Li Sicheng berjalan ke arah mereka sambil menjeling Su Qianci, sebelum segera mengalihkan pandangannya ke arah Bo Xiao. "Terima kasih, tuan." Li Sicheng menghulurkan tangannya. "Jika bukan kerana kamu, pasti isteri saya sudah jatuh." Hati Su Qianci tiba-tiba berbunga. Lelaki itu sedang berterima kasih untuknya?
Namun Bo Xiao dapat menangkap maksud Li Sicheng. Lelaki ini sedang memberi amaran kepadanya. Dia hanya tersenyum dan menyambut tangan Li Sicheng untuk bersalaman. "Tiada masalah, Encik Li."
"Kamu kenal saya?"
"Encik Li seorang lagenda, pasti saya ini sangat kurang pengetahuan jika tidak kenal kamu. Saya Bo Xiao."
"Li Sicheng."
"Gembira jumpa kamu."
"Saya juga."
Entah kenapa, Su Qianci dapat merasakan kewujudan perasaan marah dalam perbualan itu. Ketika dia memandang Li Sicheng dan Bo Xiao silih berganti, perutnya tiba-tiba berbunyi. Kedua-dua lelaki itu hampir serentak memandangnya. Su Qianci yang berasa malu hanya tersengih dan berkata, "Saya lapar…"
Li Sicheng mencebik bibir dan memaut bahu Su Qianci. "Jom kita makan."
Jantung Su Qianci berdegup laju ketika matanya terbeliak. Walau bagaimanapun, dia turut berasa sedikit menyampah pada masa yang sama. Nampaknya lelaki ini agak mahir memegang perempuan. Su Qianci teringat bagaimana dia memeluk Tang Mengying. Hatinya serta-merta terasa pedih dan wajahnya bertukar sugul.
Bo Xiao menyedari perubahan mood Su Qianci dan menjeling ke arah lelaki dingin yang kelihatan bersikap kasar itu.
Li Sicheng tidak menyedari perubahan wajah Su Qianci. Dia mengangguk kepada Bo Xiao dan berkata, "Jumpa lagi." Kemudian dia terus berjalan ke arah Kapten Li sambil memaut bahu Su Qianci.
Bo Xiao memandang pasangan itu berlalu pergi dan berasa tertarik kepada mereka. Dia tidak menyangka isteri Li Sicheng sangat muda dan cantik seperti itu. Walau bagaimanapun, pasangan itu tidak kelihatan seperti suami isteri yang biasa. Daripada luaran, mereka sememangnya kelihatan secocok bersama, tetapi mereka tidak kelihatan harmoni. Malah, mereka seolah-olah seperti dipaksa untuk bersama. Sungguh menarik.
"Tuan Muda, Puan panggil kamu."
"Saya datang."
Sebelum mereka tiba di meja Kapten Li berada, Su Qianci tidak dapat menahan dirinya daripada menolak lengan Li Sicheng dan lari daripadanya. Li Sicheng berasa kecewa lalu menggenggam penumbuk dan segera mengikut isterinya itu.
Su Qianci duduk di kerusi berhadapan Kapten Li. Matanya bersinar melihat makanan di atas meja itu. Dia betul-betul berasa amat lapar…
"Kamu mesti lapar. Atuk dah pesan semua makanan yang kamu suka."
"Terima kasih, atuk!" Su Qianci tersenyum gembira dan terus mencucuk garfu pada sepotong kek di hadapannya.
Belum sempat dia menyuapkan kek itu ke mulutnya, satu tangan tiba-tiba merampas garfu yang dipegangnya.
"Minum susu dulu sedikit." Li Sicheng meletakkan segelas susu panas di hadapan Su Qianci.
Wajah Su Qianci berubah muram ketika dia semakin berasa benci kepada lelaki itu. Dia menjeling Li Sicheng tajam sebelum minum susu itu, lalu merampas garfunya kembali.
"Tak perlu gelojoh," kata Li Sicheng lagi. "Tak ada sesiapa akan curi makanan kamu."
Suapan Su Qianci semakin perlahan ketika wajahnya kelihatan kecewa. Jika Tang Mengying yang berada di situ, pasti Li Sicheng membiarkan sahaja dia, fikirnya. Tetapi dia benar-benar lapar…
"Kenapa kamu tak makan?"
Su Qianci mencebik bibirnya dan merenung tajam ke arah Li Sicheng, lalu berkata dengan marah, "Saya tak boleh makan jika lihat muka kamu."