Chereads / Isteri Liar Maharaja Hantu - Puan Muda Sulung Bergaya / Chapter 80 - Jing Lin Dibelasah (2)

Chapter 80 - Jing Lin Dibelasah (2)

Justeru itu, dia membuat kesimpulan orang tua itu ialah seseorang yang Yun Luofeng telah upah bagi membersihkan gelaran 'sampah' miliknya di depan semua orang! Jika tidak, bagaimana dia boleh membuat lelaki itu bangun dengan hanya mencucuk jarum untuk penyakit yang Wushuang sekalipun tidak dapat diagnosis?

Yun Luofeng dengan malas mengangkat keningnya dan menjeling orang tua yang sedang menghalang jalannya. Dia tersenyum. "Ada satu hal yang kamu tersilap. Orang yang pukul Mu Wushuang bukan saya, tetapi Gao Ling! Lagipun, saya bukan ke sini untuk berjumpa kamu. Saya cuma datang ke sini untuk mencari Tok Ketua Rong!"

Awal pagi tadi, Tok Ketua Rong telah menghantar seseorang ke Kediaman Jeneral untuk menjemput Yun Luofeng ke sini. Jadi dia telah datang ke Pavilion Perubatan pada waktu ini.

Siapa sangka, bertuahnya dia bertembung dengan Jing Lin di sini? Tanpa perlu memikirkannya, dia dapat meneka yang Jing Lin pasti datang ke sini disebabkan keadaan Gao Ling. Malangnya, melainkan Yun Luofeng yang memberikan bantuan, tabib-tabib Pavilion Perubatan juga tidak akan mampu merawat Gao Ling...

"Yun Luofeng," Jing Lin mencemuh Yun Luofeng, jelingannya penuh dengan kebencian, "jumlah orang yang datang ke Pavilion Perubatan untuk berjumpa dengan Tok Ketua Rong setiap hari ramai tidak terkira. Kamu rasa dia ingin berjumpa dengan sampah seperti kamu? Sedangkan Wushuang juga ditolak sewaktu dia datang menemui Tok Ketua Rong, apatah lagi kamu. Manusia patut ada kesedaran diri bagi mengelak daripada memalukan diri sendiri kelak."

Yun Luofeng menggeliat dengan malas, mengangkat keningnya dan memandang Jing Lin. "Orang yang tiada bakat sebenar serta tidak berilmu seperti Mu Wushuang, kalau saya jadi Tok Ketua Rong, saya pun tidak ingin berjumpa dengannya."

Daripada segi perbicaraan atau perlakuan, Yun Luofeng tidak mahu mengalah!

Jing Lin terus terdiam. Dia tidak tahu dari mana datangnya keberanian gadis ini untuk mengatakan ayat yang angkuh begitu.

Wushuang tidak mempunyai bakat sebenar dan tidak berilmu?

Mungkinkah Yun Luofeng, yang secara rambang menemui seorang tua untuk berpura-pura sakit, memiliki bakat dan berilmu?

Lawak sungguh!

"Yun Luofeng, kamu sememangnya tiada didikan. Syukurlah, ibu bapa kamu mati awal. Jika tidak, pasti mereka akan mati disebabkan marah terhadap kamu!" Jing Lin ketawa dingin.

Dia ialah tabib diraja bagi Keluarga Diraja, Maharaja sekalipun ada sedikit rasa hormat kepadanya. Mungkin seluruh dunia harus waspada dengan Jeneral Yun Luo, namun Jing Lin tidak perlu rasa terancam dengan orang tua itu!

Sebab itulah Jing Lin mampu mengatakan berkata begitu...

Yun Luofeng mengecilkan matanya, cahaya berbahaya berkilauan. Nada suaranya bersahaja seperti selalu, tapi jelas memiliki sikap yang mengagumkan.

"Yun Xiao, kamu boleh lakukan apa saja selagi tidak membunuh dia!"

Wajah Jing Lin dipenuhi cemuhan dan baru sahaja mahu mempersendakan Yun Luofeng lagi ketika dengan tiba-tiba, suatu ledakan kuasa yang kuat menekan kepalanya. Apabila Jing Lin sedar, satu penumbuk telah mengenai mukanya, membuatkan badannya tercampak dengan bunyi yang kuat sebelum jatuh di kalangan orang ramai.

"Berani kamu!"

Jing Lin sangat marah, matanya menjeling tajam pada lelaki dingin yang sedang berjalan menghampirinya. "Saya ialah tabib diraja. Kalau kamu cederakan saya, kamu akan didakwa sebagai menghina Keluarga Diraja!"

Yun Luofeng tersenyum dan membongkok untuk memandang Jing Lin yang telah jatuh ke tanah.

"Memang saya pukul kamu. Apa yang kamu boleh buat pada saya?"

Liar, angkuh, dan takbur!

Yun Luofeng ini terang-terang memperlihatkan perangai hedonistik anak-anak dari keluarga yang mewah, seolah-olah dia memang sepatutnya bersikap begini!

Tepat sekali! Yun Luofeng satu-satunya cucu dari Kediaman Jeneral, dan sangat dimanjakan dan disayangi oleh Jeneral! Memang selayaknya dia bersikap angkuh! Tambahan pula, lelaki bertopeng di sampingnya bukannya lemah. Patutlah Jeneral tidak risau dia keluar seorang diri!

"Yun Luofeng, kamu memang keterlaluan! Ini Pavilion Perubatan. Kamu berani membuat kecoh di sini. Datuk kamu juga tidak akan dapat melindungi kamu!" Jing Lin melihat lelaki dingin itu mendekatinya lagi, dan dia mula panik.