Ia merupakan hari kelapan pada bulan kesembilan tahun 775. Angin kencang bertiup mengganas di Dataran Nanqiu di Chengzhou bersama barisan demi barisan rumput layu yang berkibaran apabila ditiup dek angin, kelihatan bagaikan sebuah lautan berwarna emas. Hanya sebatang pokok layu yang boleh dilihat di ufuk sana dan puncak gunung tertinggi di Chengzhou iaitu Puncak Heqi juga boleh dilihat dengan samar-samar di kejauhan, bagaikan seekor gajah yang sedang tertidur apabila ia dikaburi kabus.
Li Ce sedang memakai jubah berwarna kuning bersama beberapa orang pengawal maharaja yang sedang mengekorinya. Raut wajahnya yang muram, sebuah ekspresi yang jarang dilihat dipamerkan oleh pemuda ini semasa dia sedang terduduk di atas belakang badan kudanya. Rambutnya yang kusut sedikit apabila diterbangkan oleh angin kencang yang juga telah menampar-nampak wajahnya. Pemuda itu terus mengemaskan rambutnya ke belakang dengan geram dan lantas menuding jarinya ke arah para pengawal di belakang sambil berkata, "Beberapa orang dari kamu, tolong saya halang angin ini."
Lu Yunxi pun berkerut dan membalas, "Tuanku, pasukan tentera Yan Bei ada di depan itu dan sedang memerhatikan gerak-geri kita."
"Jadi?" Li Ce meraih keningnya dan berkata malas, "Apa kaitan dengan arahan saya untuk menyuruh awak ke sana?"
Tie You masih lagi belum benar-benar pulih daripada kecederaannya dan walaupun bahunya masih lagi dibalut, namun ia langsung tidak mengganggu kebolehannya mahupun daya pemikirannya. Lantas pemuda itu menggulingkan matanya dengan geram dan mendesis, "Tuanku, Putera Yan itu ada di depan. Berhati-hati."
Lu Yunxi menyambung, "Kita datang ke sini dengan tentera yang sikit. Kalau mereka kalahkan kita pun, mereka takkan puas."
"Peliklah. Apa yang kalian cuba cakap ini? Saya hanya menyuruh kalian untuk berdiri di sebelah sini, dan jangan bagi angin kena kulit saya. Apa kaitannya dengan Putera Yan pula?"
Sun Di pun mengejek, dan lantas memusnahkan suasana, "Tuanku tak nak kami ganggu ucapan cinta Tuanku, kan?"
"Hah? Apa? Awak semua betul-betul fikir begitu ke? Awak semua fikir saya ini tak berfikir panjang, ya?"
Para tentera yang lain semuanya merenung Li Ce, anak mata mereka jelas mengatakan 'Ya' kepada persoalan pemuda itu.
"Tuanku, Cik Chu ada di sini," Salah seorang pengawal maharaja itu menghulurkan tangannya dan berkata.
Li Ce lantas berpaling dan mengarahkan, "Pergilah! Kalau tak, saya akan potong gaji kamu semua selama setengah tahun." Apabila dia menghabiskan kata-katanya, semua kelibat-kelibat pengawalnya terus hilang dari pandangan pemuda ini dan lantas Chu Qiao menderap ke arah Li Ce dengan kudanya. Wanita itu berkata dengan penuh gelisah, "Mana mereka itu? Tadi kelam-kabut sangat."
"Mereka mesti dah makan sesuatu yang dah basi itu. Mereka semua pergi ke tandas."
Chu Qiao tertawa dan berkata, "Li Ce, terima kasih."
Li Ce meraih keningnya dan anak matanya yang kelihatan seperti seekor musang itu bersinar, "Untuk apa?"
"Terima kasih atas semua bantuan yang awak dah berikan pada saya selama hari ini. Terima kasih sebab tak ambil kesempatan ke atas situasi ini. Terima kasih sebab dah kekal neutral dalam hal ini dan tak serang Yan Bei."
