Bunyi ringkikan kuda itu diikuti dengan bunyi derapan yang seterusnya menjauh pergi. Para orang gaji mengejar pemuda itu sambil berteriak, "Cik Puan! Itu kuda Tuanku!"
"Daripada kecil lagi dia keseorangan, jadi memang normallah kalau dia itu tak berlapik sangat." Yan Xun merenung ke arah Huanhuan yang semakin menghilang, dan lantas tersenyum lembut.
Chu Qiao yang melihat pemuda itu dari sisinya terlihat ekspresi wajah yang sangat lembut yang belum pernah dilihat wanita itu sebelum ini, lantas mengenal pasti ia raut wajah kasihnya yang jarang kali dilihat dalam masa terdekat ini.
Cahaya mentari terakhir akhirnya menghilang dan kini kawasan tersebut diselubungi dengan kegelapan malam, bersama cahaya bintang yang bersinar terang bagaikan selautan pasang mata yang bersinar dalam kegelapan, memerhati seluruh Tanah Tinggi Yan Bei tersebut. Chu Qiao yang menghirup udara sejuk terasa seolah-olah wanita ini baru menelan beberapa ketulan ais.
"Tapi sebenarnya, saya lebih bernasib baik daripada dia!" Pemuda itu tiba-tiba mengisytiharkan, langsung tidak berpaling untuk berhadapan dengan Chu Qiao namun melarikan anak matanya pula dari wanita itu. Akan tetapi pada masa yang sama, tangan kiri pemuda itu menggenggam lembut tangan Chu Qiao.
Setelah habis menjamah makan malam, Chu Qiao beristirahat di dalam bilik bacaan sementara sambil menyelak beberapa helaian laporan peperangan terbaru di Yan Bei. Wanita ini sedar Yan Bei masih lagi bukan dalam situasi yang stabil. Pasukan tentera negeri itu telah merancang untuk memulakan rusuhan di Bandar Zhen Huang pada malam pemberontakan Yan Bei terhadap Empayar juga bersama Kesatuan Da Tong dan para-para pegawai lain yang telah berikrar setia kepada Almarhum Raja Yan Bei dahulu juga telah memulakan serangan di bandar-bandar utama di bahagian Timur dan Barat. Namun, kekuatan pasukan tentera Yan Bei masih lagi belum dapat menandingi para tentera di Sempadan Meilin di Utara yang dikawal oleh seramai 10,000 tentera dan tidak mudah untuk dikepung oleh kerana lokasinya yang strategik itu. Tambahan pula, berita mengenai pemberontakan tersebut telah tersebar ke sempadan ini daripada timur, jadi mereka sudah pasti bersedia untuk bertarung semasa tentera pemberontak itu tiba.
Walaupun Kesatuan Da Tong amat terkenal sebagai sebuah persatuan yang sangat berkebolehan, namun mereka masih kekurangan seorang pakar strategi kerana semua rancangan yang dilaksanakan oleh persatuan ini seringkali dianggap sebagai tahap asas sahaja dan mereka juga amat bergantung pada tahap semangat juang ahli tenteranya untuk memenangi sesebuah peperangan. Chu Qiao mengerti apabila berhadapan dengan pasukan tentera elit Empayar Xia, tahap semangat juang mereka sahaja tidak cukup untuk membuatkan mereka bertahan sehingga ke pengakhiran peperangan. Peperangan ini juga sebentuk seni, namun bukan semua ahli Da Tong yang menghargai seni ini.
Chu Qiao mengemas kini laporan-laporan tersebut dengan pantas sambil menandakan bahagian-bahagian yang penting dengan berus merah dan apabila wanita ini selesai, larut malam sudah pun menjelma.
Bunyi pintu Chu Qiao yang diketuk tiba-tiba bergema kuat jadi Chu Qiao terus membuka pintu itu sedikit dan terlihat Huanhuan yang telah menjenguk kepalanya ke dalam, melihat sekeliling dengan penuh gelisah bagaikan seorang penceroboh sebelum berbisik, "Mana abang saya? Dia ada di sini?"
