Chapter 267 - Bab 267

Yan Xun banyak bersembang pada malam tersebut, malah lebih banyak jika berbanding dengan bulan lepas. Dia bertanyakan kepada Mu Lang mengenai makanan dalam pasukan tentera, ahli keluarga pembantunya, kesihatan ibu-bapanya, berapa ramai anaknya dan juga jika mereka berpelajaran. Pemuda itu bahkan telah bercanda dengan bertanyakan tentang berapa ramai isteri Mu Lang dan jika pelacur-pelacur di pangkalan tenteranya itu cantik-cantik belaka.

Sudah semestinya Mu Lang berasa gementar. Dia tidak pernah bertemu dengan Yan Xun sebelum ini jadi segala personaliti pemuda itu hanya telah diketahui dari buah mulut orang lain sahaja. Namun, apabila dia ternampak yang Yan Xun ini seorang yang agak ramah, ia telah menguatkan lagi firasatnya yang mengatakan dia telah memilih jalan yang benar untuk mempercayai Yan Xun. Bagi wanita yang telah membelot ke negara Tang itu pula, dia telah membuat keputusan yang amat salah dengan mengkhianati Tuanku.

Mereka berdua bersembang dengan sungguh ramah pada malam itu. Di saat bunyi semboyan isyarat pukul 11 malam itu dibunyikan, Yan Xun bagaikan telah kelihatan amat mabuk dengan badannya yang separa membongkok ketika dia terduduk di atas sofa. Kata-katanya telah menjadi semakin lembut dan semakin lembut sebelum pemuda itu akhirnya terdiam.

Mu Lang yang menyangka pemuda itu telah terlelap itu terus menyelimuti Yan Xun dengan sehelai kain sebelum bergerak keluar khemah.

Khemah itu kini sunyi sepi sekali lagi, sungguh sepi sehingga bunyi alunan suara para tentera yang mendendangkan lagu-lagu rakyat Yan Bei boleh berkumandang kuat di tengah-tengah kepekatan malam ini. Di dalam kegelapan, lelaki itu membuka matanya dengan anak mata yang tidak lagi kabur disebabkan alkohol.

Namun, dia kini bersendirian lagi.

Kawasan di sekelilingnya terasa sunyi dan sejuk tanpa ada seorang pun di sekitarnya. Angin hangat menderu di udara, namun ia terasa sejuk apabila memasuki ruangan dalam khemah. Dia yang bersendirian terdampar di atas sofanya yang lebar sementara kepalanya disandarkan pada sebuah bantal yang telah disulamkan dengan kain les mutiara. Bau setanggi terbakar merebak ke dalam rongga hidungnya, sekaligus menenteramkannya.

Namun walaupun dengan kelembutan dan kemewahan sofanya yang ditemani lagi dengan keindahan malam hari, pemuda itu masih lagi terasa keseorangan. Sama seperti malam yang telah berlaku bertahun-tahun lalu, wanita itu telah diambil daripadanya untuk menuju ke selatan menggunakan sebuah kapal. Yan Xun berdiri di atas menara bandar di Sempadan Beishou sambil merenung di kejauhan di mana salji bertimbun-timbun telah terkumpul di kaki langit. Di sebelahnya terletak gunung-gunung indah yang menyerupai besi. Akhirnya, wanita itu bebas juga daripada cengkaman pemuda itu dan meninggalkannya.

Sebenarnya, lelaki itu sudah lama menjangkakan yang perkara ini bakal berlaku. Dia telah menjangkakannya semenjak mereka masih anak kecil lagi.

Wanita itu sentiasa mengekalkan personalitinya yang beberbudi pekerti dan juga baik hati, harapannya buat masa depan tidak pernah luntur walau apa pun cabaran yang sedang dihadapinya. Pada mulanya, pemuda inilah yang telah memotivasikan dirinya. Namun, semakin lama masa berlalu, tugas itu bagaikan telah terbalik pula. Wanita itu sering menggambarkan masa depan mereka bersama yang diiringi dengan harapan-harapan, cita-cita dan pandangan politiknya. Tiada sebarang krisis yang mampu menghalangnya daripada mencari jalan penyelesaian buat masalah-masalah mereka. Selain dari itu, wanita itu juga telah mengajarnya cara untuk memanah dan juga taktik-taktik ketenteraan. Walaupun Wu Daoyalah yang terkenal sebagai guru Yan Xun, namun pemuda itu lebih banyak belajar daripada wanita itu.

Wanita itu bukan sahaja mentornya, rakannya, tempat bergantungnya, malah dialah satu-satunya wanita yang pernah dicintainya.

