Chapter 98 - Bab 98

Suara Zhuge Yue penuh berbaur dengan keinginan untuk membunuh, dan Bos Mu terus menajdi kaku setelah mendengar kedinginan suara pemuda itu. Zhuge Yue pun menyambung, "Orang itu akan ada seorang saja tuan di dalam dunia ini, dan tuan itu aku. Kau berani nak jual dia kepada orang lain? Memang kau patut mati."

"Tuan, saya- saya…"

"Yue Qi, saya letakkan hal ini di dalam tangan kamu. Saya langsung tak nak tengok muka dia di sini bila saya datang ke sini lagi."

Yue Qi melangkah ke hadapan, dan menjawab dengan dingin, "Ya." Zhuge Yue pun beredar dengan kudanya, langsung tidak mengendahkan rayuan terdesak Bos Mu.

Bunyi derapan kuda itu disaluti dengan bunyi pekikan keperitan di kawasan yang sangat sibuk itu. Dalam era ini, nyawa rakyat jelata langsung tidak bernilai bagaikan lalang yang dijumpai di tepi-tepi jalan, tambahan pula dengan nyawa orang-orang seperti Bos Mu yang telah melakukan segala jenis keburukan sebagai seorang pedagang hamba. Tiada sesiapa yang akan memberikannya sebarang simpati dan tidak lama kemudian bandar itu kembali menjalani kehidupan seharian mereka.

"Zhu Cheng, pergi ke Pejabat Pengangkutan Air, dan beritahu mereka yang kita akan bergerak dengan darat."

Zhu Cheng yang memang telah bersedia menerima arahan itu masih tidak dapat menahan perasaan terkejutnya, lalu dia pun menasihati tuannya, "Tuan, Tuan Besar cakap yang kita kena tiba di Ibu Negara Tang, Tang Jing, secepat mungkin. Kalau kita bergerak dengan darat, ia akan lebih memakan masa, lagipun kebanyakan orang-orang berpengaruh semuanya pergi ke sana dengan menggunakan pengangkutan air. Saya risau akan ada lebih ramai orang yang mengata kalau kita lebih menonjolkan diri kita dengan menggunakan laluan darat."

Zhuge Yue langsung tidak membalas kata Zhu Cheng, dan hanya merenung wajah pengiringnya ini dengan penuh dingin. Niat pemuda itu memang terang lagi bersuluh

Zhu Cheng dapat berasa seram sejuk di seluruh tulang belakangnya. Bagaimanakah dia boleh tidak menyedari niat sebenar Zhuge Yue? Ini merupakan sebuah majlis perayaan buat Empayar Yang jadi laluan air telah ditutup dengan pengecualian untuk keluarga-keluarga bangsawan berpengaruh yang telah dijemput khas dan rakyat jelata harus menggunakan laluan darat untuk sampai ke Tang Jing. Memandangkan Chu Qiao telah dibeli oleh sebuah keluarga yang harus membeli hamba-hamba mereka, ia boleh disimpulkan keluarga itu bukanlah datang daripada keluarga-keluarga bangsawan yang berpengaruh tinggi. Tuan Muda memang telah menekankan untuk mengembara dengan menggunakan darat, jadi niatnya memang sangat jelas. Tapi walaupun dia berjumpa dengan gadis itu, memandangkan hubungan mereka itu, apakah maksudnya? Tetapi kini, Zhuge Yue bukan lagi seorang budak kecil daripada sembilan tahun dahulu, dan Chu Qiao bukanlah hamba lemah yang papa kedana.

'Tuan Muda, kalau tuan jumpa dia pun, apa yang tuan boleh buat? Dia itu macam harimau. Walaupun dia tercedera ataupun terperangkap, dia bukannya seseorang yang boleh dikawal.' Zhu Cheng menggeleng kepalanya dan mengeluh sebelum berpusing dan bergerak ke Pejabat Pengangkutan Air dan meninggalkan Zhuge Yue di belakang. Matahari tengahari yang meninggi di langit menerangi cahayanya ke pakaian Zhuge Yue yang berwarna biru gelap itu lantas memantulkan sebuah sinaran yang memijar-mijar, memberikan pemuda itu sebuah aura sakti.

Di kejauhan, sebuah pokok elm gergasi berdiri tegap dan jelas kelihatan di dalam pemandangan yang indah kehijauan itu. Pokok-pokok yang telah ditanam 30-40 tahun lalu itu dililit dengan sehelai kain berwarna merah dan juga beberapa kepingan potongan kertas berwarna-warni yang berpunca daripada kepercayaan tahayul rakyat jelata, yang mempercayai dewa-dewa hidup di dalam pokok elm dan kekuatan dewa itu bergantung pada ketebalan pokok tersebut. Ramai rakyat yang mengalami kesusahan hidup akan singgah di sini untuk berdoa demi ketenangan dan kemakmuran hidup mereka.

