"Cik!" Rakyat-rakyat yang berada di tengah jalan mula untuk berpisah dengan perasaan takut apabila ternampak seekor kuda yang sedang mara ke arah mereka. Dilumuri dengan darah, dia tidak mampu mengecam warna baju sebenar milik Ah Jing ini.
"Putera akan berundur daripada Pintu Gerbang Zi Jin dan bergerak ke arah pintu gerbang Barat. Ikut saya dengan pantas!"
Chu Qiao hanya mengangguk tanpa berkata apa-apa, terus mengekori pemuda itu dan membuang jauh masalahnya buat masa ini.
Tangisan menyayat hati terus kedengaran datang dari jalan yang dikerumuni orang itu. Berpusing mengikut Dataran Zi Wei, bendera pertempuran Helang Besi milik Yan Bei kelihatan sedang berkibar megah dihembusi udara malam itu. Ramai askar yang sedang berdiri di tengah jalan daripada Dataran Zi Wei dengan pedang mereka yang sudah dikeluarkan dari karung, bersedia untuk menyerang pada bila-bila masa. Seorang lelaki berjubah hitam mengekang kudanya dengan megah, matanya tertumpu ke hadapan dengan wajah yang mulus dan mata yang memancarkan aura keyakinan yang tinggi. Kacak dan juga elegen, seperti sebilah pedang yang tidak berkarung, amat cantik dan menakjubkan namun masih memancarkan aura ingin membunuh.
Chu Qiao tergamam dan berhenti dalam langkahnya seolah-olah dia salah seorang yang tidak dikenali. Ah Jing yang terkejut melihat Chu Qiao tersebut memperingatinya, "Cik, kenapa cik tak nak pergi?"
"Oh, tak mengapalah." Gadis itu membalas dengan nada yang sungguh perlahan sehingga Ah Jing tidak dapat mengesan kata-kata gadis itu di dalam bunyi riuh-rendah suasana. Walaupun begitu, pemuda yang berada sejauh 100 kaki daripada mereka itu tiba-tiba meraih keningnya dan lantas menoleh ke arah kedua remaja ini, menumpukan perhatiannya yang tajam ke arah Chu Qiao. Wajah pemuda itu yang suram sebentar tadi kini hilang bagaikan kabus, dan digantikan dengan sebuah senyuman yang lebar, pemuda itu terus mengemudi kudanya untuk bergerak ke arah gadis itu sambil memanggil lantang, "Ah Chu!"
Chu Qiao tidak pernah melihat pemuda ini tersenyum sebegitu luas dalam masa lapan tahun yang lalu, dan lantas gadis itu melepaskan keluhan panjang, menghilangkan segala perasaan gundah yang bermain di dalam fikirannya. 'Apa-apa sajalah'. Walaupun jika jalan yang bakal mereka tempuhi dipenuhi dengan mayat-mayat yang bergelempangan, ataupun dipenuhi dengan mara bahaya, Chu Qiao telah bernekad untuk bekerjasama dengan pemuda itu dan pada ketika ini, dia tidak mampu untuk terus memikirkan tentang butiran-butiran kecil yang tidak penting. 'Selagi Yan Xun masih berada di sini, selagi dia baik-baik sahaja, dan selagi kita boleh merenung ke dalam mata masing-masing dan masih mampu tersenyum, semuanya akan menjadi baik-baik sahaja.'
Gadis itu mengekang kudanya ke hadapan dengan mukanya yang dihiasi dengan senyuman lebar, namun pada ketika itu, bunyi derapan kuda tiba-tiba datang dari arah Pintu Gerbang Zi Jin yang memeranjatkan Yan Xun dan Chu Qiao. Siapakah yang keluar dari istana pada waktu sebegini?
"Abang Xun!" Seorang gadis berbaju pengantin berwarna merah tiba-tiba meloncat turun dari kudanya dan menghalang laluan Yan Xun. Mata gadis itu bengkak bersama raut wajah yang pucat, tergagap-gagap berkata, "Jangan buat begini! Chun'er takkan berkahwin dengan Yan Xun lagi, Chun'er takkan paksa Yan Xun lagi, larikan diri saja! Ayahanda akan bunuh Yan Xun! Sekejap, tak, pergi merayu keampuan dari ayahanda! Abang Xun, ini salah Chun'er! Ini salah Chun'er!"
