Chapter 76 - Bab 76

"Lepaskan saya!" Puteri remaja itu berteriak, lantas menolak pembantu rumah ke tepi dan melutut ke atas tanah sebelum merangkak ke hadapan. Air mata sudahpun berlinangan pada pipinya, mengelap sisa baki air mata yang masih terdapat pada mukanya dan merenung ayahandanya dengan berani, seseorang yang dia sering takuti semasa dia masih kecil. Suaranya goyah, namun puteri itu masih lagi mengekalkan postur badan yang tegak, berkata perlahan, "Ayahanda, tolong tarik balik perintah Ayahanda."

"Chun'er!" Zhao Che berkerut dan mencela, "Apa yang kamu buat ini? Hentikannya!"

Terdapat raut wajah yang pelik pada wajah semua orang yang melihat dengan hanya bunyi tiupan angin sahaja yang dapat kedengaran di dalam Astaka Fang Gui yang besar itu.

"Abang Ketujuh," Puteri remaja tersebut dengan mata yang kemerahan, menoleh pandangannya untuk melihat Zhao Che, "Tolong bantu Chun'er. Chun'er tak mahu berkahwin lagi. Tolonglah merayu kepada Ayahanda demi Chun'er."

"Putera Ketujuh, bawa adik kamu pergi dari sini."

Zhao Che mengerutkan dahinya, masih tegak berdiri di posisinya, namun setelah beberapa lama dia akhirnya bersetuju sambil mengangguk-angguk. Dia lantas menggenggam tangan Zhao Chun'er, membalas dengan penuh kesungguhan, "Baiklah, Tuanku."

"Ayahanda!" Teriak Zhao Chun'er. Gadis itu merenung ke atas dengan air mata yang deras mengalir turun ke pipinya. "Tolong perkenankan permintaan saya! Saya lebih rela berkahwin dengan seseorang dari tanah tandus di barat, sempadan utara, ataupun i perbatasan. Tolonglah, saya merayu ini, tolong tarik balik perintah Ayahanda!"

"Chun'er, jangan merepeklah, ikut Abang Ketujuh!"

"Ayahanda!" Zhao Chun'er menolak Zhao Che ketepi, masih lagi melutut di atas tanah dan bersujud hormat dengan degil, bunyi hentakan kepalanya ke lantai kuat kedengaran di seluruh astaka. "Ayahanda, saya merayu kepada Ayahanda, tolong tarik balik perintah Ayahanda. Tolong, tolong tarik balik perintah Ayahanda…"

Namun Maharaja Xia langsung tidak menoleh ke arah Zhao Chun'er, malah merenung tajam ke arah Zhao Che, dan melaungkan, "Putera Ketujuh!"

Zhao Che berkerut, menundukkan wajahnya untuk mengangkat Zhao Chun'er daripada lantai, dan melangkah keluar daripada astaka. Manakala Zhao Chun'er yang bersusah payah menahan air matanya daripada terus mengalir tadi, kini terpekik dan terlolong sekuat hatinya, merayu, "Ayahanda! Tolong tarik balik perintah Ayahanda. Chun'er dah tak mahu berkahwin lagi. Ayahanda, Chun'er merayu, tolonglah…"

Darah segar mengalir keluar dari dahi Zhao Chun'er dan terus menitik ke atas karpet putih yang dibentangkan di luar astaka. Memang sebuah pemandangan yang dahsyat, membuatkan semua orang yang berada di astaka tersebut membisu dan merenung Maharaja Xia dari hujung mata mereka kerana ketakutan.

"Chun'er tu seorang anak yang taat. Tuanku tak perlu murka. Lagipun, dia masih lagi seorang gadis, dan tak mungkin dia akan keluar daripada istana." Kata-kata Permaisuri Bangsawan mendapat banyak anggukan daripada tetamu-tetamu di dalam astaka dan terus suasana di sana meriah kembali. Cendekiawan Cui daripada Jabatan Pustaka menambah, "Puteri itu seorang yang mengambil berat dan juga taat, memang susah nak dapat anak sebegitu. Menangis sewaktu majlis perkahwinan itu suatu ciri-ciri baik sebagai seorang Puteri seperti kata orang dulu-dulu."

