Angin bertiup perlahan di atas jambatan kayu tersebut. Seorang lelaki dan seorang wanita terperangkap bersama di atas jambatan tersebut.
"Tak boleh, saya ada hal jadi saya perlu pergi sekarang!"
Lelaki tersebut membalas dengan tidak sabar, "Awak cedera parah jadi awak tak boleh ke mana-mana selama separuh bulan!"
Chu Qiao berkerut dan berkata dengan nada rendah, "Itu bukan urusan awaklah."
"Qiao Qiao, tolonglah. Sebab nak selamatkan awak, saya terpaksa abaikan rancangan untuk melarikan diri dan paksa diri saya ke dalam dunia perkahwinan politik yang menakutkan tahu tak? Sebagai pampasan, bukan ke awak patut habiskan masa awak dengan saya selagi saya bebas di luar ini?"
"Li Ce, saya sedang mencari seseorang. Awak nak tolong saya tak?"
Li Ce mendengus. "Lelaki ke perempuan?"
"Lelaki…"
"Tak nak."
"Tak payahlah jujur sangat!"
"Yang lain tak apa kecuali hal ini! Saya tak boleh mendampingi wanita yang sedang memikirkan lelaki lain!"
"Apa awak merepek ini? Apa kaitan saya dengan awak pula?"
"Saya tak kisah apa kaitan kita tapi ini satu penghinaan terhadap sifat kelakian dan karisma saya."
Chu Qiao mendengus lemah. "Li Ce, boleh tak awak fikir benda lain selain dari perempuan dan sifat kelakian awak itu?"
Li Ce mencelah dengan nada yang serius, "Ya, saya boleh zahirkannya pada negara dan hal ehwal akademik. Contohnya, bilangan wanita di Empayar Tang dan pembahagian mereka, anatomi dan bentuk badan mereka dan saya juga cuba untuk menaikkan status wanita dalam negara saya."
Setelah mendengar ayat terakhir lelaki itu, Chu Qiao betul-betul berasa ingin membelasahnya sekali lagi tetapi dia tetap bersabar. Wanita itu pun mengetap giginya lalu bertanya, "Oh? Bagaimana awak nak lakukannya?"
"Ini…Ini apa yang saya fikirlah," Li Ce memandang sekelilingnya dengan takut-takut sebelum berbisik, "Kalau semua wanita menjadi saudara-mara keluarga maharaja, status mereka pasti akan naik secara semula jadi."
"Saudara-mara kepada keluarga maharaja?"
"Ya, contohnya, hubungan intim dengan keluarga maharaja atau suruh anak perempuan atau adik-beradik perempuan mereka yang jalinkan hubungan itu. Ataupun mereka boleh jadi telangkai dan memperkenalkan wanita-wanita cantik kepada keluara maharaja. Tak pun…Ah! Qiao Qiao! Ini tempat sayalah, awak tak boleh pukul saya sesuka hati awak."
Pada waktu malam, cahaya mula bergemerlapan dan Tang Jing mula sesak dengan kehidupan malam.
Bulan sabit berwarna pucat di atas langit. Cahaya bulan yang menerangi seluruh Istana Jinwu menampakkannya lebih indah dari kebiasaannya. Li Ce seperti seorang kanak-kanak yang tidak waras, berlari dan mengheret Chu Qiao bersamanya melalui astaka istana. Angin bertiup dengan kencang pada waktu itu dan menyebabkan rambut panjang Chu Qiao mengurai ke belakang.
Cahaya bulan kelihatan suram. Tembok purba istana yang agung kelihatan seperti pantulan bintang di dalam air. Jubah merah Li Ce mengepak-ngepak seperti layang-layang tatkala angin bertiup. Orang-orang gaji, pembantu rumah dan pegawai di istana yang telah bertemu mereka sewaktu dalam perjalanan semuanya berlutut di laluan pejalan kaki dalam ketakutan, membiarkan kedua-dua remaja ini berjalan melewati mereka sambil diekori oleh sekumpulan orang gaji, pembantu rumah yang sedang memegang pedang sambil mengangkat kain mereka, ibarat kupu-kupu yang berterbangan apabila ditiup angin.