Pakaian Zhuge Yue berkepak-kepak apabila ditiup angin yang menghembus, lantas pemuda itu melemparkan aksesori jednya yang berada di dalam saku seluar ke arah pokok tersebut dan dengan bunyi menggeletuk, aksesori berharga itu mendarat di atas sebatang dahan pokok. Jed tersebut memberikan sinaran yang berkilauan apabila ia bergerak-gerak diterangi cahaya matahari.

"Gerak!" Zhuge Yue berpusing dan dengan satu libasan ke kudanya, pemuda itu menderap laju bersama orang-orang bawahannya. Reriang meringkik kuat di dalam kehangatan musim panas dan angin panas yang menghembus terus menggoncangkan dahan-dahan pokok yang menampung sebentuk jed itu yang kelihatan seperti sebuah bintang yang bersinar dari kejauhan. Tiada siapa yang mengetahui hajat yang telah terkandung di dalam jed tersebut.

Hari telah menjadi senja apabila gadis itu akhirnya bangun dari tidur, dengan permukaan sungai yang memantulkan cahaya matahari terbenam yang berwarna keemasan. Liang Shaoqing tersenyum lebar dari telinga ke telinga apabila melihat Chu Qiao yang akhirnya tersedar itu, dan lantas pemuda itu mengambil ubat di sisinya dan menyuap Chu Qiao dengan penuh berhati-hati. Oleh kerana ubat tersebut yang terlalu pahit, ia terasa bagaikan suatu penderaan dalam diam apabila Chu Qiao disuap ubat tersebut dengan perlahan, sesuap demi sesuap. Gadis itu berkerut, merampas mangkuk yang berada di dalam tangan Liang Shaoqing itu dan meneguknya habis. Setelah itu, gadis itu dengan pantas meneguk secawan teh pekat untuk menyekat rasa pahit di dalam mulutnya.

Chu Qiao semakin beransur pulih apabila dia bertukar ke pakaian bersih dan balutan lukanya juga telah ditukar. Chu Qiao berdiri tegak dan mengesan sekelilingnya sebelum bertanya, "Kita berada di mana? Kita nak pergi ke mana?"

"Kita dah dibeli oleh seseorang." Liang Shaoqing cuba untuk menjadi seseorang yang lebih bermisteri, namun dia terus menyatakan perkara yang sudah diketahui Chu Qiao. "Kita berada di atas kapal." Chu Qiao terasa bagaikan dia ingin menumbuk pemuda itu, namun oleh kerana adabnya, gadis itu memendam perasaan geram itu, lantas dia bertanya dengan tenang, "Ulat buku, boleh tak awak beritahu perkara yang saya tak tahu?"

"Oh, baiklah." Liang Shaoqing pun bermula untuk menerangkan setiap butiran perkara yang telah berlaku, iaitu tuan baru mereka ialah daripada Keluarga Zhan dari daerah Shui Xiu yang terletak di sempadan Empayar Xia dan Empayar Tang dan kini mereka dalam perjalanan ke Tang Jing. Tuan mereka yang dilihat di pasar hamba tadi hanyalah berusia 27 tahun, dan bernama Zhan Ziyu. Tambahan pula, keluarga ini mempunyai lima wanita muda dan semuanya ialah kakak dan adik Zhan Ziyu, di mana tiga kakaknya telah berkahwin dan suami-suami mereka juga berada di atas salah sebuah kapal daripada tiga kapal besar yang telah ditempah oleh Keluarga Zhan yang ingin membawa ramai hamba mereka.

Mereka membawa ramai orang hanyalah untuk perjalanan yang singkat ini dan oleh kerana itu, mereka kelihatan seperti sebuah keluarga yang besar namun tidak kira betapa lama Chu Qiao berfikir, dia tidak mampu mengingati mana-mana keluarga besar di dalam Empayar Xia yang bernama keluarga Zhan.

Niat gadis ini untuk melarikan diri tiba-tiba pudar setelah mengetahui kumpulan ini sedang menuju ke Tang Jing juga, ini bermakna Chu Qiao dapat menyelam sambil minum air kerana dia dapat berehat untuk pulih dari kecederaannya, dan juga bersembunyi daripada pencarian yang Empayar Xia telah mulakan.

Gadis itu mengangkat wajahnya dan bertanya, "Awak kata kita sedang menuju ke Tang Jing, tapi awak tahu ke kenapa mereka sedang menuju ke sana?"

