Chu Qiao yang seolah-olah dia tidak melihat hal lain di dalam dunia ini terus mengusap kepala anak itu dengan lembut dan berkata, "Saya akan menyanyikan sebuah lagu untuk kamu. Dengarlah.
Kaulah sinaran matahariku, satu-satunya sinaran matahariku.
Kau membuatkan daku gembira apabila langit kelam.
Kau tak akan tahu, betapa tebalnya kasihku padamu.
Tolong jangan curi sinaran matahariku."
Suaranya lembut dan merdunya menghanyut di ruangan udara sambil ditemani ampu-lampu di dalam bilik itu yang menghangatkan suasana. Wanita yang berpakaian putih bercangkung di atas lantai dengan rambutnya yang mengurai melepasi bahu. Anak itu diletakkan di dalam tab kayu hitam.
Wanita itu bersemangat menyanyi lagunya, tetapi anak itu nampaknya langsung tidak memberi perhatian kepadanya. Mereka saling berpegangan anggota badan masing-masing kerana anak kecil yang berada dalam tab itu sering cuba meloloskan diri sementara wanita itu pula menghalangnya. Walaupun begitu, dia berjaya mengekalkan nada lagunya dengan lembut. Tiada siapa yang memahami apa yang sedang dialunkannya kerana percakapannya mula kedengaran seperti Rong'er. Kata-kata mereka pelik, tetapi melalui suara lembutnya, emosi dalam lagu-lagunya dapat dirasakan. Dia kelihatan seperti seorang ibu yang penyayang, tetapi lebih menyerupai kekasih yang setia.
Thud! Baldi kayu itu tiba-tiba terjatuh ke tanah. Rong're lantas merangkak keluar dengan bertelanjang dan ketawa. Dia mengecilkan matanya yang menyebabkan anak kecil itu lebih mirip seperti bapanya.
Bilik itu bersepah. Pakaian Chu Qiao telah basah lencun. Dia memandang anak dengan keliru kerana dia tiba-tiba teringatkan Li Ce. Wanita itu membuka matanya dengan luas dan berkata dengan marah, "Awak sudah tiada di sini, tapi awak dah tinggalkan saya dengan bencana ini."
Rong'er tergelak sambil merangkak ke arah luar pintu sambil mencubit-cubit punggungnya. Ketika Chu Qiao hendak menahannya, anak kecil itu dapat melihat seorang lelaki berdiri di hadapan pintu. Dia kelihatan seperti sudah berdiri di sana untuk masa yang lama. Lampu dari koridor itu bersinar pada wajahnya yang kacak. Dia mempunyai pandangan yang mendalam di matanya dan kulitnya cerah. Namun, pemuda itu tidak kelihatan seperti seorang cendekiawan yang lemah, bahkan lebih seperti seorang aristokrat. Dia bersandar di sisi pintu dan memandang Chu Qiao dengan penuh tertarik. Ekspresinya malas dan bersahaja tanpa sebarang senyuman, tetapi kegembiraannya jelas kelihatan dari matanya.
Pada ketika itu, Chu Qiao berasa terkejut. Mungkin, dia telah terpukau oleh keindahan lelaki tersebut.
Rong'er merangkak ke luar pintu sambil terus mencubit punggungnya. Semasa dia melihat tetamu yang tidak diundang di hadapannya, dia meraih pandangannya dan bersiap sedia untuk menjerit. Walau bagaimanapun, dia tersedar yang ketinggiannya itu tidak mencecah paras kasut lelaki itupun. Oleh itu, dia memilih untuk berdiam diri.