Li Ce pun menghulurkan jari telunjuknya sebelum menggerakkannya ke kiri dan ke kanan sebelum berkata, "Masalah Zhao Chun'er itu bukannya masalah awak. Saya tak berniat nak berkahwin dengan dia. Walaupun dia itu cantik dan ada susuk tubuh yang menggiurkan, tapi dia itu panas baran, tak cerdik, selalu rasa cemburu. Kalau saya berkahwin dengan dia, mesti gundik-gundik saya rasa tak seronok. Bagi peperangan dengan Yan Bei itu awak tak perlu risaulah. Tak ada manfaatnya untuk Empayar Tang kalau berperang dengan Yan Bei. Kalau bukan sebab awak pun saya takkan jadi sebodoh itu untuk bertindak bagi pihak Empayar Xia. Haha, dan sayalah juga yang dah sarankan idea untuk berdamai itu sebab darah daripada pertempuran itu semuanya hanya akan mengotorkan baju-baju saya saja."
Chu Qiao melepaskan ketawa sebelum membalas tanpa perlu melunakkan suaranya, "Baiklah. Kita tak berhutang apa-apa dengan masing-masing. Lain kali di medan pertempuran, awak tak perlu tunjuk sebarang belas kasihan kepada saya."
"Itu tak betul." Raut wajah pemuda itu terus berubah sebelum menggelengkan jarinya dan menyambung, "Awak tinggal di istana saya buat masa yang sangat lama. Awak dah makan makanan saya, pakai pakaian yang saya beri, dan dapat banyak benda percuma disebabkan saya. Awak dah buatkan dua bakal pengantin saya melarikan diri dan menyebabkan kejanggalan di antara saya dan gundik-gundik saya. Jangan cakaplah mengenai kerosakan harta-harta kerajaan yang berpunca daripada awak, dan tak lupa juga kejatuhan ekonomi, pampasan sebab perasaan saya yang dimainkan oleh awak, pampasan untuk ketidaktenteraman di kalangan pasukan tentera dan juga kepada keluarga-keluarga ahli tentera yang dah terkorban. Kita kena selesaikan semua ini satu persatu. Kita berdua ini dewasa, kan? Saya tahu yang awak ada hati nurani yang baik, jadi awak takkan mempersoalkan ataupun memperlekehkan semua pampasan yang awak kena bayar. Suatu hari nanti saya akan hantar seseorang ke Yan Bei dengan bil bayaran itu. Hmm, tapi kalian pun bukanlah kaya sangat. Apa kata dalam masa lima tahun lagi, kalau awak nampak lambang bendera saya dalam medan peperangan, pasukan tentera awak kena berundur. Yan Xun itu garang sangat, saya tak berani nak bertarung dengan dia. Bagaimana kalau dia gigit saya nanti?"
Penumbuk Chu Qiao terus berdentum apabila wanita itu menumbuk bahu Li Ce yang lantas mendapat pekikan daripada pemuda itu, "Ah! Qiao Qiao, boleh tak awak tukar cara awak luahkan perasaan sayang awak itu?"
Chu Qiao tersenyum mesra, mengetahui dengan kata-kata Li Ce tadi yang Empayar Tang pasti tak akan tunduk kepada tekanan yang diberikan oleh Empayar Xia dan menyerang Yan Bei dalam masa lima tahun akan datang. Lima tahun seterusnya, Yan Bei akan menjadi cukup berkuasa untuk bertahan daripada serangan Empayar Xia.
Wanita ini berasa sesuatu yang pelik di hidungnya, dan lantas suaranya menjadi perlahan namun dia masih mampu melepaskan ketawa sebelum berkata, "Baiklah. Apa kata awak sediakan bil dan kita boleh tengok berapa banyak saya hutang awak?"
