Chapter 163 - Bab 163

Pintu gerbang yang terletak di sebelah utara bukanlah sebuah kawasan medan pertempuran kerana ia masih lagi dikawal oleh pengawal asal pintu gerbang tersebut, lantas Song Qifeng bertanya, "Kamu tak nak periksa susunan bendera-bendera itu ke?"

"Jeneral Song, Jenerallah pakar susunan bendera-bendera, jadi kenapa saya perlu periksa benda itu pula?"

"Haha, terima kasih banyak, saudara."

Kuda pertempuran tersebut menderap laju di dalam cuaca dingin sebegini sementara cahaya harapan terakhir yang menyala jauh di sudut hati Chu Qiao kini akhirnya sudah terpadam dan sebuh perasaan dingin tiba-tiba menyelubungi jiwa dan raganya. Apakah yang bakal terjadi pada Bandar Chidu jika wanita ini tidak wujud pada zaman itu? Adakah tentera-tentera dari Garison Utusan Barat Daya itu masih akan berasa seperti mereka telah diabaikan sekali lagi? Bagi rakyat jelata yang telah mempercayai wanita ini selama ini… Ke mana pula mereka akan pergi?

Langit mula mencerah menandakan tamatnya waktu malam dan subuh pula menjelang tiba. Chu Qiao yang dibantu oleh seseorang untuk menuruni gerabak kuda sebelum dibawa ke dalam khemah terus menanggalkan kain hitam yang digunakan untuk menutup mata wanita itu setelah ikatan tangannya dibuka, lantas terperanjat apabila melihat Cik Puan Yu yang sedang berdiri di hadapannya dengan wajah lembutnya tatkala penutup matanya dibuka. Dia menghulurkan sehelai tuala hangat kepada Chu Qiao sambil berkata dengan tenang, "Lap muka awak itu. Pasti sukar bagi awak untuk mengembara semalaman, kan?"

"Cik Puan Yu?"

Cik Puan Yu sedang memakai sehelai jubah putih yang diperbuat daripada kapas, wajahnya tampak kurus manakala kelopak matanya pula kelihatan melengkung ke dalam sedikit yang juga terdapat kedutan di bawahnya. "Ini saya."

Raut wajah Chu Qiao berubah daripada terkejut kepada kebingungan, lalu wanita muda ini terus berkerut sebelum bertanya dengan nada yang rendah, "Kenapa?"

"Tempat ini tak selamat. Beishuo tak boleh nak dilindungi lagi. Tanpa awak, Bandar Chidu juga tak akan bertahan sehingga kini. Ikut saya keluar dulu, dan saya akan terangkan semuanya kepada awak sewaktu kita dalam perjalanan nanti."

"Beritahu saya dulu. Kenapa?" Pandangan mata Chu Qiao kini kelihatan amat dingin apabila wanita ini merenung salah seorang tokoh tentera penting dalam Yan Bei dengan tajam sebelum berkata sepatah demi sepatah, "Selama ini awak tahu situasi di Yan Bei? Awak tahu bagaimana tak terkawalnya orang di sana?"

Cik Puan Yu mengangguk dan membalas dengan tenang, "Ya, saya tahu."

"Tentera Pasukan Xia berpecah kepada dua pasukan dengan sebuah pasukan yang dah tawan Pergunungan Helan dan sebuah lagi yang serang Bandar Chidu. Awak tahu itu semua?"

"Saya tahu," Jawab Cik Yu dengan tenang sekali lagi.

"Cao Mengtong mengerah rakyat jelata ke dalam pasukan tentera Beishuo dan gunakan mereka sebagai perisai manusia. Dia bunuh semua orang-orang yang tak berdosa itu."

"Saya tahu."

"Rakyat Chidu meninggalkan rumah mereka untuk ke bandar Lan dan ramai di antara mereka yang mati kebuluran dan membeku sewaktu dalam perjalanan ke sana."

"Saya tahu."

"Apabila tentera Xia sampai ke Chidu, mereka boleh mengepung Beishuo dari kedua-dua arah. Jutaan penduduk Beishuo pasti akan dihapuskan dan seluruh bahagian utara Yan Bei akan jatuh ke tangan tentera Xia. Apabila mereka tiba di bahagian dalaman tanah besar Yan Bei, rakyat jelata Yan Bei yang tinggal di timur Pergunungan Luori pasti akan dibunuh!"

"Saya tahu." Dari awal lagi Cik Puan Yu kekal tenang, hanya mendengar kata-kata Chu Qiao dengan senyap seperti mereka sedang berbual tentang perbualan harian.

