Chapter 96 - Bab 96

Zhuge Yue pun mengangguk tanda setuju lalu Yue Qi bergerak bersama beberapa orang gaji bersama membuat satu laluan di hadapan. Pandangan Zhuge Yue kemudian beralih pada seluruh kawasan pasar dan pada waktu itulah dia terdengar bunyi esakan gadis-gadis yang telah dijadikan hamba, lantas pemuda itu menoleh ke arah mereka dan mendapati kanak-kanak ini berusia sekitar lapan hingga 12 tahun. Pakaian compang-camping yang dipakai mereka hanya cukup-cukup sahaja menutup tubuh mereka dengan lelaki tua yang kelihatan seperti dia berusia lebih dari enam puluh tahun itu sedang memakai sepasang pakaian mewah berwarna merah yang bertatahkan emas, lelaki tua tersebut tersenyum sinis sambil memegang wajah mulus gadis-gadis tersebut.

Zhuge Yue mengerut keningnya dengan sebuah tatapan menjelikkan, kemudian melambaikan tangannya untuk memanggil Zhu Cheng lantas mengarah, "Pergi beli budak-budak itu."

"Tuan?" Zhu Cheng terpegun. "Kenapa kita nak beli hamba pula? Tak menyusahkan ke nak bawa nanti?"

"Kalau saya cakap beli itu, beli sajalah. Kenapa kamu banyak bunyi pula?"

Zhu Cheng berasa meremang setelah ditegur sebegitu dan pemuda itu terus menuruti perintah tuannya dengan segera. Pada masa yang sama, pemuda itu terdengar bunyi herdikan jadi Zhuge Yue pun menoleh dan mendapati seorang hamba lelaki yang kemas dan lemah lembut yang sedang ditendang ke tepi. Hamba merangkak dengan teruja seperti ingin memberitahu sesuatu tetapi lelaki itu berada jauh daripada Zhuge Yue jadi dia tidak dapat mendengarnya.

Bukannya Zhuge Yue kisah pun tapi entah bagaimana dia ternampak seorang remaja yang nampak lemah bersandar di penjuru sangkar. Bahu dan pakaiannya dihalang oleh hamba yang lain dan hanya tangan dan bahagian bawah badannya sahaja yang dapat dilihat.

Secara tiba-tiba Zhuge Yue berasa seperti dia dipanah kilat! Pemuda itu mengerutkan keningnya dengan anak mata yang terus tertumpu pada sangkar tersebut, walaupun dia hanya boleh melihat sepasang tangan sahaja namun dia berasa seperti orang di dalam sangkar itu merupakan seseorang yang sangat dikenalinya. Darah Zhuge Yue tiba-tiba tersirap bersama degupan jantungnya yang berdegup kencang dan tanpa berfikir panjang, sebuah perasaan terburu-buru tiba-tiba menyelubungi dirinya yang membuatkan pemuda itu melompat turun dari kudanya dan merempuh sekerumunan rakyat jelata.

Oleh sebab keadaan di bandar itu yang terlalu sesak dengan orang ramai, Zhuge Yue telah dimarahi tatkala dia sedang menolak rakyat jelata namun perkara tersebut langsung tidak diendahkannya, dia hanya meneruskan sahaja perjalanannya sehingga tiba di bahagian hadapan orang ramai tadi. Zhuge Yue memegang pagar besi sangkar itu sambil mencari pemilik tangan tadi.

Namun sangkar tersebut hanya dipenuhi dengan bau hamis dan hamba-hamba yang berada dalam ketakutan, memandang Zhuge Yue dengan perasaan takut dan setelah melihat jelingannya yang tajam, mereka cepat-cepat mengalihkan pandangan mereka ke tempat lain.

Bukan di sini, bukan, bukan! Perasaan amarahnya mula menyelubung diri. Zhuge Yue yang masih tidak berpuas hati untuk mencari lagi namun dia masih gagal menemui orang yang dicari-carinya. Takkanlah dia tersilap pandang? Zhuge Yue yang berasa geram itu kemudian berdiri di hadapan sangkar sambil mengerutkan wajahnya dengan lebih ketat dari sebelum ini.

"Tuan!" Yue Qi kemudian menyertai pemuda itu di hadapan khalayak ramai dek keliru dengan tingkah laku tuan mudanya seorang itu. "Kita boleh pergi sekarang." Katanya.

"Tuan! Tuan!" Zhu Cheng bergerak ke hadapan bersama beberapa orang gadis yang yang sedang mengekori dari belakang, gadis-gadis tadi didagangkan sekali lagi namun mereka tetap berasa lega setelah terlepas daripada si miang tua itu. Namun, mereka yang masih lagi dalam ketakutan mengalihkan pandangan mereka ke tuan baru mereka dan tiba-tiba berasa beruntung setelah melihatnya. Hamba-hamba yang masih berada dalam sangkar tadi hanya dapat memandang mereka dengan perasaan cemburu dan berharap semoga pemuda kaya di hadapan mereka ini dapat membeli mereka juga.