"Putera Tang akan berkahwin. Seluruh Empayar Tang, Empayar Xia dan Empayar Song akan menghantar beberapa orang pegawai bangsawan untuk ke Ibu Negara Tang untuk mengambil bahagian dalam majlis perkahwinan itu."

"Perkahwinan?" Chu Qiao terpana, lantas gadis itu bertanya lantang, "Siapa yang akan berkahwin dengan dia?"

Liang Shaoqing baru sahaja ingin membalas kata wanita muda itu, namun kapal besar yang mereka duduki tiba-tiba bergegar, dan bunyi jeritan lantang pengemudi memenuhi ruang udara dan tidak lama kemudian, kapal besar itu pun akhirnya bergerak ke destinasi mereka.

"Akhirnya kita bergerak. Nampaknya seorang bangsawan Xia enggan menaiki kapal ini selama ini. Encik Zhan tak nak bergerak pada mulanya, dan menunggu bangsawan itu untuk seluruh hari. Nampaknya bangsawan itu masih ada hal untuk dilakukan, jadi kapal kami bergerak dan tinggalkan dia." Balas Liang Shaoqing.

"Awak kata yang Putera Tang akan berkahwin. Dia berkahwin dengan siapa? Seorang puteri Xia?"

"Ya, Puteri Maharaja Kesembilan."

Chu Qiao menundukkan wajahnya, berdiam buat masa yang sungguh lama. Liang Shaoqing yang menyedari perubahan angin wanita muda ini pun bertanya, "Xiaoqiao? Xiaoqiao? Apa yang terjadi? Awak masih berasa tak sihat ke?"

"Tak ada apa-apalah," Balas Chu Qiao sambil perlahan-lahan berbaring di atas katil. "Saya penat ini. Saya nak rehat sekejap."

"Baiklah, kalau macam itu awak rehatlah. Saya akan pergi ke luar dan tengok keadaan sekeliling."

Chu Qiao berkerut di atas katil tersebut dan berkata sendirian, "Nampaknya Empayar Xia masih lagi ingin membentuk sebuah ikatan perkahwinan bersama Empayar Tang. Yan Xun, apa yang patut kita lakukan?"

Langit di atas kelihatan cerah membiru. Liang Shaoqing yang sedang berdiri di atas dek kapal itu kini baru menyedari mereka sedang menaiki sebuah kapal gergasi, dengan lebar kapal tersebut yang melebihi 10 meter, juga bersama empat tiang kapal. Kapal tersebut mempunyai empat tingkat di mana dua tingkat berada di atas dek dan dua lagi di bawah dek. Disebabkan status Chu Qiao dan Liang Shaoqing yang kini dianggap sebagai hamba adbi itu, mereka sepatutnya menetap di tingkat terbawah sekali namun setelah Pak Cik Qing terlihat yang Chu Qiao telah mengalami kecederaan parah, dia telah meletakkan kedua-dua remaja ini ke dalam bilik di tingkat teratas.

Pada masa ini, bunyi hon kapal yang lantang bergema kuat yang diikuti dengan teriakan yang kuat daripada anak-anak kapal sebelum mereka menarik tali layar dengan senangnya. Apabila layar ditiup angin, kapal gergasi itu mula bergerak dengan lebih pantas. Liang Shaoqing menghembus keluhan lega apabila melihat pemandangan yang indah daripada sisi kapal yang berada di samping kapal yang sedang didudukinya, bersama burung-burung yang berkicauan dan berterbangan di sekeliling dok, pemuda itu pun mengukir sebuah senyuman seolah-olah segala tekanan yang dihadapinya sebentar tadi telah hilang. Akhirnya, dia akan menuju ke Tang Jing!

Sementara itu di dok, sekumpulan lelaki sedang merenung kapal-kapal besar yang telah berlepas itu. Zhu Cheng melangkah ke hadapan dan melaporkan, "Tuan, semuanya dah diuruskan. Kapal-kapal yang dihantar oleh Empayar Tang itu dah berlepas, dan kita dah siapkan segala prosedur untuk mengembara dengan darat. Kita boleh masuk ke Empayar Tang melalui Sempadan Bai Zhi."

"Okey." Zhuge Yue mengangguk sambil renungan matanya yang masih lagi tertumpu pada permukaan sungai itu. Dia membalas malas, "Kita tak perlu nak bergegas sangat, kita akan tunggu di sini di Bandar Xian Yang untuk beberapa hari lagi."