"Haih…" Keluh Li Ce sebelum dia tertunduk dengan keningya diraih. Pemuda itu merenung Chu Qiao dengan senyap dan berkata, "Apa yang saya cakap tadi semuanya perkara remeh saja. Perkara yang paling penting awak dah tinggalkan kesan yang sangat mendalam dalam hidup saya. Tapi, awak tak boleh terus tinggal di sini supaya saya boleh berjumpa awak dengan lebih kerap. Saya masih ada masa depan yang panjang, dan saya tak boleh gunakan segala harta kekayaan saya untuk bandingkan betapa rindunya saya akan jadi pada awak."
Angin bayu meniup lembut ke arah kedua-dua remaja ini sambil menyapu selonggokan besar rumput layu bersamanya. Lengan baju pemuda itu berkibaran ditiup angin, dengan raut wajahnya yang kelihatan muram dan kesepian, tersenyum kelat apabila menggeleng kepalanya seolah-olah ingin mengejek dirinya sendiri.
Chu Qiao terpaku, renungan matanya bertukar dingin. Wanita itu ingin berkata sesuatu namun kerongkongnya bagaikan tersekat dan dia tidak mampu untuk meluahkannya.
"Haha!" Li Ce menuding ke arah Chu Qiao dengan sebelah lengan manakala sebelah lengan lagi diletakkan ke perut pemuda itu, pemuda itu ketawa sehingga dia hampir terjatuh dari kudanya. "Tengok muka awak, Qiao Qiao. Awak ingat saya ini dah disihir macam Zhuge Yue itu ke?"
Setelah Chu Qiao tersedar dia telah dipermainkan oleh Li Ce, wanita ini terus melemparkan penumbuknya untuk membelasah pemuda itu namun Li Ce mengelak dari setiap serangan itu dengan penuh lincah, lantas berkata dengan bangga, "Kalau saya beri muka kepada awak setiap kali, awak rasa muka saya ini akan kekal kacak begini ke?"
"Bajingan!"
Li Ce tertawa dan menyambung, "Jangan sombong sangat. Yan Xun itu sebenarnya memang malang sebab dah terpaksa melekat dengan awak sejak muda lagi. Mungkin dia rasa tiada wanita lain di dunia ini selain awak. Zhuge Yue tu pula lagi bahlol, sebab saya rasa dia dah penat dengan semua wanita cantik di dunia ini. Saya rasa dia anggap awak ini sebagai barang yang bernilai sebab dia dah jumpa budak kecil itu. Awak betul-betul fikir yang saya ini serendah mereka ke?"
Chu Qiao mengamuk dan menengking, "Awak nak cakap apa-apa lagi ke?"
"Tak, tak, Qiao Qiao, biar saya tanya awak satu soalan. Soalan ini penting, jadi awak kena jawab dengan sejujurnya." Raut wajah terus bertukar sepantas helaian-helaian kertas buku yang diselak apabila ditiup angin.
Chu Qiao yang melihat ekspresi wajah Li Ce yang kelihatan serius itu terus menjawab, "Tanyalah. Selagi ia bukan mengenai maklumat sulit rancangan ketenteraan Yan Bei, saya akan jawab pertanyaan awak itu."
"Awak yang cakap sendiri, ya."
"Yalah, tanya sajalah."
"Saya, saya, saya nak tanya…" Li Ce menoleh sekelilingnya dengan penuh misteri dan berkerut sebelum menyambung, "Saya nak tanya…"
"Apa yang awak nak tanya?" Chu Qiao mula bertanya sendirian apabila melihat pemuda itu yang kelihatan resah. Li Ce tidak pernah berkelakuan sebegini sebelum ini. Apakah soalan yang bakal ditanya pemuda itu? Adakah dia akan bertanya mengenai rancangan ketenteraan Yan Bei? Ataupun langkah seterusnya buat mereka?
"Saya nak tanya…" Li Ce tersenyum dan bertempik, "Saya nak tanya sama ada Yan Xun itu masih teruna lagi ke!"
"Li Ce! Awak ini betul-betul nak mati ke?!"
"Tak mengapa kalau awak tak nak beritahu saya! Awak mesti nak belasah saya sekarang ini, kan?"
