Yan Xun mengerutkan dahinya lebih dalam dan mencuba sedaya upaya untuk melarikan diri daripada renungan anak mata Zhao Chun'er, malah pemuda itu memalingkan wajahnya ke sisi. Ciri-ciri wajahnya dari pandangan sisi lebih kelihatan dingin dan tegas daripada biasa.
"Chun'er, balik ke sini!" Zhao Song yang sedang berang berteriak.
Zhao Chun'er tiba-tiba terjelepek ke atas tanah dan mula merangkak ke hadapan, cuba untuk mencapai hujung baju milik Yan Xun sambil teresak-esak sekali lagi, "Abang Xun, tolonglah jangan memberontak, saya merayu ini!"
Anak mata Zhao Song bergelumang dengan perasaan berang yang tidak terhingga, menengking, "Chun'er, apa yang kamu buat ini?" Dia melibas kudanya menggunakan cemeti di tangan dan meluru ke hadapan. Sekaligus, para pahlawan daripada Kesatuan Da Tong dengan serentaknya melangkah ke hadapan untuk melindungi Yan Xun dengan pedang mereka, sambil melepaskan raungan pertempuran!
"Abang Xun, Chun'er merayu kepada awak! Ayahanda akan membunuh awak! Beliau akan menghantar orang-orang suruhannya untuk mengejar awak!" Zhao Chun'er masih menangis di atas tanah, namun Yan Xun yang langsung tidak terkesan oleh wanita itu cuma meraih pandangannya untuk melihat ke langit, tidak mengendahkan hujung jubahnya telah digenggam erat oleh Zhao Chun'er. Anak matanya sering diselindungi oleh rambutnya yang hitam, namun apabila angin malam membeku bertiup, jelas kelihatan wajah pemuda itu yang kacak dan juga anak matanya yang bersinar terang sambil memancarkan aura kesungguhan dan juga keazaman yang kuat.
Pada ketika itulah bunyi pedang yang sedang sabung-menyabung kedengaran kuat dari kejauhan, dan semarak api berwarna keemasan tiba-tiba meletus di udara dari bahagian selatan bandar. Yan Xun dan Chu Qiao kedua-duanya menoleh ke arah bebola api dengan pandangan yang suram.
"Divisyen ke-19 dah mula menyerang! Yan Xun, kalau kau tak mahukan lebih ramai orang yang tak bersalah mati bersama-sama kau, lebih baik kau menyerah kalah sekarang!" Zhao Song berkata lantang semasa pemuda itu sedang menghayun-hayunkan pedangnya ke arah pahlawan Kesatuan Da Tong untuk cuba mengundurkan mereka ke belakang.
"Yan Xun, kita tak boleh berlengah lagi."
Yan Xun menoleh ke belakang dan mengangguk kepalanya perlahan, dan serta-merta pemuda itu memusingkan kudanya ke belakang dan terus bergerak ke arah tempat kejadian yang membawa konflik kepada mereka tanpa sebarang rasa ragu-ragu. Zhao Chun'er yang masih terduduk di atas tanah itu kehilangan kestabilan dirinya dan terus jatuh terlantar di atas tanah. Chu Qiao dan para tentera berpakaian jhitam itu semuanya mengekori Yan Xun dan dari kejauhan, gadis itu boleh melihat Zhao Chun'er masih lagi merangkak dan berteriakan sambil Zhao Song yang sedang terduduk tegak di atas kudanya di sebelah wanita itu, tangannya erat memegang sebilah pedang. Angin malam yang sejuk terus mengepak-ngepakkan hujung jubah pemuda itu, malah rambutnya yang hitam pekat itu juga kelihatan seperti memancarkan sebuah perasaan keseorangan dan juga kesepian.
