Chapter 140 - Bab 140

Namun di saat itu perasaan tidak sedap hati menyelubungi diri wanita itu sekali lagi, dan Chu Qiao terus bertinggung tanpa rasa teragak-agak, boleh dilihat sebilah pisau melayang ke mari dari sebatang pokok di sebelah sana. Pisau tersebut melayang berdekatan dengan kulitnya, lantas membuatkan bulu-bulu roma wanita itu berdiri!

Chu Qiao hampir mahu mencarut kepada si penyerangnya itu kerana pemuda itu benar-benar setanding dengan kelincahannya! Ia seolah-olah pembunuhnya itu tahu betapa pantasnya kelajuan wanita ini, strategi apa yang bakal digunakan, kaedah yang digunakan untuk menyerang hendap... Tapi kini, wanita itu pula yang diserang hendap!

Memang menyakitkan hati!

Dalam masa beberapa saat, Chu Qiao berfikir lama untuk memikirkan strategi bernas yang baru. Wanita itu membetulkan kedudukan badannya sebelum bersedia untuk sebuah lagi pertempuran hangat, dan jika dia gagal untuk mengalahkan pihak musuhnya, memang wanita itu benar-benar berasa bagaikan dia telah menghampakan pelatihnya di zaman moden ini.

Tetapi, bunyi swoosh tiba-tiba bergema dari atas kepala wanita itu, dan lantas Chu Qiao yang terkejut terus terpelanting akibat pergerakan pihak lawan yang telah menendangnya dengan pantas. Belakang badan wanita itu berdentum apabila berlanggar dengan sesuatu sebelum dia termuntah darah! Namun, apa yang berlaku seterusnya ini telah benar-benar membuatkan wanita itu naik berang.

Sebuah pekikan yang memekikkan dapat didengari datang dari belakang wanita itu dan seorang anak kecil berusia dalam lingkungan tujuh ke lapan tahun sedang menunggang di atas belakang badan wanita itu, menggosok-gosok wajahnya apabila anak kecil itu menangis merengek.

Nampaknya sebelum mereka tiba di situ lagi, anak kecil ini sedang bermain-main di pokok tersebut. Yang menggelikan hati adalah wanita ini pernah menjadi agen khas terbaik suatu ketika dahulu dan kini dia langsung tidak perasan budak kecil itu yang sedang bersembunyi di sebalik pokok besar sambil menyaksikan pertempuran hangat yang sedang berlaku di hadapan mata kepalanya sendiri dan terus melonggarkan genggaman tangannya dek ketakutan sebelum terjatuh ke atas belakang badan Chu Qiao! Ada yang lebih menyakitkan hati daripada perkara itu tak?

Chu Qiao menolak anak kecil itu ke tepi dan berharap dia masih mempunyai masa untuk menyerang balas serangan musuhnya itu. Namun pedang pihak lawannya itu telahpun berada di leher wanita ini di saat dia mula bersedia. Bunyi tapak kaki yang banyak tiba-tiba kedengaran menghampirinya dan sejurus selepas itu, orang ramai sudah pun mengerumuni Chu Qiao, pedang mereka ditempatkan ke leher wanita ini. Chu Qiao meraih wajahnya dan merenung anak kecil yang sedang berteriakan itu dengan penuh tajam, terdengar seseorang berkata perlahan di belakang wanita itu, "Aku tak tahu yang Puteri kita ini pandai mempertahankan diri dia."

'Apa yang mereka baru panggil Zhao Chun'er tadi? Puteri kita? Mereka ini daripada Empayar Xia ke?'

Seekor kuda pertempuran menderap laju menghampiri mereka dan lantas seorang pemuda melompat turun dari belakang kuda itu sambil memakai sehelai vel yang menutupi wajahnya, berkata, "Orang-orang kita masih lagi tangguhkan mereka, jadi kita masih ada masa."

Seorang pemuda berpakaian serba hitam mengangguk dan berkata kepada pemuda yang berdiri di sebelahnya itu, "Bawa dia ke dataran."

Seorang lagi pemuda berpakaian serba hitam mengarahkan Chu Qiao, "Letakkan senjata awak."

Chu Qiao yang sudah tidak mampu melawan mereka itu hanya patuh, dan pisaunya dilepaskan dari genggaman tangan lalu terjatuh ke atas tanah dengan bunyi dentangan. Wanita ini berfikir sejenak sama ada dia harus mendedahkan identiti sebenarnya kepada para pembunuh upahan ini, menerangkan dia bukanlah Zhao Chun'er yang sebenar. Namun pada ketika itu, pemuda yang setanding hebatnya dengan wanita ini melangkah ke arahnya sebelum meregangkan jari-jemarinya dan memegang dagu Chu Qiao yang lantas mendapat dengusan kasar daripada wanita itu sebelum dia menggeleng kepalanya sekuat hati dan menggigit sebelah tangan pemuda itu!

