Chapter 3 - Bab 3

Setelah memastikan ianya rakaman yang betul, Chu Qiao meletakkan DVD tersebut ke dalam poketnya. Dia seterusnya menjumpai bahan letupan C4 bersama beberapa senjata api tambahan di dalam beg bimbit si mati. Dia meletakkan bahan-bahan tersebut di tengah-tengah bilik lalu menarik alat pemicu. Lampu merah yang terletak di atas kotak hitam itu mula berkelip dengan pantas.

Chu Qiao merenung semua mayat yang berada di dalam bilik itu, memastikan setiap orang telah mati. Setelah itu, dia membuka pintu dan beredar.

Walau bagaimanapun, pada masa yang sama, tiupan angin yang amat sejuk tiba-tiba menyapa bahagian tengkuknya!

Chu Qiao menundukkan badannya dengan tiba-tiba, melemparkan badannya ke atas tanah dalam masa beberapa saat dan bergolek-golek ke belakang. Dia nyaris nyaris terkena tembakan peluru. Peluru demi peluru dilepaskan dan tembakan tidak berhenti langsung. Chu Qiao menendang pintu tersebut, lalu menutupnya rapat dengan dentuman yang kuat. Dia separa melutut di atas lantai. Mendengar deruan nafas laju daripada luar pintu tersebut, dia pasti dia tidak akan dapat melawan kembali.

Otot-otot Chu Qiao tegang dan pernafasannya perlahan. Kedua-dua matanya tertumpu pada pintu di hadapannya. Dia bukanlah 003, kini seorang ejen khas daripada divisyen ke-9. Dalam sekolah tentera, dia telah mempelajari tentang pembinasaan, perancangan, pengeksplotasian sesebuah persekitaran yang bermanfaat, dan cara untuk merancang pembunuhan berskala besar dengan cekap dan berkesan bersama dengan maklumat risikan yang tepat dan pegawai yang kurang. Bagaimanapun, pada masa ini, apabila musuh berdiri tidak lebih daripada tiga meter daripadanya, dia sedar bahawa serangan secara melulu adalah sesuatu tindakan yang tidak logik.

Pandangannya jatuh pada lelaki yang telah mati dalam tidurnya.

Dengan bunyi dentuman yang kuat, pintu utama ditendang terbuka. Seorang wanita berdiri di tengah-tengah pintu tersebut, sambil memandang dua orang lelaki yang sedang bersembunyi di luar bilik tetamu dengan wajah yang angkuh.

Kedua-dua mereka pasti tidak menyangka bahawa wanita ini boleh keluar dengan sendirinya. Mereka terlopong seketika.

Chu Qiao dengan berhati-hati melemparkan kerambit dan AK-nya ke atas lantai. Lalu dia menempatkan sebelah kakinya di belakang sebelah lagi dan menolak kedua-dua belah tapak tangannya, menunjukkan teknik berdiri Taiji. Berhadapan dengan para pengawal tersebut, dia melaungkan sorakan perang dan memberi signal kepada mereka untuk maju ke hadapan. Maksudnya jelas: Bersama-sama!

Kedua-dua pengawal yang sedang menghalakan submesingan berkaliber tinggi itu ke arah Chu Qiao mengamuk. Mereka mencampakkan submesingan mereka ke atas lantai dan bergerak untuk melakukan teknik dirian Taekwondo Jepun. Dengan renungan maut, mereka melonjak terus kepada Chu Qiao.

Bilik yang kecil itu seolah-olah diselubungi bau hanyir yang kuat, kain langsir menari-nari dan lampu menjadi malap. Suasana yang menancam nyawa menyelubungi bilik itu, diikuti dengan para pengawal yang bergegas ke arah Chu Qiao. Hanya dengan melihat betapa tegapnya badan mereka dan pergerakan mereka yang bengis, sesiapa sahaja boleh meramalkan apa yang akan terjadi kepada wanita kecil molek ini.

Pada masa yang sama, riak wajah wanita tersebut kini tersenyum lebar. Dia lalu menyeringai, membentuk sebuah senyuman tanpa emosi. Seolah-olah sebuah silap mata yang mengagumkan, sebentuk senapang patah M609 berkaliber kecil secara tiba-tiba muncul dalam genggamannya. Senapang patah M609 merupakan senjata terbaik untuk digunakan dalam pertempuran kecil yang tertutup. Walaupun ia tidak dapat menembusi badan seseorang, tetapi pastinya dapat meletuskan kepala mereka!

Hanya dua dentuman perlahan yang kedengaran. Pembunuhan yang mengambil masa lima saat itu tidak memberi peluang bagi para pengawal itu untuk mengaduh kesakitan walau sedikitpun. Tembakan jarak dekat itu telah menghancurkan kepala mereka, dengan serpihan-serpihan otak terpercik pada seluruh tubuh Chu Qiao.

