Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 159 - Kemunculan Tang Mengying

Chapter 159 - Kemunculan Tang Mengying

Apabila menerima panggilan daripada atuk, kelas Su Qianci sudah berakhir manakala Li Sicheng masih bekerja. Ketika Su Qianci pergi ke rumah lama itu seorang diri, jam menunjukkan pukul 2 petang. Dia mengangkat bagasinya yang ringan dan masuk ke ruang tamu. Ketika itu, dia terus ternampak Tang Mengying yang sedang menangis dengan cantik. Jika ada seorang yang paling dibenci Su Qianci dalam dunia ini, dia adalah Tang Mengying. Wajah Su Qianci berkerut dan dia memilih untuk tidak mengendahkan Tang Mengying, lalu berjalan menuju ke tangga untuk naik ke biliknya.

Namun Tang Mengying tidak akan membiarkannya sahaja. Dia memandang Su Qianci dengan pandangan merayu. "Qianci, saya dengar kamu akan balik hari ini, jadi saya tunggu kamu di sini dari tadi."

Qin Shuhua yang memang menyukai Tang Mengying turut berada di situ sambil menenangkan wanita itu. Hatinya berasa pedih mendengar suara Tang Mengying yang bergetar kerana menangis. "Qianci, Tang Mengying sedang bercakap dengan kamu. Kamu perlu jawab," Qin Shuhua menyalahkan Su Qianci.

Orang gaji mengambil bagasi Su Qianci dan membawanya naik ke bilik. Mendengar kata-kata Qin Shuhua, Su Qianci berhenti berjalan dan menoleh ke arah mereka.

"Sicheng dalam perjalanan balik. Seingat saya dia kata kamu tak dibenarkan lagi datang ke rumah ini. Kamu patut balik sebelum dia tiba."

Mendengar kata-kata itu, air mata kembali berlinangan di pipi Tang Mengying. Dia memandang Qin Shuhua dan mengadu perlahan, "Makcik…"

"Jangan risau. Makcik percaya Li Sicheng tak kisah kamu ada di sini. Lagipun dia beri amaran kepada adik kamu, bukan kamu."

Tang Mengying tersenyum mendengar kata-kata itu, lalu bangun dan berjalan ke arah Su Qianci. "Maafkan saya, Qianci. Saya banyak menyusahkan kamu baru-baru ini. Sepupu saya itu agak nakal. Dia bayar laman-laman web itu untuk sebarkan gambar kamu, dan saya dah marahkan dia tentang itu. Saya minta maaf… sangat-sangat…"

Su Qianci berasa jengkel lalu memalingkan mukanya dan berkata dingin, "Tak apa. Semuanya dah berlalu. Saya tak ambil peduli sangat sebab tak ada perkara yang terlalu buruk berlaku kepada saya."

"Betul. Tapi sepupu saya…" kata-kata Tang Mengying terhenti. "Datuk Liu Anan dapat tahu tentang apa yang berlaku, dan terus kena serangan jantung. Dia ada di hospital sekarang, dan dia amat berharap kamu akan terima permohonan maaf daripada keluarga Liu dan keluarga Tang."

"Okey."

Tang Mengying menunjukkan wajah teruja. "Kamu terima?"

Su Qianci tidak menjawabnya tetapi terus berjalan untuk naik ke bilik.

Walau bagaimanapun, Qian Shuhua kelihatan tidak menyenangi kelakuannya. "Qianci, kamu perlu belajar memaafkan orang lain."

Su Qianci berhenti dan berkata, "Ibu, jika Sicheng tak datang untuk bersihkan nama saya, hidup saya mungkin akan hancur disebabkan fitnah yang buruk itu. Saya hampir dibuang universiti dan reputasi saya hampir musnah sama sekali. Jika saya tak tabahkan hati, mungkin saya dah bunuh diri waktu itu."

"Cukup," marah Qin Shuhua. "Kamu nampak baik-baik saja. Mengying berniat baik untuk minta maaf dengan kamu, kamu patut tunjukkan adab yang baik."

Adab?

Su Qianci tersenyum sinis tanpa meluahkan perkara yang berada dalam fikirannya. "Ibu, saya letih dan nak rehat."

Qin Shuhua mahu berkata sesuatu, tetapi dia ternampak Kapten Li yang sedang berdiri di pintu. Entah berapa lama dia sudah berada di situ. Dengan perasaan bersalah, Qin Shuhua menyapa, "Ayah."

Kapten Li memandang ke arah mereka semua dengan tongkat di tangannya. Dia menjeling Tang Mengying dengan dingin sebelum tersenyum ke arah Su Qianci. "Qianqian, kamu dah sampai."

Related Books

Popular novel hashtag