Namun, semakin lama perasaan ini dipendam, semakin takut dan tidak selamat perasaan pemuda itu. Saat kesedarannya sukar untuk dipastikan, tetapi dia tiba-tiba tersedar yang suatu hari nanti, haluan hidup mereka pasti akan terpisah jua. Suatu hari nanti, wanita itu pasti akan meninggalkannya.

Bilakah semua ini berlaku?

Dia tidak dapat mengingatinya. Mungkin ia bermula sewaktu wanita itu mula menunjukkan rasa simpatinya kepada para hamba, ataupun apabila dia mula bertambah rapat dengan Zhao Song. Ia juga mungkin berlaku sewaktu wanita itu cuba menerangkan kepada Yan Xun tentang bagaimana seluruh masyarakat bakal bertambah tenang pada masa depan untuk meningkatkan tahap kemakmuran negara, atau mungkin juga lebih cepat dari itu. Jauh di sudut hatinya, Yan Xun sedar dengan begitu jelas yang suatu hari nanti dia akhirnya akan menghampakan wanita itu juga, menghancurkan segala kepercayaan dan kebergantungan masing-masing yang telah dibina setelah bertahun-tahun.

Jadi, pemuda itu telah merangka sebuah rancangan yang bertujuan untuk menjarakkan dan menjauhkan wanita itu dari segala perihal ketenteraan negara. Ini untuk menghalangnya daripada melihat keganasan dan pertumpahan darah yang bakal didalangi oleh pemuda itu demi mencapai cita-citanya,

Dia bukanlah seorang pemburu yang akan mematahkan sayap sang helang putih. Dia ialah si burung hantu yang melebarkan sayapnya di langit malam. Ketakutan lantas terdetik di dalam diri pemuda itu semasa malam yang panjang tersebut berlalu dan cahaya matahari terbit mula memancar di kaki langit.

Tawaan garau yang disaluti dengan keangkuhan mula bergema di sebalik kekelaman sementara anak matanya masih lagi dikaburi kemabukan. Pemuda tersebut tiba-tiba teringatkan saat-saat remajanya sewaktu dia masih lagi berasa takut dan tidak berkeyakinan. Dia sering bertanya, "Kau akan tinggal dengan aku buat selamanya ke?"

Gadis itu tersenyum riang, kepalanya tertunduk.

"Kau akan buli aku ke?"

Kau akan buli aku ke? Kau akan buli aku ke? Kau akan…

Pemuda itu memejamkan matanya rapat semasa suara lantang itu bergema di dalam mindanya.

'Saya hanya mahu berikan yang terbaik buat awak. Namun, yang terbaik buat saya mungkin tak mencukupi untuk awak.'

Sebuah suara lantang tiba-tiba bergema di sebalik kegelapan. Yan Xun segera membuka kancing yang berada di lengan kanannya sebelum sebuah senjata logam tiba-tiba terjatuh di tanah. Ia merupakan hadiah yang telah diberikan oleh Zhao Song kepada wanita itu di mana ia telah diberikan secara sepasang. Wanita itu telah memberikan sebilah kepada Yan Xun dan ia telah digunakan pemuda itu buat bertahun-tahun lamanya.

"Semasa saya mengambil haluan hidup ini, saya sangat sedar yang awak tak mungkin akan dapat mengikuti cara hidup saya. Awak percaya pada harapan dan juga ketenangan, sementara saya pula mendambakan pertumpahan darah. Jadi, saya mahukan awak untuk mendengar kata saya dan mengikuti segala perintah saya. Tapi, akhirnya, saya gagal." Dia mentertawakan dirinya bersendirian dalam kegelapan.

Pengorbanan haruslah dibuat untuk mencapai apa-apa cita-cita sekalipun. Akhirnya, dia sudah membuat pengorbanannya.

"Tiada sesiapa yang menginginkan sebuah kehidupan yang sederhana dan membosankan. Tapi, bila peluang sudah jatuh ke riba, yang membezakan seseorang itu ialah sama ada mereka berani untuk mengambil peluang itu."

Suaranya kedengaran garau dan serak di dalam keheningan malam itu, bagaikan dia telah melalui putaran kehidupan dan akhirnya dihidupkan kembali sebagai seorang tua. Dia bersandar pada sofa keemasannya sementara wain mahalnya itu tertumpah di seluruh meja, sekaligus memberikan sebuah aroma yang memabukkan. Dia yang sedang memakai sehelai jubah yang tampak ceria itu tersenyum dari telinga ke telinga di dalam kegelapan tersebut, memberikan sebuah aura kebudak-budakan.

"Zhuge Yue, kamu berani ke nak ambil peluang itu?"

"Saya tak boleh," Zhuge Yue berkata perlahan sambil merenung tajam lelaki yang berada di hadapannya itu.

