Liang Shaoqing berasa terharu, dan setelah berfikir lama, dia pun berkata, "Ini saja duit yang awak ada. Kalau awak bagi semuanya kepada saya, apa yang akan terjadi pada awak nanti?"
"Saya akan baik-baik saja," Chu Qiao tersenyum dan membalas. "Kalau bukan kerana saya, awak takkan berada dalam keadaan ini. Walaupun ia separuh salah awak, tapi saya tak boleh nafikan salah saya juga. Simpanlah duit ini. Berhati-hatilah pada masa depan, dan jangan jaga tepi kain orang lain."
Liang Shaoqing langsung tidak membalas, memegang wang kertas itu di dalam tangannya.
Chu Qiao mengambil nafas yang dalam dan bersandar pada sebuah tiang, merenung cahaya bulan yang menerangi luar dengan anak mata yang tenang dan tenteram. Raut wajah bengisnya yang sering dipaparkan kini telah dibubarkan, dan yang tinggal kini hanyalah perwatakannya yang tersipu-sipu.
Liang Shaoqing meraih wajahnya dan melihat gadis ini dengan pandangan yang berlainan dari yang lain. Tiba-tiba dia bertanya, "Awak nak pergi ke mana?"
"Saya? Saya akan pulang ke rumah."
"Awak tinggal di negara Tang?"
"Taklah," Wanita muda itu menggeleng kepalanya ringan. "Rumah saya jauh lagi. Saya masih ada perjalanan yang panjang."
"Sekarang ini tak aman, dan awak itu seorang perempuan, jadi awak kena lebih berhati-hati."
Chu Qiao hanya tersenyum namun masih berdiam, mukanya kelihatan lembut dengan bulu matanya yang panjang membentuk bayangan kecil pada mukanya di bawah cahaya bulan itu. Liang Shaoqing yang menyedari gadis ini belum membalas, menambah, "Saya akan pergi ke negara Tang."
Chu Qiao membalas lembut, "Oh."
Suara Liang Shaoqing tiba-tiba menjadi ceria apabila dia bercerita tentang pencapaiannya. "Saya akan pergi ke Tang Jing sebab nak melawat Tuan Besar, Cao Zhongmou."
"Cao Zhongmou, ketua cendekiawan di Jabatan Adat Istiadat Negeri Tang?"
"Ya! Awak kenal dia juga?"
Chu Qiao mengangguk. "Encik Cao memang hebat dalam bersajak. Nama dia terkenal di seluruh benua."
"Betul itu," Kata Liang Shaoqing. "Saya mengembara jauh hanya untuk melawat dia. Saya harus berjumpa dengannya."
"Baguslah kalau awak jumpa seseorang untuk disanjung tinggi. Tapi, itu tak semestinya bermakna awak kena berada di samping dia. Rugilah kalau awak balik dengan tangan kosong."
"Kenapa pula?" Liang Shaoqing tiba-tiba menjadi geram. "Encik Cao itu seorang cendekiawan yang terkenal. Kenapa saya akan berasa kecewa?"
"Ya ke?" Chu Qiao tergelak dan berkata, "Kalau macam itu, saya ucapkan selamat berjaya."
Angin di luar menghembus memasuki kuil usang tersebut yang lantas membuatkan obor-obor api di atas lantas menggeletuk. Liang Shaoqing berfikir sejenak sebelum bertanya, "Kenapa pegawai-pegawai tentera itu kejar awak?"
Tanpa meraih wajahnya, Chu Qiao bertanya, "Awak tak tahu ke?"
Liang Shaoqing terpaku. "Tahu apa?"
Wanita muda itu menjawab malas. "Bukan ke awak kata dulu? Saya ini pencuri, dan awak betul, saya ditangkap mencuri, jadi sebab itu mereka mengejar saya."
