk.

Li Sicheng terus berasa lega sebaik melihat Su Qianci ada di situ, tetapi cuba menyembunyikan perasaannya. Dia berkata dengan dingin, "Apa kamu buat di sini?"

"Datuk kata dia nak berjemur. Jom pergi ke pantai selepas makan."

Li Sicheng masuk ke dalam dan membantu datuk bangun. Melihat wajah Li Sicheng yang jelas tidak berpuas hati, Kapten Li berasa kasihan dan berkata, "Kamu tak cukup tidur? Kalau kamu tak mahu pergi, Qianqian boleh temankan atuk."

"Saya nak pergi."

Mereka bertiga turun untuk makan dan kemudian berjalan ke pantai. Setelah menjumpai tempat sesuai, mereka terus duduk dan berbual-bual.

"Encik Li?" Kedengaran satu suara dengan nada terkejut.

Melihat Li Sicheng, Sheng Ximing tahu Su Qianci pasti turut ada di situ. Dia berjalan ke hadapan dan melihat Su Qianci.

"Pakcik Sheng," Su Qianci turut gembira melihat Sheng Ximing.

Mata Li Sicheng berubah dingin sebaik melihat lelaki itu, dan Sheng Ximing dapat merasakan renungannya yang berbahaya. Li Sicheng tidak pernah lupa bagaimana Sheng Ximing memandang isterinya. Pada umur seperti itu, Sheng Ximing sudah seperti ayah kepada Su Qianci. Dan dia masih cuba mengejar isterinya?

Sambil direnung tajam oleh Li Sicheng, Sheng Ximing memanggil, "Song Yifan, datanglah ke sini. Saya jumpa seseorang yang kamu kenal."

Song Yifan?

"Encik Song Yifan ada di sini juga?" Su Qianci bertanya.

Sheng Ximing tersenyum dan mengangguk, lalu berjalan ke arah Li Sicheng. "Lama tidak bertemu, Encik Li. Saya tak sangka akan jumpa kamu di sini."

"Oh, saya pun tak sangka jumpa kamu di sini sehinggalah saya terima panggilan kamu beberapa hari lepas," Li Sicheng berkata dingin dan menyambut tangan lelaki itu.

Senyuman Sheng Ximing pudar ketika keadaan tiba-tiba menjadi sangat janggal.

Song Yifan berjalan ke arah mereka dan menepuk bahu Sheng Ximing. "Kenapa?"

Sebaik melihat seorang lelaki tua yang sedang duduk di atas kerusi pantai, Song Yifan memanggil dengan penuh hormat, "Kapten Li."

"Kamu!" Jelas Kapten Li mengenali Song Yifan. "Kebetulan betul." Song Yifan tersenyum dan berkata, "Ya kebetulan pula."

Sebenarnya ia bukan kebetulan. Sheng Ximing telah menyiasat di mana Su Qianci berada dan kemudian mengekorinya ke sini. Sudah tentu dia tahu Kapten Li turut berada di situ.

"Kamu berdua kenal satu sama lain?" Su Qianci memandang datuk dan Song Yifan silih berganti.

"Dia anak kawan atuk dalam salah satu operasi, dan dia kan pemain piano terkenal sedunia."

"Kami pernah jumpa," kata Song Yifan sambil tersenyum kepada Su Qianci.

Ia adalah kali kedua Su Qianci bertemu Song Yifan, jadi dia tidak lagi terlalu teruja. Walau bagaimanapun, apabila melihat Song Yifan tersenyum kepadanya, hati Su Qianci terasa gembira. Dia pantas mengangguk dan berkata, "Ya, agak kebetulan…"

"Saya dengar Encik Song Yifan ada batalkan konsert." Li Sicheng bangun dari kerusinya dan berjalan ke sebelah Su Qianci. Dia mengecilkan matanya dan bertanya, "Adakah itu hanya untuk bercuti di Maldives?"