Chapter 290 - Bab 290

Shuixiang mengekori belakang ketua sida-sida itu. Yan Xun mendepangkan lengannya sebelum meletakkan kedua belah tapak tangan milik pemuda itu di atas meja. Shuixiang berlutut di atas lantai dengan velnya yang menutupi hampir keseluruhan wajahnya, malah kini rambut depannya pula yang sedang mengaburi matanya. Dengan kepala yang tertunduk, tatapan mata wanita itu terasa seperti air yang mengalir melewati segala perihal bagaikan sebuah ribut salji. Ia tangan yang masih sama, panjang dan memucat. Tapak tangannya penuh berbelulang akibat bertahun-tahun memegang pedang sementara jari kelingkingnya telah terputus. Malah kulit barunya itu pun tampak lusuh setelah bertahun-tahun berlalu, membentuk sebuah parut yang mengerikan.

Wanita itu terpaku seketika sebelum kembali melakukan tugasnya. Dia meletakkan tangannya pada leher Maharaja untuk mengira kadar nadinya. Yan Xun tidak dapat menahan dirinya daripada berasa terkejut apabila melihat wanita itu yang senang benar menyesuaikan dirinya. Ramai doktor yang lain akan berasa terpana apabila melihat tangannya, namun wanita ini langsung tidak berasa geli.

Setelah mengira nadinya, Shuixiang mengambil satu langkah ke belakang dan berkata, "Tuanku, penyakit Tuanku ini tak teruk. Ia hanyalah kerana Tuanku terlalu letih dan juga kerana Tuanku kurang tidur. Sebentar lagi, biarawati ini akan mempreskripsikan sejenis ubat untuk Tuanku. Tuanku hanya perlu minum ubat itu dan rehat dengan lebih cukup. Pasti Tuanku akan bertambah pulih." Suaranya kedengaran serak, membuatkan dia berasa bagaikan bukan dia yang berkata. Setelah itu, Yan Xun meraih keningnya sebelum meneliti wanita itu dengan ringan sebelum bertanya, "Suara awak memang sebegitu semenjak lahir lagi ke?"

Shuixiang membalas, "Tuanku, patik terselamat dari kebakaran sewaktu patik masih kecil. Semenjak itu, suara saya dah jadi begini disebabkan asap api itu."

Yan Xun berhenti seketika sebelum matanya dilirikkan sekali lagi pada wanita itu dan ditundukkan. Tidak lama kemudian, beberapa orang gaji mendekati mereka untuk menyampaikan beberapa maklumat penting. Angin sejuk yang menghembus masuk ke dalam ruang itu telah membuatkan Yan Xun berkerut, tangannya yang sedang mengurut ubun-ubunnya itu ditekankan lagi.

Shuixiang berkata setelah melihat pemuda itu, "Patik ada belajar beberapa teknik urutan yang boleh mengurangkan rasa sakit kepala. Tuanku nak cuba?"

Lilin-lilin di dalam istana itu segera dinyalakan sebaik sahaja senja tiba. Apabila malam semakin lewat, tatapan mata Yan Xun sekali lagi mendarat pada biarawati ini. Renungan pemuda itu terasa sungguh mendalam, membawa seribu maksud bersamanya. Setelah berdiam buat seketika, dia mengangguk, "Baiklah."

Shuixiang berjalan ke belakang Yan Xun dengan yakin sebelum meletakkan tangannya yang mulus dan gebu itu pada dahi pemuda ini. Jari-jemarinya terasa sejuk bagaikan ais di puncak pergunungan. Tetapi, Yan Xun santai sahaja, merasakan yang sakit kepalanya itu semakin menghilang semasa diurut oleh jari-jemari itu. Dia menutup matanya dan bertanya penuh santai, "Tuan awak itu Tuan Jingyue ya?"

Shuixiang membalas lembut, "Benar, Tuanku."

"Sudah berapa lama awak menetap di ibu negara ini?"

Shuixiang berkata, "Semenjak lima tahun lalu."

