Bendera dikibarkan di udara di sepanjang jalan yang diikuti dengan bunyi dentuman gendang. Orang ramai yang keluar ke bandar dapat menyaksikan pemandangan ini. Pegawai-pegawai tentera sedang melindungi pengiring di tepi. Keindahannya sama mengagumkan dengan pakaian yang dipakai oleh Maharaja.
Sebaik sahaja pedati kuda Empayar Tang tiba, tirainya dibuka dan muncullah Putera Empayar Tang yang sedang memakai jubah berwarna kuning terang bersama kot berbulu yang juga berwarna kuning. Dia kemudian turun dari pedati tersebut dan mara ke hadapan dengan hidung belangnya. Jika mukanya tidak teruk dibelasah, pastinya dia nampak sempurna.
Semua orang termasuklah Zhao Che dan Chu Qiao mendecit ketika melihat Putera itu. Perutusan dari Empayar Tang yang menyaksikannya pun turut berasa sedih kerana tiada sesiapa dapat menjangka si tuan putera boleh muncul di khalayak ramai dengan keadaan seperti itu.
Kasihan Zhao Qi dan pegawai-pegawai dari Empayar Xia yang lain kerana mereka tidak bersedia untuk hal seperti ini, jadi mereka semua tercengang dan tidak tahu berbuat apa. Nasib baiklah ahli-ahli kehormat dari istana hadir untuk mengendalikan masalah ini. Ahli Kehormat Keluarga Wei iaitu Wei Guang menunduk hormat sambil berkata, "Kami dengar Putera Li Ce seorang yang kacak dan romantik serta berbakat besar. Setelah melihat Tuan Putera secara bertentang mata, memang betul pun kata mereka. Tuan Putera nampak bercahaya malah melebihi bulan dan bintang di langit."
Setelah Wei Guang menghabiskan kata-katanya, semua orang cepat-cepat melutut dan pegawai-pegawai awam mula mendeklamasikan sajak kepada sang putera dengan memujinya tinggi melangit seperti mengatakan dia merupakan orang paling kacak di dunia ini. Pegawai-pegawai ketenteraan pula tidak begitu pandai berkata-kata jadi mereka hanya menunjukkan isyarat bagus dengan ibu jari mereka sambil memuji dengan menggunakan kosa kata yang terhad seperti cantik, kacak dan menawan.
Li Ce ketawa dengan perasaan senang hati tetapi dia mendecit sejurus setelah merasai kesakitan di mulutnya itu. Dia kemudian melambaikan tangannya ke arah mereka sambil berkata, "Terima kasih semua." Dia berasa sangat gembira dengan pujian yang dilontarkan kepadanya. Kalaulah Maharaja dan Maharani Empayar Tang ada bersama, entah apalah perasaan mereka agaknya.
Setelah sekian lama menggunakan pelbagai cara untuk memaksa anak kesayangan Maharaja Tang untuk menaiki pedati, akhirnya mereka berjaya dan tiba di destinasi mereka. Begol ditiupkan sepanjang mereka berarak ke Bandar Zhen Huang. Setelah beberapa langkah, Putera Li Ce pun berkata, "Kenapa bunyi muzik ini terdengar seperti saya nak pergi berperang saja?"
Zhao Qi terpaku kerana dalam diam dia berasa lega dia tidak akan berjumpa dengan sang putera itu lagi. Tiupan begol itu memang dimainkan khas ketika meraikan upacara-upacara misalnya ketika untuk berperang, meraikan kejayaan dan ada juga muzik yang hanya digunakan ketika penjelajahan Maharaja. Bagi meraikan kedatangan orang ternama, yerdapat sebuah muziik yang dimainkan khas sebagai tanda kehormatan pada pangkat mereka. Semuanya dah diaturkan dengan sempurna jadi kenapa Empayar Tang tidak gembira pula?