Dada Chu Qiao terasa sebak, lalu wanita muda ini menggenggam penumbuknya sambil berkerut dan bertanya dengan nada yang rendah, "Kenapa? Kalau awak tahu segalanya, kenapa awak tak hentikannya? Kenapa awak biarkan situasi baik itu menjadi teruk seperti ini? "

Cik Yu menatap anak mata Chu Qiao dengan pandangan mesra dan wajar. Dengan tenangnya dia membalas, "Ah Chu, awak masih tak faham apa yang sedang berlaku pada waktu ini?"

Chu Qiao terkaku dan tiba-tiba sebuah perasaan mengerikan berlegar-legar di fikirannya seperti sebilah pedang yang sedang menusuk-nusuk sendinya.

Cik Yu hanya tersenyum kelat. "Tiada seorang tentera pun yang ditugaskan di bandar Lan apabila pasukan tentera di Pergunungan Luori pun telah berundur. Bukan saja bandar Lan, bahkan seluruh kawasan dalaman tanah besar Yan Bei langsung sudah tidak mempunyai tentera. Tanah besar ini seperti garisan penamat dan pasukan tentera Xia ialah para atlit yang bersungguh-sungguh melangkah memasuki kawasan tersebut untuk ditabalkan sebagai pemenang. Saya tak cukup berkuasa untuk menentang Jeneral Cao, ditambah pula saya yang tidak diberi perintah untuk melakukan hal sedemikian. Satu-satunya tujuan saya di sini ialah membawa awak pergi dari tempat ini. Selain dari hal itu, saya tiada perintah lain."

Chu Qiao berasa seperti dirinya telah dicampak ke dalam tanah yang bersalji. Berita tersebut telah membuatkan wanita muda itu hilang segala pertimbangannya dan hampir merebah di atas tanah dengan hatinya yang terasa sesak bagaikan sudah dibeku dek ais. Setiap pergerakan yang diambil terasa begitu perit buat dirinya apabila Chu Qiao menarik nafasnya sedalam-dalam yang mungkin namun dadanya terasa sebak, lalu wanita muda ini membuka mulutnya dan berkerut. Segala kejadian yang berlaku sebelum ini semuanya bagaikan sudah terjawab semasa kejadian-kejadian tersebut mula untuk menunjukkan kesinambungannya, lantas membentuk sebuah jalan cerita yang penuh dengan kejadian-kejadian mengerikan. 

"Yan Xun…"

"Tuanku pun tiada di Sempadan Meilin."

Sebarisan ayat sahaja mampu menghancurkan kepercayaan teguh yang dipegang Chu Qiao dengan fikiran-fikirannya yang bagaikan sedang dipanah-panah lantas meninggalkan kesakitan yang teramat. Namun, dia tidak mampu untuk mengeluarkan sebarang kata-kata apabila tubuhnya tersentak ke belakang. Dia kemudiannya menyokong dirinya pada sebatang tiang. Dadanya beralun naik dan turun semasa wanita itu menarik nafas sedalam-dalam yang mungkin, seperti ingin mengujar sesuatu tetapi dia tidak mampu berbuat demikian.

Cik Puan Yu menambah lagi dengan tenang, "Tuanku memerintahkan saya untuk membawa awak pergi. Dah lama saya tunggu awak di Bandar Lan tapi saya langsung tak nampak kelibat awak. Jadi, saya dapat mengagak yang awak pasti dalam bahaya. Lagipun, tentera Beishuo itu semuanya tak berdisiplin. Sebab itulah saya terpaksa bawa awak ke sini secara paksaan. Saya harap awak dapat maafkan saya."

"Awak ini sudah gila!" Suara Chu Qiao kedengaran seperti tercungap-cungap sewaktu dia mengujar, lalu wanita muda itu membengkokkan belakangnya dan mendongak dengan mata yang memerah, memandang Cik Puan Yu dengan dingin sebelum menggelengkan kepalanya dan berkata, "Ini semua gila!"