"Dia tak ada di sini." Chu Qiao berdiri untuk menjemput wanita itu masuk. "Dia sekarang ini ada di dewan hadapan untuk berjumpa dengan beberapa orang tetamu. Tuan Puteri cari dia ke?"
"Ah, kalau begitu baguslah." Setelah mendengar Yan Xun tiada di dalam bilik Chu Qiao, Huanhuan terus menjadi ceria dan melangkah masuk ke dalam bilik tersebut sebelum bergerak ke arah Chu Qiao dan berkata, "Saya sebenarnya tengah cari awak. Jom, mari kita jalan-jalan." Puteri itu langsung tidak menunggu sebarang respons dari Chu Qiao dan terus menarik tangan wanita itu, namun mujur Chu Qiao masih sempat mencapai kotnya sahaja sebelum mereka beredar.
"Tuan Puteri, kenapa Tuan Puteri cari saya?"
Setelah melalui beberapa deret laluan, mereka akhirnya tiba di bahagian barat Lu Yi. Bandar tersebut terletak di dataran yang tinggi bersama cenuram yang besar di bahagian barat di mana kebanyakan kumpulan tentera dikumpulkan. Banyak unggun-unggun api yang telah dinyalakan sebelum senja melabuhkan tirainya. Kesemua pahlawan itu tidak mengenali Chu Qiao, namun sebaik sahaja mereka melihat Huanhuan yang sedang menghampiri mereka, mereka lantas bersorak menyapa, "Yo! Itu Cik Puanlah! Cik Puan dah makan ke! Nak makan dengan kami tak?"
Huanhuan melawak dengan ceria, "Pergilah! Saya dah makan abalone, udang kara, kaki lembu tadi! Siapa yang nak makan sup mi yang tawar ini?"
Para tentera itu tergelak terbahak-bahak sebelum memberi laluan kepada dua orang wanita ini, lantas mengambil peluang itu untuk melirik ke arah Chu Qiao dengan penuh tanda tanya.
"Hm. Itu hadiah saya kepada awak!" Huanhan ketawa dan menolak Chu Qiao ke hadapan, terus anak mata wanita itu bersinar terang apabila ternampak seekor kuda merah tua yang sedang diikat pada sebatang pohon besar, badannya berwarna merah gelap dan telapuk kakinya juga bersinar. Dengan secebis bulu di hidungnya, ia seekor kuda yang gagah dan sihat, anak matanya juga bersinar cerah jelas menandakan ia seekor kuda yang bagus.
Chu Qiao menghulurkan tangannya untuk mengusap lembut hidung kuda tersebut yang terus meringkik lembut, menghembus nafas yang hangat ke tangan wanita itu. Chu Qiao tersenyum apabila diperlakukan sebegitu dan Huanhuan terus berkata dengan ceria, "Ah Tu sukakan awak."
"Ah Tu?"
"Ya. Itu nama yang saya berikan kepada dia." Huanhuan mengusap kuda itu sambil tersenyum bangga dan menerangkan asal-usul kuda itu, "Inilah kuda yang menjadi ketua sekumpulan kuda yang berada di kem Pergunungan Hui Hui. Saya hanya dapat menangkap dia ini selepas tujuh hari mengejarnya dan melatih dia ini selama lebih setahun. Sekarang, dia milik awak."
Chu Qiao masih belum dapat berjumpa dengan seekor kuda yang baik setelah kehilangan Liu Xing. Apabila melihat betapa gagahnya kuda ini, wanita itu tidak dapat menahan daripada berasa terharu dan terus dia berterima kasih kepada Huanhan, "Terima kasih, Tuan Puteri."
