Tiba-tiba, Yan Xun berasa sedikit gementar. Dia mengambil tempatnya di sisi Nalan Hongye, tetapi telah berniat untuk menghindarinya. Pemuda itu berkerut dan berkata, "Jangan cucuk saya."
Nalan Hongye meraih keningnya dalam balasan. "Bukan ke awak pernah menyertai medan perang sebelum ini? Awak takutkan jarum yang kecil ke?"
Yan Xun terdiam dan berasa sangsi akan kebolehannya jadi dia kekal berkerut. Namun, tidak lama kemudian, pemuda itu menyedari wanita ini sememangnya berbakat dalam sulam-sulaman, menggunakan jari-jemarinya untuk mengerjakan jarum tersebut.
Dia kelihatan lemah. Dari pandangan mata Yan Xun, dia hanya dapat melihat leher yang putih gebu. Cahaya mentari yang menyinari tubuh wanita itu secara langsung telah memberikan aura megah sementara aroma herba berlegaran di serata bilik. Pasir di dalam jam pasir itu menitik sebutir demi sebutir ke dasarnya. Bunyi desiran jarum yang disulamkan pada kain itu sememangnya dapat didengari.
Tiba-tiba, tangan Nalan Hongye bergetar dan dia pun melepaskan batuk ringan. Pada mulanya, wanita itu telah cuba untuk menahan batuknya itu. Namun, tidak lama selepas itu batuknya menjadi semakin kuat pula. Yan Xun berkerut sebelum menepuk-nepuk belakang badan wanita itu dengan ringan dan mengarahkan, "Bawa air ke sini, cepat."
Wen Yuan bergegas mendekati. Yan Xun mengambil secawan air itu sebelum diberikan kepada Nalan Hongye untuk diteguk. Kadar pernafasan wanita itu beransur pulih namun wajahnya masih kelihatan merah manakala matanya pula nampak kuyu sahaja.
"Awak okey ke? Awak perlukan doktor?"
Nalan Hongye menggeleng kepalanya lemah dan menjawab, "Tak mengapa, saya sakit ringan saja. Saya akan pulih selepas berehat sebentar."
"Tak perlu jahit baju ini lagi. Tunggu sehingga awak bertambah baik."
Nalan Hongye mengangguk, sememangnya berasa letih.
Yan Xun membuka kot luarannya untuk diberikan kepada Wen Yuan dan memerintahkan, "Tunggu sehingga keadaan dia semakin baik. Jangan berikan ini kepada dia dalam masa beberapa hari ini."
Wen Yuan segera mengangguk dengan gembira sambil berfikir sendirian, 'Lima tahun. Akhirnya, para dewa dah bukakan mata mereka. Tuanku akhirnya tahu bagaimana nak melayan isterinya.'
Yan Xun memakai sehelai lagi jubah dan berkata kepada Nalan Hongye, "Saya ambil diri dulu. Berehatlah dengan secukupnya."
Nalan Hongye mengangguk. Yan Xun berpaling untuk beredar, meraih langsir di dalam bilik yang besar itu. Selepas kelibat pemuda itu semakin menghilang, Nalan Hongye tiba-tiba berasa cemas. Jadi, dia memanggil lantang, "Tuanku?"
Yan Xun terpaku sebelum menoleh.
Mereka memandang sesama sendiri begitu saja. Masa bagaikan telah berlalu melewati mereka berdua. Setahun, dua tahun, tiga tahun, lima tahun. Apa yang pemuda itu tidak tahu, berpuluh-puluh tahun.
"Saya akan suruh para pembantu dapur untuk sediakan hidangan yang sedap-sedap belaka pada malam ini. Tuanku akan datang menjamah ke?"
Yan Xun berdiri di tengah-tengah bilik itu sambil memandang wanita yang sedang terduduk di atas katil di kejauhan. Itulah isterinya, wanita yang tidak pernah dihiraukannya, namun telah membantunya dalam banyak perkara.
Dia berdiri di situ sambil merenung wajah Nalan Hongye, cuba untuk mengingati ciri-ciri wajahnya suatu ketika dahulu. Namun, selain dari melihatnya mendondonkan barang-barang kemas yang mewah dan pakaian yang ceria, pemuda itu tidak dapat mengingatinya lagi. Kini, wanita itu sedang memperagakan sehelai pakaian putih ringkas tanpa apa-apa aksesori di kepala mahupun sebarang alat solek di muka. Wajahnya tampak pucat dan susuk tubuhnya nampak lemah, sukar untuk menjangkakan saki-baki masanya di dunia ini.