"Walaupun rancangan itu gila tapi ia berhasil. Tentera Tuanku dah sampai di Wilayah ChangTing dan dah tawan lebih 30 wilayah di barat laut di samping menghapuskan seluruh keluarga Batuha. Buat masa sekarang ini, pasukan-pasukan tentera utama Xia sudah berkumpul di Yan Bei, dengan tentera sempadan mereka yang telah ditugaskan di sempadan Tang dan Song. Pasukan tentera di tanah besar mereka juga telah berkurang. Empayar Song bekerjasama dengan kita untuk jalankan beberapa latihan ketenteraan berskala besar di sepanjang sempadan Xia supaya dapat mengalih perhatian tentera Xia. Pada waktu ini, kita hanya perlu mengumpan pasukan utama Xia ke dalam Yan Bei lalu memutuskan laluan perhubungan mereka dengan menghapuskan peninjau mereka dan menggunakan salji sebagai senjata. Pasukan kita akan bertindak dengan sepenuh tenaga mereka dan dalam masa kurang dari sebulan, kita akan dapat tawan Bandar Zhen Huang! Walaupun tentera di sebelah utara mereka boleh bertindak tetapi kita dah tawan hampir keseluruhan Xia. Sekalipun mereka menentang, mereka akan disekat di luar Sempadan Yanming!" Cik Puan Yu berjalan ke hadapan dan membantu mengemaskan rambut Chu Qiao. Dengan tenangnya dia mengujar lagi, "Ah Chu, Tuanku tahu yang awak tak akan setuju dengan idea ini, sebab itulah dia rahsiakannya daripada awak. Namun, ini tak bermaksud yang dia tak percaya pada awak. Kita boleh bertahan dengan satu serangan daripada Xia tetapi bukan dua. Bentuk muka bumi Yan Bei ini tak begitu bagus dan disebabkan itulah ia mempengaruhi perkembangan kita. Tak kira sekeras mana kita berusaha, kita tak akan mampu dibandingkan dengan bahagian dalaman tanah besar Xia. Apatah lagi kelemahan kita dari segi masyarakat Quanrong yang mengancam kedaulatan kita. Jadi, dengan menjalankan serangan balas secara tergempar dan mengubah tempat penubuhan empayar kitalah satu-satunya cara untuk menukar situasi kita sekarang ini dan kekal bertahan tanpa dikalahkan. Awaklah orang yang paling rapat dengan Tuanku jadi awak patut lebih memahaminya."

"Disebabkan pertukaran strategi sepenuhnya ini, awak nak gunakan jutaan penduduk di Yan Bei sebagai umpan?" Chu Qiao membalas dengan suara yang lesu, mendongak kepalanya dengan mata yang merah. Segala harapan dan kesusahan yang ditanggungnya selama berhari-hari ini terus hilang begitu sahaja. Dia mengesyaki motif Yan Xun untuk menyerang Sempadan Meilin kerana pemuda tersebut berhasrat untuk mengawal kuasa Pasukan Tentera Kedua dan menstabilkan kedudukannya di Yan Bei. Namun, dia tidak sedar harapan Yan Xun bukanlah terletak di Yan Bei lalu pemuda itu telah meletakkan sebuah perangkap yang besar di Bandar Beishuo dengan menggunakan jutaan penduduk di Yan Bei untuk mengumpan para tentera Xia. Setelah itu, dia melaksanakan strateginya yang salah dari segi etika itu dengan membawa Pasukan Tentera Pertama dan Pasukan Tentera Elit dari Pergunungan Luori untuk menyerang tunjang utama Empayar Xia. Mereka telah bergantung pada kebolehan ketenteraannya dan memutuskan laluan komunikasi Xia, dia akan bergerak masuk ke dalam tanah besar Xia dengan pantas lalu menjajahnya.

Chu Qiao tertawa kelat. Ini merupakan sejenis taktik peperangan yang berkuasa, bebas dan tidak pernah diterokai sebelum ini, sememangnya sebuah rancangan gila, seakan-akan Amerika Syarikat yang telah menyerang Iraq namun rakyat Iraq terus menyerahkan tanah air mereka tetapi pada masa yang sama bergegas masuk ke dalam Amerika Syarikat untuk menjajahnya pada zaman moden. Apabila Amerika Syarikat mengumumkan kemenangan mereka ke atas Iraq, pada waktu itulah mereka baru tersedar yang tanah mereka sendiri telah ditumpaskan. Peluang ini sememangnya sekali sahaja dalam seumur hidup.