Hujung bibir Yan Xun terangkat sedikit namun langsung tiada senyuman yang berbaki di matanya apabila dia bertanya ringan, "Awak berasal dari mana?"

Shuixiang membalas tenang dengan kepala yang tertunduk, "Dari Minzhou."

Kening Yan Xun dikerutkan sedikit apabila dia mengepalkan penumbuknya dan terbatuk. Dia menyatakan, "Aksen awak membuatkan awak kelihatan seperti awak berasal dari sini."

Shuixiang hanya mengangguk sedikit namun tidak berkata apa lagi. Dewan istana itu sungguh besar sehingga ia tidak masuk dek akal. Angin yang menghembus memasuki dewan istana tanpa mengetahui punca kemasukannya itu terasa sungguh nyaman, membawa bersama bau haruman samar-samar. Tatapan mata Shuixiang kaku apabila dia memandang lelaki di hadapannya ini. Walaupun dia hanya sedang memandang belakang lelaki itu, walaupun dia tidak pernah mengangkat wajahnya sesaat dia memasuki kawasan istana, dia masih boleh membayangkan ciri-ciri wajah lelaki itu. Sememangnya dia masih lagi lelaki yang sama. Matanya yang rapat, pandangannya yang mendalam, hidung mancungnya, bibir nipisnya, malah bibirnya kini pun sudah hampir satu tona warna dengan kulitnya. Lelaki itu sering memuncungkan bibirnya, menunjukkan yang dia tidak mengambil kisah tentang orang sekelilingnya. Bertahun-tahun sudah berlalu, namun memori Shuixiang masih lagi menariknya kembali ke saat ketika bertahun-tahun lalu itu semasa dia meromok di belakang abang-abangnya sambil dipeluk erat oleh pengasuhnya. Dia dapat melihat budak lelaki itu sedang mendekati bersama beberapa budak yang lain. Budak-budak lain semuanya sedang menangis atau cuba untuk menahan tangisan, namun hanya budak lelaki itu seorang sahaja yang masih tersenyum riang dengan anak mata yang jernih, langsung tidak dihurung perasaan takut atau cemas. Budak lelaki itu dapat melihat gadis kecil itu sedang memandangnya daripada khalayak ramai itu, membuatkan dia tersengih sebelum mengenyitkan matanya pada si gadis. 

Daripada saat itu, kebahagiaan telah pun diukir. Walaupun istana ini sungguh besar bersama berpuluh-puluh penghuninya, tatapan mata wanita itu hanya dapat melihat si dia. Wanita itu masih muda dan istana itu terasa sungguh besar bagi seorang anak kecil sepertinya, namun dia seringkali berlari dan bersembunyi di dalam Dewan Shangwu untuk mencari lelaki itu. Akan tetapi, hari-hari sebegitu pastinya sudah berakhir.

Shuixiang menarik nafas panjang dengan perlahan dan senyap. Dalam mindanya, imej bandar-bandar yang telah ditawan, rakyat jelata yang telah dibunuh, pasukan berkuda yang menyerang dan hari demi hari yang dipenuhi dengan pergelutan dan penghinaan itu terlintas. Akhirnya, apa yang tinggal kini hanyalah orang yang sering berdiri teguh dalam menghadapi segala jenis kepayahan.

Tangan kanan Shuixiang mengurut dahi Yan Xun, lehernya, bahunya dan juga tulang belakangnya seolah-olah wanita ini sedang melalui segala keperitan hidupnya sekali lagi. Dia merenung ke arah lelaki yang telah dikejarnya buat lebih separuh hidupnya, lelaki yang dicintainya buat separuh hidupnya, lelaki yang dibencinya buat separuh hidupnya dan juga lelaki yang telah memusnahkan seluruh hidupnya ini. Hatinya sedang berdegup kencang seolah-olah ia mampu tercabut dari dadanya. Biarkan saja, apalah yang boleh berlaku? Bukankah ini untuk yang terbaik? Dia telah menangani segala keperitan itu, melalui segala penghinaan itu, menanggung segala kepayahan itu, jadi bukankah ini yang diingininya selama ini?