'Lupakan sajalah.' Yan Xun mengeluh pada dirinya sendiri. Walaupun dia telah mengambil alih kuasa ketenteraan Xuan Mo. Walaupun dia mungkin telah mengetahui tentang perhubungannya dengan Xuan Mo. Walaupun dia telah memusnahkan surat terakhir Xuan Mo kepadanya sementara pemuda itu masih hidup.
'Lupakan sajalah.' Yan Xun mengangguk dari jauh dan berkata, "Berehatlah dengan cukup dulu. Saya akan jenguk awak nanti."
Angin segar menghembus masuk melalui pintu hadapan istana semasa ia dibuka luas.
Nalan Hongye terduduk di atas katilnya sementara memerhatikan pemergian pemuda itu. Raut wajahnya kelihatan lembut dan tenang.
"Puan." Wen Yuan tersenyum dalam kegembiraan, sukar untuk mencari kata-kata yang sesuai. Akhirnya, dia berkata, "Saya akan pergi sediakan barang-barang yang diperlukan."
Nalan Hongye mengambil nafas panjang sebelum bersandar pada katilnya yang lembut. Tiba-tiba, dia teringat akan malam yang telah berlaku bertahun-tahun dahulu. Pemuda itu sedang berada di atas kudanya, cuba untuk mengejarnya. Akhirnya, dia berdiri di seberang jambatan dan berhadapan dengan wanita itu untuk bertanya, "Saya dah tanamkan sebotol wain mahal di bawah pokok pear ini. Kamu nak datang ke sini tahun depan?"
Kamu nak datang ke sini tahun depan?
Kamu nak datang ke sini tahun depan?
Kamu nak datang?
Sudah bertahun-tahun berlalu, namun dia masih dapat mendengar suaranya setiap kali dia menutup matanya. Ia terasa seperti segalanya baru sahaja berlaku semalam.
"Ya! Tunggu saya!" Gadis itu mengeluarkan kepalanya dari kereta kuda untuk berlaung kembali sementara bayangan pemuda itu semakin menghilang.
Ya! Tunggu saya!
Namun, gadis itu tidak pernah datang kembali.
Setelah kemangkatan ayahandanya, dia telah dipertanggungjawabkan dengan seorang ibunda yang gering dan seorang adik yang lambat dari segi pemikirannya. Ditambah pula, ahli-ahli keluarganya yang lain semuanya mengidamkan kuasanya. Tanggungjawab sebuah empayar telah jatuh ke bahunya seorang.
Buat pemuda itu pula, dia telah kehilangan keluarganya dan juga rumahnya. Budak lelaki manja yang telah hidup dalam kemewahan itu tiba-tiba telah bertukar menjadi seorang banduan dalam masa semalaman.
Setelah sepuluh tahun berlalu, mereka akhirnya kembali ke tempat pertemuan mereka buat pertama kalinya. Akan tetapi, segalanya telah berubah dan mereka tidak lagi mengenali diri masing-masing.
Nalan Hongye memejamkan matanya dan tersenyum.
Sebelum senja menjemput, Wen Yuan tersangatlah sibuk dalam mencari pakaian yang bersesuaian buat wanita tersebut, serta membantunya membersihkan diri. Para orang gaji di dapur terus bertungkus-lumus menghabiskan kerja mereka setelah mengetahui Tuanku Maharaja bakal mencemar duli dan singgah ke sana. Walaupun wanita tersebut enggan membiarkan mereka semua bekerja sebegitu, namun dia tidak membantah setelah melihat kegembiraan yang terpancar jelas pada wajah mereka.
Tetapi, apabila langit sudah menggelap, jamuan makan malam pun dihidangkan. Kelibat lelaki itu langsung tidak kelihatan. Orang-orang gaji yang lain semuanya mula bertambah cemas. Wen Yuan segera menghantar beberapa orang gajinya untuk mengumpul maklumat dari luar sementara wanita itu berulang-ulang kali memujuk Nalan Hongye.
Nalan Hongye lantas tersedar akan sesuatu. Dia langsung tidak berasa sedih, malah dia hanya berasa kosong. Yushu benar. Istana Dongnan ini terlalu besar buat dirinya, jadi dinding-dinding gah istana ini pasti akan terasa dingin dan kesepian apabila dipandang.