Patutlah sebelum perang bermula, dia bersungguh-sungguh sangat untuk memecahkan pasukannya untuk menyerang Sempadan Meilin. Patutlah dia tidak membawa Chu Qiao bersamanya. Patutlah dia membiarkan si dungu seperti Cao Mengtong untuk mempertahankan Beishuo dan memberi kuasa kepadanya untuk menggunakan pasukan tentera bandar itu sesuka hatinya sahaja. Yan Xun ingin mencipta sebuah imej di mana Yan Bei sedang membuat persiapan untuk menyerang mereka dengan sedaya upaya mereka supaya dia dapat mengalihkan perhatian Xia ke sana. Patutlah isyarat yang telah diberikan wanita muda ini untuk meminta bantuan pertolongan sebelum ini seperti tidak diendahkan sahaja kerana pengawal peribadi Chu Qiao ialah pembantu Yan Xun yang boleh dipercayai, dan disebabkan itulah bandar Lan tidak membantah sikap tidak berdisiplin Pasukan Tentera Beishuo! Yan Xun dengan liciknya telah merancang dan mampu melakukan sebuah rancangan rahsia yang menggerunkan sehingga wanita muda ini sendiri yang telah dididik dengan taktik peperangan zaman moden pun tidak mampu untuk berfikir sedemikian. Yan Xun sememangnya seorang yang bijaksana.

"Cik Puan Yu, awak ingat tak apa yang awak katakan kepada saya sewaktu pertama kali kita bertemu?"

Cik Puan Yu terperanjat dan wajahnya tampak pucat. Namun, dia masih mampu mengujarkan kata-katanya dengan perlahan, "Saya cakap yang saya berharap satu hari nanti Yan Bei tak akan mempunyai anak yatim seperti awak lagi."

"Betul itu." Chu Qiao tertawa kelat. "Awak dah lakukan tugas awak dengan baik. Selepas awak memenangi pertempuran ini, Yan Bei tak akan mempunyai anak yatim seperti saya lagi. Semua orang di Yan Bei akan mati."

Tatapan Cik Puan Yu terus menjadi suram. Setelah sekian lama, barulah dia membalas dengan nada yang rendah, "Jika seseorang itu menginginkan kebebasan, mestilah akan ada pengorbanan."

Chu Qiao memandangnya dengan menjelikkan. "Bagus sangatlah itu. Apabila rakyat jelata Yan Bei semua dah mati, kamu semua bolehlah menikmati kehidupan mewah dan menaiki takhta tertinggi. Inilah pengorbanan yang dilakukan oleh rakyat Yan Bei sebagai pertukaran untuk kebebasan mereka!"

"Ah Chu!" Cik Puan Yu memegang tangan Chu Qiao dengan erat dan menyambung kata-katanya dengan segera. "Jangan melebih-lebih. Secara strateginya, rancangan ini baik! Ini akan membuatkan kita meraih kejayaan yang menakjubkan! Awak tak nampak lagi ke? Pintu gerbang Xia akan dibuka tak lama lagi dan Istana Sheng Jin akan berasa gentar dengan kebolehan tentera Yan Bei!"

"Jangan sentuh saya!" Chu Qiao mencelah dengan wajah suramnya. "Saya tahu secara strateginya, rancangan ini baik, tapi awak dah abaikan rakyat jelata awak sendiri! Merekalah orang-orang yang dah menyokong awak selama ini dan awak sanggup untuk hampakan mereka! Awak menipu jutaan orang awam dan menolak mereka begitu saja! Awak mengorbankan nyawa jutaan penduduk untuk kemewahan dan kekuasaan awak! Cik Puan Yu!" Mata Chu Qiao memerah dan air matanya mula mengalir keluar membasahi pipi, mengetap bibirnya sebelum kembali bersuara, "Kenapa? Apa kena dengan kamu semua? Kamu semua dah lupa ke apa yang kamu semua cakapkan sebelum ini? Selama ini, tak kira betapa sukarnya situasi saya, saya selalu percaya yang kalian akan menyelamatkan saya. Pengkhianat seperti Garison Utusan Barat Daya pun tahu berpatah balik untuk melindungi rakyat! Kenapa kamu semua memilih untuk mengabaikan mereka? Awak tahu tak yang rakyat di Bandar Chidu itu sangat mengagumi Encik Wu dan awak? Mereka menyanjungi kalian dan sentiasa berdoa untuk kalian tak kira pagi, petang ataupun malam. Mereka berharap yang kalian panjang usia. Mereka menganggap kalian sebagai pelindung Yan Bei. Selagi kalian di sini, Yan Bei masih lagi mempunyai harapan. Mereka meninggalkan rumah mereka dan pergi ke Bandar Lan dan mereka tak membawa rangsum mereka bersama tapi masih ingat untuk membawa colok mereka bersama semata-mata untuk berdoa untuk kalian. Bagaimana kalian nak menghadapinya?"

Cik Puan Yu menghela nafas yang sungguh panjang dan berkerut, berkata dengan sedaya upayanya, "Saya lakukan semua ini kerana Da Tong, untuk merealisasikan impian setiap orang."