Liang Shaoqing terpaku dan Chu Qiao berpaling sambil tersenyum, menambah, "Betullah. Makanan yang awak makan, duit yang awak pegang itu semuanya saya curi. Duit yang saya gunakan untuk membeli awak itu, saya curi juga. Awak tahu kesusahan awak sekarang ini, awak masih nak tolak duit dan makanan, macam seorang budiman tujuh kaki yang berdiri teguh ke?"
"Saya… Saya…" Liang Shaoqing tergagap buat seketika yang mendapat gelakan daripada Chu Qiao, memberikan sebuah senyuman yang menawan. Giginya yang putih hampir membutakan mata cendekiawan tersebut.
Pada masa ini, Chu Qiao tiba-tiba berkerut, senyuman di wajah terus pudar. Raut wajahnya bertukar bengis yang diambil alih oleh naluri utamanya, dengan telinga yang ditegakkan gadis itu dapat mendengar beberapa bunyi tapak kaki di kejauhan yang sedang mendekati kuil tersebut.
Liang Shaoqing yang menyedari ada sesuatu perkara yang tidak kena itu terus mendekatkan badannya ke Chu Qiao dan berbisik dengan penuh gementar, "Bos Mu ke itu?"
Chu Qiao tidak membalas, sedar ia bukanlah Bos Mu, Pedagang hamba itu tidak akan mampu mengarahkan sekumpulan tentera yang besar untuk mengejarnya. Tambahan pula, tapak-tapak kaki yang didengari Chu Qiao berbunyi seperti ia milik orang-orang yang mahir dalam seni mempertahankan diri. Gadis itu berdiri dengan perlahan, dan meraba-raba belakangnya untuk mengambil pedang, berkata perlahan. "Awak kena ikut belakang saya. Sama ada awak mati atau hidup, itu semua terletak pada awak."
Tiba-tiba, sebuah sinaran berwarna perak tiba-tiba muncul di hadapan gadis itu apabila dia sedang bercakap dengan Liang Shaoqing. Mara bahaya! Namun dengan ketangkasan gadis ini, dia mampu untuk bergerak ke sisi dan menepis pedang yang sedang terbang meluru ke arahnya itu dan dengan bunyi geletuk, pedang itu mendarat ke atas dada seorang lagi pembunuh upahan, lantas bunyi teriakan keperitan bergema dari luar kuil. Pihak musuh memang bersemangat untuk membunuh gadis ini jadi pertumpahan darah yang banyak bakal berlaku pada malam ini!
"Ikut saya!" Chu Qiao mendesis sebelum membuat balik kuang menuju ke tingkap, menghayunkan pedangnya untuk menjemput ombakan anak panah yang sedang menuju ke arah mereka. Pada masa yang sama, bunyi tapak kaki yang banyak bergema kuat di luar sebelum mereka meluru masuk ke dalam kuil usang itu, menghayunkan pedang mereka untuk memulakan serangan tanpa membuat sebarang bunyi!
Cahaya bulan yang menerangi bumi pada malam itu terang. Dua orang lelaki yang sedang memakai pakaian serba hitam menghala ke arah Chu Qiao dan sebelum gadis itu sempat memberi sebarang tindak balas, sebilah pedang telah dihalakan dekat dengan kepalanya.
Pergerakan Chu Qiao amat menakjubkan apabila dia akhirnya memberi tindak balas. Dengan tangannya yang menggenggam pergelangan tangan pemuda itu, bunyi tulang dipatahkan bergema kuat memenuhi kawasan tersebut yang diikuti dengan bunyi pedang yang terjatuh di atas lantai. Lelaki serba hitam itu terus terjatuh di atas lantai sambil berteriakan kesakitan.