"Tuan?" Zhu Cheng memanggil Zhuge Yue dengan penuh berhati-hati namun tuan muda itu sedang asyik memandang sangkar di hadapannya buat seketika. Mungkinkah ada hamba lain yang menarik perhatiannya?

"Jomlah." Zhuge Yue akhirnya menoleh dan membawa orang gajinya pergi dari tempat sampah ini. Sebaik sahaja dia menoleh, jeritan merindingkan bergema kuat namun ia ditenggelami oleh sorakan orang ramai apabila mereka melihat sekumpulan hamba wanita yang sedang menaiki pentas! Oleh sebab itulah Zhuge Yue langsung tidak menyedarinya lalu dia pun membawa orang-orangnya pergi dari gerai Bos Mu dan menuju ke Jabatan Pengangkutan Air.

Gadis yang sedang terlena itu mengerang kesakitan lalu bersandar di pangkuan Liang Shaoqing. Seorang doktor tua melambai-lambai mata anak panah ke arah Bos Mu lalu berkata, "Hei bahunya cedera parahlah. Kalau dibiarkan lebih satu hari lagi, tuhan pun tak mampu nak tolong dia!"

Bos Mu yang berada dalam khemah di belakang sangkar mendengus, "Selagi dia masih hidup tak mengapa. Nanti adalah orang kaya yang datang beli dia. Sekalikan dia bersama dengan lelaki itu dan jual mereka bersama. Selepas dia pergi, aku dah tak peduli dia nak mampus ke apa." Setelah itu dia berpaling dan beredar dari khemah tersebut.

Liang Shaoqing menghembus nafas lega dan berterima kasih kepada doktor tersebut. "Terima kasih atas bantuan doktor. Kami hargainya."

Doktor itu kelihatan seperti seorang yang berwibawa lalu dia pun mengeluh. "Dia ini hanya perlukan rehat untuk sembuh semula. Lagi satu, kamu pula yang dipukul sehingga cedera sebab nak tolong dia. Saya tahu kamu seorang cendekiawan jadi bagaimana kamu boleh jadi begini? Malangnya nasib kamu!"

"Tak mengapalah, doktor. Saya okey."

"Mari sini saya rawat kamu juga."

Keadaan di kawasan itu riuh-rendah dengan langit yang mencerah tanpa diselubungi walau sekepul awan pun. Pada bulan Jun, iklim di sebelah tenggara menjadi sangat panas dengan pelbagai spesies burung yang berterbangan di udara, menggambarkan keindahan alam tersebut.

Zhuge Yue terduduk di atas kudanya tanpa mengujarkan sepatah kata akibat perasaan yang berbelah bagi.

"Tuan? Tuan?" Zhu Cheng terpaksa memanggilnya berkali-kali barulah Zhuge Yue tersedar dan lantas tuan muda itu bertanya, "Apa benda?"

Zhu Cheng mengeluh lalu menjawab, "Patut tak saya beli beberapa ekor kuda dan kereta kuda? Takkanlah budak-budak ini nak ikut kita dengan berjalan kaki, betul tak?"

Zhuge Yue menoleh ke belakang dan mendapati hamba-hamba muda itu yang sudah berpeluh dan tercungap-cungap akibat bersusah-payah mengejar kudanya dari belakang dengan kaki pendek mereka. Mereka memandang tuan baru mereka dengan penuh harapan walaupun masih terdapat sisa-sisa perasaan takut dalam diri mereka.

"Yalah," Zhuge Yue bersetuju, "Dah alang-alang itu, beli baju baru sekali."

"Baiklah, saya pergi sekarang." Lantas, Zhu Cheng pun beredar dan iringan tersebut pun terus menyambung perjalanan mereka, dengan beberapa orang gaji yang sedang sibuk bergosip di tepi. "Baik betul tuan ini dengan hambanya."

"Takkan awak tak tahu? Tuan ini memang baik dengan hambanya pun."

"Diamlah!" Yue Qi menoleh dan membentak mereka.

Iringan tersebut bergerak perlahan dan setelah sejam, mereka akhirnya berada jauh dari pasar tadi. Jalan raya pun mula sunyi dan Jabatan Pengangkutan Air pun sudah kelihatan dari jauh.

"Tuan!" Bunyi derapan kuda kedengaran dari belakang apabila Zhu Cheng dan yang lain membawa dua buah kereta kuda bersama. "Tuan, semuanya dah selesai."

Zhuge Yue mengangguk dan menjeling ke arah kuda-kuda itu, lantas tiba-tiba keningnya dikerut rapat dengan mata yang mengecil seperti seekor harimau bintang yang terjumpa mangsanya. Tuan muda itu menghampiri salah seekor kuda hitam yang baru sahaja dibawa oleh Zhu Cheng kerana kuda itu kelihatan berbeza dari yang lain. Ia kelihatan seperti lebih berwaspada apabila Zhuge Yue menghampirinya dan walaupun kuda itu dikekang, ia masih lagi berundur beberapa tapak ke belakang dan melihat pemuda itu dengan penuh kecurigaan. Kuda itu kemudiannya mengorek tanah dengan telapuknya dengan badannya yang penuh dengan luka seperti ia dipukul sebelum dibeli.