"Tunggu…tunggu sekejap…" Chu Qiao yang belum menjamah sebarang makanan selama beberapa hari masih berasa lemah disebabkan racun tempoh hari, lantas wanita itu terasa sesak nafas sewaktu mengambil beberapa langkah. "Tunggu sekejap." Sebaik sahaja wanita itu berhenti, dia mencengkam pinggangnya dengan tangan sambil menuding jarinya ke arah Li Ce dan bertanya dengan tercungap-cungap, "Li Gila, awak buat apa ini?" Habis merah wajah Chu Qiao kerana berlari seperti itu. Rambutnya sudah kusut-masai di belakang tetapi masih lagi mengeluarkan haruman semula jadi sebaik sahaja ditiup angin.
Li Ce membengkokkan badannya dan mendekati gadis itu, memandang wanita itu namun terdiam seribu bahasa. Tiba-tiba, matanya bersinar lalu dia pun bangun, melihat sekelilingnya sebelum menggosok kedua belah tapak tangannya dan ketawa. Dia berjalan terus ke arah pembantu istana yang mengekori dari belakang, menghulurkan tangannya dan meraih sesuatu yang kelihatan seperti bunga di rambut orang gaji tersebut.
Ia merupakan sepit rambut rama-rama yang biasa dipakai oleh orang gaji di istana. Namun, sepit rambut ini diperbuat daripada sebuah batu jed ungu yang sekaligus membuatkannya kelihatan sangat menarik. Li Ce kemudiannya menanggalkan rantai jed miliknya yang sememangnya nampak berharga apabila dilihat lalu menyerahkannya kepada pembantu rumah tersebut dan berkata dengan sebuah senyuman, "Saya akan tukarkan rantai ini dengan sepit rambut awak."
Pembantu rumah tersebut tergamam dan terus berlutut. Wajahnya sudah pun memucat apabila dia membalas, "Saya tak berani."
Li Ce langsung tidak berasa marah, namun dia melemparkan rantai tersebut kepada pembantu rumah itu dan berkata lagi, "Tak bukan jawapannya. Saya suka sepit rambut ini." Kemudian, dia berjalan ke arah Chu Qiao lalu menarik-narik rama-rama di sepit rambut itu. Sepit rambut itu tahan lama, Li Ce langsung tidak mampu menyentak salah satu rama-rama tersebut keluar, kemudiannya pemuda itu menggunakan giginya untuk menggigit rama-rama itu dan mengeluarkannya sebelum berkata kepada pembantu rumah tadi, "Lain kali jangan guna bunga melur. Saya tak suka baunya."
Bunga magnolia di kedua belah sisi halaman kini berkembang mekar dan kelihatan sangat cantik dan hujan pun sudah mula reda. Air lumpur yang bertakung di taman telah menyebabkan tanah menjadi lembut namun Li Ce berjalan di taman tersebut tanpa sekali pun mempedulikan kasut mahal yang dipakainya lalu membuatkan sida-sida dan pembantu rumah terus berteriak. Dia merayau-rayau sambil memetik sekuntum bunga magnolia mekar berwarna ungu yang kelihatan seperti bunga teratai kecil lalu mengikat bunga tersebut pada sepit rambut tadi. Setelah itu, dia merenung hasilnya yang membuatkan pemuda itu tersenyum lebar dan menampakkan sederetan giginya yang putih berseri itu.
"Tuanku…"
"Tuanku Maharaja…"
Chu Qiao memandang orang-orang gaji yang sedang berlutut ketakutan itu. Li Ce yang langsung tidak menyedari kehadiran mereka terus merenung bunga magnolia di hadapannya sambil tersenyum. Matanya dikecilkan sehingga ia kelihatan seolah-olah terpejam sama seperti…seperti…ya, sama seperti seekor musang.
"Cantiklah!" Li Ce mengatur langkahnya ke arah Chu Qiao dan dengan beberapa usapan, dia mengikat rambut Chu Qiao dengan penyeepit rambut tadi dengan bunga magnolia yang baru dipetik itu diletakkan di sisi telinga wanita tersebut yang mengeluarkan haruman mempesonakan dari rambutnya.
Chu Qiao tergamam dan setelah itu dia terdengar orang gaji istana memujinya.
"Li Ce, apa awak buat ini?" Ujar Chu Qiao dengan khuatir. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah dipandang sebegitu. Jadi, dia mencapai bunga magnolia di penyepit rambut tadi untuk menanggalkannya.
"Awak buat apa ini?" Li Ce menepis tangan Chu Qiao sambil merungut, "Qiao Qiao, awak seorang wanitalah. Boleh tak awak nampak macam seorang wanita juga?"