Anak kecil itu lantas terduduk di sana dan berfikir untuk seketika. Lalu, dia berpaling untuk memandang ke arah Chu Qiao, kemudian ke arah Zhuge Yue dan kemudian ke arah tempat tidur anak itu di sebelah katil. Akhirnya, selepas seolah-olah terlibat dalam konflik dalaman di hatinya, dia mengeluh dan menarik lengan baju Zhuge Yue. Zhuge Yue menundukkan kepalanya dan memandang anak kecil itu dan menyedari dia sedang menudingkan jarinya ke arah beberapa bilah pedang kecil. Pedang-pedang kecil itu telah diukir daripada batu jed dan sedang digantung pada pinggangnya. Aksesori ini khusus dipakai oleh Zhuge Yue sendiri yang padan dengan pakaiannya. Ia kelihatan berkilat dan cerah di bawah cahaya lampu. Zhuge Yue lantas membuka aksesori tersebut sebelum menyerahkannya kepada anak kecil itu.
Rong'er memasukkannya ke dalam mulut dan menggigitnya dua kali, tetapi tidak dapat merasai apa-apa. Dia memegang objek itu dengan erat di tangannya sebelum merangkak keluar dari pintu. Anak montel itu merangkak ke bilik sebelah Chu Qiao dan duduk di atas lantai sebelum menggunakan kakinya untuk menendang pintu.
Meixiang membuka pintu dengan penuh mamai. Akan tetapi, sebaik sahaja matanya memandang Rong'er, gadis itu lantas berteriak dengan gembira dan mendukung anak itu. Dia berjalan keluar dan melihat ke arah bilik Chu Qiao dan melihat Zhuge Yue. Dia tersenyum dalam kegembiraan dan mengangguk ke arah Zhuge Yue sebelum berundur ke biliknya bersama anak itu. Anak yang menyusahkan itu akhirnya telah diuruskan.
Zhuge Yue berfikir pada dirinya sendiri, walaupun anak ini menyusahkan, tetapi dia mahir seperti ayahnya dalam perkara ini. Dia menutup pintu bilik Chu Qiao dan berjalan ke arahnya. Pemuda itu memandang ke arah Chu Qiao dan mengulurkan tangannya. "Masih tak nak bangun?"
Chu Qiao berasa sedikit malu dan mula berkerut. Apa yang telah berlaku kepadanya? Adakah dia sudah terjerat dalam kancah nafsu? Dia tidak mencapai tangan yang dihulurkan pemuda itu dan memilih untuk berdiri sendiri. Walau bagaimanapun, ketika dia melangkah, kakinya tergelincir dan dia terjatuh ke tanah sekali lagi. Namun, sebelum dia terjatuh ke tanah, Zhuge Yue telah meraih pinggang wanita itu dan menyambutnya dengan tangan yang terasa hangat pada kulit Chu Qiao. Pakaiannya yang basah itu tidak dapat menyembunyikan badannya yang langsing, sekaligus menjadikan Chu Qiao lebih menggiurkan.
Chu Qiao telah bercangkung untuk terlalu lama yang menyebabkan kakinya menjadi kebas. Zhuge Yue segera mengendongnya ke tempat tidur. Rambutnya basah dengan air yang tidak henti menitik-nitik daripadanya. Pakaiannya memang sudah lencun seolah-olah seperti dia telah bermandi hujan.
Zhuge Yue menyelimutkan wanita itu dan berdiri di tepi katil sambil berkata, "Jangan jatuh sakit."
Lampu-lampu di dalam bilik itu telah memancarkan aura keintiman ketika ia memantulkan cahayanya pada wajah pemuda itu. Dia segera mengambil sepotong kain kapas kering untuk membalut rambut wanita itu. Dia kemudiannya berdiri di hadapan Chu Qiao untuk mengeringkan rambut wanita itu dengan cermat, tetapi tetap senyap. Chu Qiao merasakan bilik itu menjadi hangat dalam masa yang singkat, jadi manik-manik peluh kian tertitis daripada sisi wajahnya dan jatuh ke pakaiannya. Beberapa helai rambutnya juga telah terlayu di hadapan dahinya dan mengaburi penglihatannya. Di celahan rambutnya, dia masih dapat melihat beberapa corak awan yang tersulam pada pakaian putih milik pemuda itu, menyebabkan dia berasa pening.
"Lagu apa yang awak nyanyikan tadi?" Zhuge Yue bertanya dengan nada lembut dan serak yang memikat.