"Bodoh! Ikut saya!" Chu Qiao merentap baju Liang Shaoqing yang sedang berada di dalam ketakutan yang amat. Gadis itu melompat dan terus menendang seorang lelaki di dadanya dengan penuh kejam yang diikuti dengan bunyi tulang yang patah sekali lagi, pemuda serba hitam itu meludahkan air liurnya yang dipenuhi darah itu setelah terjatuh dan ditolak jauh. Dengan naluri kebinatangan untuk terus hidup, gadis itu bergerak dengan penuh lincah, menghayun-hayunkan pedangnya sekali lagi sambil meluru ke hadapan dan mengelak dari pembunuh-pembunuh itu, membalas serangan mereka dengan penuh tepat. Dalam sekelip mata sahaja pembunuh-pembunuh yang masih hidup itu berasa takut untuk berhadapan dengan gadis itu.
"Serang! Serang!" Ketua pasukan pihak musuh mengarah orang-orang bawahannya yang sedang melangkah ke belakang akibat perasaan takut. Chu Qiao memalingkan wajahnya untuk merenung ketua itu dengan anak mata yang penuh dingin sebelum memberikannya sebuah senyuman yang mengerikan dan gadis itu lantas mengambil pisau belati yang tersemat di pinggang sebelum melemparkannya ke arah ketua tersebut dengan penuh tepat. Mata pemuda itu terbeliak sebelum dia terkulai layu di atas lantai.
Pintu gerbang kuil itu sempit yang menyebabkan tidak ramai orang yang boleh melintasinya pada masa yang sama. Pertumpahan darah pasti berlaku ke mana sahaja gadis ini pergi yang telah membunuh sesiapa sahaja yang menghalangnya dengan satu pergerakan sahaja. Chu Qiao yang tidak mempunyai sebarang senjata bersamanya itu mampu membunuh musuh-musuhnya dengan hanya bergantung kepada urat sendinya sahaja, seolah-olah gadis itu seorang yang kebal. Babak itu memang menakjubkan.
Tiba-tiba, Liang Shaoqing melepaskan sebuah tangisan dari belakang gadis itu dan tanpa berfikir panjang, Chu Qiao berpusing ke belakang. Gadis itu lantas berasa kesakitan yang amat di rusuk kirinya namun sebelum sempat gadis itu memeriksa kecederaannya, dia telah menggunakan Pedang Poyue yang masih erat tersemat di dalam tangannya untuk memenggal kepala pihak musuh di hadapan dengan darahnya yang terus terpercik ke muka Liang Shaoqing. Cendekiawan bacul itu yang tidak pernah menyembelih seekor ayam pun melepaskan sebuah pekikan yang kuat, lebih kuat daripada teriakan pembunuh yang kepalanya baru sahaja dipenggal itu!
Wanita muda itu tersangatlah pantas bagi seseorang yang sedang mengalami kecederaan. Tubuh badannya yang kecil molek itu membenarkan Chu Qiao untuk bergerak dengan penuh lincah di dalam kawasan yang sempit dan tidak lama kemudian, mayat-mayat pihak musuh semakin bergelempangan di atas lantai.
"Pegang saya dengan kuat!" Desis wanita muda itu kepada Liang Shaoqing namun sebelum pemuda itu dapat membalas, sekumpulan pihak musuh yang lebih besar daripada sebelum ini tiba-tiba muncul dalam penglihatan mereka di kejauhan. Pemuda itu tidak mengerti mengapa seorang pedagang hamba begitu bersungguh-sungguh mengejar mereka. Chu Qiao melilitkan tali abah-abah di pinggangnya sebelum melemparkan cangkuknya pada sebuah tiang di atas bumbung, dan lantas dia melonjak ke atas tiang dengan menggunakan sokongan dari tali tersebut namun Liang Shaoqing tidak dapat menggenggam Chu Qiao tepat pada masanya.
Sebuah lagi ombakan anak panah sedang menuju ke arah mereka. Chu Qiao bercangkung di atas tiang, menggunakan cangkuk abah-abah itu untuk mengait Liang Shaoqing yang berada di atas lantai. Gadis itu memegang sebelah tali dengan erat dan lantas melonjak ke atas tanah dan dalam sekelip mata, Liang Shaoqing dan Chu Qiao telah bertukar kedudukan!
