Chapter 122 - Bab 122

Sudah semestinya Zhuge Yue dan Chu Qiao tidak mampu melihat semua anggota tentera yang sedang bersembunyi di sebalik kegelapan itu dan pada masa yang sama, semua pengawal Keluarga Liu telah berundur. Khemah utama dipenuhi dengan bunyi yang memekikkan.

"Xing'er!" Zhuge Yue meluru ke hadapan sambil menghunuskan pedangnya ke atas untuk melindungi wanita itu dengan sebelah tangan manakala tangannya yang sebelah lagi sedang menghalang wanita itu daripada meluru ke hadapan untuk menyerang pihak musuh.

Melihat 'Liu Xi' yang sedang berselindung di sebalik kegelapan itu, Chu Qiao berkata dengan tegas dan suara yang lantang, "Liu Xi, aku akan mewakilkan Da Tong untuk tuntut nyawa kau. Walaupun aku tak bunuh kau hari ini, tapi suatu hari nanti Yan Xun akan balas dendam demi aku. Semua pengkhianat akan mati dibunuh!"

Kilat mula menyabung di angkasa dengan bunyi dentuman yang memekakkan telinga sambil pemuda yang sedang memakai pakaian serba putih di luar khemah utama itu melepaskan ketawa mengekeh apabila dia meraih wajahnya untuk melihat ribut petir yang sedang membasahi bumi berserta mereka yang berada di luar khemah. Senyuman pemuda itu berbaur dengan kelat. Patutkah dia berasa beruntung? Orang yang dicari-carinya selama hari ini akhirnya sedang berdiri di hadapan mata kepalanya sendiri, dalam keadaan yang sihat walafiat, dan masih lagi mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap dirinya. Namun bagaimanakah dia akan menyelesaikan situasi yang sedang berlaku ini?

Para dewa dan dewi sememangnya sedang menguji dirinya buat masa ini!

Chu Qiao terpaku seketika apabila melihat gerak-geri dan raut wajah pemuda itu yang kelihatan seperti amat dikenalinya namun mindanya tidak dapat berfungsi dengan pantas setelah pembunuhan demi pembunuhan yang baru sahaja diselesaikan wanita itu. Memang terdapat beberapa perkara yang langsung tidak boleh difikirkan oleh Chu Qiao buat masa ini.

Chu Qiao yang masih merenung pemuda yang berada di dalam kegelapan itu dengan tajam terus mengangkat pedangnya sebelum melangkah ke hadapan perlahan-lahan dan para Pengawal Yan juga turut mengikuti langkah wanita itu dengan satu bunyi whoosh, namun pemuda berpakaian putih itu serta-merta mengangkat tangannya untuk melambai ke kiri dan ke kanan dengan perlahan. Para tentera yang melihat tanda isyarat tangan itu terus menjadi celaru kerana maksud pergerakan tersebut yang menyuruh mereka melepaskan ketiga-tiga orang ini pergi!

"Tuan!" Butler Keluarga Liu sememangnya berasa terperanjat besar apabila melihat arahan tuannya itu, jadi dia melangkah ke hadapan untuk berkata dengan tegas, "Macam mana kita…"

Renungan pemuda itu yang sememangnya dingin kini menjadi lebih dingin membeku apabila dia merenung butler itu dalam kemarahan dan juga kejengkelan, bersama sedikit keinginan untuk membunuhnya.

Butler Lin terus menuruti perintah tuannya itu setelah terasa seram sejuk di lehernya dan lantas menghadap ke arah Chu Qiao dan Zhuge Yue sambil berkata, "Tuan dah bersetuju untuk lepaskan kamu berdua."

Kini Chu Qiao dan Zhuge Yue pula yang terkaku, namun anak mata mereka sedikit pun tidak berbaur dengan perasaan lega apabila dia tetap merenung pemuda itu dengan penuh kecurigaan.

Butler Lin yang sememangnya berang itu terus menjerkah, "Berambuslah! Kamu nak kami bentang tikar dan iring kamu keluar ke?"

"Xing'er, jom kita pergi."

Chu Qiao yang masih berkerut itu tetap merenung ke arah khemah yang berwarna hitam itu dengan ketidakpercayaan yang menyelubungi dirinya. Zhuge Yue terus menyentap lengan gadis itu dan berkata tegas, "Ikut saya!"

Satu-satunya sebab mereka ingin menyerang khemah utama itu sebelum ini semata-mata kerana mereka tidak mempunyai strategi bernas yang lain. Namun kini apabila pihak musuh sendiri yang telah bersetuju untuk melepaskan mereka, mereka tiada sebab lain untuk melepaskan peluang itu.

Setelah melonjak ke atas dua ekor kuda, Zhuge Yue pun berpaling sebelum merenung ke khemah yang berada di dalam kegelapan itu dan berkata lantang, "Liu Xi, kalau kau jadi orang tahanan aku nanti, aku akan bagi kau dua peluang untuk hidup juga."