Chu Qiao menendang para pengawal tersebut dengan penuh kebencian apabila dia melepasi mereka, lalu membuka pintu tandas. Walaupun kedua-dua pengawal itu datang di luar jangkaan dan perancangan Chu Qiao, operasi tersebut nampaknya berjalan tanpa sebarang rintangan. Dengan lebihan masa selama 20 minit dia mengambil peluang itu untuk membersihkan dirinya.

Selepas 15 minit, seorang wanita bersut hitam daripada jabatan undang-undang tentera berjalan keluar dari tandas jabatan itu. Dia berjalan di sepanjang koridor pengunjung di tingkat dua, tersenyum manis kepada setiap pegawai penjara ke-4 yang lalu melintasinya. Tiga minit selepas itu, dia dengan bersahaja membuka pintu tingkat dua dan berjalan keluar.

Udara malam yang tenang dan dingin menghembus lembut ke mukanya. Chu Qiao berjalan melalui lobi utama di tingkat pertama penjara ke-4 itu. Semua pegawai di situ sedang tekun melakukan kerja mereka. Semuanya ialah tentera elit negara. Dia mengangkat pergelangan tangannya. Hanya sepuluh saat sebelum letupan itu akan berlaku.

Chu Qiao maju kehadapan, riak wajahnya kosong. Dia mengutip satu salinan surat khabar semalam apabila dia melintasi rak akhbar tersebut.

10, 9, 8…

"11 Mei, satu lagi kes penyakit M1N1 jenis A telah dikesan di Shang Jingl. Buat masa sekarang, ini ialah pesakit ke-47 yang telah disahkan menghidapi penyakit ini. Pelabuhan dan beberapa penerbangan dari dan ke luar negara telah disekat. Industri pelancongan kita telah menerima kesan yang sangat buruk manakala pasaran saham juga menjunam tanpa sebarang tanda baik pulih…"

7, 6, 5…

"Agensi Berita Xinhua melaporkan: Menurut angka semasa, negara M mempunyai jumlah seramai 689 pesakit yang telah didiagnoskan dengan penyakit MIN1 jenis A itu. Angka pesakit yang disyaki dijangkiti penyakit itu telah mencecah angka 1272. Bilangan angka kematian adalah 68 dan sedang meningkat dengan mendadak. Negara Y pula mempunyai jumlah sebanyak 352 kes yang sama, 561 pesakit yang disyaki dijangkiti, dan 97 kematian. Negara A…"

4, 3…

"Agensi Berita Choulian dari negara M melaporkan: Setelah penyiasatan oleh para penyelidik di negara M, mereka mengesyaki bahawa virus M1N1 jenis A ini telah bermula dan disebarkan dari negara Z. Disebabkan oleh gempa bumi besar dari negara Z, kestabilan atmosfera telah terjejas, dan menyebabkan virus itu menjelma. Tindakan yang diambil oleh pihak kerajaan negara Z untuk mengurangkan kesan gempa bumi ini malangnya tidak berkesan, yang mengakibatkan virus tersebut untuk merebak dengan pantas. Kerajaan negara M telah bersetuju untuk memulakan penyelesaian jangka pendek, iaitu untuk menyekat segala jenis perdagangan dengan negara Z, dan pada masa yang sama membawa keluar rakyat negara M dari negara Z serta menolak semua kemasukan rakyat Z ke dalam negara M. Ahli parlimen kini sedang mengadakan perdebatan hangat mengenai isu ini, dan dipercayai bahawa penyelesaian ini akan dilaksanakan tidak lama lagi."

2, 1, 0!

Tanah bergegar dengan kuat secara tiba-tiba bersama letupan yang memekakkan telinga apabila penggera merah membingar dengan kuat. Asap tebal dan api yang menjulang-julang dapat kelihatan. Penjara ke-4 bergegar teruk akibat letupan tersebut.

Asap tebal itu mencucuk pedih mata para pegawai. Semua tentera penjara ke-4 yang terlatih mengambil senjata mereka dan terus bergegas ke tempat kejadian letupan itu. Chu Qiao dilitupi abu api. Dengan riak wajah yang terperanjat, dia merentap seorang pegawai yang memakai seragam tentera lalu bertanya dengan kuat, "Komrad! Apa yang sedang berlaku?"

Pegawai itu melihat sut jabatan undang-undang tentera yang dipakai oleh Chu Qiao yang tercarik dan terkoyak itu dan sekaligus mengetahui bahawa wanita ini bukanlah seorang pegawai penjara ke-4. Sambil membantu Chu Qiao untuk berdiri, dia berkata, "Awak daripada jabatan undang-undang tentera kah? Ikut saya, saya akan bantu awak keluar."