Setelah lapan tahun perkenalan yang sebenarnya hanyalah sebuah mimpi indah yang kini telah bertukar kepada kemusnahan. Memang sudah terpahat takdir tersebut dari saat di mana gadis itu mengekori Yan Xun ke dalam Istana Sheng Jin. 'Putera Ketiga Belas, saya memang dah hancurkan persahabatan kita dan juga kepercayaan awak kepada saya.'
"Gerak!" Chu Qiao melibas cemetinya dan meluru pergi dengan sebuah teriakan yang pendek sambil meninggalkan pasangan adik-beradik itu, secara tidak langsung gadis itu sedang meninggalkan lapan tahun yang telah berlaku kepadanya itu ke belakang. Mata gadis itu hanya tertumpu ke hadapan dan pada bendera pertempuran Helang Besi berwarna hitam itu.
Di Jalan Nan'An, beberapa orang rakyat yang sedang memberontak telahpun ditangkap. Komander daripada Divisyen ke-19, Fang Baiyu, memegang pedang panjangnya di sebelah tangan manakala baju perisainya sudah dilumuri darah, membunuh penyangak-penyangak di sepanjang jalan bersama kumpulan tenteranya, membuat kekecohan di mana sahaja mereka pergi.
Pengutus menyelinap ke dalam medan pertempuran untuk membawa cebisan demi cebisan berita buruk sambil Yan Xun yang sedang terduduk di atas kudanya dengan lidahnya terkelu dan mukanya yang membuntang, memang sukar untuk mengetahui apa yang difikirkan pemuda ini.
Chu Qiao mengecilkan matanya dan bertanya, "Tak cukup lagi ke?"
Yan Xun membalas lembut, dengan gelengan kepala yang tenang, "Belum cukup."
"Ramai yang dah terbunuh!"
"Aku tahu."
Chu Qiao menarik nafasnya dalam dan memasamkan wajahnya, membalas dengan nada serius, "Yan Xun, kadar mangsa yang terbunuh dah tinggi sangat, Utusan Bandar Xi Nan dah tak boleh nak bertahan lama lagi. Kalau kita teruskan menunggu, mereka pasti akan jatuh."
Yan Xun membangkang, "Divisyen ke-12 dan Divisyen ke-36 sedang menunggu peluang untuk menyerang dari luar bandar. Kalau kita berundur sekarang, mereka akan menghentam orang-orang kita, dan kalau itu terjadi, kepulangan kita ke Yan Bei takkan menjadi semudah yang kita sangka, dengan serangan demi serangan dari empayar."
"Walaupun macam tu, tapi kalau kita masih menunggu di sini, lebih ramai yang akan terbunuh! Akan berlaku kacau-bilau semasa perawatan mereka yang tercedera dan juga peunduran pasukan tentera."
Yan Xun memberikan gadis itu sebuah kerutan dahi yang kecil, namun ia terus diikuti dengan gelengan kepalanya. "Jangan risau, aku ada rancangan."
"Yan Xun…"
"Ah Chu, tinggalkan ibu negara ini dulu."
Chu Qiao yang tergamam mendengar kata-kata Yan Xun itu serta-merta membantah, "Aku tak nak."
"Ah Chu." Pemuda itu masih memaparkan raut wajah yang lembut walaupun di dalam suasana yang diselubungi bau darah dan penuh dengan pembunuhan itu dan berkata lembut, "Tinggalkan bandar ini dulu, dan pergi ke Chi Shui dan bersiap sedia untuk operasi menyeberangi sungai itu bersama Ah Jing. Dia tu bukannya boleh diharap sangat dengan perkara yang rumit, jadi aku risau."
"Tak nak, aku nak terus bersama kau!" Chu Qiao menggeleng kepalanya dengan degil.
Raut wajah Yan Xun terus bertukar tegas dan menegurnya keras, "Chu Qiao, ini perkara yang mustahak, boleh tak tolong jangan buat perangai kebudak-budakan itu sekarang!"