Setelah siasatan dijalankan melebihi setengah jam, Empayar Xia tidak mempunyai pilihan lain selain berkompromi. Seketika itu, alunan muzik yang keterlaluan mula dimainkan. Pihak tentera mula menjalankan tugas semula setelah puas didengarkan alunan muzik yang dimainkan oleh gadis-gadis muda yang berpakaian terang. Li Ce kelihatan tidak begitu mempedulikan kecederaan yang dialami di mukanya kerana dia asyik membuka tirai pedati sahaja sambil melambai-lambaikan tangannya ke arah rakyat jelata dengan senyumannya yang mesra itu. Dia ingin meraih perhatian mereka.
Chu Qiao mengeluh dalam diam ketika menunggang kudanya untuk mengekori batalion Pasukan Askar Berkuda Tanpa Gentar yang mengiringi Putera Li Ce ke Istana Sheng Jin.
Zhao Che dan Timbalan Komander Cheng mengikuti Putera itu masuk ke dalam istana manakala Chu Qiao dan yang lain kembali ke kem. Apabila mereka tiba di pintu masuk, mereka ternampak seekor helang hitam yang berterbangan di langit. Seorang pemanah yang melihat ini cepat-cepat menarik busurnya dan cuba mensasarkan ke arah burung helang itu. Entah bagaimana tiba-tiba satu anak panah melumpuhkan anak panah yang dilepaskan tadi lantas menghalangnya daripada terkena pada helang tadi.
Setelah melihatnya, helang tadi berkeok dengan sombongnya lantas berpusing dalam bulatan selama beberapa kali sebelum terbang pergi dari situ.
"Jurulatih Chu! Kenapa awak halang saya?"
Chu Qiao hanya menjeling askar tadi lalu mendengus ke arahnya sebelum beredar ke kem dengan menunggang kudanya.
Setelah bekerja keras selama beberapa hari, akhirnya mereka boleh berehat. Apabila semua orang kecuali pengawal yang bertugas di pondok pengawal pulang ke kem, mereka terus tidur dengan nyenyaknya. Chu Qiao pula menyelinap keluar dari pintu lain dengan berpakaian biasa.
Cuaca sudah semakin panas dan Tasik Chu Shui pun sudah tidak membeku lagi. Dari jauh Chu Qiao dapat melihat seorang lelaki tinggi yang berjubah putih sedang berdiri di tebing sungai dan kelihatan begitu anggun tatkala angin meniupnya.
Chu Qiao mendekatinya sambil tersenyum, "Kau bergaya untuk siapa?"
Yan Xun menoleh dan tersenyum manis. Dia kemudiannya melihat Chu Qiao dari atas sehingga bawah lantas berkata, "Kau takut ke?"
"Taklah." Senyum sinis gadis itu padanya.
"Degil." Yan Xun ketawa dan menambah lagi. "Seluruh ibu negeri dah tahulah. Kau dah macam selebriti hari ini."
Chu Qiao terpegun. "Semua orang di ibu negeri tahu? Tiada siapa yang laporkan ke?"
"Zhao Che cakap dia tak nampak kau pukul sesiapa dan begitu juga dengan seluruh pasukan askar berkuda itu. Putera Tang sendiri pun tak mengaku kau yang pukul dia. Dia asyik kata yang dia jatuh. Jadi Maharaja boleh buat apa kan kalau mangsa sendiri tak mengaku?"
Chu Qiao menahan tawa dan berkata, "Kalau aku tahu, aku belasah dia teruk-teruk lagi."
"Ah Chu, kau okey ke jadi tentera?"
"Okey saja," Chu Qiao mengangguk. "Zhao Che masih tak percayakan aku. Aku dah cuba berkali-kali untuk buktikannya tapi taklah teruk sangat. Semuanya okey."
Yan Xun mengangguk dan berkata, "Okey tapi kau hati-hati. Kalau tak boleh, jangan paksa diri."
"Aku tahulah. Jangan risau."
"Kalau begitu aku tak nak ganggu kau lagi. Nah. Token ini mampu membuatkan orang dari kesatuan Da Tong membantu kau. Ia berguna kalau kau berada di luar."
Chu Qiao memegang cebisan kayu yang kelihatan aneh tetapi menarik itu. Bentuk seekor burung falko berserta tulisan "Tong" telah terlakar di belakangnya.
"Aku pergi dulu."