"Cepat! Lepaskan anak panah!"
"Pegang tali itu!" Arah Chu Qiao lantas menarik tali tersebut dan memanjat ke atas bumbung dengan beberapa pergerakan lincah namun gadis itu tidak sempat mengelak sebatang anak panah dari menusuk bahunya, lantas menyebabkan darah terpercik keluar.
"Ah! Awak tercedera!"
"Hentikanlah!" Desis Chu Qiao. Dia mengeluarkan sebuah jubin bumbung di atasnya dan memegang Liang Shaoqing untuk memanjat keluar dari kuil.
Anak-anak panah yang lain semuanya tertusuk pada tiang kuil tersebut. Sebuah suara bergema kuat, "Target kita dah larikan diri melalui bumbung. Kejar mereka!" Namun, Chu Qiao langsung tidak dapat dikesan apabila mereka tiba di bumbung. Pemuda-pemuda berpakaian serba hitam itu merenung muka masing-masing, membuka samaran mereka setelah seketika. Seseorang berkata dengan penuh jengkel, "Dia masih dapat melarikan diri walaupun dengan perangkap sebegini! Hidup kita selama hari ini sia-sia saja!" Pakaian tentera mereka terlindung di sebalik pakaian serba hitam itu.
Seorang lagi menggeleng kepalanya sambil berkata, "Kita dah kalah teruk di Permatang Tang Ma. Kalau dia seorang gadis biasa, pasti ibu negara takkan janjikan kita kemewahan sebanyak itu."
"Pada pendapat aku, tak salah kalau kita menyerah kalah saja."
"Kita akan teruskan." Pemuda itu menggeleng kepalanya dan berkata, "Akan jadi lagi susah kalau kita nak tangkap dia pada masa depan."
"Awak okey ke?" Liang Shaoqing mengendong Chu Qiao di dalam kegelapan sebuah jalan yang sempit. Kecederaan di bahu gadis itu masih boleh ditangani Chu Qiao, namun kecederaan di rusuk kirinya itu lebih serius dengan darah yang mengalir tanpa henti pada luka itu
Chu Qiao mengerang sambil mengetap giginya. "Letak saya di tanah."
"Apa?"
"Letak saya di tanahlah!" Wanita muda itu berkata tegas. "Mereka tak kejar kita."
"Siapa kata kami tak kejar kamu!" Suara lemah tiba-tiba bergema kuat dari kegelapan dan kedua-dua remaja itu terkejut untuk melihat Bos Mu yang muncul dalam penglihatan mereka sambil diiringi oleh lebih daripada 20 orang lelaki.
Liang Shaoqing memekik, "Jadi memang kamulah!"
Bos Mu langsung tidak membalas renungan Liang Shaoqing kerana dia sedang asyik merenung Chu Qiao sahaja. Tersenyum, dia berkata, "Budak nakal! Kamu ada musuh yang ramai ya? Aku dah lama mencari kamu tapi tak sangka pula ia akan jadi semudah ini."
Liang Shaoqing berdiri dan mendepangkan kedua belah lengannya untuk melindungi Chu Qiao. Pemuda itu membalas dengan bersungguh-sungguh, "Tangkap aku kalau kau nak! Jangan sakiti dia!"
"Jangan sakiti dia?" Ejek Bos Mu. "Aku takkan bagi muka kepada sesiapa pun!"
"Kalian! Tangkap budak-budak nakal ini. Dia nampak kacak, mungkin kita boleh dapat harga yang bagus untuk dia ini."
Para lelaki itu pun melangkah ke hadapan, menangkap Chu Qiao yang sudah tercedera teruk itu dan Liang Shaoqing yang lemah itu dengan mudah.
Bos Mu melambai tangannya ke hadapan dan ke belakang. "Mari kita pergi balik ke pasar!"