Wanita ini seolah-olah dapat mendengar bunyi retakan gigi sementara dia menggigit tangan pemuda itu dan darah yang sungguh banyak mula mengalir dari kecederaan tersebut. Chu Qiao kemudiannya merenung pemuda ini dengan kesan darah yang mewarnai dagunya, renungan matanya kelihatan seperti seekor serigala yang kesakitan, namun semangatnya masih kuat dan tidak mahu mengaku kalah.

"Ah!" Bunyi erangan yang kuat bergema, namun tiada sesiapa yang bergerak dan tiada sesiapa yang memberi sebarang reaksi kepada aksi Chu Qiao itu tadi.

Pemuda itu merenung wanita ini dengan penuh kaku, membenarkan dia untuk terus menggigit tangannya. Tanpa sebarang kata, mahupun sebarang pergerakan, pemuda itu hanya merenung wanita ini yang boleh dilihat di sebalik vel gelap itu dan anak mata pemuda itu berbaur sekelumit perasaan teruja!

Chu Qiao juga turut berasa terkejut. Sepasang anak mata tersebut kelihatan begitu dikenalinya, jadi seperti orang dungu, wanita itu melonggarkan rahangnya dengan perlahan, merenung pemuda ini dengan mulut yang dingangakan.

"Haha!" Pemuda itu mula tertawa, lantas terus membuka velnya sebelum mengangkat Chu Qiao dengan lincah ke dalam dakapannya.

"Saya tahu yang awak takkan mati dengan begitu mudah!" Zhuge Yue terkekeh seperti seorang anak kecil yang baru sahaja mendapatkan patung mainan baharu. Pemuda itu berasa sangat ceria, namun masih boleh dikesan dari wajah pucatnya yang pemuda ini berasa sungguh risau, dan dakapan erat yang diberikan kepada Chu Qiao itu terasa seolah-olah pemuda itu hendak menyatukan badan mereka bersama!

Kepala Chu Qiao dihenyakkan kepada dada bidang milik pemuda ini, dapat merasakan degupan jantungnya yang sungguh laju semasa lengan pemuda ini yang sasa mendakapnya. Fikirannya menjadi kabur setelah terkenangkan perkara yang baru sahaja berlaku, wanita ini baru sahaja terlepas dari ajalnya, jadi sudah semestinya beberapa perasaan dahsyat sedang menyelubungi dirinya lantas wanita itu tidak mampu menahan dirinya lagi daripada membenamkan tubuhnya ke dalam dakapan pemuda itu dan terus menangis teresak-esak.

Seluruh Dataran Qiang Wei itu senyap sunyi, bunyi yang dapat kedengaran hanyalah bunyi kibaran bendera apabila ditiup angin. Melihat dataran ini, rakyat jelata pasti akan terkenangkan sejarah yang berlaku tiga ratus tahun dahulu di mana di atas platform inilah berdirinya pembelot terbesar Empayar Tang yang pertama, He Lanye, apabila dia dibakar hidup-hidup setelah mendapat hukumannya.

Pada masa itu, dia telah ditabalkan sebagai komander pertama Tanah Tinggi Hongchuan oleh Empayar Tang, namun lelaki tersebut langsung tidak berbuat sebarang bantahan apabila Keluarga Zhao menjajah tanah tinggi tersebut. Apabila tentera puak Keluarga Zhao dapat menawan Bandar Zhen Huang, lelaki itu hanya melarikan diri daripada bandar tersebut bersama keluarganya sahaja, mengabaikan seluruh daerah di sempadan utara Empayar Tang yang Agung itu tanpa sebab yang munasabah. Dialah merupakan penyebab Empayar Tang disebut-sebut di dalam buku sejarah, namun dia jugalah yang telah menjadi penyebab empayar tersebut kehilangan perkataan 'Agung' di dalam gelarannya apabila Empayar Xia dan Empayar Song mengugut mereka dengan mengatakan yang mereka tidak layak menyandang gelaran agung tersebut. Hal itu telah menjadi satu penghinaan buat Empayar Tang sehingga ke hari ini.