Rambut Zhuge Muqing semuanya sudah beruban. Kulitnya sudah berkedut, hasil daripada konflik yang telah berlaku buat bertahun-tahun telah menyedut segala kekuatan dan tenaga orang tua ini. Dia kelihatan tidak berupaya bagaikan air yang tenang. Dia hanya mampu merepek dan meracau kepada puteranya dengan mata yang kemerahan.

"Zhao Che sudah dikalahkan sementara si Zhao Yang itu pula sudah tak boleh bertahan lama lagi. Dalam keseluruhan wilayah Xia, hanya kamu seorang sahaja yang boleh menukar situasi. Kalau kita abaikan Zhao Yang, reputasi dia pasti akan musnah. Selepas itu, kamu akan menjadi orang yang paling berkuasa di Xia ini. Kamu boleh beri perintah kepada sesiapa saja. Dalam masa sepuluh tahun, keluarga Zhuge mampu untuk menjatuhkan Yan Bei dan mendaki tangga kejayaan!"

Zhuge Muqing kelihatan seperti seekor binatang buas apabila dia merenung ke arah anak lelakinya dengan mata yang kemerahan sementara kedua tangannya menggoncang-goncangkan bahu Zhuge Yue. Dia berkata lantang, "Yue'er, takdir Xia dan masa depan keluarga Zhuge terletak pada bahu kamu sekarang!"

Zhuge Yue merenung bapanya dengan kelam, berdiam diri buat masa yang sungguh lama. Bapanya telah berusia yang bermaksud dia bukan lagi seorang ketua keluarga yang disanjungi mahupun seorang yang berfikiran waras. Bahkan kini, dia telah menjadi seorang nyanyuk, merepek, bongkak dan agak gila.

Dia tidak pernah rapat dengan bapanya. Zhuge Yue telah kehilangan ibunya ketika dia masih seorang anak kecil, jadi dia telah menghabiskan hampir keseluruhan zaman kanak-kanaknya dengan bersiar-siar berseorangan dalam rumah agam milik keluarga Zhuge yang sungguh mewah itu. Dia akhirnya telah mendapat lebih banyak perhatian berbanding adik-beradiknya yang lain sewaktu mereka telah meningkat dewasa sahaja, akhirnya menjadi tumpuan bapanya yang mempunyai terlalu ramai isteri dan terlalu ramai anak lelaki.

Namun, apabila reputasinya jatuh merudum dan dia telah tercedera parah tidak lama kemudian, ahli keluarganya masih telah membuangnya dari salah-silah keluarga walaupun dia telah berjaya terselamat.

Walaupun semasa pengaruh kuasa Zhuge Yue semakin meningkat dan dia mampu memulihkan nama baik keluarga mereka, ahli keluarganya masih telah memilih abangnya dalam segala perihal demi mencantas peluangnya untuk meraih lebih banyak kuasa. Begitulah keluarganya pada hari-hari kebiasaannya.

Namun, dia masih lagi tidak mampu untuk membenci mereka sepenuhnya.

Seperti yang telah dikatakan Wei Shuye, walaupun kekejaman dan kebencian mereka sudah terang lagi bersuluh, namun akhirnya mereka masih lagi ahli keluarganya yang telah memberikan segalanya semenjak dia masih kecil. Jadi, pemuda itu berasa bertanggungjawab untuk memartabatkan nama baik keluarganya.

Lagipun, Zhuge Muqing ini bapanya, seorang tokoh penting yang telah mengajar dan mendidiknya, orang yang berasa gembira untuk melihat pencapaian dan juga kemajuan dirinya. Walaupun bapanya itu telah bertindak kejam ke atas dirinya, namun ia masih lagi tidak mampu mengaburi segala jasanya dalam menyediakan sebuah zaman kanak-kanak yang gembira dan juga mewah buat Zhuge Yue. Dahulu, dia masih lagi seorang anak kecil yang tidak mampu melindungi dirinya sendiri dan bapanyalah yang telah melindungi dirinya dan seluruh isi keluarga mereka.

"Bapa, saya tak boleh." Zhuge Yue mengambil selangkah ke belakang dengan kepala yang tertunduk sebelum membalas, "Setiap seorang itu ada batasannya. Saya tak boleh melakukan segala-galanya."

Lilin yang menyala itu segera memercikkan api-api kecil, menyinari wajah Zhuge Yue dengan seri warna keemasan. Dia meraih pandangannya dengan tenang untuk melihat bapanya dan menyambung lembut, "Terima kasih, Bapa, sebab dah besarkan saya. Tapi, saya tak boleh lakukannya. Walau tanpa saya sekalipun, Xia masih ada ramai lagi jeneral lain. Walau tanpa saya sekalipun, Bapa masih ada anak lelaki yang lain. Tapi, kalau Xing'er kehilangan saya, dia akan kehilangan segala harapan untuk hidup."

