Chapter 97 - Bab 97

Pada mulanya orang tua itu berasa teragak-agak untuk menoleh ke belakang tetapi sebaik sahaja dia menoleh, dia ternampak seorang pemuda kacak yang mempunyai aura seorang cendekiawan sedang berhimpit-himpit dengan hamba lain untuk ke hadapan. Wajahnya memerah namun bibirnya kelihatan pucat. Dia membasahkan bibirnya dengan lidah sebelum menyambung kata-katanya, "Encik, saya banyak belajar tentang arkib bersejarah dan meneliti kitab seperti Songtao, Qilue, Dashu, Shengyu, Lanzhijing dan Daodewen. Saya juga mahir dalam seni, alat muzik dan selok-belok teh. Boleh tak encik beli saya sekali?"

Butler tua itu kemudian mengangkat keningnya lalu membalas, "Saya beli hamba untuk lakukan kerja berat bukannya untuk jadi cikgu."

"Saya boleh buat kerja berat juga!" Balas Liang Shaoqing dan cepat-cepat memerah otak memikirkan contoh kerja berat yang dia boleh lakukan. "Misalnya saya boleh buatkan dakwat, gunting kertas, susun kitab, oh, saya boleh masak air, ambil air, belah kayu api…"

"Betul ke kamu tahu banyak tentang Lanzhijing?" Satu suara yang dalam berkumandang. Walaupun suaranya tidak kuat, namun nadanya kedengaran tenang sahaja. Lantas, satu tangan yang pucat menyelak tirai pedati tersebut dan keluarlah pemilik suara tadi. Tatapan matanya sangat tenang seperti tasik yang tidak terusik manakala wajahnya pula kelihatan pucat lesi. Walaupun cuaca tidaklah begitu sejuk, namun pemuda itu sedang memakai jubah satin yang kelihatan seperti perak. Wajahnya masih lagi samar-samar kerana dilitupi dengan sehelai mantel.

"Saya tahu sikit-sikit kerana Lanzhijing melibatkan banyak konsep falsafah yang kompleks. Berdasarkan pengetahuan saya, biadab pula kalau saya cakap saya tahu banyak kan?"

Lelaki itu mengangguk. Dia masih muda dan berusia tidak lebih dari 25 tahun namun pergerakannya menampakkan kelembutan dan ketabahan hati yang tidak dapat diterangkan. Lelaki itu mengangguk lagi dan berkata, "Pak Cik Qing, jom beli dia."

"Encik! Saya ada seorang adik lelaki dan dia sakit tenat jadi saya tak boleh berpisah dengan dia tak kira apapun. Boleh tak encik beli dia sekali?"

Lelaki itu melirik ke arah yang ditunjukkan oleh Liang Shaoqing lalu ternampak Chu Qiao yang sudah terbaring lemah di atas lantai. Lantas, lelaki itu mengangguk bersetuju. Liang Shaoqing berasa begitu gembira dan dengan langkah panjangnya, dia meligas ke arah Chu Qiao dan mengangkatnya. "Kita dah terselamat!"

Chu Qiao yang masih lagi tidak berupaya setelah kepala anak panah dicabut keluar dari bahunya dengan nafasnya yang masih lagi tercungap-cungap dan suara yang dikeluarkan pun terdengar sayu sahaja. "Terima kasih banyak."

Liang Shaoqing hanya menggelengkan kepalanya dan tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. "Oh ya, nama awak siapa? Saya nak panggil awak apa?"

"Awak cakap saya adik awak kan jadi saya guna nama keluarga awak saja. Awak boleh panggil saya Xiaoqiao." Balas Chu Qiao.

"Baiklah. Nama keluarga saya Liang dan nama saya Shaoqing dengan gelaran kehormat Zhangyu."

Chu Qiao mengangguk. "Si ulat buku Liang."

Liang Shaoqing terpegun sejenak sebelum menempik, "Hoi! Panggil saya 'abang' lah!"

Namun Chu Qiao langsung tidak dapat mendengar tempikan tersebut kerana dia sudah tidak sedarkan diri. Pada masa yang sama, si butler tadi yang dikenali sebagai Pak Cik Qing bergegas ke situ dan setelah melihat keadaan Chu Qiao, dia mengarah, "Cepat bawa dia ke dalam pedati. Kami ada doktor." Lantas, kereta kuda itu pun bergerak meninggalkan tempat itu sambil diperhatikan oleh orang-orang tempatan.

Wajah Bos Mu berubah muram sebaik sahaja dia melihat kereta kuda itu menghilang dari pandangannya. Pada masa yang sama, seorang gaji datang dan tersenyum ke arahnya. "Bos! Kita dapat durian runtuh!"