Tidak beberapa lama selepas itu, sida-sida peribadi Yan Xun telah tiba dengan sebuah berita tentang kehuru-haraan yang sedang tercetus di Sempadan Meilin. Maharaja kini sedang sibuk dengan perihal ketenteraan, jadi dia tidak dapat hadir mencemar duli.
Pada saat itu, Nalan Hongye seakan-akan dapat mendengar keluhan yang terkeluar dari mulut semua orang gaji di kawasan berdekatan. Wanita itu lantas berterima kasih kepada sida-sida itu sebelum berpaling ke arah Wen Yuan dan mengarahkan, "Baiklah. Bentangkan meja itu."
Sudah tentulah Wen Yuan terpaku. "Hah?"
Nalan Hongye terkekeh. "Saya mahu makan. Janganlah beritahu saya yang saya tak boleh makan kalau Tuanku tak ada di sini?" Wen Yuan lantas memahaminya dan segera memimpin orang-orang gaji yang lain untuk menyediakan hidangan-hidangan makan malam.
Nalan Hongye telah menjamah lebih dari 20 hidangan secara sendirinya. Seleranya sungguh baik pada malam itu. Setelah menjamah buat masa yang lama, dia mengarahkan orang-orang gajinya untuk membawa keluar sup pula.
Dalam tiga hari berturut-turut seterusnya, Yan Xun terlalu sibuk dengan perihal ketenteraan. Setelah tewas dalam peperangan pada awal tahun itu, Puteri Jingan iaitu Zhao Chun'er telah berundur ke arah sempadan selatan. Walaupun dia telah dikepung oleh Zhuge Yue buat beberapa kali, wanita itu masih dapat melarikan diri. Namun, setelah memikirkan tentang perasaan rakannya Zhao Che dan memastikan yang wanita tersebut sudah tidak lagi menyerang Tang, Zhuge Yue telah berhenti dari terus mengejarnya. Walaubagaimanapun, berita terbaru dari bahagian barat laut telah melaporkan yang pasukan tentera wanita itu telah bergerak dengan aktif bersama-sama dengan orang-orang Quanrong di luar sempadan. Dalam masa yang sangat singkat, banyak laporan-laporan berkonflik yang dapat didengari di seluruh ibu negara. Dewan persidangan Yan merudum dalam sebuah situasi tegang.
Tiga hari ini, keadaan Nalan Hongye telah bertambah buruk buat beberapa kali. Ini membuatkan Istana Dongnan tampak dingin dan kesepian.
Pada malam itu, Nalan Hongye yang sudah terbaring di atas katilnya selama tiga hari berturut-turut akhirnya terduduk untuk memberitahu Wen Yuan supaya mendapatkan sekotak kapas yang disimpan di dalam sebuah kabinet. Wen Yuan pada mulanya ingin menasihati Nalan supaya tidak terlalu memaksa diri, namun setelah melihat keazaman menebal yang bermain-main di wajah Nalan Hongye, Wen Yuan hanya berdiam diri.
Ia merupakan sebuah kotak kapas yang berwarna bagaikan kayu cendana. Kotak tersebut tampak tua, namun ia tidaklah seberat mana. Terdapat tiga buah mangga yang dilekatkan pada penutup kotak itu, seolah-olah sesuatu yang amat berharga telah ditempatkan di dalamnya.
Wen Yuan segera mengelap habuk yang tertera pada permukaan kotak itu dengan menggunakan sapu tangannya sebelum terbatuk. Berapa lama habuk itu sudah terperap di atas kotak itu, tiada sesiapa yang tahu. Nalan Hongye mencapai kotak tersebut sebelum merenungnya buat beberapa lama. Kemudian, dia mengambil tiga jambak kunci yang telah disembunyikan di bawah bantalnya sebelum membuka kotak itu.
Wen Yuan segera memanjangkan lehernya untuk mengintai ke dalam kotak itu hanya untuk melihat setindanan tebal pucuk surat. Kebanyakan surat itu sudah pun berwarna kuning, menandakan ia telah disimpan buat masa yang lama. Dia lantas berkerut kerana kekecewaan.
"Wen Yuan, pergi ambil pendiang dan bawa ia ke sini."
"Puan, kenapa Puan nak pendiang?"
Nalan Hongye menuding jarinya ke arah surat-surat itu lalu membalas, "Sebab saya nak buang semua ini."
