Ketika sedang teragak-agak, perut Su Qianci tiba-tiba terasa sakit. Wajahnya berubah pucat, dan dia dapat merasakan sesuatu sedang mengalir turun pada kakinya. Su Qianci mula menyedari perkara yang sedang berlaku. Dia belum datang bulan sejak keguguran. Tetapi sekarang perutnya teramat sakit… Su Qianci memegang perutnya dan terduduk di lantai.
Di meja makan, Li Sicheng memakan bubur yang disediakan Su Qianci dengan penuh tatatertib. Setelah menghabiskan bubur itu, baru dia tersedar Su Qianci tidak kelihatan. Li Sicheng mengerutkan dahinya lalu menoleh ke belakang, dan ternampak wajah isterinya yang jelas tidak sihat. "Kenapa?" Li Sicheng meletakkan mangkuk buburnya di atas meja dan berjalan ke arah Su Qianci.
"Tak apa. Jangan datang dekat." Su Qianci cuba menghalangnya, tetapi kesakitan yang dirasakannya sekarang menyukarkannya untuk bergerak.
Li Sicheng telah berada di hadapannya dan meletakkan tangan pada dahi Su Qianci. "Sejuknya, kamu tak sihat?"
Su Qianci menggelengkan kepalanya. "Tak apa." Walau bagaimanapun, dia terasa seperti mahu pitam. Dia perlu segera ke biliknya dan mengambil pad, tetapi… Apabila melihat wajah Li Sicheng yang kerisauan, nafas Su Qianci semakin kencang. Dia menundukkan kepalanya dan berkata perlahan, "Biarkan saya sekejap, boleh? Saya rasa saya baru datang bulan."
Li Sicheng kebingungan dan kelihatan sedikit malu apabila mendengar kata-kata Su Qianci. "Sakit sangat? Saya bantu kamu naik ke bilik."
"Tak perlu. Pandanglah tempat lain, jangan tengok saya."
Li Sicheng tahu Su Qianci berasa malu, lalu dia hanya menuruti dan berpaling membelakanginya.
Su Qianci melepaskan nafas lega. Dia cuba melawan kesakitannya dan berdiri. Namun, pandangannya tiba-tiba gelap sebelum dia rebah ke lantai.
Li Sicheng terus menoleh kembali ke belakang sebaik mendengar bunyi sesuatu jatuh. Dia terkejut apabila melihat Su Qianci sedang terbaring di atas lantai tanpa sedarkan diri. Li Sicheng terus duduk dan menepuk-nepuk muka isterinya itu. "Su Qianci?" Badannya sejuk. Walaupun peluh membasahi seluruh wajah Su Qianci, suhu badannya seolah-olah turun dengan mendadak. Kenapa pula ini? Bukankah kekejangan perkara biasa bagi semua wanita? Kenapa Su Qianci kelihatan seperti hampir mati… Li Sicheng terus mengangkat tubuh kecil isterinya dan membawanya ke hospital.
Di dalam bilik kecemasan, doktor mendapati Su Qianci hanya mengalami kekejangan akibat datang bulan dan berasa agak marah. "Apa hubungan kamu dengan pesakit?"
"Suami."
"Suami? Dia dah kahwin tetapi ada sakit sebegini?"
Baju tidur yang dipakai Li Sicheng dikotori dengan beberapa tompokan darah. Lidahnya kelu dan dia hanya terdiam di hadapan doktor itu. Ini kali pertama dia melalui perkara sebegini.
Doktor itu mengerutkan dahinya. Kemudian dia menulis satu preskripsi dan berkata, "Keadaan dia disebabkan oleh seks yang terlalu kerap, atau terlalu sedikit. Lain kali berhati-hati. Baiklah, selepas saya berikan dia drip, dia boleh balik. Ini bilnya."
Li Sicheng mengangguk.