"Yan Xun!" Lelaki tersebut menoleh dan memandangnya dengan seribu tanda tanya. Chu Qiao pun terperanjat dengan reaksinya itu tetapi terus tersenyum tersipu-sipu sambil berkata, "Hati-hati."
Yan Xun terpecah tawanya berserta tersenyum selembut angin bayu pada musim bunga. Kemudian, dia pun pergi meninggalkan Chu Qiao.
Chu Qiao hanya mampu terdiam dan melihatnya lenyap dari pandangannya perlahan-lahan. Setelah itu, barulah dia pulang ke kem semula.
Yan Xun menarik kudanya untuk berhenti dan sejurus itu dia lompat turun dari kuda tersebut. "Apa terjadi?" Dia bertanya dengan nada dalam kepada mereka.
Ah Jing cepat-cepat membalas, "Wei Jing telah hantar orangnya untuk mengumpul maklumat tentang kes pukul Putera Tang itu. Mereka dah rasuah dua orang askar dari pasukan askar berkuda untuk menjadi saksi. Sekarang ini mereka dah bergegas ke Istana Sheng Jin."
"Wei Jing?" Ujar Yan Xun seperti tidak percaya. Renungannya kemudian bertukar dingin, "Beritahu Pasukan Malam dan biar mereka uruskan."
Ah Jing terperanjat dan menggumam, "Apa maksud Tuan Putera?"
"Bunuh Wei Jing." Renungannya berubah bengis serta-merta. Dia kelihatan seperti seekor serigala dan tiada langsung belas kasihan yang terpancar darinya. "Dia dah lama hidup." Dengusnya lagi.
Walaupun hari sudah larut malam, namun Istana Sheng Jin masih lagi dibuai dengan alunan muzik. Bulan yang berada nun jauh di atas telah mengeluarkan cahaya yang samar-samar. Tanah di sebalik Dataran Zi Wei telah dianggap sebagai kawasan diraja yang dikawal dengan ketat namun ia kedengaran sunyi terutamanya pada waktu sekarang. Walaupun Bandar Zhen Huang tidak mempunyai perintah berkurung, tiada sesiapa yang merayau-rayau pada waktu malam kecuali mereka yang bukan rakyat biasa.
Lebih 100 askar berkuda berkumpul dan membuat formasi ulang-alik di mana askar di hadapan mula berkawad ke belakang. Jalan raya yang panjang itu hanya dipenuhi dengan bunyi telapuk kuda. 15 minit berlalu tetapi mereka masih belum berada di jalan utama yang menghala ke istana tersebut.
Kebanyakan askar berkuda berkumpul di tengah-tengah formasi bersama pengawal yang sudah lengkap bersenjata di samping mereka. Terdapat dua lampu yang menerangi formasi itu iaitu di bahagian hadapan dan belakang jadi di bahagian tengah gelap gelita. Tiada sesiapa yang boleh meneka apa yang sudah berlaku tetapi yang pastinya mereka tahu formasi tersebut bertujuan untuk melindungi seseorang yang sangat penting.
Mereka yang berada di bahagian hadapan memegang senjata seperti pedang dan lembing lantas bersiap sedia untuk menyerang dan mempertahankan diri daripada musuh. Di sebelah kiri dan kanan formasi terdapat 20 askar berkuda yang membuat banteng pertahanan sambil memegang pedang mereka. Mereka siap dilengkapi dengan baju perisai untuk melindungi diri. Pantulan cahaya perak dari baju perisai mereka sudah memadai untuk menyatakan baju perisai itu datang dari wilayah barat. Anak panah pun tidak dapat menembusi baju perisai itu.
Pertahanan mereka begitu kukuh dan boleh dikatakan tiada cacat celanya. Semenjak dari peristiwa kematian Muhe Xifeng dari suku keluarga Muhe, golongan bangsawan sekitar ibu negeri berasa terancam lantas mencetuskan kekalutan. Wei Jing pun turut lebih berhati-hati jadi dia sentiasa memakai baju perisainya ke mana sahaja dia pergi.
Angin sejuk yang bertiup kencang menyebabkan salji di tanah berkepul-kepul lantas menampakkan keadaan di situ kelihatan lebih sejuk dan berais dari biasa.