"Awak yang minta!"
"Ah! Qiao Qiao, bertenang, saya tak ada sebarang niat buruk pun! Ah! Sun Di! Tie You! Tolong saya! Tolong saya!"
Teriakan yang memekikkan dari suara seorang lelaki yang paling bernilai dalam Empayar Tang ini tiba-tiba berlaung kuat di seluruh dataran, namun tiada seorang pun orang bawahannya yang menolong pemuda itu apabila sekumpulan pengawal elitnya yang diketuai oleh Sun Di sedang meniarap di sebalik sebuah cenuram dan sibuk bermain judi.
"Letakkan nilai pertaruhan kamu! Saya bertaruh sepuluh tahil yang Tuanku takkan membalas balik serangan itu."
Seorang pemuda dalam lingkungan 20 tahun berkata, "Tuanku bukan macam itu. Kesian bila dia dibelasah oleh seorang wanita. Saya bertaruh sepuluh tahil yang Tuanku akan balas balik."
Semua pengawal elit itu memandang pemuda ini dengan penuh belas kasihan, dan lantas Lu Yunxi bertanya, "Kamu ini budak baru ke? Kamu bukan berasal dari ibu negara ini?"
"Ya," Pengawal muda itu berkata dengan raut wajah yang penuh kesetiaan kepada empayar, jelas menunjukkan dia seorang askar yang patriotik. "Saya daripada Kem Utara. Saya dulu seorang Komander di bahagian ketujuh platun kelima dari batalion ke-30. Walaupun saya tak menyertai rusuhan itu, saya dah laporkan segala hal berkaitan itu dengan pihak atasan, dan saya juga dah dididik oleh Tuanku sendiri. Jadi, saya berharap agar saya boleh dapat tunjuk ajar daripada kalian juga."
"Tak ada masalah, lagipun kita ini kan pakai baju seragam yang sama, jadi kita akan jadi saudara pada masa depan nanti," Tie You berkata ceria. "Sebab saya nak sokong kamu, saya akan bertaruh yang Tuanku takkan balas balik serangan itu. Kalau kamu menang, kamu akan menang dengan lebih banyak."
"Betul itu, kos sara hidup di ibu negara ini tinggi. Saudara, kita akan bantu kamu."
Lantas, para tentera itu pun mengumpul wang perak mereka untuk diberikan kepada Sun Di yang sekaligus turut tersirat, 'Kami akan beri duit ini kepada kamu. Rakan-rakan, letak duit kamu demi pasukan yang bersatu ini!'
Angin menjadi lebih kencang bersama pemandangan yang kelihatan keemasan dek warna pokok yang sudah layu. Kain mantel yang dipakai Chu Qiao dan Li Ce lantas berkepak-kepak apabila ditiup angin.
"Baiklah, saya takkan hantar awak lebih jauh lagi. Selamat tinggal."
Chu Qiao mengangguk dan membalas, "Awak pun jaga diri juga. Saya rasa perkara ini tak seringkas yang kita jangka. Awak buat persiapan yang lebih banyak ya."
"Jangan risau, kalau ada sesiapa yang berani buat saya marah, saya akan bunuh keluarga mereka dan rampas isteri-isteri mereka."
Chu Qiao tertawa dan membalas, "Awak ini betul-betul tak senonohlah."
Li Ce menggosok bibirnya yang lebam dan ketawa, "Ada banyak sangat masalah dalam kehidupan kita ini. Tak ke membosankan kalau kita bersopan saja pada setiap masa? Tak perlu nak degil sangat dalam sesetengah perkara juga. Tak mengapa kalau awak ikut saja haluan kehidupan yang dah disediakan untuk awak dan bertenang sekejap. Awak kena belajar untuk sesuaikan diri dan jaga diri awak itu. Awak penat sangat sebab tanggung banyak sangat beban di atas bahu awak. Awak kena ingat yang awak itu seorang wanita. Ada banyak lagi perkara penting dalam dunia ini selain dari kepercayaan awak itu."