"Ada bahaya di merata-rata tempat di dalam ibu negara ini, dan Divisyen ke-12 dan Divisyen ke-36 semuanya tengah memperhati gerak-geri kita, menunggu saat untuk menyerang, jadi macam mana aku boleh tinggalkan kau seorang diri untuk bertarung!"
Yan Xun tersenyum. "Bodoh, macam mana aku boleh keseorangan? Aku masih ada sepuluh ribu tentera daripada Bandar Xi Nan. Kau tak perlu risau tentang aku!"
Chu Qiao membahas pantas, "Mereka baru saja beralih arah untuk menolong kau, siapa tahu kalau mereka akan beralih arah sekali lagi? Bagaimana aku nak mempercayai mereka?"
"Kalau kau tinggal di sini dan tentera Bandar Xi Nan tu beralih arah, kita masih tak boleh nak lari daripada takdir ini. Ah Chu, kita tak boleh meletakkan harapan kepada orang yang kita curigai, dan kita tak boleh mencurigai orang yang kita mengharap. Ayat itulah yang kau ajar pada aku."
Chu Qiao memandang Yan Xun dengan penuh curiga, dan mengutarakan kebimbangannya, "Yan Xun, kau betul-betul percaya kepada mereka sebegitu banyak ke?"
"Aku tak percayakan mereka, aku percaya pada diri aku sendiri!"
Bunyi laungan pertempuran berbunyi kuat memenuhi udara sekali lagi, dengan sebuah serangan yang telah dilepaskan yang diikuti dengan sebuah serangan balas. Anak-anak panah memenuhi ruang angkasa, dan bandar tersebut dicemari dengan warna darah. Pandangan mata Yan Xun tajam bak sebilah pedang, dengan hujung jubahnya yang berkepak-kepak, sementara pemuda itu sedang memerhati penyabungan pedang yang berlaku di hadapannya itu. Dia menerangkan perlahan, seolah-olah sedang menyatakan suatu fakta, "Selain daripada berlawan demi aku, mereka tak mempunyai cara lain untuk terus hidup. Kalau mereka berperang bermati-matian bersama aku, maksudnya mereka masih mempunyai peluang untuk hidup, tapi kalau mereka berserah diri pada empayar, mereka akan dianggap sebagai pengkianat kepada Yan Bei dan juga Empayar Xia."
"Tapi peperangan ini terlalu berdarah. Aku bimbang mengenai reputasi kau yang baik hati itu."
"Baik hati?" Desis Yan Xun. "Ayahanda terlalu baik hati, dan itulah sebab dia mati di tanah tinggi Yan Bei. Aku akan pastikan yang aku bukan seperti dia."
Wajah Yan Xun tiba-tiba diselubungi dengan kabus hitam. Chu Qiao yang terkejut terus mendongak dan merenung pemuda itu, bertanya lembut, "Yan Xun?"
Yan Xun menundukkan kepalanya untuk merenung anak mata Chu Qiao, mendepangkan lengannya dan mendakap gadis itu yang kelihatan lemah dengan penuh erat, kedua-duanya masih berada di atas kuda. "Ah Chu, percayakan aku. Tunggu aku di Chu Shui. Kita akan pergi bersama-sama."
Chu Qiao tiba-tiba berasa seram sejuk apabila angin malam tiba-tiba menghembus, dan gadis itu menghulurkan lengannya untuk membalas dakapan pemuda itu, dengan suaranya yang jelas bergetar, "Yan Xun, kalau ada sesuatu buruk yang terjadi kepada kau, aku pasti akan membalas dendam demi kau."
Bunyi angin yang mendesir di atas tanah, dan juga laungan pertempuran terasa seperti amat jauh bagi mereka. Rambut hitam pekat milik Raja Yan Bei bertiup pada wajah kacak miliknya ketika dia mengangkat lembut dagu gadis di sisinya dengan sebelah tangan, mengukir senyuman lembut. Perasaan yang selama ini disemat jauh di dalam hati kini mencurah-curah semasa kedua remaja ini merenung ke dalam mata sesama sendiri. Setelah lapan tahun bersama melalui kehidupan yang sukar dan senang, hubungan mereka telah diukir istimewa di dalam hati masing-masing.
