Di dalam sebuah bilik yang sempit dan gelap, bunyi teriakan gadis itu telah menyebabkan Liang Shaoqing terjaga lantas pemuda itu pun bergerak ke sisi Chu Qiao dan bertanya dengan khuatir. "Awak bangun dah? Awak okey tak?"
Chu Qiao berkerut dan cuba untuk membuka matanya dengan sepenuh tenaga, hanya tidak sedarkan diri buat seketika sebelum dia menempik, "Ulat buku bodoh. Awak tekan bahu sayalah!"
"Ah!" Liang Shaoqing terperanjat lalu melompat dengan pergerakan yang berlebihan. Dengan tidak sengaja pemuda itu telah membuka luka gadis itu kembali yang lantas kembali berdarah.
"Maafkan saya! Awak okey tak? Awak takkan mati kan?"
Chu Qiao merenung ke arahnya dengan hati yang panas sambil berkerut sekeras mungkin dan cuba mengetepikan kesakitan yang dirasai di rusuk kirinya itu. Selama dia mengharungi roda kehidupan ini, pelbagai halangan yang sudah ditempuhinya namun dia langsung tidak menjangka dia boleh kecundang di saat akhir sebegini, jadi sudah tentulah dia berasa geram. Nasib baiklah luka di rusuk kiri dan bahunya itu tidak begitu dalam dan melarat tetapi jika dia berterusan tinggal di kawasan para hamba yang kotor itu tanpa sebarang rawatan, memang nahaslah dia. Dia kemudian memeriksa penjara sempit ini di mana seorang manusia pun tidak akan mampu berdiri dengan tegak kerana dindingnya yang terlalu rendah dengan satu-satunya sumber cahaya samar-samar yang menerangi mereka telah datang dari atas, yang membuatkan gadis itu pasti mereka telah dikurung di dalam penjara bawah tanah setelah Chu Qiao telah dinamakan sebagai seseorang yang berbahaya.
Bunyi kunci pintu dibuka tiba-tiba kedengaran dan dua orang lelaki yang berpakaian coklat berjalan masuk sambil membawa cemeti selebar ibu jari bersama. Mereka menjerit dengan suara yang serak, "Makhluk tak guna! Bangun cepat!"
Liang Shaoqing yang sememangnya berasa takut itu menggeletar di kaki dan tangannya. Cendekiawan tersebut yang hidup mewah selama ini telah membuat keputusan untuk meninggalkan kampung halamannya dan pergi ke Tang Jing dengan semangat yang gigih namun malang memang tidak berbau, akhirnya nasib dia di sini. Sebelum ini, dia tidak pernah memahami kejahatan yang berlaku di dunia ini kerana dia tidak mampu membayanginya. Walaupun demikian, cendekiawan bacul ini masih lagi berdiri di hadapan Chu Qiao dan berkata dengan lantang, "Apa…apa kamu nak lakukan? Sebaik saja aku keluar, aku akan laporkan perkara ini kepada pegawai atasan yang kamu paksa kami jadi hamba dan menyerang seorang bangsawan, berkelakuan biadab dan langsung tidak mempedulikan darjat…"
Dengan satu libasan sahaja cemeti tadi mengenai lengan Liang Shaoqing. Namun, si cendekiawan itu masih lagi berkeras dan tidak berganjak walaupun seinci.
"Makhluk tak guna! Di sini pun kau masih nak berlagak hebat ya? Kalau kau mengarut lagi, aku akan sumbat najis ke dalam mulut kau dan kita akan tengok kau nak cakap lagi ke tak! Bodoh betul!" Lelaki itu terus mengherdik tetapi geramnya masih belum reda jadi dia terus melibas cemetinya namun sebelum cemeti itu sempat terkena pada Liang Shaoqing lagi, Chu Qiao cepat-cepat bertindak dengan memegang hujung cemeti tersebut. Lelaki tersebut mula naik berang dan cuba menyentak tali tersebut sebanyak dua kali namun ia masih tidak berhasil. Dia yang sudah dikawal oleh perasaan amarahnya cuba untuk bergelut supaya Chu Qiao melepaskan cemeti tersebut dan Chu Qiao akhirnya melepaskannya yang menyebabkan lelaki tersebut terjatuh ke belakang dan kepalanya terhantuk pada tembok bata di situ.
"Setiap orang ada jatuh bangunnya sendiri. Lebih baik kau ikhtiar satu jalan keluar sebelum lakukan sesuatu." Wajah Chu Qiao pucat tetapi nada suaranya masih lagi dingin seperti biasa. Lelaki tadi yang sudah terbaring di lantai berdiri semula dan menerpa ke arah Chu Qiao sambil menjerit. Dua langkah ke hadapan, dia tiba-tiba berhenti. Walaupun Chu Qiao masih muda, dia masih berupaya untuk kekal tenang dalam situasi seperti ini, berbeza jika dibandingkan dengan cendekiawan tadi yang mengugut untuk melaporkan hal ini kepada pihak atasan.
"Ulat buku, naikkan saya kejap."
