"Puan," Yang memanggil. Su Qianci terkejut. Dia berjalan keluar dan berkata dengan kening berkerut, "Bagaimana kamu tahu saya ada di sini?"
Mata Yang terkebil-kebil memandang Su Qianci. Sudah tentulah daripada Li Sicheng.
Wajah Su Qianci kelihatan terganggu. Dia baru sahaja meninggalkan kampus dan tidak memberitahu sesiapa dia akan berada di sini. Bagaimana lelaki itu berjaya mencarinya? Su Qianci terasa seperti diekori. Nasib baik, masih ada satu minggu lagi sebelum Li Sicheng pulang, jadi hanya Yang seorang sahaja yang melihatnya bersama dengan Lu Yihan. Jika tidak, lelaki yang kurang waras itu akan berfikir perkara yang bukan-bukan. Su Qianci memberitahu Yang, "Jangan beritahu dia tentang pertemuan saya dengan Lu Yihan."
Sebaik mendengar kata-kata itu, Yang hanya tersenyum lalu mengenyitkan matanya. Su Qianci tiba-tiba merasakan jantungnya seolah-olah terhenti.
"Nak berahsia?" Kedengaran satu suara dari tempat duduk belakang kereta itu, dengan nada seolah sedang menahan marah. Riak wajah Su Qianci terus berubah.
Itu dia? Dia sudah balik?
Su Qianci dengan pantas memandang ke belakang, namun penglihatannya tersekat. "Qianqian, mari kita pergi." Su Qianci merasakan seolah-olah suhu di sekelilingnya bertukar dingin sebaik Lu Yihan memanggilnya.
Tingkap tempat duduk belakang diturunkan, dan satu wajah yang tidak asing muncul di hadapannya. Li Sicheng bertanya dengan renungan tajam, "Kamu nak pergi mana?"
Entah kenapa, Su Qianci berasa cemas. Dia hanya tidak mahu Li Sicheng berfikir perkara yang bukan-bukan, tetapi dia tidak tahu Li Sicheng berada di dalam kereta itu dan mendengar kata-katanya. Sekarang Su Qianci sudah tidak boleh membersihkan namanya di hadapan lelaki itu.
"Saya ..." Sebaik sahaja dia cuba menjelaskan, Su Qianci tiba-tiba teringat tentang perkara yang didengarinya melalui telefon. Lelaki ini berasmara dengan Tang Mengying semalam, dan hari ini terus mengekorinya di Kingstown? Hebat betul staminanya! Perasaan bersalah dan gementar Su Qianci serta-merta hilang. Di bawah panahan mata Li Sicheng, Su Qianci tersenyum. "Kami nak pergi makan. Encik Li mahu ikut sekali?"
Pada mulanya Li Sicheng terpesona sebentar dengan senyuman Su Qianci, tetapi sebaik menyedari kata-kata itu, matanya menjadi dingin. Dia menyangka dia akan mendapat penjelasan. Selagi ia munasabah, Su Qianci akan dimaafkan. Walau bagaimanapun, wanita itu dengan terang-terangan berkata dia ingin pergi makan dengan lelaki lain.
"Dah ada makanan di rumah."
"Tapi saya dah ajak kawan." Su Qianci melihat jam tangannya dan menyambung, "Maaf. Dah lama dia tunggu saya. Kamu pergilah ke mana kamu mahu. Saya pergi dulu." Wanita itu terus berlalu dari situ.
Mata Li Sicheng dipenuhi dengan kemarahan.
Apa masalah wanita ini? Sekarang dia tidak mahu berpura-pura lagi?
"Su Qianci!" Li Sicheng tidak dapat menahan dirinya daripada menjerit, "Masuk ke dalam kereta!"
"Saya dah kata saya ada hal." Su Qianci kelihatan dingin dan berbeza. "Saya perlu pergi."
Lu Yihan menyedari pandangan Su Qianci yang kelihatan berbeza dan berasa bingung. Riak wajahnya sangat dingin. Lu Yihan tidak pernah melihat Su Qianci seperti itu sebelum ini. Dia tidak dapat mengelak daripada melihat ke arah Maybach hitam itu, dan menyedari angin Li Sicheng juga sedang tidak baik.
Adakah mereka bergaduh? Dan saya digunakan lagi? Oh Tuhan, saya perlu cari kawan yang lebih baik.