Mata Yan Xun bertukar serius apabila dia berbisik, "Ah Chu, saya tak pernah beritahu awak sebelum ini dan aku akan beritahu sekali saja, jadi dengar baik-baik. Saya nak berterima kasih kepada awak selama bertahun-tahun ini yang dah menemani saya untuk mengharungi penjara ini. Terima kasih sebab tak tinggalkan saya semasa saya sedang lalui saat-saat yang paling susah dalam hidup saya. Terima kasih sebab berada di sisi saya selama hari ini. Kalau bukan kerana awak, Yan Xun seorang papa kedana, dan mungkin dah lama mati. Ah Chu, saya akan mengatakan ayat ini sekali saja, kata-kata saya akan diikuti dengan perbuatan, saya akan balas budi awak selama saya masih hidup. Ada sesuatu di antara kita yang kita berdua faham tanpa perlu mengatakannya. Ah Chu, awak milik saya seorang, dan saya akan lindungi awak. Saya akan pergi bersama awak. Daripada saat saya pegang tangan awak lapan tahun dulu, saya tak pernah berniat sekali pun untuk melepaskannya."
Chu Qiao memejamkan matanya. Angin malam terasa bagaikan ulat sutera dan hatinya kini bagaikan dedaun kertau yang sedang dimamah perlahan.
Yan Bei, Dataran Huo Lei, Pergunungan Hui Hui…
"Yan Xun, saya tiada rumah untuk pulang. Hanya sebab awak yang berada di sisi saya selama ini yang membuatkan saya rasa tanah air saya seperti tanah air awak juga."
Pemuda itu menarik nafasnya dalam dan mengetatkan dakapan gadis itu. Hatinya terasa bagaikan sebuah tasik besar yang sedang mencair di bawah cahaya musim bunga. "Ah Chu, percayakan saya." Dia mengeluh ringan. Pemuda itu tidak menyatakan perkara yang patut dipercayai Chu Qiao, namun gadis itu mengerti, malah telah memberitahu pemuda itu dia akan memang mempercayainya setelus hati. Jika Chu Qiao tidak mempercayai pemuda ini, siapa lagi yang harus dipercayainya? Mereka hanya mempunyai sesama sendiri di dalam dunia ini.
"Ah Chu, ada suatu perkara yang saya dah lama nak buat."
Wajah putih mulus gadis ini tiba-tiba bercampur dengan kemerahan sedikit yang tidak mempunyai sebarang kaitan dengan pantulan api peperangan yang sedang berlaku di latar belakang. Gadis itu meraih kepalanya dan tersenyum lembut, "Jadi apa yang awak tunggu-tunggu lagi?"
"Haha!" Raja muda itu melepaskan ketawa dengan penuh sopan, menyondongkan badannya ke hadapan, dan merehatkan bibirnya ke atas bibir mungil milik gadis itu dengan penuh lembut.
Pada ketika itu, Chu Qiao memejamkan matanya dan menguraikan segala halangan minda dan perasaannya, dan terus ia mencurah-curah ke dalam ruangan minda gadis itu. Sementara itu, teriakan sorakan peperangan menggegar bumi di kejauhan bersama-sama bunyi bilah yang sedang sabung-menyabung. Kesuluruhan Bandar Zhen Huang sedang menggigil ketakutan, seperti teriakan terakhir seekor binatang buas. Istana Sheng Jin yang tersergam indah telah dijilat dek api, diikuti dengan istana dan menara emas di sekitar kawasan itu yang sedang dibaham ke dalam neraka mereka sendiri. Ahli-ahli terhormat dan tuan-tuan besar negara yang korup semuanya mengelap mata mereka, tidak percaya perkara sebegitu teruk telah menimpa bandar.