Tentera tersebut sangat nekad untuk membantu rakan sekerjanya daripada jabatan yang lain itu. Dia sama sekali tidak menyedari bahawa orang yang sedang dibantunyalah penyebab letupan tersebut. Tambahan pula, Chu Qiao bertanggungjawab atas kematian lebih daripada sepuluh rakan sekerja pegawai itu yang berkhidmat dalam jabatan undang-undang tentera.

Mereka mengikuti orang ramai yang kelam kabut berlari keluar daripada lobi utama tingkat pertama. Sewaktu mereka meluru keluar, mereka merempuh seorang lelaki yang terburu-buru menghala ke dalam lobi.

"Ah! Maafkan saya! Ah, Kolonel Li!" pegawai itu meminta maaf sambil merapati rakan sekerjanya.

"Apa yang telah berlaku di dalam?" Li Yang mengerutkan keningnya dan bertanya. Apabila dia mengerling ke tepi, matanya terbuntang melihat Chu Qiao. Dia menuding ke arah Chu Qiao dan rahangnya terjatuh akibat terkejut. "Chu…"

"Awak berada di sini kerana awak sedang mencari saya, kan? Sebuah letupan telah berlaku di dalam, kita patut bersembang di luar."

Chu Qiao dengan pantas memotong percakapan Li Yang. Apabila mendengar perkara itu, pegawai tersebut berkata, "Kalau macam itu saya tak perlu hantar awak keluar. Saya pun tidak tahu apa yang sedang berlaku di dalam. Saya perlu masuk ke dalam dan periksa."

Li Yang mengangguk. Setelah pegawai tentera itu beredar jauh, dia menarik Chu Qiao rapat dan bertanya dengan suara yang dalam dan perlahan, "Apa yang terjadi? Kenapa mahkamah tentera nak meletakkan kamu dalam perbicaraan? Macam mana awak boleh keluar?"

"Virus M1N1 itu bukanlah disebabkan oleh bencana alam. Ia adalah malapetaka buatan manusia. M, R, Y, F dan 10 pegawai kanan dari negara-negara barat merupakan sebahagian daripada kejadian ini termasuklah beberapa pegawai dalam negara kita yang tamak haloba. Apabila kita menangkap pasukan X, 'orang tebusan' yang ditangkap bukanlah orang tebusan sebenarnya, mereka ialah pakar-pakar virus yang bersembunyi di dalam pusat-pusat penyelidikan tentera setiap negara. Mereka mahu menyebarkan penyakit ini di seluruh dunia dan melumpuhkan ekonomi negara. Akhirnya nanti, mereka akan memperkenalkan sejenis antibiotik yang boleh menghindar dan merawat virus M1N1 melalui beberapa senarai syarikat, lalu mengaut keuntungan yang sangat besar. Pasukan saya memperolehi bukti kepada aktiviti jenayah mereka. Ini dia," Chu Qiao menjelaskan sambil mengeluarkan DVD tersebut daripada dalam poketnya lalu diserahkan pada Li Yang. Lalu dia menyambung, "Apabila Xiao Shi berangkat ke Tokyo untuk membunuh komander senior pasukan X, bukti inilah objek yang dibawanya pulang ke mari, dimana nyawa salah seorang kenalan saya tergadai untuk mendapatkannya. Malang sekali Xiao Shi menghela nafasnya yang terakhir di tepi jalan di Tokyo, menyebabkan perkara ini masih tidak dapat diselesaikan. Salah seorang dalang di sebalik virus M1N1 jenis A ini ialah pasukan X, penjual semua organ pada luarannya, tetapi merekalah yang telah melakukan penyelidikan mengenai virus berjangkit yang boleh membawa maut ini. Mereka telah menghantar pasukan perisik ke dalam negara kita secara menyamar. Mereka menggunakan perlindungan kepimpinan senior negara yang belot itu. Mereka telah menyamar sebagai rakan sekerja daripada jabatan undang-undang tentera, menyelinap masuk ke dalam penjara ke-4 dan mencuri bahan bukti, tapi saya sudah bunuh mereka semua."

Li Yang menarik nafas pantas akibat terpana dan berkata dengan nada tidak percaya, "Apa yang awak cuba cakap ialah orang yang telah membunuh Xiao Shi, ialah…"

"Ya!" Chu Qiao mengangguk pantas dan berkata tanpa ragu, "Orang yang memberi arahan untuk melepaskan ejen 003 ialah perisik musuh yang menyamar di dalam kepimpinan senior itu, dan dia jugalah yang memerintahkan supaya saya dipenjarakan di penjara ke-4, untuk mencuri semua bahan bukti saya dan cuba untuk menutup perbuatan keji mereka."