"Liu Xing?" Suaranya yang dalam berbunyi. Kuda itu kemudiannya menggerakkan telinganya dan memandang Zhuge Yue terkejut. Wajah Zhuge Yue pun mula berubah sebelum menambah lagi, "Kamu Liu Xing kan?"

Kuda itu meringkik dan naik ke atas dengan semangat sebelum menyondol tangan Zhuge Yue seperti sedang bertemu dengan sahabat lamanya.

"Mana kamu beli kuda ini?"

"Di kedai kuda di depan sana."

"Bawa saya ke sana."

"Tuan, kita dah lambat. Mungkin kita tak patut…" balas Zhu Cheng.

"Bawa sajalah!" Tempik Zhuge Yue. Raut wajahnya kelihatan betul-betul serius. Zhu Cheng yang terperanjat terus melutut dan membalas, "Baiklah."

Mereka kemudian bergegas ke kedai kuda tersebut. Penjualnya yang menyangka terdapat sesuatu yang tidak kena dengan kuda-kuda tadi segera menghampiri mereka.

"Mana kamu dapat kuda ini?"

Muka penjual kuda tadi terus berubah dan tiba-tiba dia tersenyum lebar. "Tuan janganlah bergurau. Kuda ini kuda sayalah. Saya yang bela sejak kecil."

Raut wajah Zhuge Yue mula berubah bengis lalu dia bertanya lagi, "Saya tanya sekali saja lagi. Mana kamu dapat kuda ini?"

"S-Saya tak tipu!"

"Nak jawab ke tak?" Yue Qi yang berdiri di sisi Zhuge Yue menghunuskan pedangnya dan mengajukannya di leher penjual itu.

"Maafkan saya dan tolong beri saya satu peluang lagi!" Penjual itu terus melutut dan merayu-rayu. "Kuda ini telah dijumpai tak berpenunggang di Permatang Tang Ma sewaktu saya sedang menjelajah! Saya tak tahu yang ini kuda tuan! Kalau saya tahu, mati hidup balik pun saya takkan berani nak sentuh!"

"Gerak!" Zhuge Yue pun menunggang kudanya untuk bergerak ke laluan besar, lantas membuatkan Zhu Cheng terpaku sekali lagi. Dia bertanya tuan mudanya setelah mendekati Zhuge Yue, "Tuan? Kita nak ke mana?"

Zhuge Yue berkerut sekali lagi tetapi kali ini raut wajahnya tidak memberi sebarang emosi. Namun begitu, seseorang dapat merasai semangatnya yang tidak dapat disembunyikan melalui renungannya itu. Dia kemudiannya membalas dengan perlahan tetapi tegas, "Ke pasar hamba tadi."

Sebaik sahaja kuda mereka melintasi jalan yang sesak itu sekali lagi, ramai pejalan kaki yang tersandung lalu jatuh namun, Zhuge Yue tetap mengarahkan kudanya untuk bergerak pantas. Pakaian biru gelap yang dipakainya melayang-layang apabila ditiup angin dan dia sering tidak tumpah seperti seekor burung falko yang melebarkan sayapnya.

Mengimbas kembali sewaktu Zhuge Yue meninggalkan pasar hamba tadi, sekumpulan pegawai tiba di situ. Apabila seorang butler melompat keluar dari kereta kuda itu, Bos Mu menghiburkannya dan mengekorinya. 

Dengan perlahan-lahan Bos Mu berkata, "Kamu dah tiba pun. Hamba-hamba dah dipersiapkan cuma tunggu kamu memilihnya saja."

Butler itu kelihatan berusia lebih 60 tahun dan memakai pakaian yang kemas. Rambutnya disikat rapi dan dia kelihatan sangat cekap. Kemudian, dia berjalan di hadapan hamba-hamba itu dan meneliti mereka buat seketika sebelum menuding jari ke arah mereka. "Ini, itu, yang itu dan itu…"

Bos Mu mengikutinya dan mengeluarkan sebuah buku catatan untuk mencatat semuanya. Dalam sekelip mata sahaja, butler itu sudah memilih 25 orang hamba. Kemudian dia menoleh, "Itu sahaja."

"Apa?" Bos Mu terpegun. "Ini saja? Tak nak tengok lagi ke? Ada ramai lagi hamba yang kuat. Nak tengok yang di belakang tak?"

"Saya cakap itu saja kan?" Tegas orang tua itu.

Bos Mu terperanjat dan cepat-cepat mengangguk faham. "Yalah. Saya banyak bercakap pula."

Sebelum sempat orang tua itu pergi, satu suara nyaring itu berbunyi lagi. "Ini berbaloi, encik! Seminit saja saya minta!"