Bermula dari hari itu, platform di Dataran Qiang Wei telah menjadi lokasi utama bagi penjatuhan hukuman kepada penjenayah dan pada saat ini, seorang gadis yang sedang berlumuran darah telah diikat tinggi di atas platform gangsa itu namun tiada sesiapa yang boleh melihat wajah gadis ini yang berpakaian koyak-rabak. Selonggok kayu-kayu api besar diletakkan di hujung kaki gadis ini bersama beberapa orang ahli tentera yang sedang memegang obor api yang bersinar terbakar yang sudah pun berdiri di setiap hujung platform, bersedia untuk menyalakan unggun api tersebut. Sekumpulan manusia cuba untuk menyelamatkan gadis ini, namun walaupun mereka kelihatan seperti rakyat jelata biasa, tetapi apabila dilihat dengan lebih teliti, senjata mereka yang sedang disembunyikan itu semuanya kelihatan dengan jelas, memang bukan seperti sekumpulan rakyat jelata.

Kekecohan tersebut bertambah genit apabila ramai orang yang bersorak untuk hukuman tersebut, dan Zhao Chun'er membuka matanya yang keperitan itu. Tangisan kepedihan dan laungan kemarahan yang dilaungkan gadis ini telah menjadikan khalayak ramai bertambah sorakan mereka, bersama tepukan gemuruh diberikan kepada gadis itu. Para tentera yang sedang mengawal platform tersebut semuanya mempunyai kulit yang kasar dan berbelulang, sudah pastinya tamparan mereka kuat dan padu.

Dengan rahang yang telah dipatahkan, gadis ini tidak mampu berkata apa-apa yang boleh difahami sesiapa, jadi apa yang dia mampu buat hanyalah merenung khalayak ramai yang sungguh teruja di sebalik rambut berdarahnya yang telah melekat menutupi mata. Wajah-wajah yang sedang memandangnya ini semuanya tidak dikenali, raut wajah mereka ada yang geram, dan lantas gadis ini mula berasa takut, menggeletar di seluruh badannya tanpa henti.

'Aku akan mati di sini ke?' Fikir Zhao Chun'er.

Pada saat ini, sebuah nama tiba-tiba terlintas di mindanya, dan renungan tajam milik seorang wanita yang langsung tidak berhati perut serta raut wajah cemuhannya itu terus menyelubungi jiwa raga Zhao Chun'er.

Chu Qiao! Chu Qiao! Chu Qiao!

Raut wajah gadis itu terus menyeringai. Kebenciannya terhadap Chu Qiao terlalu dahsyat sehingga dia berasa ia tidak dapat dibayar walaupun dengan kematian.

Wanita itulah yang telah mengambil cinta hati Zhao Chun'er, kebahagiannya, reputasinya. Wanita itulah yang telah menghancurkan bandarnya, menghinanya, dan menyebabkan dia merana di tangan durjana-durjana yang hina dan tak guna itu! Chu Qiaolah punca kepada semua malapetaka yang telah melanda dirinya!

'Aku takkan lepaskan dia! Sekalipun aku jadi hantu, sekalipun aku dimasukkan ke neraka jahanam, sekalipun roh aku ini hilang, aku takkan lepaskan dia!'

Zhao Chun'er cuba untuk mengetap giginya tanpa jayanya dengan geram seperti seorang gila apabila keinginan untuk membunuh wanita itu membuak-buak.

"Mulakan sesi hukuman bunuh!" Satu pekikan kedengaran kuat. Namun sebuah lagi kekecohan melanda di tengah-tengah khalayak ramai itu. Ia adalah kumpulan sebentar tadi!

Keinginan Zhao Chun'er untuk terus hidup mula membuak-buak, lantas dia memerhatikan pergaduhan tersebut dengan pandangan yang bersemangat, tetapi pada masa yang sama, satu fikiran yang pelik tiba-tiba terlintas ke dalam mindanya. Pada masa ini, sesiapa sahaja yang mengganggu hukuman bunuh ini mesti di sini untuk menyelamatkan Chu Qiao!

Tiba-tiba, sebuah keinginan meluap-luap di dalam dirinya, lantas berharap tiada sesiapa yang akan menyelamatkan gadis ini, lalu dia mula berdekih apabila fikiran tersebut masih berlegar-legar di ruang mindanya, ketawanya itu penuh mengejek. 'Jadi, kalau aku diselamatkan hari ini, maka aku kena berterima kasih kepada Chu Qiaolah ya?'

Khalayak ramai di bawah platform mula bergosip apabila melihat gadis ini yang mula berdekih dengan lantang, menganggap dia telah menjadi gila. Kini, rakyat jelata telah memenuhi sepanjang jalan utama, seolah-olah seseorang telah merancang kekecohan ini untuk menghalang orang ramai daripada mendekati tengah-tengah jalan itu.