Chu Qiao segera meraih pandangannya ke atas untuk melihat muka tampan Zhuge Yue. Dia mencium aroma tubuh pemuda itu yang hampir memukau. Zhuge Yue, melihat dia tidak menjawab soalannya, berkerut sedikit dan bertanya lagi, "Xing'er?"
"Kaulah sinaran matahariku."
Zhuge Yue terkejut dan bertanya, "Itu bahasa kampung halaman awak ke?"
"Ya," Chu Qiao mengangguk jujur.
"Nyanyikan lagi untuk saya."
Suara Zhuge Yue seolah-olah mengandungi sebuah kuasa luar biasa di dalamnya pada malam ini yang telah menyebabkan Chu Qiao tidak terasa seperti ingin menentang setiap katanya seperti biasa. Dia mengambil dua nafas panjang dan mula menyanyi dengan nada yang menenangkan.
"Kaulah sinaran matahariku, satu-satunya sinaran matahariku.
Kau membuatkan daku gembira apabila langit kelam."
…...
Lagu tersebut penuh dengan nostalgia, membuat mereka terkenangkan masa lalu. Dari pertama kali mereka bertemu sehinggalah ke saat mereka saling bermusuhan, kehidupan mereka terasa seperti tanah tandus yang gersang. Lokasi perangkap-perangkap yang telah tertanam di dalam tanah langsung tidak dapat dikesan. Pemuda itu berdiri di hadapan Chu Qiao sambil mengeringkan rambutnya. Jari-jemarinya yang panjang membelai rambut hitam wanita itu seolah-olah dia cuba membangkitkan memori dulu. Bahan kain bajunya juga terasa lembut ketika wanita itu bersandar di pinggangnya, menyanyikan lagu kegemarannya dari kehidupan terdahulu.
"Kau tak akan tahu, betapa tebalnya kasihku padamu.
Tolong jangan curi sinaran matahariku."
Bilik itu terasa hangat, sekaligus mengingatkannya pada masa dulu sewaktu dia berada di Rumah Anak Yatim St. Lorn bertahun-tahun yang lalu. Pengetua rumah anak yatim itu merupakan seorang veteran perang yang telah bertempur selama lapan tahun dan telah menyertai medan perang di Korea Utara. Dia telah kehilangan sebelah kakinya, tetapi dia telah berjaya mengebom pesawat Amerika dalam perang itu. Selepas dia bersara, dia telah mengambil wang pencennya untuk kembali ke kampung halamannya dan membuka sebuah rumah anak yatim. Ia bertujuan untuk membantu anak-anak yang telah kehilangan ibu bapanya. Chu Qiao berbeza dari anak-anak yatim lain kerana dia cukup beruntung untuk mempunyai seorang datuk yang baik. Datuknya itu telah membiayai pendidikannya, menggunakan kenalannya untuk mendapatkan tempat buat Chu Qiao di dalam sekolah tentera. Sejak itu, Chu Qiao telah menyertai tentera dan menjadi seorang askar yang mempertahankan negaranya.
Dia terus membesar dan bertambah matang tanpa mengecewakan datuknya itu. Keputusan ujiannya cemerlang. Digabungkan dengan hakikat otaknya bijak dan perwatakannya baik, wanita itu telah dinaikkan pangkat pusat arahan dan menjadi sebahagian daripada Agensi Perisik. Kehidupan wanita itu bagaikan telah ditakdirkan dan dia pun hanya mengikuti arus haluan hidupnya yang ditetapkan itu tanpa sebarang halangan.
