Apabila melihat Li Ce bercakap mengenai perkara serius sebegitu, Chu Qiao terus mengikut aliran perbualan itu dan bertanya, "Perkara penting seperti apa?"
Li Ce menghitung jarinya sambil menyenaraikan, "Contohnya, membeli-belah, membeli beberapa helaian pakaian yang baru, cuba alat solek, ataupun mungkin dengar muzik, pakai baju cantik-cantik ke. Oh, atau awak boleh cari beberapa hiburan untuk malam-malam yang panjang ini atau mungkin hasilkan beberapa orang anak ke supaya dapat buatkan kehidupan awak lebih berharga… Eh sekejap, awak buat apa ini? Saya betul-betul serius dengan apa yang saya cakap ini!"
"Kenapalah saya harapkan awak untuk cakap sesuatu yang lebih bijak?!" Chu Qiao mencelah.
Li Ce tertawa. "Bukan ke itu salah awak juga? Kita dah berkali-kali ucap selamat tinggal tapi awak nak juga tinggal sini dan dengar saya berleter. Kenapa? Awak tak sanggup nak ucap selamat tinggal kepada saya, ya?"
"Mengarutlah! Saya…saya hanya nak duduk di sini lama sikit sebab nak tengok pemandangan pergunungan di Empayar Tang ini. Itu pun salah ke?"
"Yalah, tak salah pun. Awak boleh duduk sini dan tengok selama mana awak mahu. Silalah." Li Ce tersengih bahagia seolah-olah pemuda ini berhasrat untuk menyakat Chu Qiao. Tetapi, dia tiba-tiba berhenti bercakap.
Chu Qiao mengetap bibir bawahnya dan berkerut dengan lebih ketat sambil masih tercegat.
"Udara di Empayar Tang ini sungguh bersih."
"Ya ke? Saya dengar di Yan Bei, disebabkan salji yang turun sepanjang tahun, menyebabkan mereka mempunyai udara yang lebih bersih dari di sini."
"Awak dah buat keputusan untuk berkahwin dengan Puteri Xia ke?"
"Saya tak peduli pun, lagipun kedua negara ini masih tengah berbincang. Saya dah tugaskan hal ini kepada orang-orang gaji saya. Selepas mempertimbangkan yang beberapa perkara telah berulang kali berlaku sebelum perkahwinan ini, saya dah upah dua orang pakar Feng Shui yang terkenal untuk membuat ramalan dan meramalkan masa depan kedua negara ini, bermula daripada nenek moyang Puteri Xia sehinggalah ke saudara-mara yang masih hidup dalam dua buah keluarga maharaja ini. Kami akan buat keputusan dengan undian daripada pegawai-pegawai Empayar Tang. Saya jangkakan yang kita perlu tiga hingga lima tahun untuk selesaikan kesemuanya. Setelah hal ini tamat, tuan puteri akan melewati usia perdana perkahwinannya."
"Rancangan awak ini kejam betullah. Awak sengaja nak tangguhkan perkahwinannya."
"Macam mana awak boleh berkata begitu pula? Saya sedang menjaga kemakmuran kedua-dua empayar inilah."
"Ke mana Zhao Chun'er pergi?"
"Entahlah. Utusan Xia dah jemput dia tapi dia tak akan dihantar balik ke Zhen Huang. Mungkin dia telah dihantar untuk mengawal beberapa wilayah lain."
"Luka awak macam mana pula? Dah sembuh ke?"
"Luka saya tak teruk mana. Kalau awak tak belasah saya tadi, lagi cepatlah saya sembuh."
"Yalah. Gaya rambut awak nampak kacak hari ini."
"Ya ke? Rambut saya dah kusut sebab ditiup angin tadi. Saya tak anggap ini sebagai satu gaya rambut."
"Pakaian awak pun cantik. Ia diperbuat dari apa?"
"Sutera Shennan. Awak sepatutnya pakai kain ini sebelum awak pergi."
"Sebenarnya, tali pinggang awak pun nampak cantik juga. Jed itu sejenis Jed Heluo ke?"