Li Yang masih tergamam. Kedua-dua belah keningnya rapat dan kemarahan terpancar daripada matanya. Dia berkata dengan suara yang dalam, "Para pakar meriam negara M masih lagi dalam perjalanan menuju ke Shang Jing pada hari ini untuk melawat dan belajar. Saya dan Penasihat Qian daripada Tentera Jing Hua telah membuat banyak kerja persediaan, saya tak percaya bahawa mereka…"

"Apa yang awak cakap?" Chu Qiao meninggikan suaranya tiba-tiba.

Li Yang berhenti seketika dan bertanya, "Apa dia?"

"Tadi awak cakap para pakar meriam negara M akan datang ke Shang Jing?"

Li Yang mengangguk dan menjawab, "Ya, mereka sampai malam tadi."

Muka Chu Qiao bertukar pucat dan dia mula menepuk-nepuk seluruh badan Li Yang, mencari sesuatu, "Awak ada bawa GPS untuk mengesan senjata tentera?"

"Kenapa awak cari benda tu?"

Chu Qiao naik angin lalu menjerkah, "Awak bawa atau tidak?"

"Kenapa saya nak bawa benda seperti itu ke sini?" Li Yang pantas berkata apabila melihat riak wajah Chu Qiao yang bimbang, "Ikut saya, saya tahu di mana kita boleh dapatkan benda itu."

Kedua-dua mereka melompat masuk ke dalam sebuah kereta elektrik dan segera menjauhkan diri mereka daripada kawasan yang sibuk itu.

Selepas dua minit, apabila dia melihat kelipan titik merah yang berterusan di dalam GPS, minda Chu Qiao menjadi buntu.

"Apa yang sedang berlaku? Kenapa ada bom di dalam mahkamah?"

Chu Qiao berdiri dengan cepat dan mencari senjata yang bersesuaian di dalam gudang itu. Dia bergerak dengan pantas, dan berkata, "Negara M tidak mempercayai pasukan X daripada negara R. Mereka khuatir yang mereka tidak akan berjaya menyebabkan segala-galanya terbongkar kepada khalayak ramai. Sebab itulah mereka meletakkan bom yang boleh dikesan GPS di dalam mahkamah itu. Apabila masa sudah tamat, bom tersebut akan meletup. Apabila itu berlaku, seluruh penjara ke-4 akan dimusnahkan, bersama-sama dengan saya dan bahan bukti tersebut."

"Jadi apa yang patut kita lakukan? Saya akan maklumkan perkara ini kepada unit pelupusan bom dengan segera. Pada masa yang sama, saya akan meminta pasukan bantuan daripada pasukan khas untuk mengawasi duta daripada negara M."

"Kita kesuntukan masa," Chu Qiao memberitahu dengan riak wajah yang hiba. "Sediakan helikopter supaya saya dapat mengarahkan orang ramai untuk beredar. Apa yang awak perlu lakukan adalah serahkan bahan bukti ini kepada Komander Hua. Nyawa Xiao Shi, 14 makhluk luar biasa daripada divisyen ke-11, dan nyawa setiap pesakit virus ini berada di tangan awak. Awak tak boleh melakukan walau satu kesilapan pun."

Setelah menyedari betapa besarnya tanggungjawab yang harus dipikulnya, Li Yang terlopong. Daripada jauh, asap berkepul-kepul dan orang ramai bergerak dengan gelisah. Dia melihat keazaman yang tinggi dalam mata Chu Qiao walaupun mukanya keletihan. Hatinya remuk, dan dia terkejut. Setelah seketika, dengan tekad dan penuh keazaman dia menjawab, "Saya pasti akan berjaya, Chu Qiao, jaga diri."

"Awak juga."

Mengakhiri perbualan mereka, dia memecut keluar daripada gudang itu tanpa menoleh ke belakang ke arah sel penjara di mana dia dapat melepaskan diri melalui keperitan demi keperitan.

Selepas sepuluh minit, sebuah helikopter berlepas dari medan perbarisan penjara ke-4 itu.

Ia berhenti di atas penjara itu, dan menuju jauh daripadanya, dan terbang ke pinggir bandar yang sepi.

Li Yang berada di dalam kereta untuk bertemu dengan komander tersebut. Dia menggenggam GPS untuk mengesan bom, dan melihat titik kecil itu, yang mewakili mahkamah tahap 4, bergerak menuju ke medan perbarisan dengan perlahan, melalui bangunan-bangunan, dan akhirnya terbang menuju ke pinggir bandar Shang Jing.

Tiba-tiba, satu letupan yang besar kedengaran dari langit. Titik merah di dalam GPS telah pun hilang. Hanya skrin kosong yang tinggal.

Di dalam kereta, Li Yang tidak menoleh kebelakang. Air matanya mengalir ke pipi tanpa henti.

Malam di Shang Jing bertukar menjadi sunyi sepi.