"Tuan Muda Kedua," seorang orang gaji tampil ke hadapan sambil menunggang kudanya. "kita akan tiba di Pintu Yuan An utara sebentar lagi dan akan menyelinap masuk. Tuan rumah pasti tak akan sedar kehadiran kita. Lagipun, Sida-sida Qin dah menunggu ketibaan kita di hadapan Pintu Istana. Setelah kita serahkan bukti itu, habislah Putera Yan dan gadis itu nanti."
Wei Jing mengangguk. Renungannya kelihatan bengis bak seekor serigala. Dia kemudiannya tersenyum sinis.
Awan tebal mula terkumpul lantas melindungi bulan dan bintang-bintang yang bersinar di langit.
Lelaki yang berada dalam kegelapan itu berpakaian serba hitam. Dia hanya memerhatikan sahaja dari atas tembok istana yang tinggi. Angin sejuk meniup tubuhnya dan menampakkannya berbeza daripada orang biasa. 30 orang yang berada dalam kegelapan dapat dilihat di kedua-dua bahagian. Mereka meniarap dan bertinggung di atas tanah sambil menunggu arahan seterusnya.
Tiba-tiba, alunan muzik yang memecah sunyi di istana dimainkan diselangi dengan bunyi loceng dan gendang. Lelaki tersebut tahu masanya telah tiba di saat ahli muzik itu memulakan muzik untuk mengaburi operasi itu. Mereka hanya mempunyai 15 minit sahaja untuk menyerang.
Satu teriakan yang kuat berkumandang di udara lantas memecah sunyi dengan bunyi telapuk kuda yang seragam. Askar-askar Wei terperanjat sambil memerhatikan bayang-bayang sekitar mereka dengan panik.
Pada waktu itu, 30 anak panah dilepaskan dengan serentak dari atas tembok tersebut. Anak panah itu disasarkan pada kuda dan bukannya orang-orang itu lantas membuatkan kuda-kuda perang itu meringkik kesakitan dan menyebabkan askar-askar yang menunggangnya rebah ke tanah di saat ia mengangkat kakinya ke atas. Teriakan kesakitan mula berkumandang di udara. Namun, Wei Jing selamat dilindungi di bahagian tengah. Dia yang berasa sangat marah kemudiannya menjerit, "Kau ni siapa?"
Lelaki yang berada dalam kegelapan itu hanya mendengus sambil mengangkat busur silang emasnya ke udara lantas melepaskan satu lagi tembakan. Sebelum sempat anak panah tadi mengenai sasaran, lelaki tersebut telah terjun dari tembok tadi dengan sekelip mata dan diikuti dengan askar yang lain. Dia kemudiannya mengeluarkan cangkuk di tangannya ketika terbang di udara lantas menjejak tanah dengan selamatnya. Dengan sepantas kilat, dia menghayunkan pedang miliknya pada askar-askar yang berperisai itu tanpa belas kasihan. Seorang askar menerpa ke arahnya bersama pedang di tangan tetapi sebelum sempat dia menyerang, anak panah emas tadi menembusi leher askar itu.
Bunyi teriakan yang menyedihkan pun berkumandang di sekitar Jalan Zi Wei.
Dewa maut yang bersembunyi di sebalik tembok pun mula menjejak tanah untuk memburu musuh mereka.
Hampir separuh daripada orang-orang Wei Jing telah dihapuskan bersama kuda mereka yang meringkik kesakitan. Ramai yang cedera dipanah dan ada yang mati tertiarap di tanah setelah dipijak kuda. Formasi mereka pula sudah terlerai.
"Wei si pengkhianat! Kau dah menuduh dan mendiskriminasikan orang lain untuk merampas takhta! Muhe Xike akan melaksanakan perintah Tuhan untuk mengambil nyawa kau! Siap sedia untuk mati!"
Bunyi telapuk kuda sudah kedengaran dari jauh jadi Wei Jing tahu yang Pengawal Istana sudah bergegas ke mari. Dia kembali bertenang sebelum menjerit, "Kau memang cari nahas, Muhe si pengkhianat!"