"Boleh tak awak berhenti dari panggil saya 'Tuan Puteri'?" Pinta Huanhuan. "Saya dilahirkan daripada keluarga utama. Masa Ayahanda saya masih hidup pun saya tak pernah dipanggil sebegitu. Apatah lagi sekarang ini."
"Baiklah, jadi apa yang patut saya panggil awak?"
"Huanhuan saja. Saya boleh panggil awak Ah Chu, macam Abang. Barulah adil kalau begitu!"
Chu Qiao tersenyum. "Baiklah, Huanhuan."
Huanhuan yang mendengar panggilan Chu Qiao itu terus tersenyum dari telinga kiri ke telinga kanan sambil matanya dikecilkan menjadi satu garisan halus. Chu Qiao yang melihat wanita itu terus diselubungi perasaan yang bercampur-baur. Wanita muda di hadapannya ini belum lagi berusia 20 tahun apabila seluruh Keluarga Yan mati dibunuh, dialah seorang sahaja puteri kakanda Raja Yan Bei, Yan Shifeng yang terselamat daripada pembunuhan tersebut kerana Empayar Xia menganggap wanita muda ini tidak akan mendapat takhta tersebut. Namun apabila dia bakal ditangkap dan dibawa ke Bandar Zhen Huang untuk dijual sebagai seorang hamba, gadis ini telah diselamatkan oleh ahli pahlawan Da Tong dan telah menjadi pemimpin rohaniah kepada rakyat Yan Bei bagi menggantikan tempat Yan Xun selama beberapa tahun ini. Sebagai darah terakhir keturunan Keluarga Yan, wanita muda ini telah mengumpul segala keupayaan pengikut-pengikut Keluarga Yan terdahulu yang ingin menentang Empayar Xia dan telah meletakkan dirinya di barisan hadapan pertempuran semasa dia membesar supaya dapat membiasakan dirinya dengan peperangan. Lama-kelamaan dia membesar untuk menjadi seorang jeneral yang berkebolehan tinggi. Di dalam zaman yang kucar-kacir ini, hampir semua cerita rakyat-rakyatnya patut dijadikan sebagai sebuah legenda.
"Ah Chu, Bandar Zhen Huang itu seronok ke?" Ternyata Huanhuan hanyalah seorang gadis lagi, dan akhirnya topik mereka menghala ke arah situ setelah berbual seketika, "Saya dengar orang kata yang di sana itu memang mewah, dan rakyat Fu Luo yang tinggal di tepi pantai itu juga mengembara ke sana untuk melakukan bisnes. Rakyat Fu Luo itu semuanya ada rambut merah dan bermata biru, awak pernah jumpa mereka sebelum ini?"
Chu Qiao tersenyum apabila membalas, "Saya pernah nampak mereka, tapi memang jarang betul. Bercakap mengenai kemewahan dan juga orang negara asing, saya rasa Empayar Tang lebih terkenal dengan semua perkara itu."
"Empayar Tang?"
"Ya." Pasangan itu akhirnya terduduk di atas sebuah cenuram semasa membawa kuda mereka berjalan-jalan, bersama cahaya bulan yang terang menerangi kedua-dua gadis ini.
Chu Qiao menerangkan, "Empayar itu cantik sangat. Mereka tak ada salji sepanjang tahun, ataupun musim sejuk. Mereka luangkan seluruh tahun di bawah cahaya matahari musim bunga, dan pusat perdagangan mereka juga tak kurang hebatnya. Ibu negara mereka saja, Tang Jing, menempatkan lebih tiga juta penduduk. Itu hampir satu perlima dari populasi Yan Bei."
"Wah!" Gadis yang tidak pernah melangkah keluar dari tanah Yan Bei ini bersorak, "Hebatnya!"
"Hebat, kan?" Chu Qiao tertawa apabila membayangkan wajah Li Ce yang tersenyum bangga. "Mereka itu hebat jugalah."