"Tak, awak salah. Ini bukan jed pun. Saya hanya kutip batu ini di tebing sungai. Saya kalah dalam satu pertaruhan dengan Tie You dan tiada duit untuk bayar. Jadi, dia ambil jed saya sebagai pampasan."
"Minyak wangi awak pula? Ia minyak aromatik istimewa ke?"
"Tak. Sebenarnya, sebelum saya ke sini, saya minum alkohol dengan yang lain-lain. Sun Di minum banyak sangat sehingga dia termuntah pada saya dan saya pula tak ada masa untuk menukar pakaian."
"Oh, begitu. Awak ada rancangan untuk kembali ke Tang Jing ke selepas ini?"
"Saya langsung tak ada niat untuk ikut awak ke Yan Bei."
"Apa jadi dengan dia?"
"Dia tak apa-apa. Dia dah balik tadi."
Angin tiba-tiba menjadi lebih kencang dan raut wajah Chu Qiao menjadi suram, terduduk di atas kudanya dengan senyap tanpa menguturkan sepatah kata. Li Ce memandang wanita itu sambil mengekalkan senyuman lembutnya seolah-olah mereka sedang berborak tentang pakaian, aksesori dan pelbagai topik lain yang tidak penting semenjak dari mula lagi.
"Li Ce, awak rasa saya ini tak tahu malu ke?" Chu Qiao tiba-tiba memecah kesunyian dengan sebuah soalan.
Li Ce tersenyum kecil. "Saya ada lebih 3,000 orang gundik cantik manis dalam harem saya dan saya dah lakukan hubungan intim dengan ramai perempuan. Kalau awak tak tahu malu, jadi bukan ke saya ini lebih teruk?"
Chu Qiao menggeleng kepalanya, "Itu tak sama."
"Qiao Qiao, jangan fikir banyak sangat." Li Ce menghulurkan tangannya dan menepuk bahu gadis itu dengan lembut, "Awak tak perlu rasa bersalah. Dia seorang yang cerdik dan dia pasti akan baik-baik saja."
"Saya pun berharap begitu." Chu Qiao tersenyum kelat. "Bila dia pergi?"
"Semalam, dia pergi dengan orang-orang bawahan dia selepas awak pergi. Dia tak beritahu saya pun."
"Awak berdua rapat ke?"
"Tak adalah rapat mana tapi kami dah lama kenal. Kami hanya betul-betul berinteraksi antara satu sama lain dalam keadaan seperti ini saja."
Chu Qiao menundukkan kepalanya dan menghentikan perbualan tersebut di situ. Namun, Li Ce pula mula bertanya, "Qiao Qiao, awak terharu dengan tindakannya ke?"
Chu Qiao mendongakkan kepalanya bersama sebuah senyuman kecil yang terukir di bibirnya. Lantas dia berkata, "Kalau saya cakap saya tak terharu, awak percaya ke?"
"Percaya." Li Ce mengangguk tanpa teragak-agak.
Nada Chu Qiao menjadi rendah apabila dia mengungkap kata-katanya. "Saya memang terlalu banyak terhutang budi dengannya dan saya mungkin tak akan berpeluang untuk membalas jasa dia itu seluruh hidup saya. Saya risau yang keluarga dia akan naik angin dengan tindakan dia."
"Kalau awak tak nak berhutang dengan dia, awak tak patut berjumpa dengan dia walaupun dia dalam kesusahan. Saya yakin tanpa bantuan awak sekalipun, dia pasti akan dapat harungi segala masalah yang dia hadapi dengan mudah. Sesetengah hutang memang mustahil untuk dilangsaikan dan semakin awak cuba untuk membayarnya, semakin serabutlah keadaan itu."
Chu Qiao yang terkejut dengan analisis mendalam ini terus mendongakkan kepalanya untuk melihat senyuman lembut yang terukir di bibir lelaki itu yang seakan-akan sebuah cahaya yang menyinari di sebalik kabus. Chu Qiao mengangguk dan berkata, "Betul kata awak itu."
"Qiao Qiao, keadaan di Yan Bei itu dah jadi semakin rumit. Awak berhati-hati di sana ya."
Chu Qiao tersenyum manis. "Terima kasih banyak-banyak tapi awak jangan risau. Saya tak akan keseorangan sebab Yan Xun akan ada bersama dengan saya."
