Download Chereads APP
Chereads App StoreGoogle Play
Chereads

Legenda Chu Qiao : Agen Puteri Divisyen Ke-11

Xiaoxiang Dong'er
292
Completed
--
NOT RATINGS
1.2m
Views
Synopsis
Maklumat salah telah memenjarakan Chu Qiao daripada divisyen 11 atas tuduhan palsu. Setelah berjaya melarikan diri dari penjara, Chu Qiao mengorbankan nyawanya apabila sebuah bom cuba memusnahkan divisyen tersebut. Sebaik sahaja dia bangun, dia sedar dia telah dilahirkan semula sebagai hamba kanak-kanak berusia lapan tahun dari Dinasti Xia… Nasib dirinya dan putera mahkota Yan Xun telah terikat selama lapan tahun kerana Chu Qiao menolong putera mahkota itu meraih kuasanya supaya dia dapat pulang ke negaranya. Mereka telah jatuh cinta dalam proses itu, namun berpisah tidak lama selepas itu kerana pandangan yang berbeza. Keberanian Chu Qiao tidak pernah tunduk kepada penghambaan, dia telah dinaikkan pangkat daripada seorang hamba kepada seorang dewi peperangan, dan telah bertemu kembali dengan orang yang selalu melindunginya — Zhuge Yue
VIEW MORE

Chapter 1 - Bab 1

Malam tersebut jatuh pada 12 Mei, 116, pukul 2 pagi, di kawasan pinggir bandar X, salah sebuah bandar di dalam empayar.

Tujuh buah kenderaan berwarna hitam gelap menderu laju di atas jalan raya desa itu, dimana dua buah kereta di hadapan, dua buah di belakang, dan dua buah lagi di sisi sebuah sedan yang berada di tengah-tengah konvoi ini. Kereta-kereta ini dibina mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak tentera; enjinnya yang berkuasa tinggi mengeluarkan dengungan yang stabil dan lancar. Ia juga diselaputi oleh pancalogam berprestasi tinggi. Kalau diamati dengan lebih dekat, corak lingkaran pada cermin depan kereta yang membuatkannya kalis peluru itu dapat dikesan. Kenderaan ini tidak mempunyai plat, mahupun apa-apa lambang tentera. Konvoi ini sudah pastinya mencetus kecurigaan. Bagaimanakah konvoi ini dapat menyelinap keluar daripada sebuah bandar yang selamat dan terlindung?

Setelah sejam berlalu, konvoi tersebut berhenti di sebuah bangunan berwarna kuning yang terletak di pinggir bandar itu. Empat orang tentera di dalam pakaian seragam samaran bergerak ke hadapan dan memberi isyarat bahawa ahli konvoi tersebut harus menjalani pemeriksaan keselamatan. Apabila pintu kereta yang berada di hadapan dibuka, seorang lelaki bersut hitam keluar daripada kenderaan itu lalu memberi salah seorang daripada tentera sekeping kad berwarna merah gelap. Setelah tentera itu memeriksa kad tersebut buat seketika, dia pun berkata lembut, "Saya perlu minta kelulusan daripada orang atasan saya dulu."

Lelaki bersut hitam itu mengerutkan dahinya dan kelihatan agak bengang. Dia menggumam, "Tandatangan Jeneral Jin sudah ada dalam kad ni, kelulusan siapa lagi yang awak mahu?"

Tentera tersebut tidak menunjukkan sebarang emosi, lalu berkata, "Mejar, pihak atasan baru sahaja keluarkan arahan. Melainkan ketua negara sendiri yang datang ke sini, tiada siapa yang boleh memasuki bangunan tentera ini kecuali jika mereka ada keizinan daripada kedua-dua Jeneral Jin dan Encik Zhang, ketua kakitangan."

"Kau ni...."

"Li yang."

Satu suara yang dalam tiba-tiba muncul dari kenderaan di belakangnya. Salah sebuah daripada kereta hitam tersebut bergerak perlahan-lahan ke hadapan. Pemandu kereta itu menurunkan tingkap-tingkap kereta. Di tempat duduk belakang kelihatan wajah yang tua dan lesu. Tentera tersebut amat terkejut. Dia berdiri untuk perhatian dengan segera sambil melakukan tabik hormat, "Tuan Jeneral!"