Situ Yu mula berkerut apabila merenung kekecohan itu dan melihat beberapa orang ahli tentera Yan Bei yang baru tiba untuk menerima arahan seterusnya daripada pemuda itu. Zuo Tingling melaporkan, "Jeneral Situ, ada ramai sangat tentera daripada Pasukan Kem Utara sehingga kita tak boleh masuk, apatah lagi nak selamatkan Cik."

Baihe berkerut sebelum menambah satu lagi berita buruk, "Saya dah hantar helang utusan untuk melaporkan hal ini kepada Tuan."

"Kalau kita hantar laporan kepada Tuan sekali pun, dia pasti takkan dapat sempat sampai sebelum waktunya," Situ Yu berkata dengan suram. "Kamu dah dapat tahu siapa yang cuba untuk melengahkan hukuman bunuh itu tadi?"

Zuo Tingling membalas, "Tak, kami tak dapat apa-apa maklumat tentang mereka kerana mereka itu cekap dan tak tinggalkan apa-apa kesan. Daripada apa yang saya boleh jangka dan memandangkan rakan-rakan Cik itu, mereka itu mesti orang-orang Tuan Keempat Keluarga Zhuge ataupun Putera Mahkota Tang, Li Ce."

"Jadi mereka mesti daripada Keluarga Zhuge." Situ Yu mengangguk. "Putera Tang itu masih berada di luar kawasan jalan utama ini."

"Jadi apa yang patut kita buat sekarang? Sejak orang-orang Keluarga Zhuge itu dah melengahkan masa sebentar tadi, ia bermakna mereka mesti mempunyai rancangan seterusnya."

"Kita tak boleh nak bergantung kepada mereka saja." Situ Yu menggeleng kepalanya dan merenung jalan utama yang terletak di belakang mereka itu. "Kita akan bergerak ke sana!"

"Ke jalan utama?"

"Ya!" Angguk Situ Yu. "Kita akan tolong beri laluan kepada Putera Tang!"

Namun sebaik sahaja pahlawan-pahlawan Yan Bei itu tiba untuk membentuk sebuah laluan, orang ramai terus bertempik yang berbaur ketakutan dan juga terperanjat, wajah mereka juga dingangakan dan mata mereka diselubungi dengan ketidakpercayaan!

Kuda-kuda putih tersebut terus melompat ke atas bumbung dan mula menderap melintasi khalayak ramai itu di bawah kepulan-kepulan awan yang menghitam. Penunggang kuda tersebut sedang memakai jubah berwarna hijau pain dengan wajahnya yang kelihatan sungguh kacak sehingga pemandangan itu kelihatan seolah-olah ia bakal menjadi sebuah lukisan indah! Kuda tersebut ternyata datang dari baka terbaik dan dengan beberapa loncatan ringkas pun ia mampu melangkau jarak yang jauh, meninggalkan kesan debu dan juga retakan bumbung di belakangnya. Kuda itu akhirnya mendarat di atas Dataran Qiang Wei dengan sebuah ringkikan yang panjang yang diikuti dengan teriakan kejutan!

Pasukan infantri lembing yang sedang bersedia di sekeliling khalayak ramai di tengah-tengah Dataran itu terus mengambil kedudukan mereka, dan lantas kepala-kepala lembing yang bagaikan sebuah dinding itu terus meluru ke arah pemuda tersebut dengan beberapa desisan!

"Siapa yang berani menghalang beta?" Kening pemuda itu menggerenyet sedikit sementara dia memerhatikan sekumpulan tentera itu.

"Itu… Itu Putera Mahkota…" Seseorang di sebalik khalayak ramai itu berlaung dengan tergagap-gagap apabila mengecam siapakah penceroboh tersebut dan lantas menyebabkan rakyat jelata yang berada di situ menjadi panik. Pasukan tentera tersebut, terutama sekali di bahagian hadapan menggeletar dengan sungguh teruk sehingga mereka sudah tidak mampu menggenggam senjata mereka dengan ketat lagi. Tiba-tiba, salah seorang daripada mereka terus melemparkan senjatanya dengan dentingan yang kuat sebelum berlutut di atas tanah!

"Tuanku!"

"Putera Mahkota ada di sini!"

"Tuanku ada di sini!"

Apabila identiti Li Ce terbongkar, Pasukan Kem Utara yang sangat berani dan gagah itu tidak berani untuk berhadapan dengan Putera Mahkota untuk menentangnya, jadi apabila melihat salah seorang rakan seperjuangan mereka telah menunduk hormat kepada pemuda itu, maka yang lain-lain juga turut mengekorinya, menunduk rendah sambil menggeletar teruk bagaikan sekawan kambing biri-biri yang tidak mampu beroleh sebarang kekuatan untuk berbuat apa-apa!