Li Ce terpana seketika sebelum kembali tersenyum. "Bodohlah saya ini. Awak dah nak berkahwin, kenapa saya masih cakap benda yang bukan-bukan kepada awak lagi?" Dia menggeleng kepalanya dan terus berkata serius, "Baiklah, beritahu saya apabila awak nak kahwin nanti. Saya pasti akan bawa beberapa hadiah untuk awak."
"Haha! Sudah tentulah! Sebab awak terlampau kaya, saya akan nanti-nantikan sekeping sampul merah yang besar daripada awak! Jangan cari alasan pula!"
"Hoi! Janganlah macam itu. Saya ini orang miskin. Elaun yang Ayahanda beri pada saya setiap bulan pun tak cukup untuk saya luangkan semalaman di rumah pelacuran."
Lidah Chu Qiao terus terkelu.
Matahari perlahan-lahan terbit di sebalik ufuk tatkala angin bertiup sekali lagi dengan kabus di dataran rumput yang mula menghilang apabila Li Ce menuding jarinya ke arah pasukan Yan Bei sambil berkata, "Awak patut pergi sekarang. Kalau Putera Yan hilang sabar, habislah saya nanti."
Cahaya matahari pada waktu pagi ini menyinari Chu Qiao, lantas menyebabkan wajah wanita ini bercahaya sebelum dia membasahkan bibirnya ringan dan tersenyum ikhlas, "Li Ce, terima kasih. Saya pergi dulu, ya."
Chu Qiao baru sahaja ingin memusingkan kudanya ke belakang apabila Li Ce tiba-tiba menghulurkan tangannya untuk menyekat wanita itu. Raut wajah pemuda itu berbeza daripada kebiasaannya apabila dia memandang Chu Qiao, jadi wanita itu hanya mengangkat keningnya dan bertanya, "Ada apa-apa lagi ke?"
"Oh, tak ada apa sangat pun." Li Ce hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum. "Kalau suatu hari nanti Yan Xun tiba-tiba tersedar yang dia ingin berkahwin banyak dan simpan ramai gundik sementara abaikan awak, awak boleh cari saya di sini untuk cari tempat tinggal."
Chu Qiao tertawa. "Hari itu takkan tibalah." Lantas, dia mengangkat tangannya sambil membuat sejenis pergerakan isyarat seolah-olah wanita ini sedang mengerat lehernya sebelum menambah lagi, "Kalau dia berani buat begitu, saya yang akan hapuskan wanita-wanita itu dulu sebelum saya bunuh dia. Selepas itu bolehlah saya tabalkan diri saya sebagai raja dan ambil alih hartanya."
Li Ce mencebik sambil menepuk dadanya seolah-olah dia berasa takut, "Wah, garangnya perempuan ini."
"Dahlah! Saya pergi dulu!"
"Pergi! Pergi! Kalau awak tak pergi lagi, langit akan berubah gelap pula."
Chu Qiao tertawa, lantas dia menyentak kudanya lalu beredar dari situ.
"Qiao Qiao! Ingat kata-kata saya! Awak perlu berhati-hati dan jangan percaya kata orang sangat!"
Chu Qiao melambai tangannya sebelum membalas, "Yalah, yalah! Banyak mulut betul awak ini!"
"Budak ini kan! Makan banyak daging sikit! Susuk tubuh awak itu macam papan! Loya saya tengok!"
Di Dataran Berumput Nanqiu, angin bertiup kencang tatkala burung-burung berterbangan di langit untuk menyambut hari yang baru bersama matahari yang telah menjengah keluar dengan sepenuhnya dari ufuk. Seorang wanita mara ke hadapan setelah melihat sekumpulan orang berpakaian hitam di kejauhan.
Tentera Yan Bei berbaris dengan senyap di dalam barisan mereka sambil menunggu arahan daripada tuan mereka. Seorang pemuda yang berpakaian serba hitam sedang terduduk tegak di atas kudanya, namun seseorang masih dapat merasai aura dinginnya yang seolah-olah sebilah pisau yang tajam itu walaupun pemuda tersebut masih berada di jarak yang jauh dari mereka.