Kening Yan Xun berkerut sedikit, menoleh ke arah Chu Qiao dengan kebingungan. Luntur hati Chu Qiao melihat puteri ini dan lantas gadis itu pun menoleh ke arahnya dengan penuh kasihan. Rambut Chun'er kelihatan serabut, wajahnya sepucat sehelai kertas, kebencian Chu Qiao yang telah dipendam selama bertahun-tahun kepada wanita ini tiba-tiba lesap. 'Wanita bodoh ini sampai sekarang masih tak faham ke?'
"Abang Xun, jangan buat benda bodoh!" Gadis itu mula menangis teresak-esak dan terkulai ke atas tanah, dengan tangannya menutupi wajahnya. Terlalu banyak perkara yang telah dilalui puteri ini dalam masa satu malam, lantas air mata gemuk bercucuran jatuh melalui renggangan jari-jemarinya dan menitik ke atas gaun merahnya yang indah.
"Yan Xun! Kau gila ke, berani untuk memberontak? Bertahun-tahun aku fikirkan yang kau ini kawan aku, tapi tengok apa kau dah buat!"
Seekor lagi kuda menderap ke arah Yan Xun bersama Zhao Song di atasnya. Melihat Zhao Chun'er yang berada di situ, raut wajahnya bertukar berang dan berkata lantang, "Chun'er, kenapa kamu masih ada di sini? Lelaki ini nak memberontak, tapi kamu masih nak ikut dia?"
Zhao Chun'er berdiri dengan panik dan terus berpaling ke arah Zhao Song. Walaupun gadis itu berada di dalam ketakutan, namun tindakannya telah memeranjatkan semua orang yang memandang. Mendepangkan kedua-dua belah lengannya ke atas, gadis itu berdiri di hadapan sekumpulan tentera yang besar dan menggelengkan kepalanya yang besar, "Adik Ketiga Belas, macam ini sebenarnya. Dia tidak mahu berkahwin dengan saya, jadi dia hendak membantah kepada Ayahanda…"
"Bodoh!" Tengking Zhao Song. "Dia buat benda ini sebab dia hendak menguasai kumpulan tentera Yan Bei! Kakak bodoh!"
Zhao Chun'er berkerut, wajahnya masih pucat. Dia membalas dengan perlahan, "Menguasai… kumpulan tentera?"
"Kalau kakak tak percaya saya, tanyalah dia!"
Seperti patung, Zhao Chun'er meletakkan kedua belah lengannya yang didepangkan tadi kembali ke posisi asalnya dan memusingkan badan untuk menghadap Yan Xun, matanya membuntang bagaikan enggan mempercayai apa yang telah dikhabarkan oleh kekandanya itu, dan bertanya lembut, "Abang Xun, dia tipu kan, awak sebenarnya bukan nak memberontak, kan? Awak cuma mahu berunding dengan Ayahanda, kan?"
Susuk tubuh Zhao Chun'er kelihatan amat lemah apabila dia berdiri di laluan tersebut sambil ditiup angin malam yang membeku dengan wajahnya yang pucat. Dia melihat Yan Xun seolah-olah pemuda itu merupakan harapan terakhirnya untuk mendapatkan kebahagiaan.
Kening Yan Xun diraih sedikit, kelihatan seperti dia sedang terburu-buru dan akhirnya menyatakan, "Dah lama saya nak memberontak, dan ia bukan kerana awak. Saya tak pernah berfikir nak berkahwin dengan awak pun sebenarnya."
"Anjing tak kenang budi! Berani kau berkata begitu!" Dengan satu pergerakan, Zhao Song mengeluarkan pedangnya dari karung. Jubah hijaunya berkibaran dihembus oleh angin malam yang membeku yang kelihatan seperti seekor helang bengis sedang mengepak-ngepakkan sayapnya yang megah. Anak mata Zhao Song yang sering kelihatan bersahaja dan penuh belas kasihan itu kini dipenuhi dengan ketajaman dan kekejaman dengan raut wajah yang kelihatan seperti hendak membunuh, seolah-olah roh kaum kerabat Xia telah bangkit di dalam dirinya!
Yan Xun juga tidak berada di dalam keadaan yang tenang seperti selalu, merenung Zhao Song dengan tajam dari hujung matanya. Di bawah tangan pasukan tenteranya, seluruh bandar diraja ini sedang menggigil ketakutan dengan dentuman bangunan-bangunan yang rebah dijilat api kedengaran kuat bagaikan simfoni di telinganya. Tersengih sedikit, suaranya kedengaran seperti pedang yang membelah angin, membalas, "Tak kenang budi? Yan Bei dan Empayar Xia, budi apa saja yang nak dikenangkan?"