Jeneral Jin mengangguk tanpa berfikir dan bertanya, "Boleh kita masuk sekarang?"

Tentera tersebut berhenti sebentar lalu berkata, "Tuan, Ketua Zhang sudah memberi arahan bahawa tiada sebarang pergerakan kenderaan dibenarkan dalam kawasan kem ini, berjalan saja yang dibenarkan."

Jeneral Jin memasamkan mukanya. Sambil menepuk-nepuk kakinya dia bertanya, "Saya pun kena berjalan?"

Kelihatan semakin tidak selesa akan situasi yang sedang berlaku, tentera tersebut menjenguk ke dalam kereta untuk melihat kaki jeneral yang tercedera. Namun begitu, dengan penuh emosi dia berkata, "Maaf tuan, tapi ini arahan daripada pihak atasan. Tiada sesiapa yang dibenarkan masuk bersama kenderaan, hanya berjalan kaki dibenarkan!"

Li Yang berasa sangat marah.Mukanya merah padam.

Jeneral Jin melambai lembut ke arah tentera tersebut menyuruhnya pergi lalu berpaling ke arah Li Yang. "Li Yang, kamu masuklah ke dalam. Bawa dokumen-dokumen aku, dan kamu perlu bawa Ejen 005 keluar dengan selamat. Kita tidak boleh menanggung kerugian yang sama seperti dengan Ejen 003. Ejen-ejen ini semua ialah khazanah empayar." dia mengarah.

Li Yang terkaku. Dia berhadapan dengan seseorang yang berumur dan keletihan. Dia mengangkat tabik dengan hormat. Dengan suara yang penuh keazaman, dia menyatakan, "Jangan khuatir Jeneral, saya pasti akan dapat menyelesaikan tugas ini."

Walau bagaimanapun, pada masa itu, satu letupan yang sangat kuat dapat didengari. Api yang terang dan memijar-mijar dapat dilihat, bersama awan gergasi yang gelap berbentuk cendawan berkepul-kepul di atasnya. Mata Li Yang terbuntang luas akibat terkejut. Urat-urat di dahinya timbul dan kelihatan. Dia terus memecut ke dalam kem tentera tersebut.

Pada malam ini, rakyat-rakyat X masih lagi tidur dengan nyenyak, tetapi di sempadan bandar, di penjara tentera yang keempat, berlakunya sebuah letupan yang sangat besar. Ia dapat mengejutkan seluruh dunia. Di dalam kegelapan itu, semua mata dalam negara itu tertumpu pada tempat yang sama, menunggu subuh yang akan datang menjelma dalam beberapa jam.

Empat jam lalu.

Di dalam mahkamah penjara tentera negara yang keempat, tujuh pegawai tinggi tentera duduk dengan pakaian seragam mereka. Lencana pangkat mereka berkilauan di atas jerumbai hiasan di bahu mereka. Mereka semua merupakan jeneral. Di tempat duduk hakim, terdapat lima hakim tentera, di mana kesemuanya datang daripada divisyen ketenteraan yang berlainan, dan juga tidak semestinya dibawah sistem ketenteraan yang sama. Dibawah mereka terdapat lebih daripada 20 orang lelaki yang memegang mesingan Kurt MOD733 5.56 kaliber, di mana semuanya adalah daripada ejen pasukan khas terbaik negara tersebut. Mereka kelihatan bersedia untuk menumbangkan sesiapa sahaja yang menghalang mereka.

Suasana di dalam mahkamah tersebut sunyi dan tegang. Setiap mata tertumpu kepada kandang tertuduh. Pada masa ini, salah seorang hakim berpakaian seragam tentera berdehem lalu berkata dengan suara yang dalam, "Nama?"

"Chu Qiao," satu suara halus membalas dengan tenang dan lemah-lembut. Walaupun suaranya agak serak, sesiapa sahaja boleh mengenal pasti jantina si empunya suara.