Tiada respon yang dapat didengari dari arah khemah, tetapi Chu Qiao dapat mendengar satu keluhan kepenatan apabila dia hendak beredar. Keluhan tersebut kedengaran sungguh sedih dan tidak berdaya, seolah-olah ia telah mengusung segala kekuatan dan tenaga pemuda misteri itu yang diikuti dengan sebuah bisikan, "Hati-hati."

Suara itu kedengaran amat lembut dan perlahan, tetapi Chu Qiao masih mampu mendengarinya yang membuatkan badan wanita itu menggeletar sebelum dia berpatah balik untuk merenung pemuda itu namun pandangannya telah diselindungi oleh badan para tentera.

Angin yang masih bertiup kencang itu mengusutkan rambut Chu Qiao yang lencun dek darah dan lantas bau hamis darah terus menusuk ke dalam lubang hidungnya.

"Cepat bergerak!" Zhuge Yue menyuruh kudanya untuk menderap laju.

Chu Qiao berpaling sekali lagi dan terus mengekori Zhuge Yue sambil keningnya masih lagi dikaitkan rapat, menderu keluar dari kawasan perkhemahan.

Ribut pada malam itu bertambah teruk dan bersilih ganti dengan bunyi deruan nafas para tentera yang tercungap-cungap setelah habis bertempur. Mereka berselang-seli merenung wajah masing-masing yang sedang berada dalam ketidakpercayaan dan juga merenung pihak musuh yang sedang beredar begitu sahaja.

"Tuan!" Ah Jing berpusing dan berlaung dengan cemas, "Itu Cik! Kenapa kita tinggalkan dia dengan Zhuge Yue macam itu saja?"

"Apa lagi yang kita boleh buat?" Yan Xun berpaling untuk menghadap pemuda itu sambil berkerut masam, "Boleh tak saya buka saja topeng saya dan beritahu Chu Qiao yang sayalah dalang kepada semua ini?"

Awan berkepul-kepul menindih antara satu sama lain semasa hujan lebat terus membasahi muka bumi. Namun walaupun hujan tidak berhenti, tetapi malam yang bergelora itu akhirnya menemui pengakhirannya.

Ketiga-tiga orang itu berjaya menyalakan unggun api setelah mencari kayu-kayu api yang agak kering di dalam sebuah gua dan akhirnya kelegaan melanda diri mereka setelah merasai kehangatan unggun api. Mereka lantas membuka pakaian luaran mereka sebelum menempatkannya di sebelah unggun api tersebut supaya dapat dikeringkan, dan kepenatan zahir dan batin terus menyelubungi ketiga-tiga orang ini setelah semalaman berhadapan dengan pihak musuh yang ramai sehingga anak kecil yang sering bertenaga itu pun kini terduduk di atas tanah sambil memeluk tubuhnya, langsung tidak menguturkan sepatah kata.

Chu Qiao merenung ke kejauhan dengan anak mata yang tenang semasa anak kecil itu bersandar padanya. Wanita itu seolah-olah sedang memikirkan sesuatu tetapi pada masa yang sama kelihatan seperti sedang termenung juga dan hanya menginginkan rehat secukupnya.

Zhuge Yue yang tidak dapat menanggung kesunyian yang janggal itu terus berkerut dan berdiri apabila dia memberitahu, "Kayu api dah nak habis. Saya akan pergi cari lagi." Dan pemuda itu pun terus beredar dari gua tersebut.

"Zhuge Yue!" Chu Qiao terlaung seolah-olah gadis itu telah diperanjatkan.

Zhuge Yue yang juga terperanjat itu lantas berpusing dan merenung wanita itu dengan penuh kebingungan, bertanya, "Kenapa?"

"Tak… Tak ada apa." Chu Qiao yang kelihatan agak panik itu terus menggeleng kepalanya pantas. "Tak apa apa-apa."

Zhuge Yue bertanya dengan penuh curiga sambil meraih kedua-dua belah keningnya, "Betul ke ini? Saya ingatkan awak tak tercedera."

Chu Qiao hanya tersenyum lemah sambil membalas, "Saya betul-betul okey."

Setelah mengangguk, Zhuge Yue menjawab, "Baiklah, awak tunggu saja di sini." Semasa dia ingin beredar, pemuda itu bagaikan teringat akan sesuatu jadi dia pun berpaling untuk mengingati Chu Qiao, "Jaga budak ini. Jangan… Jangan larikan diri."

"Baiklah!" Chu Qiao mengangguk dan melepaskan ketawa. "Pergi sajalah!"

Zhuge Yue berpusing, namun dia dihentikan sekali lagi oleh Chu Qiao apabila dia mengambil beberapa langkah ke hadapan yang berkata, "Tunggu!"