Zhao Song mendengus dan berkata jelas, "Ayahanda aku dah besarkan kau lebih dari sepuluh tahun, menganggap kau seperti puteranya sendiri. Bukan sahaja menganugerahkan gelaran Raja Yan Bei kepada kau, tapi dia juga dah kahwinkan Chun'er dengan kau. Besar budi itu! Tapi kau balas budi itu dengan pengkhianatan, dan dengan membunuh rakyat jelata di dalam ibu negeri ini. Yan Xun, kau ada hati yang lebih teruk daripada anjing kurap, kau memang layak untuk mati!"
Dengan jubah hitamnya yang masih dikibar-kibarkan dek angin, pemuda itu tersengih lagi, "Membesarkan aku selama sepuluh tahun, dan anggap aku ini macam puteranya? Tulang-tulang ayahanda masih ada di medan pertempuran, dan darah bonda aku masih mengalir di pentas hukuman bunuh. Zhao Song, ini ke budi besar sangat yang keluarga maharaja dah bagi kepada aku macam yang kau cakap itu?"
Terkejut buat seketika, Zhao Song membalas kembali dengan pantas, "Raja Yan Bei dah memberontak dan membuat huru-hara, dan pasukan tentera maharaja ada hak untuk keluar dan berjuang…"
"Cukup!" Yan Xun menengking lantang, mukanya dipenuhi dengan kejengkelan dan lantas melaungkan dengan dingin, "Kau tak perlu nak bazirkan kata-kata kau. Sejarah dah lama ditulis oleh seorang pemenang. Semua keburukan dan kebaikan yang kita lakukan akan ditentukan oleh anak cucu kita nanti, jadi kita tak perlu berdebat di sini. Zhao Song, memandangkan persahabatan kita yang dah terjalin selama beberapa tahun ini, aku akan biarkan kau pergi. Balik dan beritahu ayahanda kau, yang aku, Yan Xun, dah memberontak."
Pada ketika itu, sebuah kedai bunga api telah dijilat api, dan dengan sebuah dentuman yang kuat, mercun-mercun itu meletus ke angkasa dan lantas menerangi malam dengan warna merah gelap. Anak mata Yan Xun bersinar terang di bawah cahaya yang menerangi latar belakangnya seperti bintang yang bersinar terang dan penuh dengan kehidupan, namun tegap bak gunung.
Lapan tahun pemuda ini telah merancang semua yang telah terjadi pada malam ini. Mampukah Empayar Xia yang megah ini menampung kesengsaraan ini?
"Kau!"
"Zhao Song!" Sebuah suara wanita tiba-tiba berlaung kuat, dan Chu Qiao memacu kudanya ke hadapan dan berkata tegas, "Pergi balik."
"Ah Chu? Awak pun dah jadi musuh saya?" Dengan riak wajah yang pedih, Zhao Song berkerut.
Chu Qiao merenung ke dalam mata Zhao Song. Di sisi gadis itu terdapat para tentera berdarah besi, dan di belakangnya ibu negeri yang telah merudum ke dalam sebuah neraka. Chu Qiao dibawa kembali ke dalam sebuah mimpi di mana ia bertahun-tahun lalu di taman, apabila seorang putera menengkingnya dengan penuh sombong, "Kamu lagi! Ya, saya tengah bercakap dengan kamulah!"
Bertahun-tahun yang berdarah berlalu begitu sahaja dalam sekelip mata, gadis itu membuka matanya dan merenung tajam ke arah pemuda yang sedang terduduk di atas kuda berhadapan dengannya itu, perlahan-lahan membalas, "Saya tak pernah nak jadi musuh awak. Selama lapan tahun awak berada di sisi saya, saya takkan pernah lupakannya."
Zhao Song mengeluh lega, riak wajahnya kelihatan lebih tenang daripada sebelum ini, dan menyatakan, "Baiklah kalau begitu, Ah Chu. Pergilah kembali kepada dia. Tapi jangan tinggalkan bandar dengan dia, saya akan terangkan kepada…"
"Tapi saya akan menjadi musuh Empayar Xia," Gadis itu memotong dengan penuh tegas tanpa memberi sebarang ruang untuk perundingan. Zhao Song terpana apabila melihat Chu Qiao mengekang kudanya ke sisi Yan Xun. "Awak patut faham perspektif saya. Saya tak pernah berubah daripada dulu lagi."