Seperti yang dijangkakan, seorang wanita duduk di kandang tertuduh, memakai seluar tentera berwarna hijau muda dan berbaju putih. Dia menggulung lengan bajunya mempamerkan lengannya yang putih gebu. Dia duduk dengan tenang, tanpa sebarang rasa takut.

Si hakim lalu meneruskan proses kehakiman yang membosankan, "Jantina?"

"Wanita."

"Tarikh lahir?"

"8 Oktober, 90."

"Kampung halaman?"

"Bandar Luo di wilayah Yun Tu."

"Jawatan tentera sebelum ni?"

"Saya terpilih untuk memasuki sekolah tentera empayar pada tahun 109. Pada tahun 111, saya dipilih dan dipindahkan ke unit risikan ke-5 di dalam pusat arahan tentera untuk dilatih. Pada tahun yang sama juga saya dimasukkan ke dalam pasukan Helang dalam tentera ketujuh untuk memulakan latihan. Pada 27 Ogos 112, saya dilantik secara rasminya ke dalam unit risikan ke-5, bekerja di seksyen 2, bahagian analisis data dan pengedaran. Pada bulan Disember 113, saya dipindahkan ke jabatan perisikan di Bandar Y, menjalankan Rancangan HL, bersama-sama dengan bahagian Perisikan Tentera ke-9. Pada bulan Jun tahun hadapannya, saya telah ke luar negara untuk menjalankan tugas saya sebagai seorang perisik. Saya kembali pada bulan November 114 dan bekerja di pusat arahan divisyen ke-11 sebagai pembantu panglima, sehingga sekarang."

"Semasa perkhidmatan anda, operasi manakah yang anda lakukan?"

"Divisyen ke-11 melaksanakan sebanyak 97 operasi berbeza-beza jenis, 29 daripada operasi tersebut diketuai oleh saya. Antara kesemua misi yang dijalankan, terdapat 11 misi satu bintang, 9 dua bintang, 5 tiga bintang, 4 empat bintang, dan tiada misi lima bintang."

"Operasi manakah yang anda sertai sepanjang perkhidmatan anda? Sila terangkan dengan terperinci misi misi yang dikelaskan sebagai misi empat bintang dan ke atas."

"Pada Ogos 114, dengan risikan yang dikumpulkan oleh unit risikan ke-7, unit risikan ke-9 telah menyertai "Operasi Garam Laut", yang telah dirancang oleh Kolonel Li dan saya. Misi telah berjaya memperoleh 3 tan bijih uranium. Pada bulan November tahun yang sama, unit ke-11 dan unit cawangan ke-6 bersama-sama menjalankan operasi 'Umpan dan Tangkap'. Dengan jayanya, kami menangkap ketua pemberontak 'Mica Separuh Tikus', memusnahkan rizab nuklear negara F. Pada April 115, saya merancang dan merangsang makhluk berkuasa luar biasa dari negara E dan berjaya mendapatkan kembali kata laluan untuk kelemahan di dalam Bank Negara. Pada Jun tahun yang sama, dengan pertolongan negara X, dirancang oleh divisyen ke-11, dibantu oleh makhluk berkuasa luar biasa, Ejen 003 daripada divisyen ke-9 telah memimpin operasi Ximo, dan berjaya mendapat pelan HK-47."

Hakim mencuil cermin matanya lebih tinggi. Setelah dia membaca dokumen-dokumen tersebut, dia menggumam, "Bolehkah anda jelaskan hubungan anda dengan Ejen 003 daripada unit risikan tentera ke-9?"

Wanita tersebut mengangkat kedua-dua keningnya, riak wajahnya yang sebentar tadi kaku kini bertukar dingin lalu dia meneliti ketujuh-tujuh pegawai tentera yang berada di tempat berdiri hakim. Dia lalu berkata, "Semasa saya berlatih di Tentera ke-7, saya berkongsi ruang tidur bersama Ejen 003, Ejen 007, dan Mejar Huang Minroi, pegawai perancangan operasi di divisyen ke-11. Pada 115, saya merupakan sebahagian daripada operasi Ximo bersama Ejen 003."

Hakim tersebut bertanya dengan nada suara yang dalam, "Bagaimanakah anda menghuraikan hubungan anda dengan Ejen 003? Sahabat, rakan sekerja, atau kenalan?"