Lapan tahun yang lalu, tiada siapa yang akan mempercayai dua kanak-kanak lemah yang langsung tidak mempunyai apa-apa kuasa ini akan mempunyai keberanian dan keazaman yang sebegitu kuat. Kini lapan tahun kemudian, tiada siapa pula yang akan mencurigai dua orang anak kecil kini telah dewasa, dan telah menajamkam taring mereka, bersedia untuk membaham tembok-tembok ibu negara untuk melarikan diri daripada kekejian tanah ini dan ke dunia luar.
"Ah Chu, tunggu saya ya!"
"Baiklah." Melepaskan genggamannya daripada pemuda itu, wajah Chu Qiao mekar berbunga-bunga. "Kita akan menunggang kuda di tanah berumput di Dataran Yan Bei, memasuki kawasan bersalji di Pergunungan Hui Hui. Saya akan tunggu awak, Yan Xun!" Di dalam kekejaman angin malam, wanita itu mengklikkan lidahnya sebagai tanda untuk menggerakkan kudanya. Chu Qiao meluru ke Pintu Gerbang Barat dengan sekumpulan pengiring yang mengekorinya!
Yan Xun masih tercegat di atas kudanya, merenung Chu Qiao yang perlahan-lahan lesap ke dalam kegelapan. Kelibatnya kelihatan seperti pokok tinggi yang sedang berdiri bersendirian di tengah-tengah dataran, tanpa sebarang tanda ia bakal tumbang mahupun membengkok. "Sejarah takkan ingat tentang butirannya, hanya pada hasilnya. Dan hasil kepada pertempuran akan sering ditulis oleh para pemenang!"
"Tuan Putera! Divisyen ke-12 dah mula bergerak, dan Divisyen ke-36 pun dah tunjukkan tanda-tanda nak maju!" Seorang peninjau meluru ke arah Yan Xun dengan kudanya, dan raja muda itu terus mengangguk, berkata, "Dah hampir tiba masanya."
Sebuah kilat tiba-tiba menyambar di angkasa, letusan bunga api yang mewarnai langit menjadi biru itu kelihatan meriah dan telah menarik perhatian ramai orang. Di sebuah dataran yang sepi, sekumpulan lelaki sedang menyelinap dengan pantas, namun terhenti setelah melihat bunga api tersebut.
"Serangan balas dah bermula." Wajah Chu Qiao menjadi tegang, dan berkata di dalam bersendirian, "Yan Xun, jaga diri. Cepat pergi!" Gadis itu sedang meluru ke arah seberang sungai Chi Shui sementara seorang pemuda dengan riak wajah yang serius dan tegas sedang meraih cawan araknya di dalam sebuah menara, berkata dengan bangga, "Para pahlawan! Kemenangan Yan Bei terletak pada kalian! Ramai ahli-ahli terhormat di Yan Bei yang sedang menaruh harapan kepada kita. Kalau kita mati, mereka pun akan mati bersama kita! Saya, Yan Xun, akan menunggu kepulangan kalian dengan berita gembira!"
Ribu puluhan tentera serta-merta bersorak kembali, "Hidup Tuanku! Yan Bei takkan mengalah!"
"Yan Bei takkan mengalah!" Bunyi teriakan yang memekikkan berkumandang hingga ke angkasa sehingga Istana Sheng Jin pun kelihatan seperti sedang menggigil ketakutan apabila mendengar laungan tersebut. Yan Xun mengeluarkan pedangnya dan menjerit lantang, "Helang Pertempuran Yan Bei akan berterbangan di udara di atas tanah mahupun sungai. Kita tak boleh dihalang oleh apa-apa! Pahlawan, gunakanlah pedang kalian untuk memberitahu ibu negara tak guna ini apa sebenarnya maksud semangat juang Yan Bei!"