"Durian runtuh apanya?" Jerkah Bos Mu. "Keluarga kaya jenis apa mereka itu?! Kedekut sangat! Punyalah lama berbincang dengan aku, tengok-tengok beli banyak itu saja! Celaka betul!"

Orang gaji tadi berasa aneh lalu dia bertanya, "Tapi baju mereka tak macam orang miskin pun. Siapa mereka itu, Tuan?"

"Entahlah. Encik Liu yang perkenalkan mereka pada kita. Dia mungkin tak tahu yang sesetengah bangsawan miskin ini masih berlagak kaya dan berkuasa! Bedebah betul!" Bos Mu mencampakkan buku notanya sambil menjerit kemarahan.

"Tutup kedai!" Bos Mu berasa sangat menyampah apabila dia meneruskan rungutannya itu. "Hari ini malang betul! Aku untung sikit saja! Sial!"

Orang ramai berkerumun untuk melihat barangan-barangan yang dijual oleh peniaga luar di sepanjang jalan Bandar Xian Yang, dan sebaik sahaja mereka menjumpai barang yang mereka berkenan, mereka akan terus membelinya. Peniaga yang membuka kedai di hadapan kedai jualan hamba itu berasa seperti dia telah mendapat durian runtuh jadi dia pun tersengih-sengih sendirian. Tiba-tiba, matanya terbeliak sekali lagi apabila melihat seorang pemuda yang telah beredar dari pasar itu tadi kini kembali dengan wajah yang muram. Kehidupan rakyat biasa agak membosankan jadi tidak hairanlah jika mereka suka menjaga tepi kain orang lain. Dia yang berasa tertarik mula memanjangkan leher untuk memerhatikan babak yang bakal berlaku tersebut. 

Sebaik sahaja Zhuge Yue tiba di kedai jualan hamba itu, Bos Mu yang sudah menutup kedainya itu sedang bersiap sedia untuk pulang namun dia dihalang oleh Yue Qi sambil berkata, "Tunggu sekejap."

Bos Mu sudah bertemu dengan pelbagai jenis pelanggan jadi dia boleh menilai antara orang kaya dan miskin dengan sekilas pandang sahaja dan dengan mudahnya lelaki tua ini teringat pemuda ini telah membeli gadis-gadis tadi tanpa bertanya harga pun, jadi sudah semestinya dia tidak akan melepaskan pelanggan yang berpotensi seperti ini dan dia pun segera berjalan menghampirinya untuk bertanya, "Apa yang boleh saya bantu, Tuan Muda?"

Zhuge Yue langsung tidak mengendahkan kehadiran Bos Mu, dan dengan wajah yang muram, pemuda itu bergerak ke arah hamba-hamba yang telah diikat.

Bos Mu yang berasa terperanjat segera mengekori Zhuge Yue. "Oh Tuan Muda, apa yang…"

Whoosh! Yue Qi menghalakan pedangnya di leher Bos Mu tanpa sekelumit pun perasaan simpati terhadap lelaki ini, mendengus tegas, "Baik kau berhenti. Ada kami suruh kau pergi sana?"

Bos Mu menggosok tangannya bersama dengan gelisah. Berdasarkan pengalamannya selama ini, orang-orang kaya seperti mereka ini langsung tidak boleh dibawa bergurau.

Setelah beberapa ketika, pemuda tadi kembali dan berdiri di hadapan Bos Mu lalu bertanya, "Semua hamba kamu ada di sini ke?"

"Ya, semua ada di sini. Saya dah nak tutup kedai pun hari ini. Orang yang dalam sangkar ini pun ada orang beli tadi. Ada mana-mana hamba yang tuan muda berkenan ke?"

Zhuge Yue mengerutkan keningnya dan diam buat seketika. Dia yang berasa teragak-agak untuk bertanya akhirnya bertanya juga dengan tegas, "Kamu pasti yang semua hamba kamu berada di sini?"

Satu ayat saja sudah cukup untuk buatkan Bos Mu berpeluh dingin. Dia kemudiannya mengangguk panik sambil membalas, "Betul, tuan muda. Semua ada di sini. Saya tak tipulah."

Zhu Cheng yang sudah memahami akan hal yang sedang terjadi terus maju ke hadapan lantas berkata kepada Zhuge Yue, "Mungkinkah tuan tersalah pandang? Kalau ikutkan kemampuan Cik Xing'er, mereka ini takkan mampu nak menandinginya apatah lagi menangkapnya."

Zhuge Yue hanya terdiam dan masih mempertimbangkannya. Mentari tengah hari itu menyinari keadaan sekeliling dengan warna kekuningan semasa Zhuge Yue berdiri di dalam pekan tersebut dengan berlatar belakangkan sungai bersama pengemudi bot yang mengawal bot mereka sememangnya mempamerkan suatu pemandangan yang indah.

