Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 146 - Bermain Piano Bersama Idola

Chapter 146 - Bermain Piano Bersama Idola

Song Yifan yang seolah merasakan renungan tajam itu memandang ke arah Li Sicheng. Mata mereka terus bertembung. Song Yifan dapat melihat dengan jelas amaran dan perasaan tidak senang di dalam mata dingin Li Sicheng dan berasa agak terkejut. Jika apa yang diingatinya benar, pemuda itu ialah lagenda baru dalam dunia bisnes, iaitu Li Sicheng.

Pada masa yang sama, Su Qianci turut terpandang renungan tajam Li Sicheng dan mula berasa tidak senang hati. Dia terus terlupa Li Sicheng ada di situ. Lelaki itu kelihatan tidak gembira dengan apa yang dilakukannya. Tetapi tidak mungkin Su Qianci akan melepaskan peluang untuk bermain piano bersama idolanya begitu sahaja.

Dia hanya mempunyai peluang ini sekali sahaja walau setelah mengharungi dua kehidupan. Tambahan pula, dia jarang bernasib baik, jadi kemungkinan besar peluang ini tidak akan datang lagi. Su Qianci mengetapkan giginya sebelum memusingkan badannya membelakangi Li Sicheng.

Mata Li Sicheng semakin gelap. Perempuan ini semakin berani!

Song Yifan melihat semua itu dan tahu Su Qianci dan Li Sicheng mengenali satu sama lain, lalu dia melemparkan senyuman ikhlas kepada Li Sicheng.

Walau bagaimanapun, senyuman itu kelihatan berbeza pada mata Li Sicheng. Lelaki tua ini sedang cuba… mencabarnya? Li Sicheng menoleh ke arah lain dan ternampak Sheng Ximing. Nampaknya dua lelaki tua ini sedang bekerjasama untuk menjauhkan isterinya daripada dia? Adakah ia satu kebetulan? Pelanggan bertuah? Li Sicheng tidak mempercayainya. Namun, Li Sicheng tidak faham apa yang membuatkan dua lelaki itu berminat kepada Su Qianci…

"Cik Su, kamu tahu main lagu Qi Xuan?"

Suara Song Yifan unik dan sedikit garau. Ia kedengaran menawan dan mencairkan hati Su Qianci.

Song Yifan memandang Su Qianci dengan lembut. Gadis ini amat mirip dengan Rong Xuan! Tidak hairanlah Sheng Ximing berkata sebegitu tadi. "Ayuh kita mulakan."

Restoran itu hingar-bingar dengan suara pelanggan. Semua orang mengharapkan mereka yang dapat bermain dengan pemain piano terkenal itu.

Su Qianci mengangguk dan duduk di sebelah Song Yifan. Qi Xuan karya agung yang dicipta oleh Song Yifan sendiri. Lagu itu telah menjadikannya terkenal dan disanjung tinggi. Sebaik Song Yifan mula bermain, semua orang terus diam dan mendengarnya dengan penuh penghayatan. Song Yifan bermain klef bes manakala Su Qianci bermain klef treble.

Peringkat awal lagu itu kebanyakannya mempunyai kord yang rendah, jadi hanya Song Yifan yang bermain. Setelah dia selesai, Su Qianci menekan satu kekunci.

"Salah!"

Seseorang terus menjerit, "Gadis itu tak pandai main. Itu kord yang salah."

Gadis-gadis di situ yang mencemburui Su Qianci segera mengangguk.

"Jangan paksa diri jika tak pandai bermain. Ia memalukan."

"Jika saya yang main, pasti saya dapat mainkan lagu itu dengan sempurna."

Kening Song Yifan sedikit berkerut dan dia menjeling ke arah Su Qianci. Tetapi Su Qianci tidak mengendahkan kesemua kata-kata itu dan memandang papan kekunci dengan teliti. Jari-jemarinya yang runcing membuatkan ia kelihatan amat sesuai dengan piano. Lagu kembali bergema. Lagu yang bertemakan cinta dan kehilangan itu menembusi hati semua yang berada di situ. Beberapa orang yang mengejek tadi turut terdiam.

Song Yifan orang yang paling terharu mendengarnya. Dia terus berhenti bermain dan memandang gadis yang baru kali pertama ditemuinya itu.

Su Qianci terus bermain seolah-olah tiada sesiapa di sekelilingnya. Walaupun wajahnya hanya tercalit sedikit bedak, dia tetap kelihatan cantik. Wajah itu saling tidak tumpah seperti wajah seseorang yang diingati Song Yifan. Mata Song Yifan tiba-tiba bersinar.

Related Books

Popular novel hashtag