"Bila saya ada peluang, saya mesti pergi ke sana dan lihat dengan mata kepala saya sendiri." Huanhuan melambai penumbuknya ke udara. "Selepas kita menang peperangan ini, kita akan pergi ke sana!"
Chu Qiao mengangguk bersetuju, "Baiklah. Selepas kita menang peperangan ini, kita boleh pergi ke sana bersama-sama."
"Baiklah! Janji tahu! Jangan tarik balik kata-kata awak itu bila masanya dah tiba nanti!" Huanhuan memberi amaran dengan lantang, sebelum menuding jarinya ke arah kuda yang sedang meragut rumput di sebelah mereka. "Ah Tu, awak dengar apa dia cakap, kan? Awak boleh jadi saksi saya!"
Kuda tersebut tersangatlah pintar kerana apabila ia terdengar namanya dipanggil, ia terus meraih kepalanya dan menoleh ke arah mereka.
Chu Qiao tersenyum. "Baiklah, Ah Tu boleh jadi saksi kita."
Pada masa itulah sebuah bunyi bergema kuat datang dari bawah yang terus membuatkan Huanhuan terlompat dan wajahnya bertambah ceria. Gadis itu melambai tangannya sambil berlaung, "Xiaohe! Xiaohe! Di sini!"
Tidak lama kemudian, seekor kuda menghampiri mereka bersama seorang pemuda tampan yang sedang melonjak turun dari kuda tersebut sebelum mara ke arah kedua-dua gadis ini. Dia bertanya, agak tercungap-cungap, "Apa yang terjadi? Kenapa awak tiba-tiba hantar seseorang untuk mencari saya?"
"Saya nak perkenalkan seorang kawan baru kepada awak!" Menuding jarinya ke arah Chu Qiao, Huanhuan dengan bangganya berkata, "Awak kenal tak ini siapa? Awak mesti terkejut beruk kalau awak tahu! Hahaha! Ini Chu Qiao, gadis yang memimpin Garison Utusan Barat Daya untuk memenangi pertempuran dengan Pasukan Barat Laut."
"Apa?" Minda Xiaohe memerlukan beberapa saat untuk memproses maklumat yang baru sahaja diterimanya. Pemuda itu berasa sangat terkejut, matanya dibeliakkan besar sebelum menggumam, "Mudanya dia ini?"
Huanhuan mengguling matanya ke arah pemuda itu seolah-olah wanita itu sedang memperlekehkan pengetahuannya sebelum berpaling ke arah Chu Qiao dan memperkenalkan pemuda itu kepadanya, "Ah Chu, ini Xiaohe. Nama penuh dia… Oh ya, Xiaohe, nama penuh awak apa ya?"
Xiaohe terus diselubungi kepanaan semasa pemuda itu menjawab murung, "Awak lupa nama penuh saya?"
"Siapa yang peduli untuk ingat benda-benda ini?" Huanhuan berkerut, berkata-kata seolah-olah dia benar-benar mempercayainya. "Tiada sesiapa yang pernah guna nama penuh awak, jadi tak guna kalau saya ingat nama penuh awak."
Xiaohe mengguling matanya sebelum menoleh ke arah Chu Qiao dan memperkenalkan dirinya, "Cik Chu, nama keluarga saya Ye, nama penuh pula Ye Tinghe. Saya pegawai pentadbiran dalam Tentera Pertama. Mereka semua panggil saya Xiaohe, jadi Cik pun boleh panggil saya begitu."
Chu Qiao mengukir sebuah senyuman. "Jeneral Xiaohe, selamat berkenalan."
"Bleh! Dia? Jeneral? Mungkin dalam kehidupan dia yang seterusnya!"
"Oi! Huanhuan! Tak baik bercakap mengenai seseorang di hadapan kawan baru!"