"Hah? Buang semuanya?" Wen Yuan terpaku semasa dia bertanya. Walaupun dia tidak mengetahui siapa yang telah menulis surat itu, namun dia dapat mengagak orang tersebut pasti seseorang yang istimewa buat Nalan Hongye. Ia boleh dilihat dengan jelas berdasarkan cara wanita itu menyimpan surat-surat ini. Pembantu istana yang kebingungan itu bertanya, "Kenapa, Puan? Kenapa Puan nak buang semua surat ini?"
Nalan Hongye berfikir sejenak sebelum membalas dengan tenang, "Jadi, daripada membakar semua surat ini, sebaliknya kamu mencadangkan supaya saya tinggalkan ia semua di sini supaya orang lain boleh menjumpainya dan berasa sedih ataupun bersalah?"
Walaupun Wen Yuan tidak memahami kata-kata wanita itu, tetapi dia masih menuruti katanya apabila dia melangkah keluar untuk mengambil pendiang. Dalam masa yang singkat, pendiang itu sudah pun bernyala.
"Wen Yuan, keluar dulu."
Wen Yuan mengangguk dan membalas, "Baiklah, Puan. Kalau Puan mahukan apa-apa, jangan lupa untuk panggil saya saja."
Keheningan sekaligus menghurungi setiap pelosok ruang istana apabila pintu bilik ditutup. Nalan Hongye segera mengangkat semua surat yang telah dibacanya untuk berulang-ulang kali itu sebelum melirikkan jari-jemarinya yang memucat. Renungan matanya segera berubah tenang.
Ya, Mak Cik benar. Memang dia seorang penakut.
Maruah puteri sulung, Empayar Song dan juga keluarga Nalan hanyalah tipu belaka. Segalanya adalah muslihat yang telah dinyatakan oleh wanita itu untuk menipu dirinya sendiri. Sebenarnya, wanita itu hanyalah berasa takut untuk mengambil tindakan pertama.
Pemuda itu langsung tidak mengetahui apa-apa. Semasa Nalan Hongye ternampak bagaimana pemuda itu amat merindui Xuan Mo dan bagaimana dia menjaga Yushu dan Yong'er, wanita itu tidak dapat menahan dirinya daripada berasa tenang dan senang hati. Wanita itu tahu Yan Xun masih memandang tinggi terhadap Xuan Mo. Dia juga tahu dia masih mempunyai tempat di dalam hati pemuda itu. Namun, apakah yang harus dilakukan Nalan jika pemuda itu tidak mencintainya walaupun setelah mengetahui segala kebenarannya?
Dia berasa takut. Dia tidak mempunyai sebarang kekuatan. Dia risau jika pemuda itu langsung tidak terkesan setelah mengetahui kebenarannya, mahupun tidak membalas cintanya seperti yang telah diharapkan.
Nalan Hongye berasa takut jika dia tidak dapat menggantikan tempat seseorang itu di dalam hati Yan Xun walaupun setelah melakukan segalanya. Nalan berasa takut yang dia telah ditakdirkan untuk gagal walaupun setelah kebenaran diketahui oleh semua pihak. Kemudian, dia pasti tidak akan dapat menaruh harapan buat apa-apa perkara lagi. Kini, dia masih boleh meyakinkan dirinya dengan mengatakan darjatnya lebih kurang setanding dengan pemuda itu jika dibandingkan dengan seorang lagi wanita itu.
Dia sebenarnya seorang yang amat pendiam. Walaupun setelah menyedari dia sedang menipu dirinya sendiri, dia masih ingin meneruskan kepercayaannya itu.
Apa lagi yang boleh dilakukannya? Perasaan Nalan buat Yan Xun ini bagaikan sebatang pokok yang tidak pernah berbuah. Dia amat merisaukan kehadiran musim luruh, jadi dia hanya telah bercadang untuk menetap dalam musim bunga dan musim panas sahaja. Dengan cara ini, dia pasti tidak akan menempa pengakhiran tragik yang seringkali ditundanya.
Dia meraih tinggi sepucuk surat yang berwarna kuning. Kertas lama itu sudah pun menjadi nipis dan halus, mengeluarkan bunyi carikan lantang. Tiba-tiba, Nalan Hongye melepaskan genggaman tangannya, membuatkan sehelai kertas itu tadi terjatuh di atas lantai. Api di pendiang segera membaham surat yang dipandang tinggi olehnya. Surat itu kini telah bertukar menjadi abu dalam masa yang sungguh singkat.