Setelah itu, Zhuge Yue pun mengangkat kakinya untuk beredar dengan renungan yang dingin namun sebelum sempat dia beredar, seorang lelaki yang berkulit gelap meluru dari belakang. Dia yang berada dalam kekalutan langsung tidak menyedari kehadiran Zhuge Yue dan orang-orang gajinya itu jadi dengan terujanya dia berkata, "Tuan Mu! Budak itu ada pedang bagus bersamanya! Mesti untung banyak kalau kita jual pedang ini!"

Lantas dengan itu, pandangan mereka semua terus tertumpu padanya termasuklah Zhuge Yue juga. Matanya terbeliak terkejut lalu dia meluru ke arah lelaki yang berkulit gelap itu dengan langkah yang panjang dan merampas pedang itu daripadanya. Dengan sepantas kilat, dia menarik pedang itu keluar dari sarungnya!

Sinaran yang silih berganti membelah udara. Semua orang terlopong tatkala melihat pedang yang tiada tandingannya itu, ia berwarna kehijauan dengan tompokan yang kelihatan seperti darah namun yang menarik perhatian orang ramai adalah perkataan kecil yang terpahat padanya iaitu, Pedang Pemecah Bulan!

Raut wajah Zhuge Yue terus berubah kelat lalu dia pun menghampiri mereka sambil memegang pedang itu dalam keadaan selari dan bertanya, "Kamu dapat pedang ini dari mana?"

"Uh ini… saya kutip saja."

Whoosh! Pedang itu membelah udara dan lantas baju biru yang dipakai Zhuge Yue mengepak setelah ditiup angin bayu. Zhuge Yue kemudiannya menghalakan pedang itu di leher Bos Mu. Dia yang sedang menahan kemarahannya dengan sedaya upaya bertegas lagi, "Kamu nak beritahu saya ke tak nak?"

"Maafkan saya! Tolong maafkan saya! P-Pedang ini milik salah seorang hamba!"

"Mana hamba itu?"

Bos Mu yang sudah terpaku di atas tanah itu terus mengujarkan apa sahaja yang sedang bermain dalam fikirannya itu, "Hamba tadi dah dibeli orang!"

"Dibeli?" Dengus Zhuge Yue dengan dingin, "Kau nak aku tunjukkan di mana kubur kau ke?"

"Tuan! Saya bercakap benar! Kalau tuan tak percaya, tuan boleh tanya penjaga-penjaga kedai sekeliling di sini! Tadi memang ada seseorang yang membeli ramai hamba termasuklah pemilik pedang ini!" Bos Mu yang berada dalam ketakutan yang amat itu sudah melutut dan merayu-rayu kepada Zhuge Yue.

Pandangan Zhuge Yue kemudian tertumpu pada orang sekeliling dan dia mula mempercayai kata-kata Bos Mu. Setelah itu, dia bertanya lagi, "Siapa pelanggan itu? Dah lama ke mereka pergi?"

"Mereka baru saja pergi tak sampai seminit! Siapa pelanggan itu saya pun tak tahu! Saya memang tak tahu!"

Lengan baju Zhuge Yue mengepak-ngepak sebaik sahaja ditiup angin bayu di tengah-tengah kerumunan itu, pemuda itu sudah kelihatan seperti tidak keruan dek pelbagai perasaan yang menyelubungi dirinya pada masa yang sama seperti perasaan marah, kesal dan yang paling besar ialah perasaan kecewa yang teramat mendalam.

"Dia tercedera, kan? Serius tak kecederaannya?"

Berdasarkan kepintaran Bos Mu, jika dia tidak membuat kesimpulan hamba itu mempunyai latar belakang yang menakjubkan, dia hanya akan mensia-siakan seluruh pengalaman hidupnya ini. Lantas dia pun menjawab, "Ya, sangat serius! Ada kesan tikaman di dada kirinya dan bahunya pula tertusuk dengan mata anak panah. Saya jumpa hamba itu di pinggir bandar semalam. Saya terus cari doktor yang terkenal dan selamatkan nyawanya! Saya memang bodohlah, Tuan! Kalaulah saya tahu encik muda itu kawan tuan, saya takkan berani nak jadikan dia sebagai hamba! Saya memang patut mati!"

"Encik?" Zhuge Yue mengerutkan keningnya dan segera memahami kekeliruan itu. Kemudian, dia memandang ke arah Bos Mu yang sudah berlutut padanya. Setelah beberapa ketika dia pun mengujar, "Betullah itu. Kau memang patut mati."