Chu Qiao tergamam seolah-olah ayat yang didengarinya itu seperti biasa didengarinya sebelum ini lantas wanita itu terkenang akan suatu peristiwa sewaktu dia di kediaman Tian Chengshou di Wupeng. Pada waktu itu, Zhuge Yue sedang menyikat rambutnya sambil memerli. "Kamu asyik pakai hitam dan putih setiap hari macam nak pergi majlis pengebumian saja."
Muka Chu Qiao mula memerah dan kelihatan terpana jadi Li Ce hanya tertawa dan berkata, "Jomlah. Saya bawa awak keluar bermain." Setelah itu, Li Ce menoleh kepalanya dan berkata tegas, "Jangan ada sesiapa yang ikut kami. Kalau saya nampak seorang lelaki, saya akan terjun sungai dan kalau saya nampak seorang perempuan, dia boleh lupakan hasrat dia untuk tidur dengan saya sampai bila-bila."
Setelah mendengar ancaman yang tidak masuk akal itu, Chu Qiao pun terpaku. Tetapi, dia terperanjat dengan raut wajah kumpulan orang gaji itu yang hanya berlutut di atas tanah, langsung tidak berani untuk mara. Beberapa orang di belakang sudah pun berdiri dengan senyapnya dan beredar seperti ingin memberitahu kepada orang lain tentang tindakan Li Ce itu.
"Jomlah!" Sengih Li Ce apabila bercakap dengan Chu Qiao. Putera Mahkota itu kemudiannya mencapai tangan Chu Qiao dan melarikannya mengikut pintu gerbang bandar sebelum melonjak ke atas seekor kuda. Pemuda itu mengambil tempatnya di hadapan manakala Chu Qiao pula di belakangnya, berkata dengan penuh teruja, "Qiao Qiao, cepatlah! Jangan bagi mereka kejar!"
Chu Qiao tiba-tiba tersedar pemuda di hadapannya ini langsung tidak berkeupayaan untuk menunggang kuda jadi wanita itu pun terus menarik tali kekang kuda itu dan menjerit lalu menyebabkan ia menderap di laluan tersebut.
"Oh!" Li Ce mendepangkan tangannya sambil bersorak keriangan. Angin yang kuat itu telah menyebabkan jubah pemuda itu melekap pada badannya. "Qiao Qiao, cepatlah!" Dia terjerit sekali lagi.
"Gerak!" Chu Qiao menyentap tali kekangan itu sekali lagi. Kuda tersebut menderap di Jalan Tai Qing di mana pengawal-pengawal di kedua belah sisi jalan berlutut sebaik sahaja melihat mereka. Cahaya berkilauan dan angin yang bertiup terasa sejuk dan harum dengan bau yang seakan-akan bunga teratai. Bunyi telapuk kuda mereka bergema di sekitar dataran tersebut.
Pada saat ini, Chu Qiao mula terasa bersemangat kembali. Kelopak bunga magnolia yang melirik-lirik pada telinganya membuatkan Chu Qiao berasa geli namun wanita itu memutuskan untuk terus mengabaikannya sambil menarik nafas sedalam yang mungkin. Kelesuannya selama ini perlahan-lahan menghilang dan kini, tubuhnya terasa segar kembali.
Kuda itu dengan pantasnya keluar dari bandar tersebut. Chu Qiao menoleh ke belakang dan mendapati cahaya yang menerangi istana kelihatan lebih terang. Bunyi telapuk kuda kini dapat didengari dari belakang seolah-olah mereka berdua telah dikejar. Namun, Li Ce langsung tidak berasa gentar seakan-akan dia sudah masak dengan perkara ini, kemudian pemuda itu memberi isyarat kepada Chu Qiao supaya mereka melarikan diri jadi mereka menempuh pelbagai jalan raya dan lorong dan akhirnya terlepas daripada cengkaman kumpulan yang sedang mengejar mereka sebentar tadi.
Udara terasa begitu segar. Di hadapan mereka terdapat sebuah tasik yang tenang bersama sebuah bot yang sedang terapung di tengahnya. Suara merdu manusia yang sedang menyanyi sambil diiringi dengan alunan muzik bergema di sekitar tasik tersebut lantas Chu Qiao pun menuruni kudanya sebelum mengikat tali kekang kuda itu di pokok.
"Qiao Qiao, tolonglah saya turun. Pegang saya sekejap," Ujar Li Ce dengan selamba.