"Tuanku memang baik hati, menatang anaknya bagai minyak yang penuh. Bila anaknya akan pergi meninggalkan istana, mereka tak dapat mendengar kata-kata bijaksana daripada Maharaja jadi sudah tentulah mereka akan menjadi sedih."

"Betul itu."

Semasa astaka tersebut gamit dengan kemeriahan, tiada sesiapa pun yang memberi perhatian kepada astaka di sisi, di mana terletaknya Chu Qiao yang sedang bersedia untuk beredar namun apabila dia ingin berdiri, hujung bajunya telah ditarik oleh sebuah tangan milik Zhuge Yue yang masih menunduk ke bawah dan menghirup wainnya. Apabila gadis itu merenungnya, Zhuge Yue menoleh ke atas dengan kesan wain merah yang mengukir sebuah garisan di bibirnya yang lantas membuatkan dia kelihatan lebih jahat. Pemuda itu memuncungkan bibirnya dengan lembut dan berkata dengan suara yang rendah dan garau, "Awak nak pergi mana?"

Chu Qiao, yang separa bercangkung itu mendekatkan wajahnya ke muka Zhuge Yue, dan berkata sinis, "Saya dekat sangat dengan Tuan Keempat ke? Saya dah melangkau batasan awak ke?"

Zhuge Yue mendekatkan lagi wajahnya ke wajah Chu Qiao, hidung mereka hampir bersentuhan. "Jamuan ini belum habis lagi. Meninggalkan tempat duduk sebelum jamuan habis itu sungguh biadap."

"Jadi?" Chu Qiao berkata dengan penuh sinis dan dingin. "Ini istana maharaja Empayar Xia, bukan istana Qing Shan. Tuan Keempat, mesti ke awak masuk campur dalam segala benda?" Setelah habis ayatnya, gadis itu menggenggam pergelangan tangan Zhuge Yue dan dengan sebuah pergerakan yang tangkas dan licik, dia mampu melonggarkan genggaman di hujung pergelangan tangannya dan menghempaskan tangan pemuda itu ke tanah.

Anak mata Zhuge Yue yang hitam itu bersinar terang apabila melihat gerak-geri lincah Chu Qiao, dan lantas pemuda itu tersenyum ringan dan berkata, "Kebetulan betul, sebab saya memang suka masuk campur hal orang." Tangan Zhuge Yue bagaikan seekor ikan loach, terlepas dari genggaman tangan Chu Qiao dengan beberapa pergerakan pantas dan terus pemuda itu menggenggam hujung lengan baju wanita itu sekali lagi.

"Ya ke? Dalam masa beberapa tahun, Tuan dah berubah. Saya selalu fikir yang awak ini tak berhati perut, kejam, dan langsung tak kisah mengenai apa-apa." Chu Qiao menggunakan dua jarinya untuk meraba lengan pemuda itu dan mencari titik akupuntur, lantas menyekat segala pergerakan dari lengannya.

"Awak ni puji saya banyak sangatlah. Kalau dari segi tak berhati perut dan juga kejam tu, saya mengaku kalah kepada awak."

Kedua-dua mereka bertukar tumbukan dari bawah alas meja yang panjang tanpa disedari sesiapa. Ketika majlis sedang gempak di dalam astaka utama, tiada siapa yang akan memberi perhatian ke astaka di bahagian sisi.

"Haha, apa yang kamu berdua sedang bersembang ini? Kalian nampak gembira sungguh. Saya pun nak dengar juga." Li Ce tiba-tiba muncul dari belakang kedua remaja ini, tersenyum riang.

Chu Qiao merenung Li Ce dengan dingin, lantas menoleh dan memandang Zhuge Yue sambil melepaskan ketawa. "Saya hendak pergi ke bilik air sekejap. Tuan Keempat, awak berniat nak ikut saya ke sana ke?"

Zhuge Yue tergamam, langsung tidak menyangka gadis ini akan menggunakan alasan sebegitu di hadapan seorang lelaki. Tuan daripada keluarga Zhuge ini yang kerapkali memaparkan pendirian yang dingin ini kini berubah menjadi kemerahan dek malu.