"Kalau macam itu, maksudnya mata saya ni yang rabun agaknya." Zhao Song membalas pahit berserta ketawa yang dipaksa daripada mata yang kemerahan. Dengan bunyi nyaring yang kuat, Zhao Song melemparkan pedangnya ke tanah yang telah meninggalkan kesan calar putih pada jubin marmar di jalan. Mukanya bersungguh-sungguh apabila melaungkan, "Daripada sekarang, saya, Zhao Song, telah memutuskan segala perhubungan yang telah dijalinkan bersama kamu berdua! Kalau kita bertemu lagi di medan pertempuran, kita takkan ada ikatan apa-apa selain daripada musuh! Chun'er, ikut saya!"
Anak mata Zhao Chun'er kelihatan kosong dan tidak bertindak balas bagaikan sepasang mata milik patung yang tidak bernyawa. Gadis itu mengangkat wajahnya apabila terdengar namanya dipanggil oleh Zhao Song, namun anak matanya tetap membatu. Tiba-tiba gadis yang berasa sungguh kecewa itu menghulurkan tangannya untuk memegang kasut but milik Yan Xun, namun pemuda itu yang mengerutkan dahinya ketika menyedari perbuatan wanita itu terus mengekang kudanya untuk ke belakang sedikit, menyebabkan Chun'er terlepas daripada menyentuh Yan Xun. Tangan gadis itu masih lagi mempunyai kesan darah si pengutus yang telah dibunuhnya buat pertama kali sebentar tadi.
Tiba-tiba, Zhao Chun'er melutut dan mula termuntah, asid perut terpercik keluar dari mulutnya dan telah mengotori gaun indahnya yang mempunyai sepasang itik mandarin yang sepatutnya menjadi simbol kesetiaan sehingga ke akhir hayat.
"Macam mana boleh jadi macam ni?" Gadis muda itu mempunyai raut wajah yang penuh dengan kesedihan bak anak anjing yang membeku di musim sejuk. Air matanya yang bagaikan air terjun itu sekali lagi mencurah ke pipi, suaranya tidak bergetar namun masih mampu menyayat hati sesiapa sahaja yang mendengarnya. Dia berkata seorang diri, seolah-olah tidak menyedari dia menjadi tumpuan orang ramai di situ, "Salah aku, memang salah aku… Yan Xun, kenapa Chun'er tiada di sisi Yan Xun masa Ayahanda membunuh seluruh Keluarga Yan?"
"Chun'er selalu menyesal selama hari ini. Kalau saya ada di sana, walaupun sayan tak dapat nak selamatkan Tuan Yan, tapi sekurang-kurangnya saya dapat melindungi Yan Xun daripada dibuli. Tapi masa tu Chun'er terlalu kecil, dan Bonda mengunci Chun'er di dalam istana, tak kira berapa kali saya buat perangai, dia masih tak nak lepaskan saya. Xiao Tao yang tolong saya menindih almari supaya kita boleh panjat dan buka jubin bumbung, dan nak larikan diri daripada atas itu, tapi saya terjatuh dan Bonda pun dapat tahu."
Zhao Chun'er mula menangis teresak-esak, suaranya mula goyah, "Lepas itu… Lepas itu, Xiao Tao dibelasah sampai mati oleh pembantu-pembantu Bonda. Saya...Saya nampak dengan mata kepala saya sendiri, pinggang dia patah, dan darah terpercik keluar dari mulut dia, mengalir… mengalir jauh sampai terkena kasut saya, dan ia terasa panas, macam api."
"Yan Xun, saya memang tak berguna, saya takkan larikan diri lagi. Lepas dua tahun selepas itu pun saya terlalu takut nak mencari awak di dalam kediaman awak. Saya takut, saya pemalu, dan saya selalu dapat mimpi buruk. Saya mimpi yang darah Xiao Tao itu menelan saya, membelit leher saya, masuk ke dalam mulut dan juga mata saya."
Zhao Chun'er memeluk dirinya dengan erat sambil menggigil, seolah-olah darah yang diperkatakannya tadi memang benar-benar akan membahamnya, dan dia menetap bibirnya dan mengangkat kepala. Air mata terus bercucuran di pipi, namun suaranya yang lembut itu memecah setiap ruang udara pada malam itu, "Tapi Yan Xun, tolong jangan memberontak, ya? Ayahanda akan bunuh awak. Chun'er tak nak apa-apa, dan Chun'er takkan paksa awak untuk berkahwin dengan saya. Selagi awak masih hidup, walaupun di tempat yang jauh sehingga saya tak boleh nak menjenguk awak, selagi awak teruskan kehidupan awak dengan gembira, itu saja yang saya mahukan."