Pada saat itu, pandangan tajam terpancar jelas dari matanya sebelum dia menggerakkan pergelangan tangannya untuk mengeluarkan sesuatu daripada lengan baju. Mata Yan Xun tiba-tiba bersinar terang. Dalam pandangan matanya yang mendalam, Yan Xun bagaikan telah memahami sesuatu. 

Nasib telah menyebelahi Yan Xun apabila seorang pembantu istana memasuki bahagian dalaman dewan itu dengan membawa semangkuk arang yang bertujuan untuk diletakkan di dalam pendiang api di belakang mereka. Yan Xun segera menggunakan kakinya untuk menarik tikar di lantai dengan tenaga yang sungguh dahsyat. Maka dengan itu, pembantu istana itu terjatuh dan mangkuk yang berisi arang putih kepanasan itu betul-betul di antara Yan Xun dan Shuixiang!

Pada saat itu, orang ramai di dalam dewan istana itu mula menjerit ketakutan sehingga Shuixiang sendiri pun berasa terpaku dengan peristiwa yang tidak disangka-sangka ini. Yan Xun telah mengambil kesempatan tersebut untuk menjarakkan dirinya daripada wanita itu.

"Ke sini! Seseorang, ke sini" Ketua sida-sida itu berasa sungguh cemas apabila dia bergegas ke sisi Yan Xun untuk menepuk-nepuk badannya. Dia berasa risau jika Yan Xun terkena api. Pembantu istana yang membawa mangkuk arang itu sungguh terperanjat sehingga dia pengsan. Pengawal merempuh masuk dan menyekat segala pergerakan wanita itu kerana merisaukan yang 'pembunuh upahan' ini akan cuba untuk melakukan sesuatu yang lain.

Walaupun Empayar tersebut sedang menuju ke arah kedamaian, namun masih akan ada pembunuh-pembunuh upahan yang langsung tidak kisah akan diri mereka di dalam Istana Yan ini. Tidak kiralah sama ada mereka ini merupakan setiawan buat Empayar Xia mahupun ahli rahsia Kesatuan Da Tong yang telah menyembunyikan setiap langkah mereka, mereka semua pernah cuba untuk melakukan segala jenis pembunuhan yang disasarkan kepada pemuda ini. 

Istana itu telah menjadi sungguh huru-hara. Wajah semua orang lantas berubah pucat seolah-olah mereka sedang berhadapan dengan musuh yang tidak dapat ditangani. Mereka takutkan Maharaja yang mungkin akan menyalahkan seseorang disebabkan hal ini. Namun, Yan Xun langsung tidak berkata apa-apa. Pemuda itu hanya berkerut. Dia tampak agak kebingungan seakan-akan dia bakal bertanyakan banyak soalan. Pada masa yang sama, dia juga tampak seperti dia buntu akan tindakan seterusnya. Akan tetapi, segala hal ini langsung tidak mengurangkan aura kekejamannya sementara pemuda itu terus merenung ke arah wanita itu. Ia terasa seperti dia ingin membelah wanita itu kepada dua bahagian untuk meneliti isi hatinya supaya dia dapat memahami segalanya tentang wanita ini. 

Ketua sida-sida itu segera menoleh ke arah tatapan mata Yan Xun dan akhirnya ternampak Shuixiang.

Sementara para orang gaji sedang sibuk melindungi maharaja, wanita itu hanya berdiri tercegat dengan wajah yang sudah memucat. Dia kelihatan amat buntu bagaikan hantu yang sedang berlegaran di ruang udara, langsung tidak mempunyai darah di dalam dirinya. Tubuhnya telah melecur akibat arang putih panas itu namun ia langsung tidak penting. Apa yang penting adalah tangannya yang diraih lurus di hadapannya. Kain lengan bajunya telah pun dibaham dek api dan mula terbakar dalam satu bola api yang amat panas.

"Ah! Cepat, selamatkan dia!" Sida-sida tersebut menjadi panik lalu mengarahkan.

