Chereads / Isteri Liar Maharaja Hantu - Puan Muda Sulung Bergaya / Chapter 46 - Menyebabkan Kekecohan di Seluruh Bandar (4)

Chapter 46 - Menyebabkan Kekecohan di Seluruh Bandar (4)

Sebuah lagu tamat dimainkan.

Mu Wushuang menghentikan pergerakan tangannya. Matanya yang lembut merenung lelaki itu yang sedang khusyuk memandangnya. Dia menurunkan keningnya dan dengan senyuman lembut berkata, "Tuanku Putera Mahkota, adakah Tuanku tahu akan insiden terbaru di Kerajaan Long Yuan?"

"Maksud kamu insiden mengenai Cecair Berubat Pengumpul-Roh itu?"

Gao Ling cukup faham maksud di sebalik kata-kata Mu Wushuang. "Cecair Berubat Pengumpul-Roh ini sememangnya ajaib, dan ditambah lagi dengan pengesahan daripada Pavilion Perubatan, ia tidak akan ada kesan buruk. Kalau Wushuang suka, Beta akan belikan untuk kamu, bagaimana?"

Mu Wushuang ragu-ragu seketika sebelum berkata dengan perlahan, "Tuanku Putera Mahkota, patik dengar Jeneral Yun juga ingin membeli Cecair Berubat Pengumpul-Roh itu. Dia sekarang cuba meminjam duit dari merata tempat. Cecair Berubat Pengumpul-Roh itu terlalu mahal. Jika Yun Luofeng mampu bertapa, tidak apa mengalah dengannya, tapi masalahnya dia sendiri tidak mampu menjadi pertapa rohani, jadi apa gunanya dia menginginkan Cecair Berubat Pengumpul-Roh itu? Tidakkah hanya akan jadi sia-sia?"

"Wushuang, jangan bimbang. Beta akan mengeluarkan arahan kepada menteri-menteri di Kerajaan Long Yuan nanti tiada siapa dibenarkan untuk meminjamkan wang kepada Kediaman Jeneral! Salah siapa adanya anak perempuan yang pemboros dalam Kediaman Jeneral? Beta juga mendengar Yun Luofeng telah membelanjakan seluruh harta kekayaan Keluarga Yun, menyebabkan Jeneral mengamuk!" Gao Ling mendengus dingin, mengekspresikan kejijikannya. "Nasib baiklah Beta telah memutuskan pertunangan dengan perempuan sampah itu, jika tidak, pasti satu hari nanti seluruh Kediaman Putera Mahkota beta akan disia-siakan olehnya!"

Mu Wushuang tersenyum lebar, sehingga keningnya juga menunjukkan kegembiraannya.

"Tuanku Putera Mahkota, disebabkan oleh Tuanku, reputasi Yun Luofeng musnah dan nasibnya begitu menyedihkan! Jadi Patik hendak mencari jodoh untuknya. Apabila tiba masanya nanti, Patik akan memerlukan bantuan Tuanku."

Memikirkan wajah cantik yang tiada tandingan itu, Mu Wushuang sangat membencinya sehingga dia menggigit bibir dan mengetap giginya dengan marah! Jadi dia pasti akan mengaturkan perkahwinan untuk gadis itu! Perkahwinan yang paling tidak akan membuatkan Yun Luofeng lebih rela mati dari meneruskan hidup!

"Wushuang, Beta akan membiarkan kamu menguruskan hal ini," Gao Ling merenung Mu Wushuang dengan sangat lembut, "Pada mulanya, Beta tidak ingin peduli mengenai hidup mati si sampah itu, tapi atas permintaan kamu, Beta akan membuat keputusan kali ini. Jika bukan dengan bantuan kamu, dengan keadaan resam tubuh Yun Luofeng, dia tidak akan mampu mencari sesiapa yang mahu berkahwin dengannya sepanjang hidupnya."

Senyuman Mu Wushuang menjadi semakin cantik. Pada saat itu, sewaktu Gao Ling tidak melihat ke arahnya, sepasang mata Mu Wushuang berkilau dengan kebencian.

Yun Luofeng, kedudukan kamu akan sentiasa lebih rendah dari saya!

Kebolehan semula jadi kamu lebih rendah dari saya, keupayaan kamu juga lebih rendah dari saya, malah kebolehan kamu untuk mengawal lelaki juga lebih rendah dari saya! Dalam kehidupan ini, saya akan hidup berjaya, saya akan menjalani kehidupan yang orang lain cemburui, sedangkan kamu pula cuma layak berdiri di titik paling rendah, memandang tinggi terhadap kewujudan saya!

Orang yang akan saya kahwini ialah yang paling mulia di seluruh dunia, dan kamu pula memerlukan saya untuk mencarikan kamu suami!

Cecair Berubat Pengumpul-Roh itu pula, saya mesti dapatkannya! Dan kamu tidak ada hak walau untuk minum air mandian saya!

...

Di dalam bilik bacaan Kediaman Yun, Yun Luofeng langsung disapa oleh ngauman kemarahan orang tua itu sebaik dia melangkah masuk, dan dia juga terdengar bunyi sesuatu ditendang.

"Manusia tidak bersyukur! Tengok bagaimana kamu biasanya berpura-pura rapat dengan orang tua ini, tapi sekarang orang tua ini ingin meminjam sedikit duit, setiap seorang dari kamu lari lebih laju dari anjing! Jangan sampai orang tua ini melihat kamu lagi di masa akan datang!"

Pinjam duit?

Yun Luofeng hairan sejenak sebelum masuk dan meneliti keadaan kucar-kacir di dalam bilik bacaan itu. Senyuman jahat terukir di wajahnya. "Datuk, ada apa ini? Kenapa Datuk marah begini?"

"Hmph, ini semua disebabkan orang-orang tidak berguna itu, terutama sekali segelintir daripada mereka. Saya pernah tolong mereka dulu, dan sekarang saya dalam kesusahan dan mencari mereka untuk meminjam duit, mereka semua enggan menolong!"

Orang tua itu masih lagi di puncak kemarahannya, kumisnya bergetar tidak teratur ketika dia meluahkan kemarahannya dengan kata-kata makian.

"Kenapa Datuk perlu pinjam duit? Tidak cukupkah 45 juta tahil yang saya minta mereka letakkan dalam bilik simpanan?"

"45 juta apa..." Orang tua itu masih ingin meneruskan makiannya ketika dia tiba-tiba tersedar. Matanya merenung teguh ke arah Yun Luofeng, nafasnya semakin laju, "Apa kamu cakap tadi? Keluarga kita ada 45 juta tahil?"