Dia tetap tenang dan mengangkat kedua-dua belah keningnya sekali lagi. Selepas seketika, dia membalas, "Kami sahabat."

Juri mula berbisik sesama sendiri. Dia merenung tajam pada dua orang daripada para hakim. Dia ternampak sepintas lalu senyuman yang tidak dapat disembunyikan oleh mereka.

"Bolehkah kami membuat kesimpulan bahawa anda dan Ejen 003 adalah sahabat akrab yang berkongsi apa-apa sahaja antara satu sama lain?" seorang hakim wanita bertanya. Dia memakai seragam tentera berwarna hijau gelap dan berada dalam lingkungan empat puluhan.

Chu Qiao berpaling dan menghadap hakim tersebut. Matanya jatuh pada hakim tersebut dan mengamatinya buat seketika. Akhirnya dia berkata, "Yang Arif, saya dan Ejen 003 telah menjalani latihan profesional negara dan kami merupakan tentera yang berkualiti tinggi. Kami jelas sangat tentang apa yang kami patut cakap, dan apa yang kami tidak patut. Dengan itu, apabila Yang Arif berkata bahawa kami berkongsi segala-galanya antara satu sama lain, saya merasakan bahawa Yang Arif telah meragui tahap profesionalisme kami dan tidak menghormati seorang wira yang telah mengorbankan nyawanya demi kepentingan negara."

Hakim wanita itu pucat lesi dan menggumam bibirnya, dengan suasana yang janggal mengelilinginya.

Hakim utama meneruskan, "Chu Qiao, buat ketika ini, sila huraikan dan pertahankan Operasi M1N1."

Pada ketika ini, perbicaraan tersebut telah memasuki saat-saat yang sangat penting. Apabila mendengar ayat tersebut, dua orang hakim yang berada dalam lingkungan empat puluhan duduk tegak dan memberi sepenuh tumpuan mereka.

Chu Qiao menundukkan kepalanya, meregangkan tengkuknya setelah sekian lama. Dia berkata dengan perlahan dan terang, "Saya mahu berjumpa dengan pihak atasan saya. Atau saya akan dibicarakan di mahkamah tentera tertinggi. Sebelum semua itu terjadi, saya tidak akan mengulas Operasi M1N1 dengan lebih lanjut."

Hakim tersebut memasamkan mukanya, dan menyatakan dalam nada marah, "Adakah anda mempersoalkan kewibawaan sebuah perbicaraan yang diketuai bersama-sama oleh lima daerah tentera yang berbeza yang ditubuhkan oleh pakar-pakar perundangan?"

"Tidak." Chu Qiao mengulang. Kepalanya diangkat tinggi. "Saya hanya ingin berjumpa dengan pihak atasan saya. Tanpa nota tulisan tangan oleh Jeneral Jin yang membenarkan saya mendedahkan maklumat sulit operasi ini, saya tidak dapat huraikan butiran-butiran dan data Operasi M1N1."

Dengan dahinya yang berkerut ketat, hakim tersebut melanjutkan. "Jadi, sila pertahankan dan huraikan arahan anda untuk menyerbu dan menyerang bangunan operasi utama, menyebabkan kematian orang-orang tebusan daripada 23 buah negara."

"Mereka bukan orang tebusan." Chu Qiao mengangkat wajahnya dan berkata, "Setiap arahan yang saya terima adalah selaras dengan undang-undang tentera dan saya tidak pernah membunuh orang yang tidak bersalah. Apabila saya melihat dokumen tersebut ditandatangani oleh pihak atasan saya dan juga Jeneral Jin, saya akan huraikan operasi tersebut secara keseluruhannya kepada mahkamah tentera. Sebelum itu, saya tidak akan menerima apa-apa soal siasat."

Perbicaraan tersebut menemui jalan buntu. Selepas membawa Chu Qiao keluar daripada mahkamah, para hakim dan jeneral mula beredar, dengan kamera CCTV yang merakam setiap gerak geri mereka. Walau bagaimanapun, dibawah kerusi salah seorang daripada jeneral, terdapat sebuah peranti kecil yang mempunyai kelipan lampu merah, skrinnya mempamerkan kiraan detik secara mengundur.