Chu Qiao memegang tangan pemuda itu sebelum dia melonjak turun dari kuda dengan kelam-kabut dan berlari di tebing tasik sambil mengaut air menggunakan tangannya dan berkata, "Hebatnya!"
Chu Qiao pun turut berjalan ke situ dan bercangkuk sambil merasai air tasik itu dengan jarinya.
Suasana amat meriah di tebing tasik itu dengan kehadiran penglipur lara, ahli akrobat, penyanyi, pekedai yang menjual pelbagai barangan dan beberapa buah pusat pelacuran. Bau kosmetik yang datang daripada wanita merebak di sekitar tasik bersama suara nyanyian.
Chu Qiao berasa seperti tidak ingin mengujarkan apa-apa. Dalam suasana seperti ini, dia sering menjadi kaku. Masa berlalu begitu pantas, kehidupan sebegini begitu jauh daripadanya sehingga sampai satu tahap dia tidak mampu berintegrasi semula.
Li Ce memandangnya sambil tersenyum. Lelaki itu kemudian berdiri sambil meraih tangan Chu Qiao dan berkata, "Ikut saya, ikut saya. Saya akan bawa awak ke tempat yang seronok!"
Kawasan ini bukanlah di jalan utama Tang Jing jadi restoran-restoran di sini tidaklah semewah di jalan utama dan ia agak kelihatan nampak seperti ia berada di luar bandar. Li Ce kelihatan begitu bersahaja dengan tempat ini apabila dia menunjukkan jalan dan mengheret Chu Qiao bersamanya, langsung tidak mengendahkan sama ada pakaiannya kotor.
Mereka berdua memakai pakaian yang bergaya dan masing-masing nampak kacak dan cantik sehingga mampu meraih perhatian orang ramai. Beberapa orang pekedai tampil ke hadapan untuk menjual beberapa produk kosmetik dan dengan santai menyarankan supaya Li Ce membeli sesuatu untuk isterinya yang cantik.
Mereka berdua lantas ternampak sebuah pokok elm yang besar di hadapan jalan yang sedang mereka lalui itu. Di bawah pokok itu terdapat sebuah restoran kecil yang diuruskan oleh seorang wanita yang tidaklah begitu cantik namun nampak cermat dan kemas. Wanita tersebut mempunyai sepasang mata yang besar dan berair serta berpakaian serba biru dan di sebelahnya pula berdiri seorang pemuda yang nampak sebaya dengan usianya.
"Cik Bos!" Li Ce menjerit sebelum berlari ke kedai mereka.
Wanita itu menoleh setelah mendengar suaranya. Kemudian, dia tersenyum dan berkata, "Tuan Pertama rupanya. Tuan ke sini lagi?"
"Ya!" Li Ce mengheret Chu Qiao bersamanya untuk duduk di penjuru kedai tersebut sebelum menambah, "Saya bawa kawan bersama hari ini jadi bagi saya dua mangkuk mi, sepinggan daging dan udang separuh pinggan, cuka lebih."
"Okey," Jawab wanita itu dengan senyuman. Pemuda di sebelah wanita itu hanya tersenyum ke arah Chu Qiao dan Li Ce tanpa sepatah kata. Kemudian wanita itu berkata, "Ini kali pertama awak bawa kawan ke sini."
Chu Qiao memandang Li Ce dengan tatapan aneh sambil berkerut. "Awak kenal sesama sendiri ke?"
"Ya." Senyum Li Ce. "Saya selalu datang ke sini semenjak kecil lagi. Saya dah banyak kali menyelinap keluar dari istana. Ada satu masa saya dikejar teruk dengan pengawal jadi saya buka baju saya dan beri pada budak kecil supaya mereka dapat umpan pengawal-pengawal itu pergi. Tapi, saya tertinggal semua duit saya dalam pakaian itu. Selepas sehari suntuk, perut saya berbunyi dan waktu itulah saya jumpa cik bos ini Oh, dia taklah terlalu tua pada waktu itu. Dia buka kedai di sini dengan ibu bapa dia. Waktu itu, dia nampak saya sangat lapar jadi dia berilah saya makan semangkuk mi. Semenjak hari itulah, saya jadi pelanggan tetap dia."
"Oh!" Chu Qiao mengangguk faham.
"Qiao Qiao, awak terharu ke? Mesti awak rasa saya ini bukan luaran saja yang cantik, dalaman saya pun cantik juga kan?"
Chu Qiao memutarkan bebola matanya sambil menongkat dagu dengan kedua belah tangannya lantas mengabaikan kata-katanya itu.