Chereads / Perkahwinan Tersembunyi Markah Penuh / Chapter 23 - Mencabar Bos Besar

Chapter 23 - Mencabar Bos Besar

Oleh kerana dia menunggang motosikal, Ning Xi telah memakai jaket kulit hitam yang ketat bersama dengan seluar kulit. Apabila sampai, dia terus menanggalkan topi keledar dan sarung tangannya. Rambutnya yang panjang jatuh ke bahu seperti air terjun. Dia kelihatan begitu anggun dan menawan.

Melihat penampilan Ning Xi, Lu Jingli tidak dapat menghentikan dirinya daripada bersiul.

"Lu Jingyu, kamu ingat ayah tidak berani sentuh awak?" Di satu sudut ruang tamu, Lu Tingxiao telah berjaya menangkap anaknya yang tiada tempat lain untuk melarikan diri. Dalam dakapan ayahnya, budak kecil itu cuba sedaya upaya untuk melarikan diri, seperti binatang liar yang menghayunkan kuku yang kecil.

"Jangan!" Ning Xi bergegas untuk merampas Si Cilik.

Si Cilik mengangkat kepala kecilnya untuk melihat siapa. Dia tergamam sebentar sebelum matanya menjadi besar dan merah. Dia memeluk Ning Xi dengan lebih kuat dan enggan melepaskannya.

Apabila dia melihat ban kecil yang comel dan lembut itu menggeletar kerana ketakutan, hati Ning Xi seperti direnyuk.

Dia begitu marah sehingga dia tidak peduli itu adalah bos besar yang menakutkan. Dia terus berkata. "Encik Lu, saya tahu saya orang luar dan tiada hak untuk menegur. Tapi, saya perlu kata satu perkara, cara kamu besarkan Si Cilik ini bermasalah. Budak kecil seperti ini perlukan kemesraan dan cinta, terutamanya dengan keadaan Si Cilik yang sangat unik. Dia pernah mengalami trauma yang besar dan tidak mempunyai ibu di sisinya. Kamu patut lebih bersabar dan mengalah dengan dia. Kenapa kamu terlalu garang? Kamu tak nampak betapa takutnya dia? Kamu masih mahu mengangkat tangan!"

Lu Tingxiao menjawab, "Saya bersalah."

Lu Jingli, "…" Hehe…

Apabila dia terdengar abangnya mengakui kesalahan dengan mudah, Lu Jingli hanya boleh tertawa kepada diri sendiri.

Apabila saya beritahu kamu cara kamu besarkan budak itu salah, kamu terus tolak hidup-hiduo nasihat saya. Tapi, bila Ning Xi beritahu kamu perkara yang sama, kamu dengar dengan patuh sekali!

Selepas ketibaan Ning Xi, Si Cilik seperti seekor anjing kecil yang telah jumpa tuannya dan sungguh patuh mendengar setiap perkataan. Dia bukan singa liar yang ganas dari sebentar tadi. Dia membenarkan Ning Xi memegang tangannya dan membawa dia pulang ke bilik.

Di atas sofa, Ning Xi membelai kepala Si Cilik dengan lembut. "Apa yang terjadi? Pagi tadi tiada masalah, kan?"

Lu Jingli berasa geram. "Apa lagi yang terjadi? Si Cilik terlalu rindu pada kamu dan ingin berjumpa kamu, tetapi abang saya ini tidak bagi. Abang juga tidak beri dia membuat panggilan telefon kepada kamu kerana dia takut kami mengganggu kamu. Akhirnya, Si Cilik mula naik marah dan berlari ke sana sini dan menghancurkan apa saja di ruang tamu. Abang saya tidak mahu sifat Si Cilik ini menjadi satu kebiasaan. Jadi mereka berdua bertengkar. Dan ketika itulah kamu sampai…"

"Sebab Si Cilik tidak dapat berjumpa dengan saya dan tidak boleh menghubungi saya?" Ning Xi rasa penjelasan itu agak sukar untuk dipercayai. Walaupun Lu Tingxiao pernah berkata Si Cilik kini banyak bergantung kepadanya, tetapi adakah dia sebegitu berpengaruh kepada Si Cilik?

"Kamu rasa? Kamu terlalu pandang rendah kepada pengaruh kamu!" Apabila Ning Xi masih lagi tidak faham situasi ini, dia jelaskan. "Pada hari itu, di dalam bilik stor bar wain, apabila kamu telah pengsan, Si Cilik tidak benarkan sesiapa pun mendekati kamu. Akhirnya, abang saya terpaksa mengangkat dan membawa kamu sendiri ke hospital!"

Ning Xi terus memandang Lu Tingxiao. Lu Tingxiao telah membawa saya ke hospital…?

"Dan kemudian di hospital, Si Cilik tidak dapat mencari kamu dan ingat kamu sudah mati. Dia mengamuk dan hampir melompat keluar dari tingkap. Dia hanya bertenang selepas abang saya memberi nota yang kamu tulis untuknya. Semalam pula, Si Cilik mahu berjumpa dengan kamu. Jadi, dia sengaja mogok lapar untuk mengancam abang saya. Malam ini pula, kerana kamu telah menghubunginya dan beritahu untuk makan, dia telah makan dengan banyak. Jadi, dia tidak boleh guna taktik mogok lapar kali ini. Inilah sebab semua ini terjadi…"

Makan terlalu banyak? Tadi, dia ada beritahu untuk makan lebih sedikit semasa panggilan telefon itu. Jadi, adakah semua ini salahnya?