Zhuge Yue terhenti dalam langkahnya dan melihat Chu Qiao yang sedang berlari ke arahnya sambil menghulurkan Pedang Pemecah Bulan itu ke arahnya. Chu Qiao mengambil kesempatan itu untuk memeriksa kecederaan yang telah dialami Zhuge Yue sebelum mendongak untuk merenung ke dalam mata pemuda itu dan berbisik, "Hati-hati."

Terpana dengan sikap wanita ini yang aneh, Zhuge Yue merenung Chu Qiao dengan penuh kesangsian namun dengan segera pemuda itu membubarkan idea yang terdetik di mindanya sebelum mengangguk dengan tegas dan bergerak keluar dari gua. Namun sebaik sahaja pemuda itu keluar dari pintu gua, sebuah senyuman sudah pun melebar di wajah pemuda itu seolah-olah dia telah menyembunyikannya buat masa yang lama. Raut wajahnya terus berubah lembut setelah pemuda itu menggaru-garu hidungnya kebudak-budakan.

Chu Qiao masih berdiri di tempat yang sama apabila Zhuge Yue melangkah keluar dari gua, raut wajah wanita itu bertukar menjadi sebuah raut wajah aneh yang berbaur kepenatan dan juga kebersalahan. Chu Qiao kemudiannya melangkah ke arah unggun api itu kembali dan melabuhkan punggungnya sebelum mengusap-usap kepala anak kecil itu dengan lembut, berbisik, "Nama kamu Mo'er, kan?"

Anak kecil itu hanya mengangguk tanpa mengujarkan sebarang kata.

"Kamu rasa sedih ya sekarang ini?"

Namun budak lelaki itu terus berdiam.

Chu Qiao melepaskan keluhan perlahan sebelum mendakap anak kecil itu dan berkata dengan lembut, "Kakak tahu kamu rasa sedih sangat sekarang ini."

Setitis air mata tiba-tiba terpercik ke atas tangan Chu Qiao apabila budak itu mula menangis teresak-esak, "Xingxing… Xingxing…" Tangisan kesedihan anak kecil itu menikam-nikam hati Chu Qiao apabila mengenangkan budak perempuan yang ceria bagaikan cahaya mentari itu.

"Mo'er, kamu benci orang-orang itu ke?"

Mungkin anak kecil itu masih tidak mengerti akan maksud 'benci', tetapi tiba-tiba dia menggenggam penumbuknya yang kecil itu sebelum melafazkan dengan yakin, "Mo'er akan membesar dengan cepat, dan belajar seni mempertahankan diri macam Pak Cik supaya nanti Mo'er boleh bunuh orang-orang jahat itu!"

Chu Qiao tiba-tiba terpaku. Apa sajalah yang boleh dikatakannya kepada budak kecil itu? Putaran pembalasan dendam bukanlah suatu penyelesaian masalah. Adakah dia patut menyatakan kekejaman sebegitu bukanlah penyelesaiannya? Chu Qiao langsung tidak mampu untuk membalas renungan mata anak kecil ini dan tangannya menggeletar tanpa henti, berasa lebih sedih daripada sebelum ini. Dia hanya mampu mengumpul kekuatannya untuk mendakap badan budak lelaki itu yang juga sedang menggeletar sambil berbisik akibat kesebakannya yang telah menghalang wanita itu daripada bercakap dengan lancar, "Jadi kamu kena kerja kuat. Walaupun kamu tak boleh nak bunuh sesiapa, tapi kamu boleh pertahankan diri kamu sendiri."

"Mo're mesti akan bunuh mereka!" Budak itu meraih tangannya dengan tegas apabila dia berpaling untuk melihat Chu Qiao dengan anak matanya yang naif itu, dan bertanya, "Boleh tak Kakak ajar Mo'er teknik-teknik itu semua?"

Chu Qiao yang tersenyum kelat itu membaas, "Mulai dari sekarang, kamu mesti ikut pak cik itu, dan dengar cakap dia. Jadi budak yang baik. Dia akan jaga kamu dan ajar kamu seni mempertahankan diri."

Budak kecil itu berkedip dan bertanya sebuah soalan cepumas, "Kakak pula macam mana?"

Chu Qiao yang terpana mendengar kata-kata Mo'er itu terus mengambil nafas yang dalam sebelum menjawab dengan nada bersahaja yang dibuat-buat, "Kalau Kakak ada peluang, mesti Kakak akan jumpa kamu."

Anak kecil itu seorang yang pandai kerana dia terus dapat memahami maksud yang tersirat di sebalik ayat Chu Qiao itu, jadi dengan serta-merta dia menarik-narik lengan baju wanita itu dan bertanya dengan kuat, "Kakak nak pergi ke?"