Liang Shaoqing terpaku sejenak. "Naik ke mana?"
Chu Qiao menatap matanya dengan geram. Oleh kerana dirinya yang cedera parah, gadis itu langsung tidak mempunyai masa untuk melayan kerenah dan menerangkan kepada cendekiawan itu jadi Chu Qiao cuba untuk berdiri sendiri dengan berpaut pada tembok bata itu dan sebaik sahaja Liang Shaoqing melihatnya, dia cepat-cepat menolong gadis itu dengan memegang tangannya.
"Adik tahulah mana yang baik. Abang Kelima, biar mereka tukar pakaian. Kita dah nak berniagalah." Pakaian yang dipakaikan kepada hamba abdi hanyalah merupakan sepasang kain yang mempunyai lubang di tengah-tengahnya yang dianggap sebagai kolar dengan tali pula yang diikat di sisi supaya dapat dilihat sebagai sehelai pakaian, bahagian hadapan dan belakang kain yang tertulis perkataan 'Hamba' sebesar-besarnya.
Keadaan di bandar Xian Yang sangat riuh-rendah pada waktu pagi. Pedagang dari serata tempat berada di sepanjang jalan jadi pelbagai loghat dari selatan dan utara dapat didengari. Para peniaga menjual pelbagai jenis barang keperluan di sepanjang jalan dari bahan makanan yang cepat rosak sehinggalah ke bahan mentah yang lain jadi pasar tersebut sesak dan riuh-rendah dengan orang ramai.
"Masuk cepat!" Seorang lelaki menolak mereka berdua masuk ke dalam sangkar yang mempunyai lebih kurang 70-80 orang hamba dari pelbagai usia dan jantina. Yang paling tua berusia lebih kurang 40 ke 50 tahun dengan rambut yang sudah beruban manakala yang paling muda ialah kanak-kanak sekitar tujuh atau lapan tahun. Mereka terduduk di suatu penjuru seperti arnab dalam ketakutan sambil memerhatikan keadaan sekeliling mereka.
Swoosh! Belakang badan Chu Qiao disebat dengan cemeti dan ia terasa sangat memedihkan sehingga belakangnya terluka. Setelah melihat hal ini, Liang Shaoqing cepat-cepat melindungi gadis itu dari dipukul lagi. Bunyi sebatan itu terngiang-ngiang di telinganya dan menyebabkan hamba-hamba lain menjerit ketakutan di tengah-tengah sangkar itu.
"Duduk elok-elok! Nanti kita ada pelanggan penting! Kalau sesiapa berani buat hal, nahas kamu!" Dengus lelaki itu sebelum berpaling dan berjalan dengan bongkak.
Orang ramai pun mula beredar. Hamba-hamba yang telah disebat tadi mula meronta-ronta kesakitan.
"Haih." Tiba-tiba Chu Qiao berasa panas setelah kehilangan banyak darah dan berasa pening. Dia kemudiannya menyiku cendekiawan itu dengan lembut sambil berkata, "Awak okey tak?"
Liang Shaoqing mendongak. Dia masih lagi terbaring di atas tubuh Chu Qiao. Setelah tersedar akan hal itu, dia cepat-cepat bangun dan mengujar, "Saya okey."
"Tolong saya kejap. Saya nak sandar di situ."
Liang Shaoqing pun terus membantunya untuk bersandar di penjuru sangkar. Gadis itu berkerut dan mencuba dengan sedaya upayanya untuk menahan kesakitan, berkata dengan nada yang rendah, "Nanti akan ada orang datang untuk beli hamba. Kita harus dibeli supaya dapat keluar dari sini secepat mungkin."
Liang Shaoqing terkaku. "Kita akan jadi hamba ke?"
"Kalau ikutkan situasi kita sekarang ini, kita dah tak boleh lari lagi." Wajah Chu Qiao mula menjadi kemerahan seperti dia telah diserang demam dengan suaranya yang sudah tidak bertenaga lagi lalu dia pun memejam matanya perlahan-lahan, bersandar pada bahu cendekiawan tadi sambil berbisik, "Saya perlu cari tempat untuk pulih kembali."
Tubuh Liang Shaoqing terkaku sejenak kerana dia dapat merasakan nafas gadis itu di lehernya. Lantas dengan itu, wajahnya berubah merah malah lebih merah jika dibandingkan dengan Chu Qiao sendiri. Dia kemudiannya membalas dengan segera, "Ya, ya. Betullah itu."
Chu Qiao berdiam selepas itu dan apabila Liang Shaoqing mengintai gadis itu, ternyata Chu Qiao sudah tertidur. Nafasnya begitu panas seolah-olah dia diserang demam. Liang Shaoqing terperanjat lalu dia cepat-cepat menyukat suhu badan gadis itu dengan tangannya sebelum membaringkan tubuh Chu Qiao di atas tanah dengan kepala gadis itu yang diletakkan di atas ribanya supaya lebih selesa. Buat masa ini, Liang Shaoqing sudah buntu untuk memikirkan jalan keluar.