Chu Qiao berdiri dengan riak wajah berpuas hati, dan lantas menepuk-nepuk pipi Zhuge Yue ringan, berkata sambil tersengih, "Jangan ikut saya tau. Ingat identiti diri awak tu siapa. Awak tu daripada tujuh keluarga yang paling berpengaruh, tak elok kalau orang nampak awak mengikuti rakyat jelata macam saya ini."

Suatu bunyi mersik tiba -tiba bergema kuat pada masa itu dan lantas Zhuge Yue berubah menjadi lebih merah, hampir meletus dek kemarahan. Chu Qiao sudahpun jauh dari penglihatannya apabila dia ingin membalas kata wanita itu, menyedari banyak renungan yang sedang tertumpu ke arahnya. Wanita-wanita bangsawan dari keluarga yang berbeza sedang memandangnya dengan penuh terkejut, sudah semestinya peristiwa yang berlaku tadi tidak terlepas dari pandangan mereka. Tuan muda keempat dari keluarga Zhuge, yang berpangkat tinggi, telah dimainkan oleh seorang rakyat biasa!

"Memang aneh kejadian tadi!" Putera Tang yang telah melabuhkan punggungnya di sebelah Zhuge Yue merenung pemuda itu dengan iri hati.

Zhuge Yue baru tersedar pemuda di sebelahnya ini amat menjengkelkan, terus dia memalingkan mukanya penuh jijik dan merenung penari-penari di dalam astaka utama.

Chu Qiao telah diserang oleh angin yang bertiup kencang semasa dia sedang berjalan keluar dari astaka. Gadis itu menoleh ke belakang dan tersedar Li Ce yang sedang memegang hujung jubahnya dan mengekori Chu Qiao dengan senyap, dan lantas pemuda yang menyedari dia telah dinampak oleh Chu Qiao itu menyapu-nyapu kedua belah tangannya dengan malu dan berkata, "Di luar tu gelap, biar saya teman saya."

Chu Qiao berkerut dengan wajah yang serius, yang membuatkan Li Ce mengambil dua langkah ke belakang, berada di dalam postur mempertahan diri, dan membalas, "Saya akan tunggu awak di luar."

"Awak akan tunggu saya di mana?" Gadis itu menghampirinya, tersenyum manis, namun nadanya bersalut dengan niat untuk membunuh.

Anak-anak rambut Li Ce pun tegak berdiri, dan dia pun melambai dengan tergesa-gesa dan membalas, "Saya akan berdiri di sini dan tunggu awak."

Wajah Chu Qiao kembali santai setelah itu, mengangkat kakinya dan menghulurkan tangannya untuk membelai kepala Li Ce, tersenyum manis. "Bijaklah awak ini."

Li Ce tersedar Chu Qiao seorang yang lebih mengerikan apabila dia sedang tersenyum berbanding apabila dia dingin, orang bawahan yang paling dipercayai Yan Xun. Pada majlis perkahwinan pemuda itu, Chu Qiao harus berada di astaka untuk menenangkan ramai orang, dan juga untuk melindungi mereka daripada mereka yang berniat jahat.

Chu Qiao melangkah melalui jalan yang kecil itu seperti yang dirancang, berfikir, 'Kalau bukan sebab Zhao Chun'er, pasti lebih susah aku nak keluar dari majlis itu tadi.'

Tepat pada masanya, gadis muda itu meletakkan jarinya ke mulut yang sekaligus menghasilkan sebuah bunyi wisel yang nyaring seakan-akan bunyi teriakan burung hantu di tengah malam dan lantas kelibat-kelibat pemuda di dalam Bandar Zhen Huang yang terdengar bunyi signal tersebut, kembali ke tempat perlindungan mereka di dalam kegelapan itu dengan pantas. Gadis muda tersebut memberikan sebuah senyuman yang menggerunkan dengan raut wajah yang dingin. "Zheng Huang, selamat datang ke neraka kamu."