Tidak beberapa lama selepas itu, sebaldi air telah dicurahkan ke atasnya, cukup untuk memadamkan api tersebut. Malangnya, lengannya telah pun melecur. Beberapa orang lantas bergegas untuk mendukungnya hanya untuk mendengar si ketua sida-sida itu mengarahkan, "Cepat, bawa Cik Puan Shuixiang ke istana sisi dan bawa doktor ke sini."

Para orang gaji itu mengangguk lalu mula bergerak keluar.

"Sekejap." Pemuda itu tiba-tiba membuka mulutnya. Suaranya kedengaran dingin bagaikan api yang baru sahaja dipadamkan tadi dan bakal mengundang kekelaman. Kata-kata tersebut terus menikam rongga telinga Shuixiang yang terselindung di sebalik kain vel. Kedengaran juga bunyi air hujan dingin yang menitik-nitik pada jubin, bergema di seluruh bangunan.

"Awak, pusing."

Dewan istana itu diterangi dengan cahaya merah yang samar. Lilin kuning itu terus terbakar menerangi tubuh badan Yan Xun. Naga keemasan yang disulamkan pada pakaiannya itu kini tampak lebih kejam dari biasa seakan-akan ia mampu bangkit dari pakaian hitam itu ke arah pintu langit. Pemuda yang sedang berkerut itu hanya mampu mendengar dentuman kilat yang sedang menyambar dari kejauhan sahaja. Sangat jauh namun ia terasa sangat dekat.

Sebaliknya, Shuixiang bagaikan tidak mampu mendengar apa-apa juga. Dunianya terasa sungguh kelam dan kesepian. Segalanya bagaikan sudah tidak bermakna lagi. Setelah bertahun-tahun menempuhi semua marabahaya, daya ketahanan, pelarian, perancangan dan kesepian yang dirasainya pada setiap malam, perasaan-perasaan tersebut seolah-olah telah lenyap menjadi debu yang berterbangan. Dia menundukkan kepalanya dan merenung sulaman yang terdapat pada kain vel yang melindungi mukanya itu. Angin yang berhembus telah mengepakkan vel tersebut dengan sungguh lembut. Begitulah kehidupannya yang sering dikawal.

'Semuanya baik-baik saja.' Dia cuba mengukir sebuah senyuman, tetapi sebuah senyuman dingin pun tidak mampu digubah.

'Semuanya baik-baik saja. Apa lagi yang boleh aku lakukan? Akhirnya, aku ini seorang yang tak berguna, masih lagi dungu dan juga keji.'

Wanita itu mengetap bibirnya kuat. Dia tidak tahu apa yang sedang terlintas di dalam fikirannya kini. Mengapalah dia tidak menikam pemuda itu? Mengapalah akhirnya dia yang telah menghalang pemuda itu? Dia ini gila ke? Dia sudah nyanyuk ke? Dia telah disumpah ke?

Atau, mungkinkah masih ada sekelumit perasaan di dalam hatinya yang tidak dapat dilupakan walaupun lebih sedekad telah berlalu?

Wanita ini benar-benar terasa ingin menangis. Dia ingin meraung lantang tanpa mempedulikan tentang hal di sekelilingnya. Dia ingin meraung atas segala kesengsaraan, kepenatan dan juga penghinaan yang telah ditanggungnya selama bertahun-tahun ini. Dia tidak mahu meromok ketakutan disebabkan oleh mimpi-mimpi ngerinya pada setiap malam. Namun, semenjak bilakah sepasang mata ini mula berhenti mengeluarkan air mata? Adakah ia semasa dia dikalahkan dan terpaksa melarikan diri? Adakah ia semasa dia terpaksa melayani orang tua itu? Atau, adakah ia semasa pakaiannya telah dicarik-carikkan dek si durjana-durjana itu?

Atau, adakah ia semasa bertahun-tahun lalu apabila dia sedang memakai pakaian pengantin berwarna merah sambil berlutut di bawah langit malam yang berwarna merah perak, melihat dua pasangan berpegangan tangan semasa mereka meluru keluar dari Bandar Zhen Huang bersama?