Chapter 67 - Bab 67

Kabus malam mengaburkan pandangan mereka di kawasan gunung yang seperti tidak berpenghujung itu. Li Ce mengikuti gadis itu dengan berhati-hati. Putera Tang yang jarang sekali mengalami kepayahan itu hanya dapat merungut. "Maharaja Xia betul ke hantar orang untuk selamatkan kita?"

Gadis itu tidak membalas persoalan Li Ce, dan putera itu pun sudah dapat menduga perkara itu lantas dia pun merungut lagi tentang cuaca sejuk di tanah tinggi yang tidak patut didiami oleh manusia itu pula.

"Mereka akan." Suara yang perlahan tetapi penuh dengan keyakinan berbisik. Li Ce yang terpaku mula mendongakkan kepalanya tidak percaya. "Awak cakap apa?"

Kalau mereka semua tidak mengenalinya maka mereka bukanlah berasal dari Da Tong. Jika perkara itu benar, maka Yan Xun pasti sudah dalam perjalanan untuk menyelamatkannya.

"Mereka pasti akan datang," Jawab Chu Qiao dengan nada rendah. Keyakinan jelas terpancar pada matanya.

Kemudian, mereka meneruskan perjalanan di laluan pergunungan itu sehingga tiba di sebuah tasik.

"Li Ce!" Suara rapuh gadis itu berkumandang sekitar tasik.

"Saya masih di sinilah, Qiaoqiao." Lelaki itu berdiri dan melambaikan tangannya apabila melihat Chu Qiao berlari ke arahnya. Setelah menjeling sedikit ke belakang gadis itu, dia pun bertanya lagi, "Awak dah selesaikan semuanya?"

Chu Qiao hanya berdiam diri lalu menghampiri tasik tersebut. Dia mencedok air menggunakan tangannya lalu minum daripadanya.

"Hebatlah Qiaoqiao!" Li Ce berteriak keriangan sambil bertinggung di sebelahnya. "Tapi kita akan jumpa banyak lagi ke?"

Raut wajah Chu Qiao berubah masam dan hal itu membuatkan Li Ce sedikit cuak lantas cepat-cepat menerangkannya, "Maksud saya kan lebih mudah untuk lari kalau kita hapuskan mereka semua."

Gadis tersebut mengangkat jari telunjuknya lantas menghayunkannya. "Pertama sekali, saya seorang saja yang buat dan bukannya kita." Ujarnya dengan nada yang rendah, "Kedua, musuh sudahlah berada di sekeliling kita, awak ingat saya boleh uruskan semuanya kalau awak asyik terjerit-jerit macam nampak tikus dan tak membantu langsung. Lama-lama matilah saya. Jangan cakap yang saya tak beri kepada awak amaran tapi ingat, kalau tiada cara lain lagi, saya akan tinggalkan awak."

Li Ce merajuk lalu dia pun menarik baju Chu Qiao perlahan, "Qiaoqiao, janganlah kejam sangat…"

Chu Qiao mengerang kesakitan dan membuatkan Li Ce cepat-cepat menarik tangannya kembali setelah melihat tompokan darah yang tercalit pada pakaian Chu Qiao itu. Luka itu kelihatan baru jadi Chu Qiao pun memeriksanya dan mendapati ada sebatang anak panah tertusuk pada rusuk kirinya. Walaupun kecederaan itu tidak terlalu parah tapi darah masih mengalir keluar dan amat menyakitkan. Aneh betul kerana dia langsung tidak merasainya.

"Awak luka lagi! Awak okey tak Qiaoqiao?" Li Ce berkata dengan nada yang risau.

Sambil memejamkan matanya, Chu Qiao menekan lukanya itu dan bersandar pada pokok yang berdekatan. Dia kemudiannya mengujar perlahan, "Tolong saya balut."

"Apa dia?"

"Tolong saya balut lukalah!" Bentaknya. 

Li Ce yang terkejut dibentak itu cepat-cepat mengoyakkan sehelai kain sesuka hatinya. Dia menyelak bajunya dan menampakkan kulit mulus si gadis itu yang kini berlumuran darah. Anak panah itu telah menembusi kulit di rusuk kirinya manakala sekelilingnya sudah habis merah dan membengkak. Li Ce memegang anak panah itu sambil berkata, "Qiaoqiao, kalau sakit awak jerit tahu! Tak pun awak boleh gigit saya."

Chu Qiao tidak berkata apa-apa dan hanya sekadar menutup rapat matanya sambil menarik nafas.

Wajah Li Ce yang jarang kelihatan serius itu tiba-tiba berubah serius tatkala memegang anak panah tersebut. Dengan sekilas sahaja dia menariknya keluar dan terpancutlah darah daripada tubuh gadis itu! Li Ce cepat-cepat membalut luka itu dengan ketat. Chu Qiao yang mengerang kesakitan tidak sengaja tersandung ke hadapan tetapi sempat disambut oleh Li Ce.