Chu Qiao menggelengkan kepalanya apabila dia memeluk budak lelaki itu sekali lagi dengan erat, lantas dia berkata, namun kurang pasti kata-katanya itu ditujukan kepada Mo'er atau dirinya sendiri, "Mo'er, nasib kamu memang malang, tapi nasib kamu baik juga. Ibu bapa kamu dibunuh oleh orang lain, dan musuh kamu itu seorang yang berpengaruh dan ada banyak kuasa jadi kamu memang tiada peluang untuk mempertahankan diri kamu daripada mereka. Kamu dah ditakdirkan untuk mati, tapi kamu masih ada orang untuk selamatkan kamu dan lindungi kamu walaupun semua ahli keluarga kamu dah mati. Sebab itu saja pun dah buatkan kamu dianggap sebagai bernasib baik, tapi dalam dunia ini, ada ramai lagi orang yang tak bernasib baik macam kamu. Kebencian dia lebih mendalam daripada kebencian kamu, dan musuh dia lebih berkuasa dan berpengaruh daripada kamu. Dia tanggung semua penghinaan itu selama bertahun-tahun tanpa ada seorang pun yang nak tolong dia, jadi dia hanya boleh berharap pada diri dia sendiri saja bila dia dibuli oleh orang lain. Disebabkan itu, kebencian dia lebih mendalam dari kebencian kamu." Mengambil nafas, Chu Qiao tersenyum lembut dan terus mengusap kepala budak lelaki itu sebelum menyambung, "Jadi, walau apa pun yang kamu lakukan, Kakak akan sentiasa maafkan kamu, sebab Kakak dah nampak apa yang kamu kena lalui, dan Kakak tahu kenapa kamu jadi macam ini pada hari ini. Tapi kalau kamu buat benda yang salah, Kakak mesti akan cari jalan untuk hentikan kamu."

"Kakak!" Anak kecil itu memanggil. "Mo'er takkan buat salah! Mo'er akan dengar cakap Kakak tak kira apa pun yang terjadi!"

"Budak baik, Kakak harap kamu ingat apa yang kamu cakap hari ini." Chu Qiao mengeluh.

Perbualan itu terhenti dan lantas digantikan dengan bunyi gerutup kayu api yang dibakar yang membuatkan budak lelaki itu terasa mengantuk. Chu Qiao menggunakan rumput-rumput kering sebagai tempat tidur dan lantas menempatkan Mo'er di atas tilam sementara itu. Tidak lama kemudian, bunyi dengkuran Mo'er menghiasi gua tersebut.

Chu Qiao yang sedang merenung anak kecil itu tidur dengan muka yang suram terus dibawa kembali ke suatu saat lama dahulu pada hari yang bersejarah selepas pembunuhan secara besar-besaran itu, di dalam pondok usang beratap bocor, bersama budak lelaki berwajah pucat dengan kening yang dikait rapat di dahi. Kedua-dua mereka berkata dengan suara yang serak namun berisi dengan kesungguhan yang mendalam, "Teruskan hidup, walaupun jika kita kena hidup macam anjing."

Bertahun-tahun sudah berlalu dalam sekelip mata sahaja.

Chu Qiao mengambil sebatang ranting dan lantas menulis beberapa perkataan di atas tanah. Wanita itu menekan ranting tersebut dengan kasar ke tanah bagaikan dia sedang meluahkan segala isi hatinya dalam beberapa patah perkataan itu dan akhirnya, wanita itu merenung gua tersebut buat kali terakhir dan juga ke arah anak kecil yang sedang lena tertidur itu. Akhirnya, dia mengambil nafas yang dalam sebelum meninggalkan gua tersebut tanpa sekali pun menoleh ke belakang!

Bunyi derapan kuda bersama ringkikan yang kuat bergema namun dalam sekelip mata sahaja ia telah ditenggelami oleh hujan lebat yang mencurah-curah.

Zhuge Yue yang masih tersenyum akhirnya pulang ke gua tidak lama kemudian dengan membawa seekor arnab bersamanya, namun dia terus menjadi terpana apabila dia hendak berkata.

"Budak! Budak!" Zhuge Yue mengejutkan anak kecil itu.

Mo'er menjawab dengan mamai sambil menggosok-gosok matanya, "Pak cik…"

Raut wajah Zhuge Yue terus bertukar gelisah apabila dia bertanya dengan cemas, "Mana Xing'er? Mana dia pergi?"

"Kakak?" Anak kecil itu berkerut kebingungan, dan lantas budak itu menuding jarinya ke tempat duduk Chu Qiao sebentar tadi sebelum anak kecil itu tertidur, dia berkata, "Kakak ada di situ tadi? Eh? Mana Kakak?"

Zhuge Yue melepaskan anak kecil itu dengan pantas sebelum meluru keluar dari gua tersebut dan seperti yang dijangkanya, seekor kuda telah pun hilang.