Chereads / Perkahwinan Tersembunyi Markah Penuh / Chapter 56 - Menumbuk Kapas

Chapter 56 - Menumbuk Kapas

Ning Xi akan berlakon dalam adegan tarian hari ini, jadi kostumnya akan lebih ringan daripada kostum istana semalam. Ia satu kelegaan.

Apabila dia masuk ke bilik persalinan, dia terkejut melihat Jia Qingqing.

Dia ingatkan Jia Qingqing tidak akan datang lagi.

Jia Qingqing telah gagal dalam uji bakat untuk watak heroin kedua. Namun, pengarah filem telah menjemputnya untuk melakonkan watak heroin ketiga, Puteri Xian.

Walaupun heroin ketiga juga akan membawa bencana kepada negara, watak itu lebih kecil daripada watak Ning Xi. Lagipun, dia akan didera oleh Ning Xi di dalam filem itu.

Walaupun pengurusnya telah menerima jemputan itu bagi pihak Jia Qingqing, dia amat tidak berpuas hati dan tidak menghadiri majlis perasmian. Malah, khabar angin mengatakan dia akan menolak watak tersebut.

Ning Xi rasa dia telah datang kembali selepas mendengar filem itu telah menerima suntikan tambahan dalam pelaburan yang berjumlah besar.

Lagipun, ia projek besar bernilai seratus juta yuan.

Jia Qingqing sedang disolek apabila ternampak Ning Xi di dalam cerminnya. Dia menjeling dengan penghinaan dingin dan kebencian tanpa diselindung.

Seperti Ning Xueluo, dia mempunyai bapa yang kaya. Jadi, dia selalu berkelakuan sombong dan tidak popular di set penggambaran. Namun, tentera airnya yang amat mahir dan berjaya membina imejnya sebagai orang yang lantang dan tegas. Malah, mereka telah memberikan dia gelaran Wanita Tercantik Nombor 1 dalam industri hiburan.

Jadi, sudah tentu dia sangat membenci Ning Xi, yang telah merompak kedua-dua watak dan kemasyhurannya.

"Hm, bukankah ini Wanita Tercantik No.1 kita dalam industri hiburan? Kamu kan ada banyak pelabur kaya yang menyokong kamu. Kenapa kamu masih datang ke bilik persalinan dengan pelakon kecil macam kami?" Jia Qingqing mengejek.

Ning Xi mencari satu kerusi dengan santai dan mula membaca skripnya, tidak terjejas langsung dengan ejekannya.

Dia orang yang bekerja dengan sepenuh hati dan tumpuan sebaik sahaja tiba di set penggambaran. Dia tidak akan membenarkan dirinya dipengaruhi sesuatu atau sesiapa pun.

"Ning Xi, kamu sengaja tidak pedulikan saya?" Jia Qingqing membuang sikatnya ke bawah dengan geram.

Ning Xi terus membaca skripnya seperti tidak dengar apa yang dikatakannya.

Pada masa itu, artis solek di sebelahnya tidak tahan lagi dan batuk, "Ning Xi memakai fon telinga, jadi dia mungkin tidak mendengar kamu!"

Barulah Jia Qingqing nampak dua fon telinga dalam telinga Ning Xi. Dia berasa seperti dia baru mencurah air ke daun keladi!

Perempuan sundal! Siapa tahu dia buat dengan sengaja atau tidak?!

Sudah tentu Ning Xi melakukannya dengan sengaja.

Ketika dia melihat Jia Qingqing, dia terus mengeluarkan fon telinganya dan memasukkan ke dalam telinganya supaya dia dapat berpura-pura tidak mendengar apa yang dikata oleh Jia Qingqing.

Dalam hal ini, tidak kira siapa yang benar atau salah, selama ada konflik, ia memang tidak baik untuknya. Lebih baik dari mengelaknya sama sekali!

"Cik Jia, sudah siap. Kamu berpuas hati dengan solekan kamu?" Artis solek itu bercakap dengan berhati-hati kerana dia sedar dia sedang berurusan dengan pelanggan yang sukar.

"Tak! Buat sekali lagi!" Jia Qingqing menjawab tanpa melihat.

"Bahagian mana yang kamu tidak berpuas hati?" tanya artis solek itu.

"Semuanya!"

Muka artis solek itu menjadi tegang kerana terlalu marah, tetapi dia hanya bolah menanggalkan semua solekan dan bermula sekali lagi.

Apabila melihat Ning Xi langsung tidak pedulikan dia, Jia Qingqing bertambah marah dan terus melepaskan geramnya kepada artis solek itu.

Artis solek itu tidak berani tunjuk belang. Jadi, dia hanya boleh menjeling kepada Ning Xi yang duduk di satu sudut.

Dia faham matlamat sebenar Jia Qingqing ialah Ning Xi dan dia hanya orang malang yang telah diseret ke dalam drama ini.

Selain daripada hero dan heroin yang mempunyai bilik persalinan sendiri, semua orang lain terpaksa berkongsi satu bilik persalinan. Jadi, sekiranya Jia Qingqing tidak selesai dengan solekannya, Ning Xi terpaksa menunggu sampai bila-bila.

Akhirnya, hanya apabila pengurus Jia Qingqing datang mendapatkannya, baru dia meninggalkan bilik persalinan itu dengan rasa tidak puas hati. Dia tidak lupa melempar satu lagi jelingan marah ke arah Ning Xi semasa berjalan keluar.