"Qiaoqiao, awak okey tak?" Li Ce bertanya lagi dengan nada yang risau.

"Saya takkan mati lagi." Suara serak gadis itu kemudian didengari oleh Li Ce. Chu Qiao menarik nafasnya sambil menyandarkan dagu pada bahu Li Ce. Lelaki tersebut menghembus nafas lega dan kembali membaluti lukanya. Dalam kegelapan malam seperti itu, tubuh gadis tersebut amat sejuk bagaikan sebongkah ais dan pada waktu itulah Li Ce sedar bahawa gadis di hadapannya ini tidak mampu bertarung lagi.

Namun, dalam saat genting seperti itu, bunyi tapak kaki sudah kedengaran dari jauh. Mereka yang terkejut cepat-cepat bangun. Wajah mereka berubah serius dengan mendadak apabila memerhatikan kawasan sekeliling.

"Apa patut saya buat?" Chu Qiao mencebik. Dia sudah kehilangan segala kekuatan untuk bertarung, dan jika dia hanya menunggu di sini ini bermakna dia akan menempah maut pula. Satu-satunya cara adalah dengan membunuh Li Ce dan menyamar untuk kucar-kacirkan keadaan lantas bolehlah dia melarikan diri. Pandangannya kini tertumpu pada lelaki yang duduk di sampingnya dan mendapati wajahnya yang jarang sekali kelihatan tegas. Chu Qiao bukanlah seorang yang berhati mulia sangat namun menyelamatkan orang sudah menjadi salah satu satu keupayaannya. Tetapi apabila sifat itu memakan dirinya sendiri, dia terpaksalah lakukan sesuatu.

Lagipun, Yan Xun akan memperoleh manfaat yang besar dengan kematian Li Ce. Dia memang tahu apa sepatutnya yang dilakukan kerana beban yang dipikul di bahunya itu. Nyawanya sangat berharga dan dia tidak akan sewenang-wenangnya menggadaikannya. Jarinya mula mencapai pisau belati di pahanya. Walaupun berat, dia terpaksa lakukan ini.

"Qiaoqiao!" Li Ce tiba-tiba menoleh. Dengan raut wajah yang serius, dia menerangkan kepada Chu Qiao tentang rancangannya. "Sementara saya cuba alih perhatian mereka, awak larilah. Tapi hati-hati!"

Chu Qiao hanya terpegun sambil membulatkan matanya terkejut. Li Ce menanggalkan kot dan memakaikannya pada Chu Qiao. Setelah itu dia mengeluarkan silinder besi dari ikatan pinggangnya lantas memberikan kepada gadis itu. "Saya tak tahu bertarung jadi Ayahanda buatkan saya senjata ini untuk lindungi diri. Kalau awak tarik tali picu ini, lima puluh batang jarum racun pembunuh akan keluar. Ia boleh digunakan tiga kali jadi awak simpanlah. Mana tahu ia mungkin akan membantu awak."

Chu Qiao yang masih terperanjat hanya mengambil silinder besi itu. Dia tidak tahu niat sebenar Li Ce jadi dia hanya memandang lelaki itu dengan perasaan ragu-ragu.

"Hehe, tiba-tiba jatuh cinta dengan saya kan?" Li Ce tersenyum sambil menampakkan deretan gigi yang putih miliknya itu. Dia kemudiannya menepuk lembut bahu gadis itu, "Jangan risaulah. Awak masih berpeluang lagi sebaik tiba di Zhen Huang."

"Li Ce! Saya tak perlukannya! Awak simpan saja!" Gadis itu cuba untuk memulangkan silinder besi itu.

"Saya pun tak perlukannya sebab saya sendiri tak tahu guna. Dahlah bunyi pun macam menakutkan saja. Kalau teracun diri sendiri macam mana? Matilah saya. Awak sajalah yang simpan dan cuba. Kalau bagus, saya pergi minta lagi nanti."

Chu Qiao hanya mampu mengetap bibirnya. Setelah itu dia pun melepaskan tangannya daripada Li Ce, "Yalah. Awak hati-hati."

Li Ce pun tersenyum, "Awak pun! Ingat! Saya masih nak belajar berlawan daripada awak sebaik saja saya pulang nanti!"

Chu Qiao hanya mengangguk.

Lelaki tersebut berdiri dan menyapu debu-debu di seluarnya lantas bergerak ke arah bunyi tapak kaki tersebut.

"Hei! Bawa senjata bersamalah!"

Li Ce tidak menoleh pun malah dia hanya melambai-lambaikan tangannya sahaja. Dalam keheningan malam yang hanya diterangi cahaya bulan itu, Chu Qiao hanya kelihatan seperti seketul batu yang dipenuhi dengan darah di tangannya. Dengan gaya jalannya yang terhuyung-hayang dan pakaiannya yang compang-camping, dia langsung tiada iras seperti Putera Tang yang selalu anggun malah dia nampak seperti seorang pengemis sahaja sekarang.