"Perempuan sekarang memang ada citarasa yang teruk. Kenapalah dia pergi kejar seseorang yang berlagak dan selalu nampak serius sangat itu? Padahal, orang yang sekacak aku ini tiada pula orang kejar. Tak logik langsung!" Seorang lelaki menggumam sendirian sebelum berpaling. Angin yang meniupkan rambutnya ke belakang itu pun mengepak-ngepakkan jubahnya. "Saya harap awak dapat cari haluan yang bersesuaian dengan awak!" Setelah itu, Li Ce melibas kudanya dan terus menghilang di sebalik kejauhan.
Sun Di dan yang lain terus berasa terperanjat apabila melihat keberangkatan Putera Mahkota itu dengan secara tiba-tiba jadi mereka terus mengutip wang perak yang berada di tanah sebelum mengejarnya.
"Tuanku! Tunggu kami!"
"Kenapa Tuanku pergi seorang diri? Laju pula itu!"
Lu Yunxi menempik, "Bodoh! Kamu tak dengar ke ayat terakhir Tuanku cakap tadi? Kalau kita tak lari, kita akan dibelasah teruk oleh tentera Yan Bei!"
"Apa? Betul itu! Lari cepat semua!"
"Lari laju-laju!!"
….
Chu Qiao segera menghentikan kudanya setelah kembali ke sisi Yan Xun, pemuda itu sedang memakai jubah hitam dengan wajahnya yang langsung tidak berubah walaupun sedikit fan keningnya sahaja yang sering berkerut. Namun, raut wajah Yan Xun yang sememangnya susah untuk ditafsirkan itu merenung susuk tubuh Li Ce yang sudah semakin menghilang dari pandangannya. Dengan sinisnya dia berkata, "Dia jerit apa di bahagian akhir itu?"
Lidah Chu Qiao terus terkelu apabila wajahnya berubah merah sebelum mengujar, berpura-pura tidak tahu, "Apa? Entahlah, saya tak ingat tapi saya dengar apa yang dia katakan tadi dengan jelas."
Yan Xun yang tersedar akan tingkah-laku Chu Qiao yang seakan-akan sedang mengelak dari soalan itu terus menyambung, "Kenapa awak berbual lama sangat? Awak rapat sangat ke dengan dia?"
Setelah hidup dengan seseorang itu untuk sekian lama, sudah semestinya Chu Qiao telah mempelajari seperkara atau dua cara untuk berdalih tanpa ditangkap, jadi dia pun membalas, "Kami tak rapat mana pun. Kami hanya bincangkan tentang kerjasama di antara dua negara kita ini suatu hari nanti dan membayangkan rangka rancangan untuk esok."
Namun, Yan Xun tidaklah sebegitu mudah untuk ditipu jadi dia hanya mendengus sebelum melangkah pergi, melambai tangannya ke arah sekumpulan tentera itu sebelum para tentera itu juga berangkat pergi. Kemudian, dia menoleh dan memberitahu wanita itu, "Bagitahu saya semuanya yang dah terjadi semasa percutian awak di sini. Semuanya. Jangan sembunyikan apa-apa daripada saya."
"Apa?" Perasaan bersalah tiba-tiba menyelubungi Chu Qiao sebelum wanita ini segera membidas, "Tapi nanti panjanglah ceritanya pula!"
"Tak mengapa, kita ada banyak masa sebelum kita tiba di Yan Bei." Yan Xun menoleh dan tersenyum lembut namun senyuman tersebut bukanlah sebuah senyuman ikhlas sama yang pernah terukir di bibirnya sewaktu di Bandar Zhen Huang dahulu. Sebaliknya, terdapat suatu misteri yang terselindung di sebalik senyuman liciknya itu.
"Yan Xun," Chu Qiao yang kehilangan keyakinan untuk berbohong terus bertanya, "Kenapa saya rasa yang awak dah berubah?"
"Ya ke?" Jawab Yan Xun dengan selamba, "Mungkin sebab saya sedar yang sesetengah orang cuba untuk merampas sesuatu daripada saya? Tapi, sebenarnya benda itu agak terkenal juga. Kalau saya tak berwaspada, mungkin saya akan kehilangan segalanya."