Jalan raya di Bandar Xian Yang sesak kerana pada masa itu, sekumpulan tentera sedang berjalan melewati jalan tersebut dengan ketua pasukan mereka yang sedang menunggang seekor kuda putih, wajahnya kacak dan menawan namun penuh sinis. Keningnya tersusun rapi manakala hidungnya pula sangat mancung dengan bibir yang berwarna merah terang dan tatapan matanya begitu dalam seperti lautan. Dia ditemani dengan sekumpulan pengawal yang bertubuh sasa dan perlahan-lahan mereka melewati jalan tersebut.
"Tuan," Zhu Cheng menghampiri lelaki yang menunggang kuda itu lalu berbisik. "Laluan air ada di depan. Zhu Ting dah buat persediaan terlebih dahulu. Utusan dari Empayar Tang akan mengalu-alukan ketibaan kita di sana. Kita boleh melintas sempadan dengan menggunakan jalan air."
Zhuge Yue menganggukkan kepalanya bersahaja. Orang ramai menatap wajahnya yang kacak itu dengan penuh keasyikan sambil memberi laluan kepada pengiringnya. Ternyata pemuda tersebut telah berjaya menggoda hati-hati gadis di situ. Matahari pada pagi itu sudah terbit dan meninggi dengan kabus yang tidak lagi kelihatan. Zhuge Yue sedang memakai jubah berwarna biru gelap yang secara tidak langsung menonjolkan lagi ketampanan wajahnya itu dan setelah melepasi suatu bahagian pasar, tuan muda bangsawan itu tiba-tiba berkerut dan menghentikan kudanya. Pengiringnya kemudian mengikuti pergerakan tuan muda mereka dan memandang ke arah yang direnung Zhuge Yue dan lantas ternampak banyak gerai yang menjual pelbagai produk kecantikan dan tanglung di situ dengan sekumpulan gadis yang sudah mengerumuni gerai-gerai tersebut sambil memilih produk kesukaan mereka. Setelah melihat seorang tuan muda bangsawan menghampiri mereka, mereka memandang ke arahnya dengan penuh gembira dan terkejut lalu berharap pemuda ini sedang merenung mereka.
Zhuge Yue menatap buat masa yang agak lama dengan renungan mata yang sukar untuk ditafsirkan dan tiba-tiba pemuda itu berpaling dan beredar dengan kudanya lantas menyebabkan gadis-gadis tadi berasa kecewa. Walaupun keliru, pengiring tuan muda bangsawan itu tetap mengekori belakangnya.
Sebelum sempat salah seorang gadis tadi beredar, seorang penjual menarik lengan bajunya lalu berkata, "Cik! Cik nak lagi tak tanglung arnab ini?"
"Tak naklah!" Dengus gadis itu lantas beredar dengan rakan-rakannya yang lain.
Bunyi dentuman gendang berkumandang di jalanan bagi menandakan pembukaan penjualan hamba. Bertambah meriahlah pasar itu dibuatnya. Perniagaan Bos Mu agak maju pada waktu ini setelah membuat perjanjian besar sebentar tadi. Tambahan pula, terdapat ramai lagi pelanggan kecil yang lain. Dia kemudiannya tersengih-sengih dan menampakkan barisan giginya yang kuning sambil melihat karung duitnya itu.
"Cik! Cik!" Liang Shaoqing merendahkan nada suaranya sambil memegang semangkuk air yang diambil dengan teliti. Dia bergerak di samping Chu Qiao sambil berbisik, "Bangun dan minum air ini sikit!"
Keadaan bertambah riuh-rendah dengan kehadiran orang ramai. Sekumpulan rakyat jelata berkumpul di hadapan gerai Bos Mu sambil memerhatikan hamba-hamba yang dipamerkan, sesetengah daripada mereka berbadan sasa dan yang lain berwajah tampan. Pelanggan serata tempat pun mula berkumpul di sekeliling sangkar sambil berbincang tentang ciri-ciri hamba yang diperlukan mereka seperti ingin membeli ayam di pasar. Mereka mengkaji dari segi penampilan hamba-hamba itu seperti gigi mereka yang tersusun rapi. Bagi lelaki yang membeli hamba wanita pula, mereka meminta tubuh-tubuh hamba ini diperiksa dengan teliti di situ juga. Bos Mu sememangnya akan memberikan layanan yang baik kerana di sebelah kanannya sudah disediakan sebuah bilik kecil untuk pelanggan melakukan pemeriksaan mereka.
Apabila Zhuge Yue melewati kawasan itu, seorang lelaki tua dalam lingkungan 60-an sudah membeli sepuluh hamba wanita yang berusia sekitar 11 atau 12 tahun yang lantas menimbulkan perbualan dalam kalangan orang di situ. Perniagaan Bos Mu sangat maju sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas dan menghalang laluan pengiring keluarga Zhuge.
"Tuan, biar saya tengok apa ada di depan." Yue Qi yang kini remaja mempunyai tubuh yang sasa dengan renungan mata yang begitu menenangkan. Nampaknya dia sudah berjaya menjadi seorang perajurit yang handal.