Tangan Chu Qiao yang memegang pisau belati tadi mula dilepaskan tatkala dia memerhatikan bayang-bayang putera itu.

Enam jam sudah berlalu setelah Li Ce pergi. Bunyi tapak kaki di kedua-dua tebing kedengaran seperti mencari mangsanya. Dengan bahunya yang tercedera dan bibir yang memucat, Chu Qiao sudah tidak terdaya lagi. Namun, di saat dia hampir berputus-asa, dia teruskan perjuangannya dan berdiri juga. Matanya bersinar seperti harimau kumbang yang tangkas.

Dalam kegelapan malam seperti itu, dia kelihatan seperti bayang-bayang yang merentasi hutan yang tebal. Bukit yang berada jauh di pemandangan diterangi dengan cahaya api yang lama-kelamaan menghampirinya. Chu Qiao cepat-cepat menjangkakan masa mereka tiba sambil melihat keadaan lukanya itu lantas dia mengusap kepalanya yang sakit daripada pendarahan yang banyak sambil terduduk bersandar pada pokok.

Bunyi cicipan burung menyebabkan tidur Chu Qiao terganggu lantas dia pun membuka matanya dengan matahari yang sudah bersinar terang di atas kepala. Kemudian beberapa ekor burung pipit yang terbang di atas turun untuk melihat keadaan gadis itu sambil bercicip riang. Bunyi cicipan burung itu begitu merdu bagi Chu Qiao sehingga Chu Qiao terfikir ia setanding dengan ahli muzik di istana Sheng Jin.

Chu Qiao terpegun sejenak. Dia tidak menyangka bahawa dia boleh tertidur sebegitu lama. Setelah menyentuh dahinya, dia berasa sesuatu yang sangat panas. Tekaknya pula mula berasa perit dan menyukarkan lagi pernafasannya. Sepertinya dia sudah jatuh sakit. Nasib baiklah, mereka semua itu belum sampai lagi.

Baru sahaja Chu Qiao ingin menghembuskan nafas leganya, tiba-tiba bunyi tapak kaki berkumandang. Apabila dia mendongakkan kepalanya, suatu suara merdu berkata, "Dah sedar?"

Zhuge Yue tiba-tiba muncul dalam hutan yang tebal itu. Dia memakai jubah berwarna ungu yang nampak bergaya dalam kalangan anak orang berada di Bandar Zhen Huang. Jubah ungu itu dihiasi dengan corak rumit yang diperbuat daripada benang pelbagai warna dan menampakkannya seperti corak bunga mawar yang mekar. Ia kelihatan menawan dan berwarna-warni di bawah cahaya matahari. Rambutnya yang panjang pula diikat ke belakang dengan kening yang tersusun elok di atas matanya yang berwarna gelap itu. Kulitnya juga berwarna cerah dan sesuai dengan bentuk dagu dan bibir yang merah. Setelah itu dia menoleh ke arah cahaya matahari. Dia merenung Chu Qiao tanpa sebarang perasaan seakan-akan melihat sebuah batu yang tidak bernyawa.

Li Ce pastinya mengeluarkan aura yang berlainan jika memakai baju yang sama. Namun, lelaki di hadapannya ini mempunyai ketampanan yang luar biasa tetapi aura dingin dan hasad dengki yang dikeluarkan olehnya dapat menyingkirkan rasa ingin berbaik-baik dengannya daripada orang lain.

Chu Qiao masih mendongakkan kepalanya sambil memerhatikan tetamu yang tidak diundang itu, "Kenapa awak ke sini?"

"Mana Putera Mahkota Li? Larikan diri? Mati? Takpun awak dah bunuh dia?" Soalnya bertubi-tubi sambil mengangkat kening.

Chu Qiao hanya mengabaikan soalan itu dan bertanya lagi, "Dah berapa lama awak di sini?"

"Sejak awak membuta. Nak air tak?" Zhuge menggoncangkan botol minuman di pinggangnya itu. Namun, setelah dia melihat Chu Qiao yang hanya merenung ke arahnya tanpa kata-kata, dia meletakkan botol air itu kembali.

"Kenapa awak tolong saya?"

Zhuge Yue hanya tersenyum sinis dan memandangnya. "Awak ingat saya ke sini nak tolong awak ke?" Dia menyilangkan tangannya sambil bersandar pada pokok lantas tertawa. "Xing'er, awak ingat saya ini siapa? Zhao Song? Yan Xun? Awak ingat saya ini mudah-mudah saja nak tertarik dengan awak macam mereka? Atau," dia berhenti sejenak dan mendekati Chu Qiao, "awak ingat saya bodoh nak termakan pujukan awak berkali-kali?"

"Saya hanya nak lihat benda pelik apa yang si Li Ce nak tunjukkan dan juga kesengsaraan Yan Xun dan awak. Tapi apakan daya, nasib lebih menyebelahi awak kan." Dengusnya acuh tidak acuh sambil memandang ke langit.

Related Books

Popular novel hashtag