Pemuda itu membongkok ke hadapan dan bersujud sementara dia masih lagi merenung bapanya yang telah membesarkannya, mengabaikannya dan juga cuba untuk membunuhnya. Dia lantas berkata dengan tenang, "Bapa, jaga diri."

Zhuge Yue berpaling sementara cahaya lilin itu memancarkan lagi susuk tubuhnya yang tegap dan lampai itu. Zhuge Muqing hanya mampu melihat sewaktu anaknya melangkah pergi dengan mulut yang terlopong. Manakala, kedua belah tangannya pula masih lagi mengekalkan posisi yang sama seolah-olah bahu anaknya itu masih lagi berada dalam genggaman.

Pada saat itulah Zhuge Muqing tersedar yang dia bakal kehilangan anak lelakinya itu buat selama-lamanya. Anak lelaki yang telah dididiknya dan juga yang telah menjadi harapannya. Namun, anak itu juga merupakan anak yang telah dipukulnya, yang telah mengingkari kata-katanya, yang telah diabaikannya, yang telah dibuang dari salah-silah keluarga dan juga anak yang telah cuba dibunuhnya.

Hubungan di antara mereka yang terbina selama berpuluh tahun ini bagaikan telah hilang begitu sahaja, seperti angin yang bertiup mengepakkan tirai khemah sebelum mengusutkan rambut berubannya itu. Zhuge Muqing bagaikan tersedar akan usianya dan hanya mampu mencapai kenangan-kenangan lama itu dalam ingatannya sahaja.

Zhuge Yue melangkah pergi perlahan-lahan. Dia sudah lama mengagak hari ini bakal tiba juga. Hari ini bakal menjadi hari di mana dia mengutarakan segala yang harapan dan impiannya melalui tindakannya.

Baginya, semua yang dilakukannya ini bukanlah untuk mentadbir seluruh dunia ataupun untuk meninggalkan jejaknya dalam buku sejarah, mahupun untuk memerintah rakyat-rakyat jelata di bawahnya sementara pemuda itu bersemayam di atas takhta, berseorangan.

Segala yang diinginkannya ialah supaya wanita itu terus hidup, menjalani hari-harinya dengan tenang di dalam sebuah istana di mana pemuda ini boleh menjaganya.

Satu-satunya sebab di sebalik keputusan seseorang itu untuk meraih lebih banyak kuasa untuk mempunyai sesuatu untuk dilindungi. Namun, jika segala impian dan harapannya telah musnah, begitu juga dengan maksud di sebalik kekuatan mahupun kuasa seseorang itu.

Pemuda itu tidak akan melakukan sesuatu yang bakal dikesalinya.

Zhuge Yue melangkah keluar dari khemah dan lantas dijemput dek angin sejuk yang menghembus pada wajahnya sementara ditemani cahaya bulan. Pada saat itu, barulah ketenangan dapat terdetik dalam dirinya.

Kawasan-kawasan yang jatuh pada tangan musuh boleh ditawan kembali. Sesebuah pasukan tentera yang telah musnah ataupun dibubarkan boleh dibina semula. Namun, nyawa seseorang tiada gantinya.

Kata-kata Zhao Che sebelum dia berangkat tiba-tiba bergema dalam fikirannya.

"Cari apa yang betul-betul kamu mahukan. Jalani kehidupan dengan kehendak kamu sendiri."

Rakannya ini telah dikhianati kakandanya dan kini menjadi pelarian kepada pihak musuh yang sedang cuba membunuhnya. Namun walau apa pun, dia masih lagi sanggup mengembara dengan sebegitu jauh hanya untuk memberitahu ayat tersebut kepadanya. Akan tetapi, ayat itu bagaikan langsung tidak berguna untuk membantu mahupun menentukan gambaran penuhnya.

Pasukan tentera yang ditugaskan di luar pangkalan telah menyiapkan persediaan mereka dan kini bersedia untuk digerakkan. Zhuge Yue mengambil nafas panjang sebelum melangkah ke hadapan dan melonjak naik ke atas kudanya, melaungkan, "Mari kita pergi!"

Bunyi telapuk kaki kuda yang menderap laju bergema kuat di seluruh udara semasa mereka semua menderu ke arah negara yang dipanggil Tang.

Tanah negara tersebut dan juga takhta telah tersedia buat dirinya. Namun, dia telah menolak peluang tersebut kerana dia tidak rela, bukanlah kerana dia tidak berani.