Huanhuan membalas dengan kedua-dua tangannya diletakkan di pinggang, "Jadi, kalau saya tak baik pun kenapa? Saya pasti awak hanya tertarik dengan kecantikan dia saja. Saya kena bagitahu awak yang Ah Chu ini tunang abang saya. Awak jangan nak fikir melebih-lebih pula."
Xiaohe yang terus malu itu terus berdalih, "Sejak bila pula saya berfikir sebegitu? Awak yang kotorkan fikirkan saya!"
Huanhuan mencucuk-cucuk dada pemuda itu dengan jarinya sambil berkata tegas, "Kalau saya kotorkan fikiran awak pun, apa masalahnya?"
Wajah Xiaohe berkerut dengan kemarahan apabila dia menempik, "Perempuan ini melebih-lebih pula! Memang mustahil nak bercakap dengan awak ini. Cik Chu, saya masih ada hal untuk diuruskan jadi saya minta diri dululah."
"Urusan apalah yang awak kena buat? Pegawai pentadbiran, hmph, saya pun tak tahu itu jenis pegawai apa! Encik Wu itu sengaja bagi kerja mudah untuk awak."
"Awak ini kan…"
Chu Qiao segera meredakan keadaan apabila melihat kedua remaja ini yang sudah mula bertekak sekali lagi, "Sekarang ini pegawai pentadbiran mesti tengah sibuk dengan tanggungjawab yang banyak sebab kalian semua nak mengatur semula pasukan tentera kita."
"Ah Chu, janganlah pandang tinggi sangat terhadap dia ini."
Chu Qiao menyangkal kata-kata wanita itu. "Tak betullah! Dengan perang yang baru nak bermula ini, pegawai pentadbiran menjalankan tanggungjawab yang penting di belakang tabir. Mereka menguruskan banyak perkara, daripada pengambilan tentera sehinggalah ke sesi latihan, daripada penyelenggaraan undang-undang ketenteraan sehinggalah ke mengatur pasukan tentera yang terhad. Mereka juga menguruskan pasukan-pasukan bantuan dan mengatur pengawasan di kawasan-kawasan yang baru diduduki supaya dapat meredakan penduduk. Ada banyak butiran yang berada dalam setiap aspek ini, bukan sesiapa saja boleh lakukannya."
Setelah Chu Qiao menghabiskan penerangannya mengenai skop kerja seorang pegawai pentadbiran itu, kedua-dua pendengar itu terus menghentikan perbalahan mereka dan merenung sahaja wanita ini. Chu Qiao yang berasa janggal apabila diperlihat sebegitu terus bertanya, "Kenapa? Saya ada tersalah cakap ke?"
"T-tak ada apa-apa?" Huanhuan berpaling dan bertanya Xiaohe, "Awak buat itu semua sekarang ini?"
"Taklah." Xiaohe menggeleng kepalanya. "Saya hanya bertanggungjawab untuk menulis laporan mengenai pertempuran-pertempran yang kita sertai, dan kadang-kadang saya tolong ahli-ahli tentera tulis surat untuk keluarga mereka."
Chu Qiao terpaku. Bagaimana mungkin ini tugas seorang pegawai pentadbiran? Ini hanyalah kerja seorang kerani sahaja.
"Xiaohe, saya rasa awak kena berjumpa Ah Chu dengan lebih kerap. Dia akan ajar awak banyak benda," Huanhuan mengerdipkan matanya semasa dia berkata.
Xiaohe terus mengangguk bersetuju, "Patutlah Cik ini boleh menang banyak peperangan. Awak sangat bijak."
Chu Qiao tidak boleh menahan dirinya daripada mengeluh. Nampaknya pasukan tentera Yan Bei benar-benar memerlukan pengurusan yang banyak.
Mereka akhirnya berpisah setelah berbual dengan lama. Chu Qiao melihat kedua-dua remaja yang telah kembali berbalah apabila mereka sudah mencucuk dan menolak sesama sendiri, dan wanita itu pun berasa sedikit terhibur melihatnya.