Zhu Cheng mengeluh perlahan, masih memikirkan rakyat tempatan yang telah membeli wanita muda yang dicari tuannya itu, lantas Zhu Cheng mengangguk dan membalas, "Baiklah."

Angin di sungai itu amat menenangkan dan menyejukkan, sangat sesuai dengan pemandangan menghijau yang menghiasi kedua-dua belah tebing sungai itu. Zhuge Yue sedang berdiri di salah sebuah tebing sungai, merenung kapal-kapal yang semakin hilang dari pandangan sebelum memusingkan kudanya dan menderap ke arah Bandar Xian Yang.

Takdir memang telah menetapkan banyak kebetulan di dalam hidupnya. Zhuge Yue tidak mengetahui orang yang dicari-carinya selama ini telah berada di dalam kapal yang sememangnya khas telah disediakan buatnya. Seperti yang disangka pemuda itu, sesebuah keluarga yang miskin sehingga mereka perlu membeli hamba-hamba mereka sepatutnya tidak boleh dijemput untuk hadir ke majlis perkahwinan Putera Tang, Li Ce. Namun, memang itu yang terjadi. Begitulah kezaliman takdir dan nasib dunia. Sebaik sahaja pemuda itu berlepas ke Bandar Xian Yang, wanita muda di dalam kapal besar itu membuka tingkap kabinnya dan melihat habuk-habuk yang ditinggalkan oleh pemuda-pemuda dari jeti tersebut.

Hari tersebut merupakan Jun ke-9, dan berita mengenai perkahwinan Putera Tang Li Ce telah pun tersebar di seluruh benua Meng Barat, menjadi berita hangat semenjak tujuh hari yang lalu. Setiap puak keluarga dengan sulitnya memikirkan kebaikan dan keburukan yang akan datang dengan ikatan perkahwinan ini.

Setiap keluarga berpengaruh di seluruh benua tergesa-gesa menuju ke Tang Jing untuk mengambil bahagian dalam perkahwinan ini kecuali Yan Bei yang telah memutuskan segala hubungannya dengan Empayar Xia. Setiap keluarga bangsawan yang ternama, aristokrat, dan puak keluarga telah menghantar wakil mereka yang berpengaruh tinggi, mempamerkan bukan sahaja niat mereka yang ingin meningkatkan hubungan dengan Empayar Tang, malah ia juga merupakan suatu kesempatan untuk mengenal pasti sikap Empayar Tang yang berkuasa ini terhadap Empayar Xia yang telah bertemu dengan kebinasaannya itu. Sebagai contoh, jamuan di Zhen Huang yang berakhir dengan kesedihan yang melampau itu kini diulangi sekali lagi di Ibu Negara Tang dengan orang ramai yang mengerumuni seluruh bandar empayar tua dan penuh misteri ini, menjadikannya meriah dengan segala jenis aktiviti.

Secara kebetulannya pada hari yang sama, Yan Bei akhirnya mendapat berita tentang puak-puak keluarga di dalam Empayar Xia yang sedang giat mengejar Chu Qiao untuk menangkapnya. Putera Yan Xun yang mengamuk apabila mendengar berita ini telah memerintahkan supaya Empayar Xia diserang. Dengan orang-orang bawahannya yang berkeupayaan seperti Wei Jing, Xirui, Biancang, Lu Fang, dan lain-lain, bersama kepimpinan penasihat Wu Daoya, mereka telah menyerang puak barat laut iaitu Batuha, dan Batu Lama yang tidak mampu menahan serangan itu telah kehilangan sepertiga daerahnya dalam masa tiga hari. Namun begitu, penguasaannya ke atas dua pertiga lagi kawasan itu menjadi tergugat apabila penduduknya memberontak. Banyak surat panggilan bantuan yang telah dicomoti dengan darah tentera-tentera Batuha telah dihantar ke Bandar Zhen Huang dan juga Bandar Yun.

Seluruh Empayar Xia bergelumang di dalam perasaan takut dan juga cemas setelah mendapat berita tersebut, dengan setiap puak keluarga yang semakin bimbang jika keluarga mereka yang akan dijadikan sasaran pertama buat amukan tentera Yan Bei. Singa Yan Bei, Yan Xun, kemudiannya menghantar sebuah pesanan yang menyatakan pemuda itu akan membunuh setiap ahli keluarga pemerintah daerah di mana Chu Qiao dicederakan, dan lantas puak-puak keluarga ini semuanya berharap agar Chu Qiao langsung tidak dicederakan, atau nahaslah mereka. Jika kecederaan gadis itu sampai ke telinga Yan Xun, mereka pasti akan menghadapi amukan yang tidak terhingga daripada Tentera Yan Bei!