Masa semakin suntuk.

Chu Qiao duduk diam di atas katil besinya. Kepalanya tertunduk lesu. Tempat dia dipenjarakan ini dikelilingi oleh kaca yang diperkukuh dengan keluli. Ini membenarkan paparan yang jelas daripada luar, tetapi mereka yang berada di dalam tidak akan melihat dan mengetahui tentang dunia luar. Tiada sebarang bentuk privasi. Tembok kaca ini begitu teguh, ia hanya akan terhakis sedikit sahaja walaupun diledakkan das tembakan senapang sehari suntuk. Untuk melarikan diri, hanya bom nuklear yang boleh merobohkannya.

Walaupun dia tidak dapat mendengar mahupun melihat dunia luar, sebagai panglima kanan salah satu daripada unit risikan terbaik di negara ini, dia dapat mengetahui tentang susun atur kesuluruhan bangunan itu. Dengan sebelah tangan menggenggam pergelangan tangan mengira nadinya, dia menggunakan degupan jantungnya untuk mengira waktu dan dia pasti waktu makan akan tiba tidak lama lagi.

Seperti yang dijangkakan, dengan bunyi ketik yang kuat, pintu kecil di hujung salah satu tembok kaca tersebut dibuka dan sepasang tangan memegang talam meluncur masuk ke dalam sel.

Chu Qiao tidak berganjak daripada katilnya. Kepalanya masih tertunduk lesu. Dia kelihatan kaku dan diam, tetapi satu batu kecil melayang dengan senyap dan kena tepat pada tali jam tangan askar yang membawa makanannya. Dengan bunyi yang perlahan, jam tangan tersebut jatuh di atas lantai sel.

Askar tersebut bingung lalu memasukkan tangannya ke dalam pintu sel untuk mencapai jam tangannya, tetapi dia tidak dapat merasakan jam tangannya di mana mana. Chu Qiao terdengar satu dentangan dan berpaling ke arah bunyi itu. Dia mengerutkan keningnya dalam kekeliruan. Dia tahu bahawa selain daripada askar ini, terdapat seorang lagi pengawal yang memerhatikan setiap gerak gerinya. Kebiasaannya, apabila makanan dihidangkan, banduan tidak sepatutnya berada dekat dengan pintu sel, tetapi kali ini, dia menuding ke arah dirinya. Askar di luar nampak kejadian tersebut dengan jelas, dan cuba untuk mencapai jam tangan itu kembali. Tetapi dia tidak berjaya. Selepas dua kali jatuh menghentak lantai, dia menerima bantuan Chu Qiao.

Chu Qiao melompat daripada katil besinya dan mengangkat jam tangan tersebut lalu meletakkan jam itu di atas tapak tangan askar pengawal dan tersenyum ke arah tembok kaca kalis peluru itu. Selepas itu, dia mengambil talam makanannya dan kembali ke katilnya.

Tidak lama selepas itu keadaan menjadi sunyi di luar sel.

Semua ini kelihatan seperti perkara biasa, tanpa sebarang kejanggalan.

Setelah menghabiskan sajiannya, Chu Qiao bergerak ke arah tandas asas di dalam selnya dan membuka pintu.

Kerajaan yang bermoral ini telah mereka cipta tandas dengan sedikit privasi. Dibawah paras bahu, tandas tersebut telah dibina menggunakan plastik legap. Chu Qiao duduk di atas mangkuk tandas dan merendahkan kepalanya. Dia pasti ada beberapa orang yang sedang memerhatikannya, dan dia tidak boleh berada di dalam tandas lebih daripada 20 minit.

Apabila tiada sesiapa pun boleh melihat apa yang dia sedang lakukan, Chu Qiao membuka tapak tangannya yang putih gebu. Sebentar tadi apabila dia bersentuhan dengan askar tersebut, dia menggenggam sehelai plastik nipis yang digunakan untuk mendapatkan cap jari askar tersebut. Dia tahu bahawa masa semakin berlalu. Dia perlu mula bergerak.