Apabila dia masih muda, datuknya telah memberitahu keutamaan utamanya ialah mencintai negaranya dan melindungi rakyatnya, terutama sekali rakyat yang lemah. Dia memberitahunya pelbagai cerita tentang tentera, mengajarnya tentang prinsip kejujuran dan integriti, menasihatinya tentang makna hidup serta prinsipnya. Chu Qiao itu seperti pokok kecil yang dipelihara sehingga menjadi besar di bawah penjagaan datuknya. Dia teringat akan wajah gembira datuknya sewaktu wanita itu telah dianugerahi penghargaan setelah selesai misi pertamanya. Kedutan di muka datuknya bergerak-gerak ketika dia ketawa, dadanya akan naik dan turun dengan ketara sambil ditemani pantulan cahaya matahari. Datuknya memeluk Chu Qiao dan berteriak dengan kegembiraan, "Bagus betul cucu aku ini!"
Itulah masa-masa yang paling gembira dalam hidupnya. Dia mempunyai ahli keluarga yang menyayanginya lebih daripada sesiapapun di dunia ini, yang juga memberikannya pelukan paling hangat dalam hidupnya.
Datuknya telah belajar di England ketika dia masih muda. Oleh itu penguasaan Bahasa Inggerisnya amat baik. Dia telah mengajar wanita itu bahasa Inggeris, budaya barat dan juga tarian waltz.
Kiri, kanan, kiri, kanan, lurus merentas, ambil tiga langkah, putar…
Dan lagu yang diajar datuknya juga…
Malam kelmarin ketika daku tertidur, sayang.
Aku bermimpi akan genggaman erat tanganmu.
Namun sesaat aku bangun, sayang, aku terasa hilang.
Sebelum daku menunduk dan menangis.
Chu Qiao tiba-tiba memanjangkan tangannnya untuk dililitkan di sekeliling pinggang Zhuge Yue. Bayang-bayang daripada lampu lilin di dalam bilik itu seolah-olah sedang menari-nari melintasi tingkap. Kapal itu bergoyang dari sisi ke sisi di atas permukaan air sementara gunung-ganang di tepi tebing kian menghilang di sebalik kejauhan. Bunyi angin yang bertiup lalu dapat didengar.
"Xing'er," Zhuge Yue menundukkan kepalanya dan bertanya, "Apa makna lagu ini?"
Tanpa disedari, muka Chu Qiao mula berubah menjadi merah. Dia segera menundukkan kepalanya juga dan terdiam.
Nafas hangat mendarat pada kulitnya, membuatkan dadanya tersentak sedikit. Chu Qiao tahu pemuda itu sedang tertawa walaupun tidak bersuara.
"Sedap," Zhuge Yue berhenti dan memandangnya. Dia menggenggam jari-jemari wanita itu sambil terus berkata dengan senyuman, "Saya suka sangat."
Tangannya besar dan hangat, menutupi tangan Chu Qiao. Wanita itu tidak pernah menyedari yang pemuda tersebut mempunyai daya tarikan yang sebegitu dahsyat sehingga wanita ini tidak mampu menggerakkan tangannya.
Dia bersandar ke hadapan dengan pandangan yang mendalam di matanya. Suaranya rendah dan serak ketika dia berbisik ke dalam telinga wanita itu, "Ini hukuman awak sebab dah berkelakuan nakal sangat." Ketika Zhuge Yue menghabiskan ayat itu, dia merendahkan pandangannya sebelum menanam sebuah ciuman di bibir wanita itu. Chu Qiao tiba-tiba tersentak, terasa sungguh tegang. Walaupun dia telah menjalani dua kehidupan yang berbeza dan pernah mencium seseorang sebelum ini, dia masih berasa cemas apabila dia berhadapan dengan pemuda ini. Dia bingung akan lokasi anggota badannya. Walau bagaimanapun, selepas menutup matanya buat seketika, masih tiada apa yang berlaku. Jadi, dia membuka matanya dengan perlahan untuk melihat lelaki itu sedang menatapnya dengan sebuah senyuman di bawah cahaya lampu. Apabila melihat wanita itu sedang mengintip ke arahnya, Zhuge Yue lantas bersandar ke hadapan dengan nafasnya yang hangat mendarat pada wajah Chu Qiao. Dengan sebuah senyuman yang terukir indah di wajahnya, pemuda itu berkata, "Awak sedang menunggu saya untuk mencium awak ke?"