Gadis tersebut meluru di sepanjang laluan gelap itu dengan lincah bagaikan seekor harimau kumbang, desiran angin jelas kedengara di telinganya. Chu Qiao mendekati sasarannya yang sedang bersiul riang di atas katilnya dengan kaki yang terangkat di dalam sebuah bilik utusan, terletak di barat laut pintu gerbang Xi An.

Tanpa rasa ragu-ragu Chu Qiao memasuki bilik tersebut dan dengan pantas menutup mulut pengutus tersebut apabila dia tersedar akan kehadiran gadis itu. Chu Qiao mengangkat tangan kanannya ke atas, merenung mata pemuda itu, dan tanpa sebarang pergerakan yang gah, gadis itu mampu menikam pemuda itu dengan penuh lincah di lehernya.

Membunuh seseorang itu kadangkala suatu kerja yang mudah.

Pada masa ini, darah mengalir keluar dari belahan di leher pengutus tersebut dan Chu Qiao terus melepaskan pemuda tersebut yang sedang membuat bunyi tercekik apabila belahan di lehernya semakin melebar. Lebih banyak darah yang mengalir keluar, dan anak matanya mula untuk mengembang sebelum terkulai layu di atas tanah. Sekolam darah membentuk di sekeliling pengutus tersebut.

Chu Qiao menggunakan sehelai selimut untuk menutupi mayat pengutus itu sebelum berpaling dan beredar, menuju ke destinasi seterusnya.

Ini merupakan misi yang dijalankannya bersama-sama Kesatuan Da Tong. Mereka bakal menjalankan dua cabang misi, serangan dalaman dan juga luaran ke atas Zhen Huang. Mereka harus memutuskan sistem penyiaran ibu negara dalam dua jam setelah Yan Xun membunyikan signalnya, lantas menghentikan segala cara komunikasi mereka.

Dalam dua jam pertama, para pembunuh upahan daripada Kesatuan Da Tong telah memperoleh keputusan yang baik, dan Chu Qiao melepaskan keluhan lega semasa dia melihat suar biru yang telah dilepaskan ke udara yang menandakan kejayaan "Tangisan Burung Hantu". Semasa dia bercangkuk di dalam taman, dia telah menggunakan jarinya untuk menulis perkataan Cina, "Zheng", di atas tanah.

Ramai nyawa tidak bersalah yang telah terkorban pada malam itu, dari pekerjaan yang berbeza, tanpa pernah sekali pun ternampak sesama sendiri atau berbuat jahat sebelum ini. Misi Kesatuan Da Tong untuk mengekalkan keadilan di dalam negara, untuk memelihara rakyat yang bersatu padu, untuk menghapuskan penghambaan dan juga untuk memartabatkan hak sama rata. Jadi, walaupun mereka mempunyai pengaruh yang agak besar, dan ditambah pula dengan sokongan banyak puak-puak yang berpengaruh dari seluruh dunia, mereka tidak menjalankan apa-apa pembunuhan sembarangan.

Chu Qiao berdiri dan apabila dia memusingkan badannya, dia ternampak sebuah bayang panjang yang sedang berdiri di dalam kegelapan. Apabila cahaya bulan menerangi kawasan tersebut, kelihat kekelabuan sahaja yang ternampak.

"Rancangan yang bagus." Pemuda di dalam kegelapan itu membalas dengan suara yang rendah dan dingin.

Muka terkejut Chu Qiao yang terpapar sebentar tadi terus hilang, dan lantas matanya merenung dingin ke hadapan, bibirnya membisu. Gadis itu ingin memastikan tiada sesiapa lagi yang sedang bersembunyi di sana.

"Tak perlu tengok, tiada sesiapa lagi di sini." Pemuda itu mengambil dua langkah ke hadapan. Jubah ungu pekatnya kelihatan sedang diselubungi vel berwarna perak di bawah cahaya bulan sebegini, dengan wajahnya kacak berciri feminin sedikit. Anak matanya amat dingin, lantas pemuda itu melangkah dengan perlahan, menyatakan dengan nada perlahan, "Awak nak pergi mana? Siapa lagi yang awak nak bunuh?"